Ambang 2012


Beberapa jam lagi sebelum 2012 menjengah diri.

Saya dan dua orang lagi teman serumah memilih untuk berada di rumah sahaja. Petang tadi kami bertiga sudah melepaskan 'gian' keluar ke kota. Cukuplah kami berjalan-jalan di siang hari. Malam 'istimewa' seperti malam tahun baru ini pasti banyak risiko berbanding peluang.

Kami hanya menghabiskan malam minggu ini dengan berkapar di depan tv. Hampir semua saluran tv membuat liputan countdown tahun baru.
Secara peribadi, hingga hari ini saya masih gagal mentafsir signifikan sambutan tahun baru dan sambutan kemerdekaan yang diadakan secara besar-besaran.
Dari kaca tv, saya sudah cukup pening dan sesak melihat keadaan di Dataran Merdeka yang berhimpit-himpit dan padat dengan manusia yang datang dari seluruh pelusuk kota.
Kalau saya berada di sana, entah apa pula perasaan yang lebih teruk akan dirasa. Rimas!

Tepat Jam 12

Dari balkoni rumah, kami dapat melihat hampir seluruh penjuru Kota Mega bermandi cahaya bunga api. Sekali lagi saya terfikir- Mengapa sambutan ini perlu diraikan dengan bunga api? Bukan dengan cara lain?
(Siapa boleh jawab?)

Selepas selesai pertunjukan percuma (tanpa perlu berasak-asak di Dataran Merdeka), kami kembali ke ruang tamu dan menyambung tontonan- Konsert yang entah apa-apa pula menjadi hidangan. Di saat jam menunjukkan pukul 12 malam, kewajaran asasnya adalah untuk berada di rumah dan bersiap sedia untuk tidur. Namun saya 'kagum', masih ramai yang mampu bertahan hanya untuk hiburan-hiburan membingitkan telinga seperti itu.

Teringat satu status Facebook dari Saifulnang yang ditulisnya sebentar tadi:

"Malam ini mungkin beribu2 benih anak haram akan ditanam. Di manakah anak gadis anda?"

Ringkas, tapi padat. Intipatinya mudah- Upacara seperti ini lebih banyak mudarat berbanding faedah. Titik.

Dua orang kawan serumah saya ini bukan calang-calang orang. Seorang pendidik, dan seorang lagi lulusan kejuruteraan. Topik perbincangan kami sealiran- sama pendirian untuk menolak dan tidak menyokong sambutan dengan cara yang satu ini.
Untuk pertama kalinya, saya dapat tahu ada sambutan tahun baru yang jauh berbeza diadakan di Shah Alam. Atmosferanya penuh dengan pengisian agama. Unik. Moga sambutan kemerdekaan nanti, akan ada satu lagi sambutan serupa untuk saya cuba ikuti.

Sudah Januari 2012

Selamat tinggal 2011.
Semalam adalah kenangan.
Hari ini adalah kenyataan.
Esok adalah perjuangan.

p/s: Banyak harapan dan azam. :) Moga tercapai barang satu atau dua...

Selamat Tinggal Semalam


Selamat tinggal 2011

Berbaki hanya beberapa jam sahaja lagi, tahun 2011 akan ditinggalkan.
Secara peribadi, saya tidak sedikit pun rasa seronok atau teruja dengan kehadiran tiap-tiap tahun baru. Yang ada hanyalah tanggungjawab yang semakin memberat usia yang semakin bertambah dan kematian yang semakin hampir.

Tahun 2011 merupakan tahun pertama saya sebagai seorang survivor dalam dunia kerjaya selepas menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Univeristi Malaya pada tahun 2010. Perjalanan kerjaya saya tidak semudah yang disangka. Banyak perkara yang saya pernah lalui, diiring suka dan duka.

Awal Januari 2011 menyaksikan saya diterima menyertai kursus selama 6 bulan dengan Malaysian Biotech Corporation Malaysia (BiotechCorp Malaysia). Itulah permulaan dalam dunia kerjaya saya. Diterima pula sebagai trainee engineer di Hospital Temerloh dan setelah tamat 6 bulan, saya kembali mengikuti kursus. Setelah lebih kurang 4 bulan kemudiannya, saya akhirnya bekerja di tempat sekarang.
Nampak macam mudah. Tetapi tidak. Hanya yang hampir dengan saya tahu dan mengerti perjuangan saya.
Alhamdulillah, sekarang saya bersyukur dan gembira dengan apa yang dimiliki. Tak mampu untuk ada semua, tapi cukuplah seadanya.

Julai 2011 memberi kejutan besar apabila abah diserang TIA. Saya yang ketika itu sedang berkursus di UPM Serdang hampir-hampir mati akal dan bertindak di luar pemikiran. Mujurlah keadaan abah tidak serius.
Saya akhirnya pulang dengan sedikit tenang. Bermula saat itu saya sedar yang bonding saya dengan abah memang maha kuat. Saya sedar yang saya jarang menunjukkan kasih sayang saya pada abah sedangkan sewaktu kecil abahlah yang mendukung dan melayan semua kehendak saya.
Bermula dari insiden itu juga saya lihat ikatan kekeluargaan kami lebih rapat dan penuh emosi. Semua isinya saling menunjukkan rasa peduli dan kasih sayang yang luar biasa. Dan saya juga berazam untuk lebih menyayangi dan menghargai kedua emak dan abah yang tidak boleh ditukar ganti!
Terima kasih Allah, atas petunjuk ini.

September 2011, sudah dua tahun kejadian pahit itu berlaku. Masih ingat lagi, saya hampir-hampir hilang semangat belajar dan ingin menangguhkan pengajian sedangkan tahun itu adalah tahun akhir saya di kampus.
Semua orang tertekan dan saya terpaksa menanggung bebanan emosi yang sangat teruk. Antara tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan anak serta ahli kepada sebuah keluarga yang sedang diuji.
Insiden itu juga telah menjadikan saya seorang yang paranoid dan emosianal dengan isu-isu tertentu. Saya mudah sedih, benci dan menangis untuk satu-satu masa yang sukar dijangka.
Syukurlah saya tidak bertindak melulu. Atas nasihat emak dan abah, serta rakan-rakan yang memahami, saya cekalkan juga hati dan akhirnya jalan juang di kampus berjaya ditamatkan dengan baik.
Dua tahun berlalu, kemaafan masih sukar untuk diucapkan. Biarlah sang pelaku dibalasi Tuhan yang Maha Adil. Saya sedang belajar menerima serta redha dengan ujian ini. Apalah sangat kesedihan ini kalau nak dibandingkan dengan azab Tuhan yang bakal diterima sang pesalah.

Sepanjang tahun 2011 menyaksikan ramai di kalangan rakan-rakan Seri, Kisas dan Universiti Malaya menamatkan zaman bujang masing-masing. Bila dibelek-belek kalendar dan jam, barulah saya sedar yang:
"Oh, kita sedang menuju sebuah kedewasaan!"
Nikah kahwin bukan lagi satu isu angan-angan. Kita sedang menuju ke arah realiti dan kebenaran!
Saya punya pendirian peribadi yang agak kompleks apabila ditebak persoalan ini. Namun saya masih belum bersedia untuk mengupas isunya di sini. Mungkin nanti, apabila saya punya kekuatan dan motivasi tentangnya saya pasti akan menulisnya. Janji.

Selamat Tinggal Semalam

Apa yang telah berlaku semalam bukanlah untuk ditinggalkan dan dilupai begitu sahaja. Sungguh rugi bagi mereka yang tidak mengambil sebarang iktibar dan pengajaran atas pengalaman dan tarbiyyah yang mendidik.

Setiap yang berlaku mempunyai hikmah dan signifikan tersendiri. Maka di situlah perlunya sifat optimis dan memandang pada kedua-dua aspek negatif dan positif.
Motivasi harus dibentuk daripada gabungan pengalaman baik dan sebaliknya. Apa yang buruk tidak semestinya jelek dan memberikan kesan yang tidak baik. Mungkin itu sisi lain bagaimana Allah mahu kita melihat dunia- Kerana bukan semua dalam dunia ini indah belaka.

Secara peribadi, saya mula belajar melihat dunia dari kaca mata seorang yang optimis. Baik atau buruk sesuatu kejadian, saya tetap cuba mencari hikmah dan kebaikan daripadanya. Ujian Tuhan datang dalam pelbagai bentuk. Jadi bagaimana ia diinterpretasi, begitulah ia dalam kefahaman kita.

Semalam telah menjadikan saya setingkat dewasa dalam kehidupan. Esok akan membawa saya ke satu lagi tingkat kematangan. Semoga Allah memberkati 2011 saya, dan menghadiahi saya 2012 yang penuh dengan kegembiraan dan rezeki penuh keberkatan dan sentiasa disyukuri tanpa henti.

p/s: Semalam adalah kenangan, esok adalah perjuangan!

Entri Pantas


Bismillah...

Cuaca di luar sangat bagus. Sebaliknya dalam diri saya sedang dilanda ribut petir yang dasyat. Ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan sebelum 2012 menjengah tiba. Pendek kata, perlu dibereskan selewat-lewatnya esok!

Tak sempat mengutus rindu kepada mereka yang tersayang. Kekangan masa ini benar-benar menjadikan saya 'hamba dunia'. Hm, saya masih lemah!

Buat emak dan abah, ketahuilah Dhiya rindukan emak dan abah sejurus Dhiya memandu pulang ke kota dari desa tercinta.
Buat teman-teman yang dirindui: Nurul, Yan dan yang lainnya...Mohon maaf kerana sudah lama tidak mengirim sms, jauh sekali membuat panggilan telefon.
Semuanya ok di sini, melainkan saya rindu kamu semua!

Ok. Ikut arahan. Ini entri pantas. Harus berhenti sekarang.

Tata!

Dhiya

Mudahnya


Terasa perjalanan hadup saya hari ini seperti air sungai yang melaju. Mudah.

Alhamdulillah.

Di saat perjalanan saya di ambang kesukaran, saya pasti akan bersedih dan merungut. Tetapi di saat saya diberi kegembiraan, dalam tak sedar hati menjerit riang dan memuji-muji kebaikan Tuhan.
Sungguh saya seorang yang belum cukup bersyukur dengan segala pemberianNya!

Sangat banyak kejutan dan kegembiraan hari ini. Terasa benar Allah mudahkan urusan saya. Cuma...Saya yang masih tidak memudahkan diri sendiri ke arahNya.
Ya, saya insan yang lemah. Masih terpalit dengan salah dan silap yang apabila diperbetulkan, saya pasti akan kembali melakukannya lagi. Saya cuai, saya leka!

Saya benar-benar berharap agar jalan juang ini dimudahkan lorongnya. Apa yang berlaku hari ini adalah satu keinsafan yang harus disantuni akan hikmahnya. Semoga tekad dan azam pejuang kerdil seperti kami ini dibantu olehNya. Amin.

p/s: Esok akan ada mesyuarat sehingga 10 malam. Ehem. Semoga terus bersabar, Dhiya!

Selamat Bercuti!


24 Disember 2011.

Jam 6 pagi, saya sudah bangun dan bersiap-siap. Ada misi besar yang perlu dilaksana. Sebaik bos mengumumkan hari ini adalah hari cuti rasmi, sejak malam tadi saya sudah 'berpesta' sakan. Huu!
Selesai solat subuh, saya mula bersiap sedia- memandu sejauh lebih kurang 187 kilometer untuk pulang ke desa.
Pukul 6 pagi sudah gigih turun ke bawah sambil membawa beg-beg yang banyak tu. Sungguh, macam nak pergi haji! Selesai semuanya, saya masih di rumah. Seperti ada sesuatu yang mengikat saya untuk tidak turun dan memulakan pemanduan.
Lebih kurang jam 7, barulah saya turun ke bawah, itu pun masih berlengah-lengah melencong ke kedai berhampiran untuk membeli sarapan.

"Adik, adik kerja selalu lalu kat tangga tu ke?" Tanya pemilik kedai tersebut sambil memuncungkan bibirnya ke arah satu suduh di hujung kawasan perumahan.

"Ye." Saya menjawab pendek sambil tangan mengisi bekalan.

"Abang nak nasihatlah...hati-hati bila keluar nak pergi kerja tu. Baru tadi ada kejadian ragut kat situ."

Saya tergamam dan terus memalingkan muka ke tangga tersebut. Allah. itulah tempat yang selalu saya lalui untuk mendapatkan tren ke tempat kerja.

"Baru sangat ke?"

"Ye dik. Adik masuk kedai ni, abang baru balik dari kejar peragut tu. Tapi tak dapat. Kesian adik yang kena ragut tu. Dia pergi jugak kerja sebab terus nak buat laporan polis."

Selesai membuat bayaran, saya terus melangkah laju ke kereta. Gusar juga hati kerana tempat letak kereta masih sunyi. Iyalah, sudahlah hari Sabtu. Renyai-renyai pula. Siapa yang mahu bangun awal?

***************************

Pemanduan hanya bermula pada jam 7.30 pagi. Tak mengapalah. Biar lambat, asal selamat. :)
Saya memilih untuk melalui jalan lama Lanchang. Bosan rasanya kalau memandu melalui LPT sebab jalannya yang lurus dan beralun-alun. Biar pula memandu di jalan kampung tu. Dapat juga menghirup udara segar sambil berangan jauh. Eh~

Sampai di Temerloh, saya berhajat untuk masuk ke tengah bandarnya. Sedikit malang, banyak jalan di bandar itu ditutup untuk memberi laluan kepada pertandingan lumba basikal yang meliputi sebahagian besar Bandar Ikan Patin tersebut. Saya terperangkap. Sedih!

Atas bantuan seorang polis, dia telah sudi membukakan jalan 'khas' untuk saya dan menunjukkan jalan pintas untuk ke destinasi. Huhu! Terima kasih encik polis.
Ah...Itu pun setelah jenuh buat muka kesian sambil cakap datang dari Kuala Lumpur jam 7 pagi.

***********************
Setelah melalui perjalanan yang mencabar, akhirnya saya tiba juga ke rumah. Hujan rintik-rintik ini memang menggamit memori. Teringat ketika masih kecil, saya selalu melihat rakan-rakan sebaya riang bermain dan berlari dalam hujan. Sedang saya- teringin, tapi emak sangat tegas dengan prinsip keibuannya. Saya tak akan sewenang-wenangnya 'lepas tali' untuk ke mana-mana.
Tapi hari ini semuanya telah berubah. Emak dan abah 'mengikat' saya dengan 'tali getah'- Sejauh mana saya pun saya pergi merantau menuntut ilmu atau mencari rezeki, saya pasti akan kembali pulang ke pangkuan mereka. Hati ini betul-betul terikat dengan mereka. Allah, ilhamkan pada saya bagaimanakah cara mereka mendidik saya sewaktu saya kecil dahulu! Semoga saya dapat mewarisinya untuk anak-anak saya kelak. Insya Allah!

Masakan emak memang yang tersedap. Demi Allah, memang sedap!
Selesai makan, saya bercadang untuk membasuh baju yang dibawa khas dari kota mega. Maklumlah, di sana tak punya ruang yang cukup untuk membasuh dalam skala yang besar seperti minggu ini.
Tapi dek kerana hujan yang ligat menyakat, buat pertama kalinya saya tekad untuk menghantar baju-baju saya pada majlis lepas ke dobi!
Nasiblah~ Sekilo = RM 3. Asalkan baju saya berbasuh dan kering sempurna!

*************************
Seronok juga sekali sekala meraikan anak-anak saudara ni. Saya bawa mereka ke pasar malam dekat dengan rumah. Memang macam-macam ragam, tapi sangat melatih rasa sabar. Kamu dan kamu memang memberikan pengajaran berguna buat aunty kalian yang cantik jelita ini~ (-.-)

Dalam perjalanan pulang, saya teringat untuk menulis hal yang satu ini sejak dulu lagi- Tetapi asyik terlupa. Kali ini saya pastikan mesejnya sampai dengan jelas dan berkesan.

Saya berang betul dengan keadaan jalan besar yang menghubungkan kampung dan bandar terdekat yang sangat teruk. Di tepi-tepi jalan terdapat lubang-lubang yang sangat membahayakan keselematan terutamanya penunggang motosikal. Kereta kecil saya juga telah beberapa kali terlanggar lubang tersebut. Ngeri juga membayangkan kalau tayar meletup dan terbabas entah ke mana-mana. Na'uzubilla. Tapi itu memang pernah berlaku sebelum ini.
Semoga ada tindakan susulan dari pihak yang bertanggungjawab.
Jangan hanya dibaiki dan diselenggara bersempena kehadiran pak menteri ataupun musim pilihanraya sahaja. Itu boneka namanya.

***************************
Baby K saya pun pasti keletihan hari ini. Setelah melalui perjalanan yang jauh, terlanggar pula lubang-lubang yang menyakitkan mata dan hati. Ada beberapa masalah teknikal lain pula yang muncul. Pandai betul Baby K ni, mentang-mentang sekarang ni musim gaji...Macam-macam pula kerenah manjanya~
Nanti kita lawat pusat servis dengan Elis, ya!

****************************
Oho. Panjangnya catatan sehari penuh seorang Dhiya.
Esok masih cuti.
Mari manfaatkannya sebaik mungkin. (Baca= Mari menulis sebanyak mungkin!)

Insya Allah, saya akan cuba untuk menulis lagi dalam masa terdekat. Banyak yang nak dikongsikan. Moga ada ruang ibadat dan pahala dari hasil penulisan saya yang tak sebagus mana ini. Insya Allah.

p/s: Tunggu nanti!

Hobi Otak Kanan


Bismillah...

Mungkin entri kali ini agak santai dan mencerminkan sisi 'lembut' seorang Dhiya. Seganas-ganas dan segarang-garang saya, ada juga rupanya jiwa seni, ya~.
Dalam sibuk dengan 'ribut dan petir' di pejabat, saya sebenarnya telah dan sedang jatuh cinta dengan beberapa cabang seni.Link
Terbaru, saya sangat fanatik dengan card making dan juga quilling art. Siapa sangka, huh?! Saya punya alat, cuma jarang-jarang sekali mencapai matlamat disebabkan tuntutan tugas utama di pejabat. Walaupun tak berkesempatan untuk membuat amali, tetapi saya sangat patuh dan taat mengikuti kelas-kelas yang diadakan dalam dunia maya.

Jangan tak tahu, saya sangat mengkagumi hasil mahsul kad buatan tangan dari blog Little Attic Art.

Bersempena dengan peluang First Giveaway yang dianjurkan oleh Sabryana si tuan blog ni, saya dengan suka hatinya ingin menyertai giveaway ini dan berharap dapat membina network dan bertukar idea, insipari serta pendapat dalam bidang seni comel ini.

WHO CAN JOIN?
Anyone.
Blogger OR Facebooker.
Anywhere you are.

HOW TO JOIN?

All you need to do is...
Firstly, make a post about this giveaway.
(just copy/share this post on your blog or wall & link to this page)

In the comment box under this post, please leave...


Your
Name
Your Email
Your Posted Link

PRIZES

Little Attic Art's Product

DEADLINE

28th December 2011

3 Lucky Winners
will be picked randomly.
Winners will be announced on 30th December 2011.

Good Luck everyone! ~ SAB :)


Anda, anda dan anda juga boleh sertai. Cepat!

p/s: Terima kasih, Sab!

Sibuk


Minggu ini sangat sibuk.

Peristiwa dan insiden minggu lepas sangat mengekang saya dari menulis. Banyak cerita yang hendak dikongsi, tentang hidup dan masa depan, sedih gembira, serta beberapa kejutan yang saya buat dan saya terima. Betul! Semua ini sangat mengujakan neuron-neuron otak saya!

Tapi untuk sekarang, tugas dan tanggungjawab di pejabat memang yang utama. Namun itu bukan bermakna saya boleh menerima panggilan kerja selepas pukul 5.30, ya~

Minggu ini saya akan pulang ke kampung. Terasa lama benar saya tak jejak tanah keramat hasil keringat emak dan abah kesayangan saya. Terasa rindu benar untuk memeluk tubuh mereka yang dirindui. Demi Allah, saya sangat rindukan mereka!

Sibuk.

Akan kembali menyambung tugas.

Salam rindu,
Dhiya


Harapan


Saya sedang mengimpikan sebuah percutian yang merehatkan. Dua minggu berturut-turut mengerah tenaga tanpa rehat untuk lima hari bengkel sungguh membuatkan saya kelelahan.

Destinasi harapan pertama

Dengan cuti pendek sehari dua yang ada, saya berhajat benar untuk mencuri peluang ke destinasi-destinasi rehat sekitar Kuala Lumpur atau berhampiran dengannya.
Dua minggu lepas kami berpeluang ke Pantai Morib. Ya Allah, memang menyeronokkan. Tapi kalau tak kerana walimah Syafiq, kami mungkin tak akan sampai ke sana.
Idea untuk ke Tanah Tinggi Genting mungkin satu cadangan yang baik. Tapi malangnya saya seorang yang gayat. Malah belum ada minat yang menggebu untuk ke sana. Tapi kalau ada rezeki bersama kawan-kawan, saya rasa apa salahnya. Berjalan melihat alam.


Destinasi harapan kedua

Saya teringin menjadi seorang backpacker yang bercuti dari satu destinasi ke destinasi lain. Saya tahu agak sukar untuk melakukannya, malah ada orang yang tidak yakin dengan keinginan saya yang satu ini.
Tapi saya tetap berharap agar saya berpeluang melakukannya suatu hari nanti. Kalau tak mahu guna Elis atau Baby K sekalipun, seronok juga kalau dapat menaiki bas ekspres dari KL ke Utara atau Selatan tanah air. KL- Ipoh- Kuala Kangsar- Taiping- Pulau Pinang- Kuala Kedah- Langkawi: Erm...Bunyi macam seronok je~

Destinasi harapan ketiga

Baru-baru ini salah seorang kawan saya telah berpeluang ke Pulau Pangkor . Ewah-ewah, bukan main bangga lagi dia membawa pulang cerita. Tak dinafikan, saya yakin pulau itu tidak mengecewakan. Suasana sudah pasti cantik dan menenangkan. Dengar ceritanya lagi, banyak aktiviti yang boleh dilakukan. Wah...Saya berdoa agar saya berpeluang ke sana suatu masa nanti. Yang berkenaan, tolong bawa saya ke sana!

Destinasi harapan keempat

Saya pernah ke hutan lipur dan air terjun di sekitar Ulu Yam dan beberapa destinasi lain beberapa tahun yang lalu. Seronok, memang seronok! Masih teringat apabila saya sanggup bangun 4-5 pagi semata-mata untuk menyiapkan juadah untuk berkelah. Walaupun juadah mudah, tapi saya gembira kerana dapat merasakan suasananya. Sejak bekerja, saya tidak lagi berpeluang berbuat demikian. Maka saya sangat berharap agak peluang itu kembali dan saya dapat merasakannya semula.
Ulu Yam dan Hutan Lipur Lentang. (Seingat saya lah...) Ada destinasi lain yang menarik untuk dikongsikan? Boleh bagitahu saya. Hee~

Destinasi harapan kelima

Destinasi cinta.

Eh~

Insya Allah. Semoga ditemukan jodoh yang terbaik untuk saya. Semua orang berhak untuk rasa disayangi dan dicintai. Semoga kasih sayang Allah tidak pernah putus atas hambaNya yang lemah ini. Betul. Ini luahan hati yang boleh dikatakan serius.

p/s: Dok berangan bukan main, siapa yang nak pergi bercuti dengan Dhiya ni???

Mengapa Allah Menjadikanku Miskin?


Ini buku terbaru yang sedang saya cuba khatamkan. Bukan sekadar membaca dari kulit ke kulit, harapnya ada ilmu dan pengajaran yang boleh ditimba sebagai buah bekalan untuk dibincangkan.
Setakat yang saya baca, isinya meluas dan padat. Tidak tertangkup hanya kepada idea dan paksi Islam, tapi dibawanya juga menyelusuri dunia dan idea daerah barat sana, supaya kita boleh berfikir dengan lebih luas.

Kelak ada peluang, saya akan kongsikan faedahnya di sini. Semoga itu bakal menjadi syafaat yang tak bertepi untuk saya dan kita semua. Amin!

p/s: Tak boleh tak ada buku...

Kalau Aku Tak Cinta


Kalau aku tak cinta
Kau aku tak tunggu begini lama
Terus terusan manjadi rahsia

Hati yang sabar
Terus berdoa penuh getar
Semoga Dia Sang Maha Mendengar
Penuh sudi membelai hati
Dengan memberi cinta dipatri
Utuh dan teguh tak berbelah bahagi

Kalau aku tak cinta
Kau bukan yang aku damba
Siang dan malam diiring doa
Tak pernah kenal erti kecewa

Mengharap ruang dan jalan mudah
Menanti masa tak kunjung sudah
Penuh sabar segunung tabah

Kalau aku tak cinta
Kau bukan untuk aku coretkan
Malah tak bermakna tanpa nilaian
Atau itu bukan namanya perasaan

Hanya kerana ini
Kau ikhlas terabadi
Lillah kerana Illahi

Semoga sampai detik itu
Aku akan jadi milikmu
Tapi bila aku tak tahu
Sampai nanti kita ketemu...

Ditulis secara rawak. Sebagai cermin atas apa yang bermain di fikiran saya sekarang. Semoga ada yang terbaik, untuk jadi yang terbaik. Amin

p/s: Bersemangat untuk terus menulis!

Selamat Pengantin Baru!


Selamat Pengantin Baru, Syafiq dan Zatul!
kredit: Facebook ZI. Terima kasih.
********************
Ahad, 4 Disember 2011

Kami bertolak dari Kuala Lumpur seawal jam 10 pagi. Punyalah gelojoh tak sabar nak jumpa pengantin kan~
Yang sebenarnya kami ada dua jemputan yang perlu dihadiri. Selesai di majlis pertama pun dah hampir jam 1 lebih. Maka memang sedang elok sahaja kami ke majlis Syafiq dan Zatul di Banting.

Sebaik tiba, kami terus berjumpa dengan pengantin. Sayalah orang yang paling emosi melihat kawan-kawan (terutamanya mereka berdua ini) 'pergi' tanpa menoleh ke belakang lagi. Tahniah sekali lagi Syafiq dan Zatul. Semoga Allah memelihara kalian berdua hingga ke akhirnya.
Syafiq sempat berkata kepada saya:
"Dhiya, lepas ni aku doakan kau pula menyusul ye...Semoga dilembutkan hati orang sekeliling dan dimudahkan urusan yang satu ni."
Amin Ya Allah. Terima kasih, Syafiq!

Untuk makluman, Syafiq adalah rakan sepengajian saya ketika di universiti dahulu. Memandangkan kursus itu tak punya ramai rakan Melayu, jadi kami yang hanya beberapa 'kerat' ni memang rapat. Belajar tu memang dah pasti bersama, kadang-kadang makan bersama,
jawab kuiz dan ujian pun berjemaah. (kantoi dah...)
Alhamdulillah berjaya di hari konvokesyen pun bersama-sama.

Zatul pula merupakan rakan sekolej saya ketika di Kisas dulu. Walaupun kami tak berapa kenal antara satu sama lain sangat ketika itu, tapi siapa sangka pernikahan mereka berdua telah membuatkan saya dan Zatul menjadi sahabat. Sungguh, aturan Tuhan tiada siapa yang tahu melainkan Dia!

Kami tak sempat sangat berbual panjang dengan pengantin. Mereka berdua sungguh sibuk melayan tetamu yang hadir. Mungkin satu masa nanti kita dapat makan dan berbual bersama, boleh Syafiq dan Zatul? (^^)

'Ala kulli hal, saya sangat gembira dan terharu dengan pernikahan sahabat saya ini. Tak mampu rasanya diekspressikan dengan hadiah yang besar dan mahal, cuma doa yang ikhlas setulus hati dipanjatkan agar rumahtangga mereka bahagia dan dipayungi kasih sayang Allah.

Selesai ke majlis mereka, kami ada 'majlis' untuk menganugerahkan diri dengan sedikit kerehatan. Terima kasih Allah, terima kasih buat yang sudi melayan kerenah saya. Nah- Pantai Morib, Banting.

Seumur hidup, inilah kali pertama saya ke sini. Terima kasih. Semoga ada hikmah dan pengajaran daripada perjalanan kita kali ini.

p/s: (^^)

Jumaat!


Assalamualaikum.

Masih dalam demam yang tak kebah-kebah. Tak pernah rasanya saya sakit begitu lama. Sungguh ujian Tuhan yang satu ini sangat menguji kekuatan saya di saat komitmen tugas yang terlalu banyak dan memberat.

Tadi saya terlalu lemah di pejabat. Dalam masa yang sama saya terpaksa mengejar due date untuk satu lagi bengkel yang akan diadakan minggu hadapan. Panggilan bertali arus bertanyakan itu ini perihal bengkel tersebut. Nak marah pun ada juga. Bengkel itu sudah hampir dua bulan diiklankan, tetapi kenapa mereka masih memilih detik-detik akhir untuk bertindak. Saya menangis!

Saya akhirnya kalah dengan diri sendiri. Melepeklah saya di meja kerja tanpa mampu berbuat banyak benda. Tak pernah saya buat begitu sejak bekerja di sini. Tapi apa boleh buat. Saya memang hilang tenaga.

Saya betul-betul susah hati. Lewat kebelakangan ini hidung saya kerap berdarah. Betul, saya memang agak culas untuk ke klinik. Dengar perkataan seangkatan dengannya pun saya memang hilang selera makan. Saya bercadang untuk bercuti barang sehari dua. Mungkin kesibukan itu yang menyebabkan saya tertekan dan tidak seimbang kondisi fisiologi badan. Saya mungkin perlukan rehat.

Banyak betul idea untuk menulis sekarang ni. Tapi rasanya perlu ditangguhkan dulu atas sebab kesihatan. Saya sangat perlukan masa sendiri untuk berehat. Malah saya sudah lama hilang ruang untuk menangis sendiri. Sejak menjadi survivor di Kota Mega, saya jarang sekali memanjakan diri. Saya sangat rindukan emak dan abah serta suasana kampung yang damai. Sangat...Sangat rindu!

Kalau boleh, saya mahu pulang dalam masa terdekat. Semoga ada cuti lama untuk saya berehat di rumah seperti dulu-dulu. Saya sangat rindukan kampung halaman!

p/s: Rehat...

Kurang Sihat


Sejak Isnin lagi, saya sudah rasa lemah. Tapi memikirkan bengkel saya (yang telah berjalan lancar) semalam, saya gagahkan juga. Terima kasih kepada semua yang mengambil berat.

Saya ingatkan semuanya semakin baik selepas pulang dan berehat di sebelah malamnya. Tapi lain pula jadinya. Hidung saya berdarah. Risau sendiri tak mengapalah. Saya tak akan susahkan orang. Saya dah tanya akak apa yang patut dibuat.

Hari ini seharian lagi saya terpaksa mengendalikan bengkel (tambahan). Nak buat macamana, dah arahan. Gagahkan juga. Nak dijadikan cerita, selepas mandi tadi sekali lagi kebimbangan saya tu terjadi. Saya dah mula rasa down. Mungkin juga saya terlalu hectic dan ditambah pula dengan demam minggu ini.

Esok sehari lagi saya perlu berada dalam bengkel tambahan itu. Ya Allah, mudahkan urusan saya yang masih tergendala. Berikan kesihatan yang baik, semoga terus berbakti sesama manusia kerana Allah Taala...

Dhiya

Entri Cepat, Ringkas.


Bismillah...

Sedang berbengkel. Seharian saya tidak akan berada di pejabat. (-.-)

Mengambil peluang yang sedikit ini untuk melepaskan rindu dendam menulis. Saya sangat rindukan Dari Diri Dhiya. Saya rindu untuk berkongsi cerita yang penuh rasa...
Allah, sungguh saya dalam kerugian kerana gagal menjadi pengurus masa yang baik!

Minggu ini dan minggu depan akan jadi minggu yang agak sibuk bagi saya. Mujurlah bengkel saya cuma sehari hari ini. Minggu depan agak parah: Saya akan jadi 'tak tentu hala' untuk bengkel selama dua hari . Semoga Allah mudahkan urusan saya. Amin.

Saya akan menulis panjang hujung minggu ini. Sangat banyak cerita yang saya nak kongsikan terutamanya kisah pernikahan kawan baik kami, Syafiq. Pernikahannya sangat istimewa dan tak kurang juga menyentuh emosi kami. Tunggu nanti, ya~

Untuk keluarga tercinta di desa terutamanya emak dan abah, Dhiya rindu emak dan abah!

Tak dilupa untuk sahabat baik saya, Nurul yang kini jauh di Kuantan... Saya rindu kamu ok~!

Jumpa nanti!

Dhiya

Ekspres


Salam,

Bersiaran dari Hentian Rehat Seri Kembangan utk solat fardhu Maghrib.

Kami baru pulang dari Banting, menghadiri walimah rakan baik iaitu Syafiq

Tunggu berita dan gambarnya nanti ya!

salam sayang,
Dhiya Dahlia

Disember Dhiya


1 Disember 2011

Allah.

Kita sudah berada dalam bulan terakhir tahun 2011. Sudah hampir setahun ini saya tempuhi. Ada air mata, ada juga ketawa. Mana yang sempat tertulis, adalah ia di dalam Dari Diri Dhiya ini. Mana-mana yang tak sempat, berlalulah ia sebagai satu memori atau terus dilupai...

Dari Dulu Memang Begitu...

Disember cukup sinonim dengan cuti sekolah. Teringat saya ketika masih di bangku sekolah rendah dulu, cuti sekolah adalah waktu yang sangat menyeronokkan. Biarpun hanya 'terkurung' di desa itu, tapi kehidupan saya tak pernah sempit. Terlalu banyak yang saya lalui. Terlalu banyak yang saya terokai.

Saya hidup seperti anak kampung yang lain- Pernah bermain pondok-pondok, pernah menangguk ikan di longkang dan parit, malah pernah memanjat dan bergayut di dahan pokok!

Ketika itu saya tak pernah mengerti yang zaman kanak-kanak adalah zaman yang paling banyak kenangan. Hari ini...Setelah bertahun-tahun saya meninggalkannya, barulah saya tahu bahawa zaman itu cukup indah. Kalau boleh diulang, biarlah saya kembali ke waktu itu!

Cuti sekolah jugalah jiran-jiran berebut-rebut melangsungkan kenduri yang bermacam-macam. Kenduri kahwin tu sudah tentu. Belum kira lagi kenduri marhaban dan kenduri khatan~ (-.-)

Kini sudah banyak yang berubah. Tuntutan tugas benar-benar mengikat saya di kota mega ini. Kesempatan yang ada sekali sekala saya gunakan untuk menjenguk keluarga. Itu pun terhad hanya dua ke tiga hari. (TT)

Sudah, sudah. Jangan cerita pasal kampung lagi. Nanti saya menangis. Rindu!

Disember ini saya menerima banyak jemputan kahwin. Bukan lagi dari jiran-jiran emak dan abah yang menikahkan anak-anak. Sebaliknya jemputan datang dari rakan-rakan seperjuangan saya yang akan mendirikan rumahtangga.
Betullah. Laju sungguh masa berputar. Dulu mereka semua kawan bergelak ketawa saya, tapi hari ini sudah gagah memikul tanggungjawab dunia dan akhirat. Kita semakin dewasa!

Saya ada hujah peribadi apabila ditebak soalan nikah kahwin ini. Bagi saya ia suatu yang sangat sensitif dan penuh emosi. Saya selalu menangis sendiri apabila memikirkan isu ini. Banyak sebab, ada asasnya mengapa saya begitu.

Apa pun, Tahniah kepada sahabat handai yang telah dan bakal mendirikan rumah tangga musim ini. Terima kasih yang sudi menjemput saya. Insya Allah kalau ada kesempatan, saya akan datang. Mana-mana yang tak berkesempatan, hanya doa menjadi ganti, semoga anda semua diberkati.

Disember Dhiya yang penuh inti. Padat, sibuk dengan komitmen atas diri. Semoga tak lupa terus berbakti. Semoga tak jauh dari Ilahi...

Dhiya

p/s: Disember...Januari...

Rabu


Alhamdulillah.

Hari ini semuanya berjalan lancar di pejabat. Gembira, ceria dan bahagia. (^^)
(Tunggulah hari Jumaat nanti. Mesti kau tak senang duduk, Dhiya!)

Rasanya kerja untuk Sabtu ni pun dah 80% selesai. Masih merangkak-rangkak mencari rentak. Tapi saya yakin saya boleh lakukannya.

Syukurlah, hari ini saya pulang ke rumah dalam keadaan masih kenal bayang-bayang. Kalau nak diingatkan balik, saya sangat banyak stay back awal bulan lepas. Kalau tak solat Maghrib di pejabat memang tak sah! Tapi sekarang sudah stabil sedikit.

Terima kasih untuk kawan-kawan baik saya yang sudi memuat turun jurnal-jurnal untuk keperluan peribadi. Mungkin tak terguna dalam masa terdekat, tapi saya punya stratergi. Langkah biarlah lambat pun, tetapi mesti penuh hati-hati. Jangan sampai tersadung kaki~

Seronoknya dapat menulis hari ini. Walaupun ceritanya ringkas dan mungkin sukar difahami hujung pangkalnya, tapi saya puas. Saya menulis atas kemahuan dan minat diri. Andai ada yang baik, bolehlah dibuat teladan bersama. Namun kalau ada tiris di mana-mana, jangan dikeji atau dihina. Sama-sama kita buat pedoman~

Cukup dulu. Esok mesti ada cerita lagi.

p/s: Oh!

Syukur Apa Adanya


Sekitar dua minggu lepas, ketika itu hujan rintik-rintik dan rentaknya semakin lebat. Sejak pulang dari kerja, saya masih belum makan. Begitulah selalunya.
Malam itu saya berpeluang ke Domino's Pizza di TTDI. Dalam hujan renyai yang berpanjangan itu, saya gagahkan juga untuk menapak keluar demi perut yang minta diisi.

Selepas membuat pesanan, saya duduk di tempat duduk yang disediakan. Mata saya asyik memerhatikan pekerja-pekerja Domino's Pizza yang keluar dan masuk membuat delivery yang dipesan melalui telefon. Mereka menggalas beg sandang khas yang menyimpan pizza tersebut sebelum sampai ke tangan si pemesan di rumah mereka.

Ketika itu hujan agak lebat di luar. Saya lihat makin ramai pekerja-pekerja Domino's Pizza yang keluar dan menunggang motosikal untuk membuat penghantaran ke destinasi yang ditetapkan.
Allah. Di saat hujan dan semua orang selesa untuk hanya berada di rumah, ada orang yang bekerja dan mencari rezeki dengan memenuhi permintaan orang lain. Ketika orang lain bermalas-malasan untuk keluar dan meranduk hujan, ada insan yang memilih untuk melakukannya demi sebuah tugas dan tanggungjawab!

Tiba-tiba saya menginsafi diri sendiri.
Saya punya cuti Sabtu dan Ahad (walaupun ada kalanya saya perlu hadir bekerja pada hari Sabtu tetapi itupun hanya separuh hari).
Saya hanya bekerja bermula jam 9 pagi dan pulang pada jam 5.30 petang setiap hari (walaupun ada sekali sekala perlu stay back untuk mesyuarat tetapi itupun dibayar!)
Sebaliknya, mereka ada yang perlu bekerja tanpa mengira hari dan waktu demi memenuhi keperluan orang lain. Tidak cukup bernasib baikkah saya ini?

Saya pernah merungut kepada emak dan abah serta Elis dan Nurul yang saya sedih kerana perlu bekerja pada hari Sabtu. Kini saya sangat kesal. Rungutan saya benar-benar menafikan rasa bersyukur saya kepada Allah atas apa yang Dia berikan ini.

Bermula detik itu apabila saya rasa penat dan tertekan dengan kerja, saya pasti akan teringatkan pekerja-pekerja Domino's yang meredah hujan untuk menghantar pesanan dari pelanggan tempoh hari.
Sungguh, dalam diam mereka telah mengajarkan saya erti syukur. Dalam senyum ramah, mereka telah membawa saya menyantuni nilai sebuah kehidupan. Bekerja untuk hidup dan bukan sebaliknya. Allah Maha Mengetahui bahawa rezeki yang dikurniakannNya itu adalah cukup (malah mungkin lebih) untuk kehidupan hambaNya. Kalau kurang pun, itulah bentuk ujian terhadap kita. Tetapi kita perlu yakin yang Dia takkan menguji apa yang kita tak mampu lalui.

Firman Allah bermaksud:

"Kami tidak membebani seseorang melainkan munurut kesanggupannya, dan pada sisi Kami ada suatu Kitab yang membicarakan kebenaran, dan mereka tidak dianiaya."
(Surah Al Mukminun, ayat 62)

Si penghantar pizza telah memberi pengajaran penting dalam hidup saya:
Syukur apa adanya
.
Kerana janji Allah sentiasa benar.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya. Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."
(Surah Ibrahim, ayat 7)

Sungguh orang yang bersyukur adalah golongan yang sedikit. Semoga kita dimasukkan ke dalam golongan yang sedikit itu!

p/s: Tadi membeli ikan patin dari seorang peniaga. Dia bekerja pada hari Ahad sedang saya masih bercuti! Terima kasih atas pengajaran itu.

26 November 2011


Saya sampai di rumah jam 9.30 malam semalam. Huh, memang penat. Tepat jam 5 petang saja, saya dah tak toleh ke kiri dan kanan lagi. Mesti clocked out cepat dan pulang!

***********************
Satu
Pagi ini saya perlu cepat-cepat ke majlis itu. Antara minat dan tanggungjawab, saya selesa menyatakan ia sebagai minat. Bukanlah untuk menang sangat. Tapi hanya untuk mencabar diri sendiri. Terima kasih abah yang sudi temankan Dhiya ke sana. Huuu!
Dipendekkan cerita, saya telah memenangi tempat kedua. Saya tahu abah sedikit kecewa kerana tahun lepas saya menjadi johan. Tapi nak buat macamana. Kalau dah bukan namanya rezeki, buat macamana pun tetap bukan jadi milik saya.
Lagipun kalau jadi johan lagi, saya pasti akan susah hati untuk mengatur cuti untuk ke peringkat seterusnya. Maklumlah, sekarang sudah banyak yang berbeza. Komitmen kerja perlu dipelihara juga. Maka saya redha atas apa yang Dia berikan hari ini. Memang dah terlihat akan hikmahnya kenapa saya tidak menang~

Dua
Saya ke hospital untuk melawat emak Ani yang katanya jatuh ketika membuat kerja-kerja di rumahnya pagi tadi. Tapi kami akhirnya hanya berselisih di jalanan. Tak sempat melawat pun sebab mak Ani dibenarkan balik selepas pemeriksaan. Alhamdulillah tak ada apa yang serius cuma mungkin terkejut...

Tiga
Petangnya, saya hanya berehat di rumah. Sekali sekala memanjakan diri sedemikian rupa tak salah, kan? Tolak ke tepi semua hal kerja yang memberatkan fikiran. Hari ini hari untuk berehat!

Empat
Di sebelah malam, saya dan akak 'menggila' dengan komputer barunya. Hu. Nasiblah. Laptop saya sudah tidak mampu untuk kerja-kerja berat. Jadi apa salahnya kita gasak yang muda belia tu sementara masih mampu...
Malam minggu beginilah. Abah sibuk dengan marhaban sempena kenduri pengantin yang sangat banyak sekarang ni. Balik nanti, kami akan menonton tv bersama. Itulah masa untuk kami bersua.

**********************************
Keluarga kecil, tak sesenang mana...Tapi saya gembira dan bahagia. Bukan wang ringgit yang menjadi keutamaan, sebaliknya nilai tanggungjawab yang menjadi perhitungan. Tak guna wang ringgit dan harta melimpah ruah tapi tanggungjawab antara satu sama lain terabai.

Saya sayang keluarga saya.

1 Muharram 1433


Allahurabbi...

Lorongkan hambaMu ini ke daerah yang paling diberkati. Bukakan hijab yang menutup aku dari kasihMu.

Dekatkan aku dengan rezeki dan kebaikan. Jauhkan aku dari sifat menzalimi diri sendiri apatah lagi orang lain.

Jadikan aku anak yang baik, soleh dan berilmu. Berkati ayah ibuku yang mengasuh mendidik tanpa jemu.

Temukan aku jodoh yang punya iman. Sungguh kalau dia tidak sempurna, maka sempurnakanlah imannya. Jika sempit rezeki dan peluangnya, maka cukupkanlah baginya dan bagi kami berdua.

Allah, atas namaMu...Aku ingin berubah. Menjadi seorang yang lebih baik daripada hari semalam untuk yang lebih baik daripada hari ini. Semoga aku dan seluruh Muslim di bawah taklukanMu tidak tergolong dalam kumpulan yang rugi.

Selamat tinggal Tahun 1432. Semoga Tahun 1433 memberi sejuta rahmat. Amin.

p/s: Mula berfikir tentang isu yang satu itu.

Ubatlah Duka!


Khamis, 24 November 2011.

Ini memang sebuah kesalahan. Tapi biarlah kita gantikan ia dengan keinsafan.

Saya sedar saya bukan seorang yang sempurna. Maka saya juga memang tidak layak untuk mendapat yang sempurna. Tapi jauh di sudut hati, semua manusia mengidamkan kesempurnaan termasuklah saya.

Atas kekecewaan dan kesedihan yang saya alami, saya berazam untuk merubah sesuatu. Memang untuk mengubah sesuatu yang rutin adalah sukar. Hilang sesuatu yang kita biasa ada adalah sesuatu yang janggal. Tapi apa boleh buat. Untuk mendapat yang lebih baik, kita sendiri perlu menjadi baik terlebih dahulu. Inilah namanya mujahadah. Semoga Allah menerima usaha dan jihad hati kami ini dan dimudahkan jalan untuk perjuangan seterusnya.

Saya akui silap saya juga. Saya benar-benar rasa bersalah dan berazam untuk membetulkan kesilapan ini. Saya berdoa agar Allah mudahkan niat ini untuk diterjemahkan kepada perbuatan. Allah, bantulah hambaMu ini!

Seperti memasak, janji saya agar rasanya tetap sama. Cuma apa yang berbeza adalah rencah dan langkahnya sahaja. Semoga Allah mudahkan urusan kita dalam jalan juang yang penuh cabaran ini. Sungguh, Iblis sangat benci kepada orang yang waima baru berniat untuk berbuat kebaikan. Semoga Allah tidak akan membolak-balikkan hati kita.

Setiap Muslim punya satu senjata dalam dirinya- Doa. Itu janji Allah.


Firman Allah Taala maksudnya:

"Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada Ku, nescaya akan aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina."
(Surah Ghafir, ayat 60)

Dan Dia tak pernah memungkiri akan janjiNya...Mari kita tauhidkan ayat ini. Semoga hati kita tsabat dan terus istiqamah menyerah diri padaNya.

Untuk yang mengerti, inilah luahan hati saya. Pasti rasa itu tak akan berubah. Cuma rencah dan langkahnya saja akan berbeza. Mari kita usahakan demi sebuah kehidupan yang lebih baik. Insya Allah.

Salam sayang,
Dhiya

p/s: Dari hati ke hati...

Peluang Menulis


Alhamdulillah.

Hari ini hari Rabu, saya berpeluang untuk menulis!

Sepatutnya saya perlu menghadiri mesyuarat pada jam 7.30 malam. Bayangkanlah...Kalau pukul 7.30 baru nak mula. Pukul berapa baru tamat? Atas dasar keselamatan, saya 'dilepaskan'. Tapi sepanjang hari ini memang penat saya dibuatnya. Macam-macam persediaan diperlukan. Itu dan ini semuanya perlu ready!

Di rumah, saya seorang. Hu. Seronok juga sekali sekala diberi privasi sebegini. Mereka semua entah ke mana-mana, saya tidak pasti. Yang jelas saya senang sekali sekala begitu.

Elis ke Johor petang tadi. Jadi tak adalah teman bersembang setia saya. Maka peluang yang ada mestilah digunakan sebaik mungkin, terutamanya untuk Dari Diri Dhiya~

Sms yang menakutkan

Tadi saya menerima sms dari Elis:

"Kepada sesiapa yang menggunakan highway Karak ke Gombak (dan sebaliknya) semasa hujan, diminta pandu perlahan bermula dari Karak ke Bentong (dan sebaliknya) kerana ada pihak yang khianat dengan meletakkan minyak di atas jalan raya di kawasan Sg. Dua. Petang ini sahaja terdapat 15 buah kereta berpusing dan hilang kawalan. Minta sebarkan kepada saudara dan sahabat..."

Meremang pula saya dibuatnya. Saya paling ingat kawasan Sg. Dua kerana di situlah ada cabang simpang balik ke Temerloh samada melalui Lebuhraya Pantai Timur atau melalui jalan lama.

Tiba-tiba saya jadi takut pula untuk pulang. Tak kisahlah memandu sendiri atau menaiki bas. Aduh! Semoga Allah pelihara perjalanan saya. Amin.

Kepada yang terbaca pesanan di atas, kongsikanlah dengan orang yang tersayang.

Balik kampung

Ini berita paling penting. Balik sempena cuti umum Awal Muharram, balik melihat wajah emak dan abah, balik menatap anak-anak serta balik untuk sebuah perjuangan.

Sungguh minat yang diasuh oleh emak dan abah ini sekarang telah menjadi sebahagian dari darah daging saya. Biarpun masih kekal sebagai seorang gadis yang biasa-biasa sahaja, tapi saya masih minat dengan bidang yang satu itu.

Semoga Allah memberkati emak dan abah. Ilmu bermanfaat itu akan terus-menerus menjadi nadi mereka. Amin. Terima kasih emak, terima kasih, abah!

*****************************
Malam makin lewat. Perjuangan esok entah apa yang menanti. Semoga Allah mudahkan urusan saya esok dan pada hari-hari seterusnya. Jumpa nanti!


20.11.2011


Kebetulan tarikh ini jatuh pada hari Ahad yang sangat indah. Saya bangun pada pukul 6.30 untuk menunaikan solat Subuh. Apabila pintu balkoni dikuak, terasa tenang sekali. Pasti seluruh warga kota masih enak diulit mimpi. Ada rintik renyai di luar. Memang indah sekali!

Dari semalam lagi saya berhajat memandu ke Tasik Titiwangsa untuk 'tazkirah' pagi di sana. Tapi entahlah, penyakit lama ini memang susah untuk dibuang. Walaupun laluan jalanraya pasti tidak sesak, perasaan takut masih menebal dalam diri. Itu kelemahan yang masih gagal untuk saya atasi. Allah!
Sama juga pagi ini, akhirnya selepas solat Subuh saya hanya terpaku di depan laptop yang baru sihat sambil membaca akhbar dalam talian. Kalau Elis atau Yan tahu, mesti saya akan diketawakan. Semangat bukan main, tapi tak sampai juga hajatnya untuk memandu sendiri. Entah apa gunanya Baby-K di bawah tu. (TT)

Lebih kurang pukul 7.30, saya bersiap-siap untuk bersarapan. Memandangkan saya bujang, lebih selesa membeli daripada memasak. Lagipun isu dapur di rumah ini adalah satu isu yang agak berat. Jadi saya tak mahu bebankan diri saya. Nak tahu ke mana saya mencari sesuap makanan? Ha. Saya memandu sendiri ke Kampus Kota Mega yang agak mencabar juga jalannya. (Eh, boleh pula kamu memandu, Dhiya~) Ejeklah, ejeklah. Saya tak kisah sebab kalau dah lapar, saya sanggup berbuat apa saja! Hihihi!

Setelah pulang, semua aktiviti saya hanyalah di rumah. Di saat orang lain keluar entah ke mana, saya selesa bersendirian di rumah. Cukuplah lima hari bekerja adalah hari yang sangat sibuk. Sekurang-kurangnya Sabtu dan Ahad saya tak ada yang mengganggu.

Semua baju yang hendak dipakai untuk kerja sudah siap digosok. Memang puas. Nanti tak perlu ribut-ribut di pagi hari. Boleh lepak-lepak sambil menulis blog (kut).

Petangnya saya puas membaca semua bentuk bahan bacaan di bilik ini. Hobi yang satu ini hanya terpakai di hujung minggu. Di hari lain, jangan haraplah. Sambil di luar hujan rintik-rintik, akhirnya saya terlelap juga. He. Ok lah tu. Berhibernat macam beruang kutub!

Malam ini ada yang istimewa. Tak sabar menunggu. Cepatlah, cepatlah! Walaupun esok adalah hari yang paling tak seronok (kerana hari bekerja), tapi sekurang-kurangnya malam ini saya mahukan yang lain dari yang lain. Apakah ia? Rahsia.

Jom bersiap-siap untuk solat Maghrib. Tak mahu lewat walau sesaat. Allah, mudahkan urusan kami!

p/s: Senyum leret-leret~ Oh ya, tahniah untuk yang melangsungkan perkahwinan pada hari ini.

Kemalangan Laptop.


Sejak dalam pengajian asasi di UM, saya cuma ada sebuah laptop sahaja. Tidak pernah berganti malah tidak pernah rosak (kecuali sekali, itu pun masih dalam warranty period). Walaupun cuma jenama biasa-biasa sahaja, tetapi tahan lama kerana saya akui yang saya tidak pandai sangat untuk mengubah-ubah tetapan atau apa sahaja di dalam gadjet ini.

Semalam adalah hari yang sangat menyesakkan dada. Nyawa laptop saya hampir melayang dek kelalaian dan kebodohan pendek akal orang lain.

Laptop saya itu tidak pernah mengganggu sesiapa di pinggir sudut bilik di rumah sewa. Nak dijadikan cerita, saya menjerang air masak menggunakan pemanas air di atas meja berdekatan dengan laptop itu. Lantas seorang hamba Allah ini meminta sedikit air panas saya cuma iyakan sahaja.
Sedang leka menonton tv di ruang tamu, saya dikejutkan dengan bunyi letupan dari dalam bilik. Apabila saya bergegas masuk, papan kekunci laptop saya basah kuyup digenangi air dan sekelilingnya juga basah. Rupanya air panas tadi dituang ke dalam jag kaca dan jag itu telah meletup kerana tidak tahan panas!

Gelap mata sekejap. Bingung dengan apa yang terjadi. Saya terus mengangkat laptop saya dan menutup suis serta mencabut modem mudah alih serta walkman Sony saya yang masih dicas pada laptop tersebut. Apabila dibalikkan, air menitik-nitik keluar dari celah-celah butang kekunci. .Saya kaget. Tujuh tahun membelanya, tidak pernah terjadi sebegitu rupa. Telefon bimbit saya juga kebasahan hingga terpaksa dibuka baterinya dan dianginkan di bawah kipas. Tidak!

Saya tak pasti untuk marah atau apa. Mungkin juga saya silap kerana menjerang air di dalam bilik. Tetapi apa yang saya ingin pertahankan, itu bukanlah kali pertama saya berbuat demikian. Selama ini pun begitulah juga ia. Apa yang saya kesalkan ialah saya tidak tahu dan tidak perasan yang dia telah menggunakan jag kaca untuk menuang air panas itu. Rasanya semua maklum yang kebanyakan barang kaca tidak tahan panas.

Masih terkejut, saya biarkan laptop saya kering di ruang tamu. Selepas solat Maghrib, saya cuba untuk membukanya. Sekali lagi saya susah hati kerana ia gagal untuk berfungsi seperti sedia kala. Nak marah tak boleh, nak menangis pun tak boleh. Saya hanya diam mengunci diri di dalam bilik. Daripada saya berbuat sesuatu perkara yang tidak bijak, lebih baik saya diam. Beberapa kali saya mencuba, tetapi masih gagal.
Di saat itu saya cuma pasrah. Kalau ditakdirkan rosak, tak mengapalah. Sudah tiba masanya ia berehat dari berkhidmat. Tujuh tahun bukan tempoh yang singkat. Di saat rakan-rakan saya sudah punya laptop kedua dan ketiga, saya masih setia dengannya walaupun sudah banyak yang usang di sana sini!

Malam tadi saya tidur dengan hati yang gundah. Sekejap-sekejap saya terjaga dan cuba untuk menghidupkan laptop saya- Tetapi masih gagal. Tak mengapalah. Itu habuan saya.

Selesai solat Subuh pagi ini, saya mencuba sekali lagi. Alhamdulillah semuanya ok. Setakat entri ini ditulis, semuanya ok kecuali ada sedikit kesan yang tidak enak dipandang pada permukaan skrin laptop saya. Nanti pasti hilang, Insya Allah.

Kenapa saya sangat emosi dengan laptop yang satu ini? Kerana inilah hadiah paling mahal pemberian emak dan abah selepas saya mendapat keputusan peperiksaan SPM dan ingin melangkah ke pengajian asasi UM. Inilah barang paling berat yang saya selalu usung setiap kali pulang ke kampung bercuti. Saya tidak kisah untuk tidak membewa beg balik kampung yang besar, asalkan saya tidak tinggal membawa laptop kesayangan ini. Dengannya jugalah saya selalu meneroka hal ehwal semasa negara serta global di saat saya mula perlahan-lahan meninggalkan surat khabar versi konvensional. Paling penting, dengannya jugalah saya berkarya, menulis, dan mengarang baris-baris ayat untuk diluahkan dalam Dari Diri Dhiya.

Apa yang terjadi, sudahlah. Cuma saya sangat berharap untuk berpindah ke sebuah rumah dan bilik baru yang lebih selesa dan kemas dari sekarang. Saya juga perlukan sedikit privasi untuk terus menulis. Kadangkala bersendirian itu menjadikan saya lebih bijak untuk berfikir di luar landasan. Erm...

Untuk lappy kesayangan, jangan buat Dhiya susah hati lagi, ya!

p/s: Saya maafkan kamu. ..Sendirian di sini. Tak ada tempat mengadu. Seorang jauh nun di Kedah, seorang lagi nun jauh di Pulau Pinang. Oh!

Tak Tertulis


Tak tertulis.

Banyak perkara yang berlaku sepanjang tempoh senyap saya ini. Seperti biasa, komitmen pada tugas menjadi sebab utama saya gagal untuk konsisten dalam menulis. Banyak yang tertinggal, banyak yang terpaksa ditinggalkan. Ketika inilah soal keutamaan menjadi isu!

Alhamdulillah di hening malam ini dapat juga saya menulis walau sedikit. Paling tidak terlepas juga gian mengarang ayat. Dari Diri Dhiya sungguh dekat di hati saya. Maka saya akan cuba sedaya upaya untuk menaruh pengisian di dalamnya.

Insya Allah esok akan datang penulisan lain lagi. Maaf kerana terpaksa membiarkan blog ini lesu dan hanya meriah pada musimnya. Untuk yang membaca- Terima kasih.

Salam sayang,
Dhiya Dahlia

Kenduri Di Desa


Lama entri ni tertangguh. Asyik bekerja, bimbang betul kalau memori ini tak tertulis langsung.

Ahad lepas bersamaan dengan 13 November 2011, keluarga kami telah mengadakan satu kenduri kecil bersempena dengan ibadah korban yang dibuat pada minggu sebelumnya. Alhamdulillah kali ini rezeki akak dan anak-anaknya untuk ibadah yang satu itu.

Agak memeningkan kepala juga kerana Sabtu 12 November itu saya bekerja malah lebih teruk terpaksa menunggu sehingga petang. Ralat juga saya dibuatnya. Mana hendak pulang dari tempat kerja, mana hendak ke stesen bas mengejar diri menuju ke desa. Saya biasalah, air mata cepat tumpah apabila berkait hal keluarga.
Tekad dengan niat, saya memberanikan diri untuk berbicara dengan senior saya dan Alhamdulillah saya dilepaskan awal. (Pukul satu petang masih awal kan?) Itu pun bos di atas seperti tidak puas hati dengan saya. Ah. Tak mahu pandang belakang lagi. Saya angkat beg, clocked out dan terus pulang!
Perjalanan saya benar-benar dimudahkan. Sedari meredah lautan manusia yang ramai di kawasan Masjid Jamek hinggalah membeli tiket di stesen bas, semuanya lancar tanpa masalah.

Saya tiba di rumah jam 6 petang Sabtu. Kanopi sudah terpasang di halaman rumah. Ruang dalam rumah sudah lapang dan siap dibentang tikar. Dapur sudah penuh dengan bahan-bahan memasak. Oh. Seingat saya, kali terakhir suasana seperti ini adalah sewaktu majlis perkahwinan akak 10 tahun yang lalu. Saya rindu, dan air mata pasti merintik lagi!
Biha lah orang yang paling teruja. Katanya ada pengantin dalam rumah ni. Padanya, asal ada kenduri sedemikian maka kenduri pengantinlah ia.

--Uh anak kecil. Kalau kamu mengerti apa isi kehidupan ini, pasti kamu akan tahu apa nilai perjuangan ibumu--

Malamnya saya menolong emak membentang tikar di luar rumah. Budaya rewang masih ada di sini. Jadi kami perlu menyediakan tempat untuk jiran tetangga yang datang menolong dan duduk sambil membuat kerja-kerja seperti mengupas bawang, kentang dan bahan masakan lain.
Syukurnya, cuaca sangat elok tanpa tanda-tanda akan hujan. Malam itu banyak memori yang hinggap dalam fikiran saya. Hanya saya, mungkin emak juga.

**********************
Ahad 13 November 2011

Rumah ini didatangi jirang seawal 7.30 pagi. Inilah yang paling mahal dalam hidup bersama di kawasan kejiranan kecil ini. Nilai kebersamaan masih ada malah sangat teguh menjadi paksi hidup bermasyarakat. Di kota mega bagaimana? Masih adakah nilai ini?

Mak Cik Ani: "Dhiya, berapa orang rombongan nak datang ni?"
Saya: "Rombongan apa?"
Mak Cik Ani: "Eh budak ni, mak cik tanya kamu. Kenapa kamu tanya makcik balik?
Saya: "Betullah...Dhiya tak faham ni."
Mak Cik Ani: "Iyalah...Berapa orang rombongan yang datang untuk majlis bertunang kamu ni?"

Saya tak tahu ini jenaka atau apa. Tapi saya sangat terkejut kalau jiran-jiran tidak maklum akan tujuan kenduri yang diadakan hari ini. Boleh cakap apa jenis kenduri pun, tapi yang pasti bukan kenduri bertunang saya. Mak Cik Ani kelihatan sangat 'nakal' dengan soalan yang diajukannya itu. Emak pula selamba sambil menahan senyum simpulnya. Oh? Dah dekat ke?

Matahari mula naik. Jemputan qariah masjid mula hadir dan majlis dimulakan dengan tahlil ringkas. Selesai semuanya, jamuan pun bermula. Seronok melihat tetamu menjamah makanan yang ada. Rezeki yang ada kita kongsi bersama, Insya Allah.

Petangnya setelah selesai majlis, saya menolong abah mengemas halaman rumah. Uuu, boleh tahan penatnya. Tapi puas sebab melihat jiran-jiran datang dan pulang dengan buah tangan yang dikirim. Lauk pauk juga habis untuk dijamu. Jadi saya dan abah tak perlu fikir banyak sangat- Kami hanya membasuh periuk yang kosong!

Jam 6 petang, saya bersiap-siap untuk pulang ke KL. Ya, saya pulang pada hari yang sama kerana esoknya (Isnin) adalah hari bekerja. Tiada pilihan lain, saya pulang ke kota mega dengan memandu Baby-K saya. Itu lebih baik daripada membeli tiket bas dan terpaksa pulang ketika majlis belum selesai. Terima kasih abah kerana percaya dan sudi 'melepaskan' Dhiya untuk kali keempat memandu ke KL!

Saya tiba di KL di saat hampir seluruh warganya sudah nyenyak tidur. Saya pun bersiap ala kadar untuk bekerja esok, dan terus tidur kepenatan. Tak sempat fikir apa-apa pun melainkan syukur kerana apa yang dirancang baik semuanya.

Maaf kepada rakan-rakan yang tidak terjemput. Ada yang dijemput, tapi tak boleh hadir pula. Nak buat macamana kan...Insya Allah ada rezeki lain nanti, kita akan berkumpul lagi. Terima kasih sekali lagi jiran-jiran yang membantu. Semoga ikatan kejirananan kita utuh sampai bila-bila. Benarlah, desa permai itu memang tempat yang mendamaikan!

p/s: Maaflah, masih belum ada gambar dalam Dari Diri Dhiya ni...