Warna dan Warni

Saya cuba menjadi positif.

Atas apa yang berlaku ke atas saya, ia bukan semuanya indah dan menggembirakan. Saya juga pernah kecewa!

Tanpa itu, dunia saya hanya ada satu warna. Tidak ada warna warninya!

"Dhiya, selalu optimis ok! Allah takkan uji Dhiya kalau Dhiya tak mampu hadapinya"
Memetik kata-kata seorang kakak yang dihormati.

Mungkin ada benarnya, dan memang ada benarnya!

Kalau hanya ada satu warna dalam hidup, alangkah bosannya~
SUKA beli kuih warna warni ni di pasar malam berhampiran rumah. Kerana warna warni lah saya SUKA!

Allah, berikan yang terbaik dalam hidup kami!

p/s: Teringat memori yang penuh warna warni. Kadang ketawa, kadang kecewa. Ya, saya pernah melalui semuanya!

Khamis di NICU

Alhamdulillah. Hari ini sudah hari Khamis. Oh, paling penting...Hari ini sudah 31 Mac 2011! Ya Allah, benarlah waktu itu berputar pantas. Esok April akan menjengah meninggalkan satu demi satu kenangan di belakang.

Hari ini seperti biasa, cumanya saya sedikit lewat. Jadi tempat letak kereta yang biasa saya landing dah diambil orang. Terpaksalah saya menjemurkan Baby di bawah panas matahari. Oh!
Tugas saya lama di NICU hari ini. Sungguh, saya sangat geram melihat bayi-bayi comel yang masih merah di dalam baby cot masing-masing. Saya cemburu! Saya nak barang seorang~!
Saya tak ada baby sendiri lagi, jadi pinjam-pinjam orang lain punya~

Hafiz dengan mudah dapat menelah perasaan saya.
"Cepatlah kahwin, kak Dhiya". Dia mengusik
"Ah...Mana boleh!" Saya termalu di situ. (Ya, Dhiya seorang wanita yang belum berkahwin ok~)

Lainnya saya cuma 'bermalas-malas' dalam pejabat. Saya seronok bersama Nor dan Kak Wani. Hanya mereka warga wanita di situ. Maka saya sangat menghargai mereka!

Esok? Esok Jumaat! Ya Allah, limpahi saya dan keluarga serta insan kesayangan saya dengan rahmat dan keberkatan hari Jumaat. Semoga kami tergolong dalam hambaMu yang sentiasa muhasabah diri dan yakin dengan janjiMu. Amin...

Satu purnama

Wah...

Dalam pada berperang dengan perasaan, rupanya saya sudah berjaya menamatkan sebulan lagi program itu. Syukur ya Allah. Pantasnya masa berlalu meninggalkan kenangan!
Sekarang pun semuanya ok, cuma apabila rakan-rakan bertanya saya di mana sekarang, saya agak culas untuk menjawab dan mendedahkan lokasi sebenar. Saya perlukan sedikit privasi (mungkin).

Untuk pengetahuan, saya sedang terikat dengan dengan kontrak sebuah badan besar di bawah Kerajaan Malaysia umumnya di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Kewangan. Bunyi macam hebat huh? Er...Tidaklah sangat sebenarnya. Ini adalah bulan pertama saya berada dalam industri. Betul, saya tak tipu. Nanti saya kongsikan lagi secara terperinci ok~!

Satu purnama yang berlalu benar-benar membawa saya kepada pengaplikasian kemahiran komunikasi yang dipelajari dari Mr. Sofian. Ya, lama benar nama itu tak disebut. Dia yang bersifat kebapaan selalu menjadi inspirasi dalam hidup saya sejak 4 bulan yang lepas. Mr. Sofian, I wish to share every single thing about the program with you!

Alhmadulillah semuanya ok. Satu purnama di sini, saya belajar banyak perkara yang bukan hanya tentang hidup seorang jurutera, malah kehidupan orang lain dan diinsafi dengan kematian (kadangkalanya). Insya Allah, kini saya lebih menghargai orang di sekeliling saya, saya lebih menghargai orang yang jauh. Paling penting, saya akan tetap mahu terus bersyukur dan tidak merungut!

Untuk kesayangan yang setia di sisi saya: keluarga dan teman, saya sayangkan kamu. Berapa purnama pun semua ini, anda tetap di hati saya. Tak pernah berubah.

p/s: Rindu berbisik.

Suka!

Saya sedar blog ini masih baru. Tapi saya masih dengan habit dan minat lama: Menulis! Ya, saya suka menulis! Apabila wujudnya dunia penulisan maya Blogger ini, saya tidak mengambil masa yang panjang untuk mengambil bahagian. Malah hingga ke hari ini, ia menjadi sebahagian dari hidup saya.

Walaupun pernah dikhianati ketika di berblog suatu masa dulu, saya tidak patah hati. Kerana minat, saya terus menulis! Saya tak kisah~


Terima kasih
terengganu creative yang sudi memasukkan Dari Diri Dhiya di ruang promosinya. Dhiya suka! Dhiya suka! Saya tak ingat bagaimana saya boleh reach blog ini. Tapi pertama kali saya ke sana, saya suka idea dan kreativitinya. Benarlah: Made mind, make money!.
Kenapa saya suka menulis blog? Skop jawapannya luas. Yang pasti, saya suka menulis dan bermain dengan bahasa dan penulisan. Di samping berkongsi cerita , saya suka membaca penulisan blogger lain dan kami berkawan secara maya.

Walaupun tak pernah mengenali antara satu sama lain, tapi kami bersatu atas idea dan minat yang sama.

Buat mereka yang hanya berani menjadi pengkritik anonymous dan berkata buruk kepada orang lain, cubalah ceburkan diri dalam dunia ini. Nanti anda akan tahu asam garamnya dunia berblog ini. Betul, cubalah!

Alhamdulillah, sempat pun...

Syukurnya!

Atas terlalu banyak dilema dan pilihan yang dihadapi sejak malam tadi, saya yakin ini adalah lorongan Allah. Dia yang telah memudahkan segala urusan saya, sejak dari membuat keputusan hinggalah kepada menyiapkan semuanya.

Saya akhirnya membuat keputusan untuk melakukannya. Terima kasih akak yang banyak membantu saya. Dia yang membawa saya berjumpa dengan Dr. Wadi dan dia yang memandu saya ke sana ke sini hinggalah semuanya selesai. Terima kasih...Terima kasih, akak!

Saya tanya pada encik SkyNet yang menguruskan penghantaran surat kecemasan saya itu. Encik berkenaan cakap Insya Allah akan sampai dalam esok (31 Oktober) pagi. Wah. Sempat juga sedangkan esoklah tarikh tutupnya! Semoga usaha saya ini dipandang sebagai satu langkah perjuangan yang menjanjikan hasil yang terbaik. Amin.

Sebelum balik ke rumah, kami menyinggah di gerai ayam golek kegemaran kami. Uhu! Sengaja tak mau letak gambar. Nanti ada yang terliur! lalala~

p/s: Lega sangat. Sekurang-kurangnya saya telah meletakkan usaha!


Terkini 30 Mac, 8 malam:

Status di laman web rasmi SkyNet.
Saya tak faham sangat. Tapi menurut katanya esok akan sampai. Jadi tak kisah la apa pun statusnya hari ini, petang ini dan malam ini. janji esok: DELIVERED. Huu!

Terkini 31 Mac, 1 petang:

Dah sampai ke destinasi. Semoga jelas dalam pertimbangan mereka.

Sempat tak?

Hari ini seperti biasa. Apa yang biasa? Hehu~ Bangun pagi macam biasa, bersiap-siap dan memandu ke hospital. Audit masih lagi berlangsung. Jadi saya sangat tak berminat untuk berlegar-legar di dalam pejabat. Saya sanggup keluar cari kerja!

Semasa waktu rehat tengahari, saya berpeluang membuka isi perut email saya. Ya Allah, saya ada terima satu peluang peningkatan kerjaya dan tarikh tutupnya adalah pada 31 Mac 2011! Waaa, menyesalnya saya tak menyemak email setiap hari!

Kawan-kawan, saya nak tanya...Sempat tak kalau saya siapkan semua dan hantar esok (30 Mac 2011)? Saya perlu grab peluang ini. Kalau saya tak cuba, saya tak tahu saya dapat atau tidak.

p/s: Ligat! Sibuk! Penat!

Dilema Kerjaya

Tidak dinafikan, kita tidak boleh dapat semua perkara yang diimpikan. Ada yang diperolehi dengan mudah, ada yang menuntut beribu kali usaha, malah ada juga yang tidak diperolehi langsung! Itulah kehidupan!

Ini terjadi dalam dunia kerjaya saya. Saya baru bergraduat dari sebuah IPTA di Kuala Lumpur dalam bidang kejuruteraan. Hingga detik ini, saya masih belum berpuas hati dengan kedudukan kerjaya saya. Secara peribadinya, saya masih gagal untuk mencapai target yang diletakkan!

Benar, orang disekeliling akan terus menyuruh saya bersyukur. Saya sedar akan tanggungjawab untuk bersyukur itu. Saya tahu. Sekurang-kurangnya nasib saya lebih baik daripada orang lain. Tetapi saya ada cita-cita dan matlamat saya sendiri yang perlu dicapai. Saya punya emak dan abah yang mengharapkan kebanggaan dari saya. Saya juga mahu mereka bangga punya anak seperti saya. Walaupun manja nakal, tetapi saya anak yang kuat dan boleh berjaya!

Saya selalu berkongsi dilema ini dengan orang yang rapat dengan saya. Dia tak pernah putus memberi semangat dan kata-kata perangsang untuk saya bertahan dan terus kuat semangat. Kadangkala saya sangat terpujuk dengan nasihat darinya. Adakalanya pula saya rasa segala apa yang keluar dari mulutnya sama sahaja dengan apa yang orang lain katakan. Oh kasihan dia...

Mungkin benar...Berapa banyak pesta kerjaya yang saya hadiri, mungkin rezeki saya bukan di situ.
Oh saya tak terlibat dengan mana-mana parti politik ok. Saya sangat neutral dalam menulis blog. Saya cuma ke sini kerana kebetulan sambil menyahut seruan kerajaan, tapi malangnya sangat tak membantu. Kalau nak mencari eksekutif yang punya pengalaman lebih dari 5 tahun, sila jangan iklankan lebat-lebat di kalangan fresh graduate seperti kami. Kasihan kami!

Pasti Allah sedang melorongkan saya kepada satu peluang yang benar-benar sesuai dengan keupayaan saya. Insya Allah.

Tapi kan...Kerja saya sekarang pun tak kurang hebatnya. Cuma saya canggung berada di kalangan berbelas-belas jurutera lain yang semunya lelaki. Itu bukan saya! Waaaa!

Allah, kuatkan semangat saya~ (^^)

Kota Mega


Alhamdulillah. Selamat pulang dari hospital sebentar tadi. Seronoknya duduk di rumah! Weeehu!

Mesti yang agak keliru dengan saya sekarang kan? Lokasi sebenar yang entah di mana-mana. Memang saya menetap di Kota Mega, tapi untuk beberapa ketika ini saya sedang di rumah emak dan abah atas urusan peribadi. Kadangkala (selalunya) hujung minggu saya akan pulang ke Kota Mega.

Alhamdulillah Sabtu lepas saya berpeluang ke Kota Mega. Dalam sekelip mata (kononnya) saya selamat tiba di rumah sewa dalam pukul 8.00 malam. Sempatlah saya berdiri di koridor dan melihat secara langsung bangunan KLCC mematikan seluruh lampu bangunannya sempena Earth Hour 2011. He~! Ok lah tu kan?

Malamnya tidak ada apa-apa aktiviti melainkan tidur, tidur dan tidur. Urusan saya bermula esoknya (Ahad).

Pagi-pagi lagi sudah 'bergaduh' dengan orang yang berjanji dengan saya tu. Haih! Tapi gaduh macamana pun, akhirnya kami dapat juga ke destinasi tujuan kami. Ya, ini semua hal dan urusan kerja kami. Tidak ada yang lain.

Selesai semuanya, kami menghadiahi diri sendiri dengan menu makan tengahari yang agak istimewa. Kami ke restoran makanan Arab di Ampang. Er...Siapa boleh agak?
Hehe~ Saya dibawa ke Restoran Wadi Hadramawt di Ampang. Mula-mula tak sudi la nak masuk sebab nampak ekslusif sangat. Tapi mengenangkan peluang ini jarang-jarang diperolehi, apa salahnya saya mencuba? Betul tak?
Ha ambil...Siap ada alamat dan nombor telefon lagi~

Tapi kan, hari itu kami agak malang. Layanan sedikit tak memuaskan. Dah duduk dekat 30 minit pun, tapi masih tak dapat apa. Uh! Tapi selepas pujuk demi pujuk, akhirnya saya makan tak ingat dunia juga~

Sebelum balik ke rumah mak abah, saya belikan ini untuk seluruh isi rumah. Ha...makan la sampai muak. Haha!
Yummy Big Apple!
Untuk kamu: Terima kasih!

Tak terucap

Terima kasih yang tak terucap...

Saya bukanlah yang terbaik. Saya juga punya perasaan ini yang gagal ditegah. Semuanya kerana saya manusia biasa!
Gambar yang diambil ketika mula-mula di Zoo Negara, sekitar tahun 2008, tahun kedua pengajian kejuruteraan saya. (rindu ok!)

Semoga ada yang terbaik untuk kita. Amin...

p/s: Dhiya jiwang??? Oh sejak bila?

Siaran tertunda

Salam wbt.

Rakan-rakan pembaca, saya minta maaf kerana tidak menulis sepanjang malam semalam dan sepanjang hari ini (Ahad). Saya tidak mendapat capaian internet kerana saya berada di Kota Mega atas urusan kerja.
Saya bertolak semalam petang, tidur di sana untuk semalaman dan pulang semula pada jam 5 petang tadi.

Urusan kerja yang bagaimana tu? Haa...Nanti saya akan kongsikan lagi. Walaupun cuma semalaman, tapi banyak yang saya nak ceritakan.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada yang sudi datang dan meminta izin mak dan abah untuk menjemput saya ke Kuala Lumpur. Terima kasih. Terima kasih. Saya sangat menghargainya.

Esok kerja seperti biasa, malah akan ada audit di jabatan saya. Owh hooo! Tolong la banyak isu esok. Saya tak mahu berada di pejabat!

p/s: Earth Hour, Career Fair, Wadi Hadramawt dan banyak lagi! Nanti saya kongsikan ok!

Musim durian

Sekarang di desa permai ini memang tengah musim durian. Dulu memang saya tak sedar. Tapi sebulan yang lepas, ketika memandu pulang ke rumah emak dan abah, saya terlihat banyak gerai-gerai menjual buah durian di tepi-tepi jalan kampung.

Di rumah abah sendiri pun, pokok di tepi rumah ni tengah seronok berbunga sekarang. Paling menyejukkan hati, bunga-bunga durian yang gugur akan mengeluarkan bau wangi terutamanya di waktu pagi. Memang seronok dan indah berada di desa! O yeah!
Semalam ketika balik dari hospital, saya singgah di pasar malam. Lantaklah berjalan sendiri nampak macam orang tak betul pun, tapi saya gembira. Momen ini jarang-jarang sekali saya kecapi. Di celah-celah orang ramai, saya dah dapat menghidu bau durian. Hu!
'Ada orang berjual durian!' Saya berbisik dalam hati.
Niat di hati ingin dibeli dan dibawa balik untuk isi rumah ini. Tapi apabila datang hampir, saya lihat harga sekilo agak mahal dari yang biasa. Saya pun melangkah sambil makan hati. Sedih tak dapat makan durian oooo~

Ketika di rumah selesai azan Maghrib, saya mendengar suara orang memberi salam. Apabila pintu dibuka:
" Ni Mak Itam bawa buah durian untuk kamu" Mak Itam, jiran depan rumah saya berkata sambil meletakkan dua biji buah durian di muka pintu.
"Ya Allah~! Mak Itam ni macam tau-tau je Dhiya teringin nak makan durian. Terima kasih ye!"
"Alah...Benda ada. Kita kongsi la sama-sama. Tapi tak menjadi sangat...Tak banyak, sebab tu Mak Itam hantar Maghrib gelap ni. Nanti orang nampak ada yang terasa pula."
Waaaa...Ini yang seronok hidup bermasyarakat. Walaupun sedikit, tetap mahu dikongsikan dengan jiran-jiran!
Dua tahun yang lepas, abah sendiri dimurahkan rezeki apabila hampir semua pokok durian miliknya mengeluarkan hasil. Setiap hati abah akan mengutip buah durian pada waktu pagi dan petang. Hasilnya pula bukan sedikit. Empat-lima bakul dalam sehari!
Habis jiran-jiran merasa, tapi durian abah masih banyak sehingga abah menyuruh saya mengajak kawan-kawan baik di universiti untuk datang dan makan durian di sini. Tak cukup makan, abah bagi bawa balik lagi. Punyalah banyak sampai penuh satu kereta Kembara tu. Haih!

Rindu. Rindu musim durian di rumah abah. Semoga tahun ini murah rezeki lagi!

Kepenatan

Bismillahirrahmanirrahim

Saya sampai di rumah tepat jam 6:45 petang. Sedih sungguh melihat burung-burung sudah mula pulang ke sarang sedang saya tak dapat mendengar kicaunya di pagi hari.
Tapi saya tetap bersyukur, kerana masih bernyawa dan menghirup udara serta nikmat Islam dan Iman yang sangat membahagiakan ini. Syukur Ya Allah...

Bagi saya, lantaklah tak makan malam atau menonton televisyen pun asalkan dapat merehatkan badan yang penat ini. Kasihan saya...Kasihan!Ya, saya sangat penat!

Lagi pula hari ini banyak sangat isu yang diterima. Luar biasa aktifnya!Lebih 'malang', Isnin dan Selasa depan akan diadakan audit. Jadi sibuklah saluruh warga jabatan kami mengemas itu dan ini. Di samping isu-isu yang menuntut kami bergerak, saya juga bertanggungjawab mengemaskini bahagian perpustakaan bersama Nor. Habis semua jenis buku saya label. Lantak lah~

Untuk malam ini, mungkin saya akan collapse awal. Memang penat satu badan. Ya Allah...Kuatkan semangat saya untuk hari-hari yang akan datang!
Berapa banyak pun halangan di depan, saya akan laluinya dengan semangat positif dan optimis.

Benar saya penat, tapi saya tak pernah mengalah!

p/s: Tak jadi penat apabila melihat seluruh ruang dan isi rumah ini. Benarlah...Baiti, Jannati (Rumahku ,Syurgaku!)

Allah, peliharakanlah mereka!

Allah...

Mohon peliharakan emak dan abah saya yang paling banyak memberi kekuatan pada saya. Mereka berkorban banyak perkara untuk menjadikan seorang 'saya' hari ini.

Allah...

Walaupun ini selalu gagal terucap di lidah, berikan ilham pada mereka...Supaya mereka tahu, saya sangat menyayangi dan mengasihi mereka. Doa saya selalu dan tidak pernah putus untuk mereka. Ampunkan dosa mereka, kasihi mereka, berkati usia mereka.

Allah...

Jadikan saya anak yang tahu mengenang jasa. Tak terbalas wang ringgit dan keringat yang dicurahkan mereka. Tetapi cukuplah jadikan saya seorang anak yang baik dan berbudi bahasa. Saya sedar saya bukan yang terbaik. Tapi saya selalu berazam untuk menjadi yang terbaik!

Allah...

Ilhamkan pada mereka...Kasih dan sayang ini hanya untuk mereka.

Mesyuarat tingkap

Tadi semasa makan tengahari bersama Kak Wani dan Nor (dengan penuh perhatian), akak telah menelefon saya. Katanya sada satu mesyuarat yang 'wajib' dihadiri. Akak dah cuba untuk ambil cuti, tapi malangnya tak diluluskan.
Habis? Nak suruh saya?
Saya janji dengan akak:' Nanti lah Dhiya fikirkan balik. Kita bincang di rumah nanti'

Baru sebelah kaki masuk ke rumah, abah bagitau yang ada seseorang orang penting dalam mesyuarat tu minta saya hadir. Eh? Kenapa Dhiya?
Saya tak respon depan abah. Saya marah, dan tak mahu tunjuk atau lepaskannya depan abah. Abah tak salah.

Yang saya kesalkan, mereka mahu orang lain hadir ke mesyuarat tu, tapi kenapa ia diadakan pada hari Jumaat? Bukankah Jumaat umumnya orang ramai bekerja? Habis kalau suruh saya datang, saya perlu ambil cuti la? Orang lain sanggup tak untuk ambil cuti juga? Sila jawab~
Kalau buat hari Sabtu kan berbaloi. Memang tak ada sebab untuk tidak hadir melainkan memang berniat tidak akan hadir.
Inilah yang saya kecewakan dalam organisasi ini. Baru kecil tapak tangan, tapi lagak besar tak padan dengan badan.

Saya tak boleh ubah apa-apa. Saya bekerja esok. Maka memang saya berniat untuk tidak hadir ke mesyuarat tingkap itu. Selama ini pun saya tidak pernah terlibat dengan sebarang aktiviti organisasi tersebut. Jadi apa? So what?

Maaf akak, maaf abah. Dhiya tak boleh hadir dan mengambil bahagian.

Kerja dan Pen

Sejak berada di Jabatan BME ini, saya sudah beberapa kali kehilangan pen. Haih!
Teringat: Pensil merangkap pen saya semasa di tahun pertama pengajian universiti

Patutlah baju staf telah disediakan poket- supaya pen mereka tak boleh hilang. Tapi saya? Selalu tercicir sana sini. Akhirnya declare hilang je.
Masuk minggu ni, dah tiga kali saya ganti pen baru. Huwaa!

Nampak gayanya fountain pen kesayangan saya mesti diikat pada tali dan digantung di leher!

p/s: Pen merah, pen biru!

Terkini 25 Mac 2010:
Pen pink saya tertinggal di dewan bedah. Encik Azuan!!! Nampaknya setiap minggu kena ganti pen la saya nih~

Keputusan SPM 2010

Khas untuk tatapan adik-adik murid saya, bekas calon SPM SMKJP tahun 2010.

Alhamdulillah hari ini keputusan SPM telah diumumkan. Apa yang ada dalam fikiran saya adalah anda. Ya, anda semua! Pengalaman menjadi guru dan terlibat dengan P&P pelajar Tingkatan 5 sangat mendekatkan saya dengan anda semua. Ianya merupakan pengalaman terindah dalam hidup saya.

Atas apa yang anda perolehi hari ini, ketahuilah...itu semua adalah hasil tuaian yang kita semua usahakan 3 bulan lepas. Allah telah menetapkannya sebagai setimpal dengan usaha yang diletakkan. Yakinlah...Gembira, puas, sedih atau kecewa kita hari ini adalah ujian dariNya. Banyak A yang dituai bukan jaminan untuk kita kekal cemerlang tanpa usaha. Sedikit A yang terkumpul bukan tandanya kita tidak bijak, cuma Allah mahu melihat lebihnya usaha kita! (Masih ingat kisah kawan saya yang sedikit A dalam SPM, tetapi hari ini dia di puncak sebagai seorang doktor perubatan?)

Untuk adik-adik yang disayangi, saya juga pernah merasai kecemerlangan malah pernah menghadapi kegagalan. Tapi berkat orang di sekeliling, tangis gembira dan air mata kecewa saya tidak pernah lama. Ada satu sifat yang saya adaptasikan dari semangat mereka iaitu OPTIMIS. Kita cemerlang bukan maknanya kita tidak akan gagal nanti. (fikirkan risiko)
Kita gagal maknanya kita telah belajar sesuatu dan itu tak akan diulangi lagi. Perbaiki diri! (fikirkan peluang!)

Oh...Saya tak cukup bagus dalam memberi nasihat dan motivasi. Tapi saya cuba menyelami satu demi satu rasa yang ada dalam diri anda semua. Yakinlah, Allah Maha Tahu atas apa yang diberikan kepada anda hari ini. Jangan putus mengucapkan syukur kepadaNya. Semoga langkah seterusnya menjadi langkah yang lebih baik.

Sekian dulu. Akhir kata:

Yang cemerlang: Tahniah, kekalkan prestasi
Yang kurang berpuas hati: Perbaiki diri, teruskan melangkah dan jangan putus asa!

Kita kan geng!!!

p/s: Teringat la zaman masuk kelas korang. Best betul masa tu!

Separuh

Ya Allah...Syukur Alhamdulillah.

Saya ke hospital seperti biasa hari ini. Mesyuarat pagi juga ringkas dan padat. Dapatlah saya mencuri sedikit masa membaca akhbar dalam talian. (Dhiya ini manusia yang 'lemas' kalau tak dapat baca surat khabar di awal pagi!)

Pagi-pagi lagi sudah ke ICU kerana ada isu di sana. Yeay hari ini saya ke sana sendiri. Nampaknya bos dah mula percaya dan lepas tali. Hikhik! (terima kasih, bos!)

Menuju tengahari, saya mula rasa sesuatu yang tak kena dengan diri saya. Saya mula tak larat. Duduk lama-lama dalam pejabat pun semua orang tanya 'kenapa'. Muka saya dah pucat dan tangan pun sejuk. Ini tak boleh jadi. Saya tahu sebabnya. Tanpa lengah-lengah, saya terpaksa minta izin dari bos untuk quit awal hari ni.Separuh hari ye bos! Lantaklah kalau perlu memandu perlahan-lahan pun untuk pulang, janji saya tak berlama-lama di situ.

Sampai di rumah, saya collapse tak ingat apa-apa lagi. Maaf. Saya sakit.

p/s: Banyaknya nak tulis. Ya Allah, berikan saya kesempatan!

Adik-adikku, Insya Allah Boleh!

Mulanya saya tidak menyedari akan rancangan ini. Tetapi setiap petang selepas balik dari hospital, saya selalu lihat emak menonton rancangan ini. Memandangkan tv yang ditonton itu pula ada di dapur, saya selalu makan malam sambil menontonnya bersama emak.

Ianya sebuah rancangan realiti yang mengetengahkan bakat adik-adik kecil 10 hingga 12 tahun dalam bidang pidato keagamaan. Selain petah bercakap, adik-adik ini juga berkebolehan dalam mengalunkan azan, berzanji dan ayat-ayat Al Quran dengan taranum yang baik sekali.

Isnin lepas adalah pertandingan akhirnya. Diadakan di PICC, ramai VVIP yang hadir. Baguslah. Semoga mereka sedar yang anak-anak kita bukan saja pandai berjoget terkinja-kinja seperti dalam rancangan Idola Kecil tu, tapi kita juga punya aset ulama dan ilmuwan pelapis negara kelak. Inilah sebenarnya PERMATA negara,agama dan bangsa.

Saya sangat mengkagumi kebolehan adik-adik ini. Mana yang boleh bertaranum, yang boleh berzanji. Saya rasa sangat tercabar. Apa yang mereka miliki pada usia itu pernah saya miliki, tetapi pada usia belasan tahun...Malangnya saya malu untuk menyerlah. Itu kerugian saya.

Tak apalah. Sekarang saya dah pun dewasa. Semoga zuriat saya kelak lahir sempurna dan boleh menjadi pemidato dan ilmuan Islam yang bukan saja boleh bercakap, tetapi boleh membawa orang lain ke arah kebaikan.
Saya juga berfikir-fikir...Formula apakah yang ibu bapa mereka gunakan hingga lahir anak sehebat ini? Akal dalam saya tanpa berlengah menjawab: Ibu bapa sendiri perlu mendekatkan diri pada Allah, barulah anak yang lahir itu jadi apa yang dikehendaki. Masya Allah!

p/s: Semoga saya berjaya menjadi apa yang saya ingini. Amin...


Majalah Solusi

Alhamdulillah

Sekarang saya minat sungguh membaca majalah Solusi. Dulunya saya hanya meminjam dari adik junior di universiti, tapi lama kelamaan saya jatuh cinta dengan sendirinya pada majalah ini.

Tak ada komen lain yang boleh saya kongsikan di sini melainkan: TERBAIK!. Itu saja gambaran saya tentang Solusi. Ia lengkap, padat dan informatif. Tak rugi melaburkan RM 9 setiap keluaran sebulan sekali untuk sebuah majalah ilmiah ini.

Terbaru, Solusi isu 29: Mencipta Syurga Rumah Tangga. Siapa yang nak tahu isi lebih, silalah beli. Tak akan rugi. Malah saya rasa lebih rugi apabila terlepas beberapa keluaran Solusi yang lalu.
Untuk rakan-rakan blogger, boleh gunakan isi dari perbincangan Solusi ini untuk dijadikan bahan penulisan kita. Isunya kontemporari. Jadi tak perlu rasa bimbang blog kita akan 'kalah' di mata pembaca. Kita menang atas nama isi dan dakwah. Insya Allah.

p/s: Tidur pun peluk-peluk Solusi...Hehe!

Minggu Baru

Alhamdulillah

Sudah masuk minggu baru. Pagi ini saya bangun masih dengan sindrom Monday Blues. Tapi 'apa boleh buat'...Tugas tetap tugas. Saya kuatkan semangat juga memandu 40-60 km/j ke hospital. Lantaklah kalau kereta, lori, bas atau treler panjang nak pintas saya. Saya tak kisah. Jangan ganggu saya sudahlah~

Seawal pagi saya dah diisukan dengan satu kes di wad kelas pertama. Hehe. Ok la tu kan daripada diisukan ke unit forensik (mudahnya: bilik mayat). Ha, tu memang Monday Blues sepanjang hari la jawabnya!
Selesai itu, Kak Wani dan Nor ajak saya bersarapan di bandar. Saya pilih menu nasi lemak. Dah lama tak bersarapan menu berat. Yelah...bertolak dari rumah seawal 6.45 pagi, mana nak cari mood sarapan?

Pulang dari sarapan, saya menyambung tugas seperti biasa. Saya mula seronok dan enjoy di sini kerana Kak Wani dan Nor yang rapat dengan saya. Cumanya terlalu ramai engineer lelaki lain, kadangkala saya jadi macam alien. Saya rasa canggung!

Petangnya pula saya terus menyambung tugas. Mengikut dua orang encik yang bising ini membuatkan saya juga turut ketawa. Haih...Hilang tekanan kejap~
Tiba-tiba saya terima panggilan dari Nor. Bunyi macam segera. Saya cepat-cepat turun dan rupanya...
Mereka 'culik' saya minum petang di gerai pisang goreng. Cool sungguh!

Asyik makan je. Saya dah lupa berapa berat saya sekarang. Ouh nampaknya kena timbang sebelum ke KL minggu depan. Ops!

p/s: Terima kasih Kak Wani, Nor dan yang lain. Kalian memang terbaik!

Esok hari Isnin

Ya Allah...Cepatnya masa berlalu.

Rasa cuti 2 hari hujung minggu ini terlalu singkat. Tak puas bermanja-manja dengan mak dan abah di rumah. Isk isk! Nak cuti lagi!!!

Minggu bekerja saya semestinya penuh terisi. Pergi sebelum pukul 7 pagi, balik sebelum pukul 7 petang. Malamnya kadang-kadang tak sempat makan malam pun. Lepas solat Isyak dah tertidur. Hanya tersedar sekitar jam 1 atau 2 pagi, itupun kalau lampu masih belum bertutup atau terjaga dek gigitan nyamuk.

Baru saya tahu susahnya mencari rezeki. Saya seorang wanita. Saya tak bercadang menjadikan kerja sebagai seorang jurutera ini kekal hingga saya berkeluarga. Biarlah saya bekerja apa yang sesuai dengan soul saya, asalkan saya bahagia dan keluarga saya tidak terabai nanti.

Yang pasti, sejak bekerja ni saya memang anti dengan hari Isnin. Nasib kamu lah, Isnin oi...Bukan saya seorang yang berat menempuh hari kamu. Ramai lagi di luar sana yang mengalami Monday Blues.

Tak percaya? Tanyalah orang di sekeliling anda (yang bekerja). Mereka juga mengalami sindrom seperti saya!

p/s: Semoga hari esok lebih baik dari hari semalam. Amin Ya Allah...

Pesta Belon Udara Panas

Atau dalam bahasa Inggerisnya: Hot Air Balloon Festive. Hu...Rasa macam pelik pula bila diubah ke bahasa Melayu. Er...pengadaptasian itu perlu kadang-kadang. Maaf ye. Saya sedaya upaya menggunakan bahasa yang sempurna dalam penulisan. Tak mahu merosakkan!

Saya terbaca mengenainya (Pesta Belon Udara Panas) ini di The Star minggu lalu. Diadakan pada 17 hingga 20 Mach 2011 di Putrajaya, saya teruja untuk ke sana!
Kebetulan, saya memang sudah merancang untuk datang ke Kuala Lumpur sempena ulangtahun kelahiran seorang sahabat.

Semakin hampir dengan tarikhnya, saya menyimpulkan sesuatu yang agak sukar tetapi perlu diterima dengan hati yang terbuka. Memang Allah takdirkan saya tidak boleh ke sana. Mungkin ada sesuatu di sana yang Allah tak izinkan saya hadapinya sendiri. Ya, rancangan untuk ke sana gagal. Tapi saya yakin dan memang telah terlihat: Banyak hikmahnya.

Tapi kan...Saya taklah kecewa sangat. Untuk pengetahuan, saya pernah ke pesta itu tahun lepas, semasa saya masih belajar di universiti. Kiranya pernah berpeluang jugalah kan...
Memang seronok. Melihat kecantikan belon-belon udara panas yang serentak naik ke ruang udara Putrajaya tu. Tapi bagi mereka yang mudah pening, seeloknya jangan pergi, sebab terlalu ramai orang dan suasana yang sesak. Phew~!

Ni saya kongsikan gambar-gambar sekitar Pesta Belon Udara Panas 2010 saya.
Gambar-gambar ini diambil dari cruise Tasik Putrajaya. Pengalaman pertama saya yang sangat tidak mengecewakan.

Siapa-siapa yang ada gambar versi 2011, sila jangan tayang pada saya. Saya cemburu! Hehehe~

p/s: Tak mengapa. Ada rezeki yang lebih baik nanti, Insya Allah!

Jiranku, Rezekiku (^^)

Bismillah...

Hari ini Ahad. Semua ada di rumah mak dan abah. Sangat seronok apabila rumah ini riuh rendah dari hujung pintu dapur hinggalah ke ruang tamu depan. Hehe!
Kami memasak bersama-sama sambil 'berperang' dengan si kenit Biha yang mulutnya macam bertih jagung tu. Layankan je lah~

Tiba-tiba datang pakcik D jiran kami yang memang baik dengan abah dan isterinya pula rapat dengan emak. Dia membawakan menu untuk kami: Laksam! Waaah!
Nampak sedap, memang sedap!

Beginilah hidup di kampung yang masih mengamalkan semangat kejiranan. Rezeki yang ada dikongsi bersama walaupun sedikit. Ya Allah...seronoknya!
Dapatlah kami merasa sorang sedikit. Nama pun orang bagi kan, mestilah tak boleh nak puaskan hati semua. Kalau nak makan sampai kenyang, kena lah buat sendiri..ye tak?

Isteri pakcik D ni memang baik dengan mak. Segala apa makanan warisan keturunannya selalu dia kasi kami sekeluarga rasa. Makcik ni anak Kelantan, jadi kami selalu seronok bila dapat makan nasi kerabunya. Nak mintak, segan...Jadi bila dapat tu, memang macam orang kelaparanlah (sikit).
Mak pula suka kongsikan makanan tradisi Jawa kami dengannya. Makcik ni paling suka sambal tempe tu. Ahaha...!

Seronok tau duduk kampung ni. Jiran-jiran ingat kat kita. Sebab tu kena buat baik dengan semua orang tanpa mengira agama, warna kulit dan fahaman idea. Kalau susah, Insya Allah senang nak mintak tolong.
Oh ya...satu lagi, jangan sesekali khianat orang. Orang boleh maafkan, tapi tak boleh lupa. Buruk sikap tu akan terus terpalit di wajah pelaku sekalipun si pelaku tu dah berubah.

p/s: Memang jiranku rezekiku!

Penantian yang menyeksakan

Dilema yang saya hadapi sekarang ini bukan satu perkara kecil. Ia melibatkan masa depan dan hidup saya. Tapi saya selalu optimis, yang terbaik itu selalu hadir lambat sedikit supaya kita dapat menghayati erti sebuah usaha. Ya, semuanya berlaku dengan USAHA!

Saya menerima panggilan telefon dari Kak Dina minggu lepas, bertanyakan adakah saya available untuk sebuah syarikat di sebuah tempat X. Waktu tu hanya Allah saja yang tahu betapa gembiranya saya menerima panggilan istimewa itu. Dalam 70 orang peserta program tersebut, saya yang Kak Dina cari!
Pasti pembaca sudah tahu apa jawapan saya. Ya, saya available cuma jika diterima, saya perlu menamatkan tugas di hospital ini dengan cara terhormat walaupun tidak terikat dengan apa-apa kontrak dan perjanjian.

Kali ini saya tidak mahu bermain api. Apa yang ada dalam genggaman sekarang tidak akan saya lepaskan selagi tiada jaminan dari apa yang akan datang. Saya tak mahu kerugian. Strategi harus mantap, Dhiya! Hehe. Pendek kata, jangan tamak.
Biarlah yang Kak Dina nak tolong tu melalui prosesnya sendiri. Saya takkan paksa atau mendesak-desak. Kalau ada rezeki saya, Allah takkan lencongkan kepada orang lain. Betul tak?

Lagipun saya dah mula seronok bersama team di hospital. Mereka semua baik dan happening!

Tapi kan...Penantian itu memang menyeksakan! Semua aspek lah~

p/s: Ho yeah~!

Misi mengemas masih gagal

Ouh!

Ye lah. Masih berselerak! Huhu...

Kalau mak buat rondaan warden esok pagi, mesti mak akan bising. Tapi memandangkan malam sudah lewat, saya tak fikir saya boleh mengemas sekarang.
Saya harap agar momentum mengemas dapat dimaksimumkan esok.

Satu lagi: Baby juga sangat comot. Kasihan dia. Oklah, esok saya akan sental kamu sampai berkilat. Janji! Cuma saya geram, si kenit yang ada di rumah ni kadang-kadang terpesong niat. Cakap tak serupa bikin.
Awal-awal janji nak tolong basuhkan baby, tapi nanti dia la yang paling ligat main keluar masuk pijak karpet segala. (haih...memang la korang ni budak-budak!)

Eh tapi kan, saya rindu sangat meja yang bersepah-sepah masa zaman belajar di universiti dulu. Semakin berserabut meja tu, semakin saya rasa tercabar dan bersemangat untuk menyudahkan tugasan. (meja bersepah tandanya kerja tu susah...) Betul! Selalunya meja akan berselerak semasa ulangkaji atau tugasan subjek yang banyak membaca dan banyak teori.
Ini selerak sikit

Kalau subjek banyak kira, hanya ada 3 alatan sahaja di atas meja: kertas, pen dan kalkulator. Percayalah~ Pelajar kejuruteraan memang begitu...hikhikhik!

p/s: Ai...dok sebut-sebut kisah lama ni. Rindu sangat ke~?

Bekerja

Seharian hari ini saya bekerja. Bekerja menggodak blog baru ini supaya mencapai rasa puas hati saya. Tapi kan, manusia ni memang tak pernah rasa puas. Makin dibuat macam-macam, makin rasa tak kena di sana sini.
Tapi Alhamdulillah rasanya setakat ini semua yang asas dan utama dah ada. Apalah gunanya kalau blog ini cantik tapi isi penulisan saya tak memuaskan hati juga.
Paling penting: Terima kasih kepada Nabila yang tolong saya tadi. Terima kasih sudi membaca, terima kasih semuanya! Jangan tension- tension lagi ok! Anda boleh laluinya untuk empat tahun, kenapa tidak untuk tahun kelima? Percayalah, zaman belajar adalah zaman yang paling indah! (berdasarkan pengalaman~)

Untuk yang meraikan hari ulangtahun kelahirannya hari ini, sekali lagi Selamat Ulangtahun Kelahiran yang ke 2*. Maaf kerana tidak dapat bersama meraikannya. Tapi yakinlah, doa saya untuknya tidak pernah lekang malah sebaris dengan orang penting lain dalam hidup saya.

Keluarga tetap menjadi keutamaan saya. Cinta saya, kasih saya pada mak dan abah...walaupun tak terucap, tapi saya selalu mengakuinya dalam hati. Malam-malam sebelum tidur saya sering bertemankan air mata mengenangkan jasa mereka yang belum sempat terbalas. Ya Allah, jadikan saya yang terbaik supaya saya boleh menggembirakan hati mereka!
Mak, abah...

p/s: Alhamdulillah. Bersyukur dengan apa yang saya ada. Bahagia dengan apa yang di depan mata!

Selamat Ulangtahun Kelahiran!

Untuk yang berkenaan...

"Saya ingin merakamkan ucapan Selamat Ulangtahun Kelahiran. Semoga dengan meningkatnya usia, bertambah jugalah ilmu dan kematangan. Terus murah rezeki dan panjang umur serta cepat jodohnya..."

"Semoga tiap langkah membantu orang lain itu akan dibalasi dengan bantuan Allah yang Maha menolong. Amin!"
Doa yang bunyinya klise, tapi saya menulisnya satu demi satu dengan memahami akan setiap maksudnya. Biar itu menjadi rahsia saya.

Dia mungkin tidak ada masa membaca coretan bunga-bunga seperti ini kerana saya tahu perangainya bagaimana. Tapi memandangkan blog ini saya yang punya...Biarlah apa saya nak kata pun...Lalala~!

p/s: Kamu...Ya, untuk kamu!

Merasmikan

Sejak 'lahir' 13 Mac yang lalu, Dari Diri Dhiya masih bergerak secara sendiri. Tiada siapa yang tahu dan diberitahu akan kehadirannya.

Mengambil tarikh bersempena ulangtahun kelahiran seseorang hari ini, saya akan mula membawanya ke pengetahuan rakan-rakan yang setia ada di sisi saya. Saya juga akan kembali aktif menulis dan melontar idea sambil berkongsi dengan blogger-blogger lain seperti yang saya rutinkan sebelum ini. Bezanya: Blog baru sedang penulisnya kekal yang sama.

Insya Allah penampilan kali ini lebih selamat dan matang. Saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk hobi ini. Saya tahu di mana kekuatan penulisan saya, saya sedar di mana niche dan sumber modal idea saya. Maka saya yakin tampil berbeza dengan orang lain.

Insya Allah saya akan cuba menambah baik blog ini lagi. Masih terlalu baru dan banyak yang perlu diberi sentuhan sana sini. (Mungkin perlu lantik perunding hiasan dan template la~) Hihihi!

Apapun, blog ini sudah rasmi aktif mulai hari ini. Saya akan menulis tanpa henti selagi nafas masih bersisa! Go, girl!

p/s: Rasmi sudah...

Oh yeay! Jumaat!

Lama saya tenung jam di dinding pejabat. Mata saya tidak berkelip. Hingar-bingar orang di dalamnya tidak saya hiraukan. Lantaklah!

Akhirnya waktu itu tiba juga: 5.30 petang hari Jumaat. Yeay! Minggu ini sudah tamat!
Apa yang seronok sangat? Tak ada apa-apa. Ia cuma Jumaat yang seperti biasa. Apa yang lebih istimewa ialah kerana esok adalah Sabtu! Cuti lah..~

Dulu masa zaman belajar (waaa...rindunya kehidupan universiti), Jumaat adalah hari paling tenang. Sejak di tahun 2, kumpulan kami jarang sekali dapat kelas hari Jumaat. Pendek kata, selalunya Jumaat kami adalah hari cuti!
Kalau terasa nak balik kampung, petang Khamis saya sudah lesap. Huhu!

Tapi sekarang semuanya banyak berubah. Hari hari saya adalah hari bekerja. Tiada lagi buku ulangkaji, nota kuliah dan tutorial. Sekarang adalah masa semua ilmu diimplimentasikan. Tak ada masa duduk menelaah lagi.

Sempena esok hari Sabtu, saya akan gunakannya sebaik mungkin untuk diri saya dan keluarga. Tak tahu lah pula kalau ada kejutan-kejutan yang menggembirakan. Saya tak mahu menaruh harapan besar. Apa yang ada di depan mata, saya akan manfaatkannya.

Indahnya Sabtu dan Ahad!

p/s: Mengemas rumah lah~ (^^)

Allah sebaik-baik Perancang!

Saya merancang sesuatu yang istimewa dan ceria untuk hujung minggu ini. Perbincangan demi perbincangan telah diadakan sejak 3 minggu lepas. Sungguh!
Tapi apa yang dapat saya simpulkan ialah: Seteliti mana pun kami merancang, kami tetap tidak tahu apa yang menanti di hadapan. Halangankah? Ujiankah?

Maka di akhir detiknya ini, saya betul-betul mengharap agar semua yang telah dirancang akan berjalan dengan baik. Janganlah ada apa-apa halangan...Allah, perkenankanlah! Bantulah!

p/s: Kita tunggu esok~

Penat

Ya ampun... Penat sungguh hari ini! Saya pasti ini bukan dibuat-buat. Saya ingat memang saya buat banyak kerja hari ni!

Isu tak banyak, tetapi kerap. Itu yang penat sebenarnya. Naik bertingkat-tingkat, tapi hanya ada satu atau dua isu. Memang kadang-kadang rasa tak berbaloi. Tapi memikirkan khidmat ini untuk orang yang memerlukan,
team kami selalu kuat semangat.

Mengelak bosan, saya mengikut Encik Faisal lagi. Saya selesa dia menjadi mentor saya, kerana dia rajin bercerita dan mengajar. Saya belajar darinya. Tak kurang juga yang lain. Saya juga senang bersama Kak Wani, Nor, dan Hafizal. Mereka semua baik-baik belaka~

Seperti biasa, saya akan pulang tepat pada waktunya seperti tepatnya waktu saya datang. Ini memang tak ada kompromi. Jangan halang saya. Sebab itu saya berang bila ada yang pandai-pandai nak mengubah jadual hidup saya terutamanya waktu ke hospital. Pantang sungguh!

p/s: Baru lepas solat Isyak. Argh! Mengantuk!

Sang naga

Kisah ini terjadi Ahad lepas, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

Sebelum memasuki lebuhraya, kami singgah di sebuah restoran makanan segera pandu lalu untuk membeli bekalan makanan. 'Malas berhenti tengah jalan' Itu alasan si pemandu kereta. Apa-apa sajalah. Saya layankan saja.

Masa pesanan tu, kami tak tahu langsung yang pakej tu ada features baru. Kami cuma sebut 'yang biasa' menandakan kami mahukan seperti yang biasa dibeli. Tak mahu pengurangan atau penambahan lain memandangkan sajian yang biasa itu muat-muat perut kami sahaja.

Nak dijadikan cerita, kami tak berhenti langsung untuk makan. Alih-alih apabila sampai ke destinasi barulah kami sedar...

Mak ai! Naga!
Ular sawa pun boleh la~
Ini untuk naga!

Rupanya setiap set yang ditempah tu dah mengandungi dua biji burger~ Memandangkan kami dah menempah seorang satu set, maka kami akur: Setiap orang kena habiskan dua biji burger...Teruk juga la nak menghabiskannya~
Kalau tahu, kami boleh mintak satu set je tadi. Huuu!

Serik! Lepas ni saya akan beringat. Saya tak akan jadi naga lagi!

p/s: Makan banyak, tapi tak gemuk-gemuk juga..Haih!

Tak Faham!

Betul lah...marah itu merah!

Pemimpin yang baik akan disanjung dan dipuji tetapi sebaliknya akan berlaku kepada pemimpin yang tidak baik. 'Baik' itu bukan setakat berjaya menjadi contoh, tetapi harus bijak menjaga uslub (gaya bahasa) ketika berkomunikasi dengan anak buah.
Kalau berderet-deret pekerja di bawahnya terasa hati dan merajuk, baikkah pemimpin atau ketua itu?

Saya tak faham kenapa ada pemimpin begitu.

Pesanan ini ditujukan kepada mereka yang bekerja di kaunter-kaunter yang memerlukan interaksi dengan orang awam. Saya tersentak betul dengan layanan seorang staf di hospital tadi. Tau la kami nampak macam budak-budak, tapi jangan layan kami macam tu lagi. Bila saya dekat dengannya, saya lihat pangkat di tag namanya: *29 dan *32. 'Oh...kawan-kawan sealiran saya ramai yang *41, tapi sangat bagus ketika berkomunikasi dengan orang lain walaupun kepada seorang pengemis jalanan!

Saya tak faham kenapa mereka begitu.

Sedar, hormat. Itu saja dua perkataan yang sesuai. Tak kisah la apa juga situasi sekali pun. Sedar siapa diri, dan hormat pendirian orang lain. Kalau tak mampu wujudkan kedua-duanya, paling tidak ada salah satu dalam diri. Ini common sense~ Tak perlu 'sekolah bertingkat-tingkat' untuk memahaminya.

Saya tak faham...sukar sangatkah?

Saya tak faham!

p/s: Belajar untuk memahami.

Lelaki Soleh pun Cemburu...

Rasulullah Mencemburui Mariah al-Qibtiyyah
Diriwayatkan oleh Abdullah bin Lahi'ah daripada Yazid bin Abi Habib daripada Abdul Rahman bin Syamasah Al-Mahri daripada Abdullah bin Umar, ketika Mariah al-Qibtiyyah mengandungkan anak Rasulullah, Ibrahim, seorang kerabat lelakinya dari Mesir kerap datang menziarahinya
Suatu hari, Rasulullah menemui Mariah dan melihat kerabatnya ada bersamanya. Rasulullah berasa cemburu sambil keluar dengan rona wajah yang berubah. Di jalanan, Baginda bertemu Umar yang perasan ada sesuatu yang dipendam oleh Baginda. Umar lantas bertanya dan Rasulullah menceritakan kecemburuannya terhadap kerabat Mariah.
Umar lalu menghunus pedang lalu mencari lelaki itu. Lelaki itu segera menyingkap keadaan zakarnya yang sudah dipoting. Umar tidak jadi membunuhnya. Dia menemui Baginda dan Baginda bersabda: " Jibrail telah datang kepadaku dan membebaskan Mariah dan saudaranya daripada tuduhan yang terlintas pada diriku." (Riwayat Al-Bazzar)

Umar Cemburukan Isterinya ke Masjid
Umar Al-Khattab juga tidak kurang hebat cemburunya. Pernah isterinya keluar untuk solat berjemaah di masjid. Daripada riak wajahnya, isterinya tahu Umar tidak suka dan sedang cemburu. Lalu isterinya berkata: " Jika kanda melarang, dinda takkan pergi." Umar dia saja kerana teringat akan pesan Nabi Muhammad yang bermaksud: "Janganlah kalian melarang para wanita pergi ke masjid." (Riwayat al-Bukhari, Ahmad dan Abu Daud)

Ibn Umar Cemburu Mendengar Bicara Isterinya dengan lelaki Kerabatnya
Hammad bin Zaid daripada Ayyub daripada Ibn Abi Mulaikah menyebut bahawa Ibn Umar mendengar isterinya berbicara dengan seorang lelaki dari balik tembok. Antara mereka masih ada hubungan kekeluargaan, namun Ibn Umar tidak pula mengetahuinya. Lalu dia mengumpulkan pelepash kurna dan memukul isterinya sehingga si isteri berteriak kesakitan!

Cemburu Mu'az bin Jabal di Waktu Makan Epal
Al-Kharaiti menyebut daripada Mu'az bin Jabal bahawa dia makan epal bersama isterinya. Lalu masuklah hambanya menemuinya. Kemudian si isteri memberikan epal yang telah dimakan sebahagian kepada hamba itu. Mu'az berasa cemburu, sehingga dia bertindak memukul isterinya...

*********************
Saya tersenyum sendiri juga ketika membaca kisah sirah ini. Menarik dan dah tentu boleh dibuat teladan. Huhu! Cemburulah...kerana itu tanda kamu bukan melepaskannya sembarangan!

p/s: Cemburu tandanya sayang~

Berdoalah...

Kerana doa itu ungkapan yang halus. Tak tertulis, tak terucap. Ia adalah bicara sepenuh harap antara kita denganNya.

Waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa
  1. Ketika hujan
  2. Ketika hendak memulakan solat dan selepas solat
  3. Ketika menghadapi musuh dalam peperangan
  4. Waktu antara azan dan iqamat
  5. Ketika iktidal yang terakhir dalam solat
  6. Ketika sujud dalam solat
  7. Ketika khatam Al-Quran 30 juzuk
  8. Sepanjang malam, terutamanya di sepertiga malam yang akhir dan pada waktu sahur
  9. Sepanjang hari Jumaat
  10. Kerana mengharapkan bertemu dengan saat ijabah (saat diperkenankan doa) yakni antara terbit fajar hingga terbenam matahari pada hari Jumaat
  11. Antara waktu Zuhur dan Asar dan antara Asar dan Maghrib
Iklim khatulistiwa Malaysia menyumbang banyak hujan. Ya Allah...banyaknya peluang yang telah saya lepaskan untuk berbicara denganNya!

p/s: Pesanan untuk diri sendiri. Saya ini pelupa!



Terima kasih, Allah!

Ya Allah!

Saya gembira hari ini!

Makan
Seperti biasa, saya berada di hospital. Rezeki murah hari ini, mesyuarat pagi kami dijamu dengan makan pagi. Alhamdulillah. Jimatlah duit poket saya kan~
Selepas sarapan pula, saya ligat dengan tugas. Jadi saya tidak sunyi dan bosan!

Lawatan pagi
Saya seronok kerana dapat melakukan lawatan seawal jam 9 pagi dengan Hafiz. Saya belajar banyak benda sambil kami bersembang banyak perkara. Cuma saya harap Hafiz takkan bawa saya guna lif yang satu tu lagi. Saya tak mahu!

Defibrillator
Apa ni? Uh, ayat mudahnya: alat yang digunakan untuk mengembalikan denyutan jantung pesakit dengan mengenakan cas di bahagian dada pesakit. Boleh google ok~Huhu!
Ini contoh gambar defibrillator.Banyak lagi model lain di pasaran.

Banyak juga yang saya baru tahu dan baru kenal dari Encik Faisal. Terima kasih, En Faisal!

Kak Dina
Saya menerima panggilan telefon dari beliau sekitar jam 3 petang. Wah beliau membawa berita baik rupanya. Terima kasih, kak! Semoga ada berita positif di masa akan datang. Saya betul-betul mengharap.
Tapi tak tahan usikan beliau: 'Bila nak kahwin?' Oh...(-.-)

5.30 dan balik!
Saya memang tak tahan berlama-lama di hospital. Cukup jam, saya memang tak boleh ditahan-tahan lagi. Saya perlu balik rumah! Yehu!
Hujan rintik sepanjang perjalanan. Tapi syukurlah tak berapa banyak kenderaan, jadi tak banyak 'persaingan', tak banyak 'perlumbaan', tak banyak marah-marah dan tak banyak membebel sendiri.

***************************
Benarlah...Nikmat Tuhan yang mana lagi saya mahu dustakan? Bukankah gembira itu juga nikmat? Allah!

p/s: Senyum leret-leret~

Rehatlah...

Hangat bercinta sungguh!

Dari Diri Dhiya menjadi tatapan sejak petang tadi. Haih...angau ke? Huhu!

Ok lah...Perlukan rehat dulu. Esok Insya Allah masih ada untuk saya menulis. Semoga hadir dengan idea yang lebih bernas dan bermanfaat!

Rehatlah...

Selamat istirehat semua!

p/s: (^^)

Pelajaran hari ini

Satu
Saya memandu ke hospital setiap hari. Apa yang saya lihat dan lalui ini mungkin biasa di mata orang lain, tapi pada saya ianya baru dan asing malah di luar penerimaan diri.
Saya tak faham kenapa ada lagi pemandu yang masih nak memintas kenderaan lain sedang di depan dah kelihatan kenderaan dari arah bertentangan. Saya setuju dengan pendapat abah dulu: "Kalau nak potong (pintas), potonglah...Tapi apa yang mai dari depan hangpa tanggung sendiri dan jangan libatkan orang yang dipotong. Jangan nak himpit-himpit pun!"
Jadilah pemandu berhemah. Sayangi diri sendiri.

berlaku pada saya tadi.

Dua
Saya di hospital hari ini. Paginya semua orang sibuk termasuklah saya. Petangnya saya telah meneladani sesuatu: Setinggi mana pun kedudukan kita dalam kerjaya atau pencapaian, jangan pernah berhenti belajar. Saya kagum dengan buku log Mr. Faz yang ditulisnya sendiri. Segala apa input yang dia dapat, ditulisnya dalam buku log biru itu. Saya cemburu dan termalu pada diri sendiri!

Saya akan curi ilmu dan ideanya!
Tiga
Saya pelik. Tugas itu diserah kepada orang yang bukan ahlinya sedang mereka lebih arif untuk melakukannya.

Allah...Semoga saya berpeluang mendidik darah daging sendiri akan agungnya agamaMu ini!



Pengenalan

Salam wbt...

Saya masih dalam mod bercinta dengan blog ini. Tidur malam saya dibayangi apa lagi features yang saya akan letakkan di sini supaya mencapai 'puas hati' saya.
Di hospital juga tak habis-habis memikirkan apa yang saya mahu tulis, apa yang saya mahu kongsikan. Hee!

Ini tidak akan ada beza dengan yang lepas. Saya menganggap ini adalah sambungan, tetapi hadir dengan keadaan yang lebih matang dan selamat. Saya tidak akan membanding-bandingkan mereka lagi. Bukankah kita tidak suka dibanding-banding?

Di masa hadapan, saya berjanji pada diri sendiri bahawa Dari Diri Dhiya akan menjadi lebih bermanfaat untuk diri saya dan orang di sekeliling saya. Biarpun itu payah, tapi niat itu tetap akan saya tunaikan perlahan-lahan. Mencapai usia lebih dewasa, saya perlu berfikir dengan lebih matang dan rasional.

Yang membaca, mohon doa agar saya boleh menulis dengan konsisten. Insya Allah saya akan kongsikan apa yang menarik selari dengan namanya 'Dari Diri Dhiya'. Saya akan terus menjadi diri saya.

Tunggu nanti~!

p/s: Balik hospital terus buka Dhiya. Rindu!

Utama, Bukan yang Pertama

Bismillahirrahmanirrahim

Ini bukan yang pertama. Saya telah menulis dan berkecimpung dalam dunia blog sejak 3 tahun yang lepas. Apabila keputusan untuk 'berpindah' ini dibuat, itulah keputusan saya sendiri. Saya optimis, mungkin percubaan kedua ini adalah yang terbaik...Insya Allah.

2 Bulan
Kelahiran kedua ini genap 2 bulan dari tarikh ulangtahun kelahiran saya. Mungkin ini hikmahnya. Allah menyuruh saya menjadi lebih dewasa dan matang dalam berkongsi idea. Tapi saya akui, manusia lemah seperti saya ada banyak adunan rasa. Gembira, air mata, merah marah di jiwa perlu diluah dengan cara yang kena pada tempatnya.
Mengambil iktibar yang lalu, saya berjanji ini akan menjadi lebih baik.

*********
Memandangkan ini entri pertama, saya sedar yang saya sedang bermula dari bawah, dari tapak. Tak mengapalah...apa juga pencapaian dalam diri seseorang bukan datang dengan sekelip mata. Semuanya bermula dengan langkah pertama. Saya tidak akan sedih. Saya akan terus menulis seperti biasa!

Untuk yang membaca, terima kasih. Maaf kerana saya baru bermula. Tapi ini bukan maknanya mula-mula. Ini yang UTAMA, BUKAN YANG KEDUA.

p/s: Sedang mencari rentak. Masih rasa janggal di 'rumah' baru.