Setabah si Tukang Sapu

Ketika berjalan-jalan di pasar malam berhampiran rumah sewa Jumaat lepas, saya sekilas terpandang wajah seseorang.

Otak saya ligat berfikir:

'Di mana aku pernah lihat wajahnya?'
***************************
Sebelum abah membelikan saya Baby-K untuk kemudahan saya di kampus, saya hanya berjalan kaki untuk berulang alik ke kelas. Bukan tak ada shuttle bus yang mengangkut pelajar, tapi saya sendiri yang bukan jenis 'penunggu setia'. Itu belum lagi risiko bersesak-sesak atau bas lambat. Uh...Lebih baik berjalan kaki, banyak kilo juga yang hilang dalam perjalanan itu...

Seingat saya rutin itu setia saya lalui sejak di tahun satu hingga tahun tiga pengajian. Hujan dan panas tak pernah sekali saya mengeluh. Pernah beberapa kali kasut saya haus, tercabut tapak dan pernah juga putus di tengah jalan. Tapi saya tak pernah kecewa untuk terus berjalan kaki di balik bangunan-bangunan kampus kota mega itu.

Dalam beberapa tahun itu, saya sangat setia melalui celah-celah bangunan di kampus untuk menuju ke fakulti seorang jurutera. Satu tempat yang paling saya gemari adalah di sekitar bangunan Canseleri dan Bank CIMB kerana di situ suasananya agak teduh. Banyak pokok rendang yang menjadi payung perjalanan saya.

Dia Si Tukang Sapu

Di situ juga saya sering melihat seorang makcik tua selalu menyapu daun-daun kering yang tak pernah berhenti gugur. Pada hemat saya, dia mungkin pekerja yang menjaga kebersihan kampus terutamanya di kawasan tersebut.

Setiap hari tanpa terlepas, saya pasti akan terserempak dengan makcik itu menyapu daun-daun yang gugur. Pagi dia sapu, petang saya balik pun dia menyapu juga. Sampai pernah ada seorang staf CIMB menegur makcik itu:

"Sudahlah makcik, dah bersih tu. Nak tunggu licin sampai bila pun tak makcik. Daun tu tak pernah tak gugur! Pergi makan dulu, makcik..."

Saya tak lupa itu. Betul-betul menyentuh perasaan. Teguran staf itu seperti nasihat seorang anak kepada ibu tuanya sendiri.

Sejak dari peristiwa itu, saya akan lalu berhampiran dengan makcik tu dan memberi salam padanya. Kalau dia tengah mengemop lantai kaki lima bank, saya tak akan pijak kaki lima tu. Tak sampai hati sangat rasanya. Paling tidak pun, saya lemparkan senyuman dari jauh. Makcik itu betul-betul membuatkan saya kuat semangat untuk terus berjalan kaki menyudahkan kelas saya dalam sehari!
*************************
Masa berlalu. Di tahun akhir pengajian, abah bersungguh-sungguh menyediakan saya alat bantu belajar yang satu itu. Alhamdulillah, rezeki abah dan rezeki saya. Baby-K itu tak boleh dibawa melalui jalan kecil Canseleri lagi. Saya perlu memandunya melalui jalan besar. Bersaing dengan kereta-kereta lainnya.

Maka saya mula meninggalkan lorong Canseleri. Hanya kadang-kadang saya ke sana, atas urusan membeli alatulis atau ke bank. Ada kalanya saya terserempak dengan makcik itu. Kalau nasib 'tak baik', saya hanya melihatnya dari jauh. Dia terus saya 'lupakan' seiring dengan kesibukan saya di tahun akhir. Kali terakhir saya terlihat batang tubuhnya adalah semasa saya ke sana untuk mengambil jubah konvokesyen. Setahun yang lalu.

Dan minggu lepas, saya sekilas terpandang wajahnya di pasar malam yang biasa saya pergi dulu. Ya, dialah seseorang yang saya maksudkan. Wajah tua yang tidak ada apa-apa. Hanya seorang tukang sapu yang setia dengan tugasnya. Namun dia tanpa disedari telah memberi pengajaran hidup kepada saya yang terkesan hingga ke hari ini.

Lalu bagaimana?

Terus saya berfikir, mengapa saya terlalu cepat putus asa dan kecewa dengan apa yang saya lakukan? Sedangkan makcik itu terlalu tulus dengan usahanya tanpa ada rungutan dan rasa bosan. Saya terpukul. Setabah si tukang sapu telah mengajarkan saya sesuatu yang berguna!

Ketabahannya menjadi nasihat terbaik dalam diri saya. Tak salah rasanya kalau saya katakan, dialah sebahagian dari sumber inspirasi untuk saya terus menapak ke kelas walau dalam apa jua situasi selama saya menjadi pejalan kaki tegar, sedang dia seorang tukang sapu setia. Semoga makcik itu diberkati usia dan rezekinya.

Dia telah ditakdirkan untuk menjadi 'pensyarah' saya di balik redup pokok-pokok kampus kota mega.

p/s: Memujuk diri, memberi inspirasi!

3 comments

  1. Cerita Dhiya ini dapat memberi pengajaran kepada sesiapa sahaja yang membaca dan menghayati. Saya tidak terkecuali.

    Ayah saya pernah ceritakan pengalaman ayah semasa belajar dulu. Ayah buat part-time sebagai cleaner di satu syarikat ini. Dia selalu solat di bilik stor kerana di situ tidak disediakan tempat solat. Di situ dia slalu berjumpa dengan seorang pakcik yang juga seorang cleaner. Rupa-rupanya pak cik ni seorang Chessmaster!

    It goes to show that even the most ordinary-looking people can turn out to be extraordinary.

    ReplyDelete
  2. Sumaiyyah!

    Dhiya tak sangka Sumaiyyah baca setiap satu ayat yang Dhiya karang. Terima kasih! Hehe...

    Betul kata Sumaiyyah. Orang yang kita pandang biasa-biasa bukan bermakna dia orang biasa. Boleh jadi dia punya 'kuasa' di sisi yang lain.

    Mak cik tukang sapu, biarpun tidak berpendidikan tinggi, tapi dia mengajar saya erti cekal dan tabah dalam melakukan suatu perkara.

    Mereka-mereka inilah orang extraordinary!

    ReplyDelete
  3. Hehe. Selalunya kalau saya follow mana-mana blog, memang sebab saya nak baca, bukan sekadar nak minta follow balik. Lagipun Dhiya pandai menulis, jadi saya pun kenalah pandai membaca ;)

    ReplyDelete