Jauhkan Menipu!

Kisah benar ini terjadi malam semalam. Dan saya belajar sesuatu: JANGAN MENIPU

**********
Emak saya seorang guru mengaji. Kami adik beradik pun mengenal alif ba ta dari hujung lidah emak dan abah, Alhamdulillah. Kini Kakak dan Angah pun belajar dengan mak, di samping ada empat orang lagi cucu jiran emak. Seorang lelaki, dan tiga lagi perempuan bersepupu yang tinggal betul-betul bersebelahan rumah kami.

Setiap hari selepas Maghrib, televisyen memang 'diharamkan' untuk ditonton. Kakak dan Angah akan siap menunggu lagi empat orang kawannya untuk mengaji bersama.

Tidak seperti biasa, semalam hanya Kakak, Haziq dan anak murid emak yang lelaki itu yang datang. Tiga bersepupu itu tidak ada. Selesai mereka bertiga mengaji pun, yang bertiga itu masih tidak datang.

Tiba-tiba ibu kepada salah seorang yang tak hadir itu datang ke rumah:

"Mak Long (panggilan untuk emak), mengaji tak malam ni?" Bertanya si ibu.

"Eh, mengaji la. Macam biasa... kenapa ?" Jawab emak.

"Ipah (anak saudaranya) kata Tok Long (emak) suruh cuti malam ni" Dia berkata lagi

"Astaghfirullahal'azim... Tak ada pun Mak Long cakap kat deorang macamtu! Ni tak buka pun lagi tudung, baru lepas mengajar Kakak dan Haziq dan Uda" Emak membalas.

Dalam pada kalut-kalut itu, sepupu bertiga itu akhirnya 'ditolak' oleh ibu itu untuk mengaji juga, biarpun telah lambat. Hampir azan Isyak kalau tak silap saya. Selalunya, azan Isyak tandanya mereka sudah hampir siap atau sudah siap.

Selepas mengaji, saya lihat situasi itu. Emak memandang seorang demi seorang wajah kanak-kanak di depannya. Tak pernah rasanya emak berbuat begitu. Yang ditenung pula memang tak berani angkat kepala. Tahu diri bersalah agaknya.

"Siapa yang cakap Tok Long suruh cuti?" Baik mengaku

Diam. Tiada seorang pun antara mereka bertiga mengaku.
'Hu. Keras hati juga, ya!'
Saya yang memerhatikan dari jauh hanya berbisik dari dalam hati. Tak mahu masuk campur kerana kami dulu tak pernah berani berbuat begitu. Maka kami tidak tahu dan tidak boleh mengagak apa yang emak akan lakukan.

"Cakaplah. Siapa yang cakap Tok Long suruh cuti?" Emak mengulang soalannya.

"Ipah..." Kelihatan anak bernama Ipah itu sendiri mengaku akan silapnya.

"Kenapa buat macamtu?" Emak terus bertanya.

Dia tunduk dan terus berdiam diri.

"Kalau buat lagi, Tok Long bagitau kat ibu dan ummi kamu! Jangan menipu. Allah marah!"

Semua terus membeku dalam lipatan sila masing-masing. Terkejut agaknya.

Usai sesi itu, mereka bersiap-siap untuk pulang. Ngeri juga melihat emak marah. Iya lah, kami dulu malas macamana pun takut sangat nak bagitau yang malas nak ke sekolah agama petang atau mengaji. Takut!

Apabila mereka pulang, emak kuat-kuat berkata:
"Jauhkan menipu. Jangan sekali-sekali menipu di depan anak. Perkara itu boleh 'berjangkit'!"

Kami faham...

p/s: Tipu olok-olok

1 comment

  1. bohong sunat?
    huhu... saya mmg takut nak bercakap bohong.. walaupun kkdg2 kita tgk ramai rakan sekerja kita menipu utk menyelamatkan diri...

    ReplyDelete