Harga emas meningkat!

Saya tidak pernah lepas rutin yang satu ini: Selepas keluar kereta, saya terus berjalan ke SmartShop hospital membeli surat khabar. Pasti. Jurnal yang satu itu hanya sedap dibaca di awal pagi. Bila dah tengahari atau petang, ia dah lemau!

Tajuk depannya nampak biasa saja. Tapi saya baca juga kerana yakin mesti ada yang menarik. Kalau tak, mana mungkin tajuk itu terpilih untuk mengisi ruang hadapan?

"Lonjakan Harga Emas"

Glup~!

"LONDON - Harga emas dunia diramal meningkat sebanyak 13 peratus pada tahun ini menjadikan harga logam itu mencecah sehingga AS$1,600 (RM4,840) bagi satu auns (28.3 gram).
Kenaikan itu berterusan sejak 2001 didorong oleh kebimbangan terhadap inflasi yang tinggi dan kadar faedah global yang rendah.

"Kami tidak akan terkejut jika melihat harga emas melepasi AS$1,600 sebelum hujung tahun ini," kata Pengerusi Eksekutif firma penyelidikan GFMS Ltd., Philip Klapwijk dalam laporan terbarunya yang disiarkan semalam.

Ramalan itu tidak berubah daripada jangkaan awal yang dikeluarkan pada Januari lalu selepas harga emas mencatat harga tertinggi dalam sejarah iaitu AS$1,478.18 (RM4,472.23) bagi setiap auns di London pada Isnin lalu.

"Para pelabur terus bimbang mengenai inflasi dan kerajaan-kerajaan dilihat kurang berminat untuk mengetatkan polisi kewangan. Kedudukan kewangan kerajaan juga menjadi alasan kenapa pelabur kekal fokus terhadap pasaran emas.

"Penerimaan kenaikan harga oleh para pengguna akan membantu meningkatkan permintaan terhadap barang kemas selain menyediakan platform kukuh untuk pelabur menaikkan harga emas menjadi lebih tinggi," kata Klapwijk."

sumber

Saya ternganga tak berapa faham. Apa yang saya faham, harga emas semakin mahal. Itu saja. Kak Zu seakan mengerti daifnya saya tentang hal emas ini. Dia berkongsi sesuatu dengan saya. Jom kita buat latihan matematik sikit tentang emas ni:

1 Auns = 28.3 gram = RM 4,472.23

maka,

1 gram = RM 158.03

Sebentuk cincin yang paling ringkas dianggarkan lebih kurang seberat 5 gram.

Oleh itu,

RM 158.03 x 5 gram = RM790.15

*Perlu diingat bahawa ini adalah kiraan untuk sebentuk cincin yang pada anggaran kami paling ringkas dan paling nipis olahannya. Kadar RM 4,472.23 satu auns adalah paras tertinggi setakat ini. Ia boleh mencecah RM 4,840 satu auns. Maka harga sebentuk cincin boleh lebih dari nilai RM 790.15.

Alamatnya lambat lagilah saya akan bernikah. Dah cincin mahal sangat, teruklah bakal suami saya~ (-.-)

Kak Zu! Macaman ni~?!!!

p/s: Emas sebagai komoditi yang tidak akan jatuh nilai dan paling stabil. Anugerah Allah! Nikmat Tuhan yang mana lagi yang kau mahu dustakan?


No comments