Etika Membenci, Kunci untuk Dicintai

Kita ini tidak dapat lari dari dari dua kalangan manusia: Kekasih yang dicintai, dan musuh yang dibenci. Maha Mengetahui fitrah manusia yang satu itu, Allah telah menggariskan bukan sahaja panduan berkawan, tetapi juga panduan berlawan supaya kita tidak bertindak sesuka hati dalam menangani nafsu.

Saiyidina Ali bin Abi Talib pernah berkata:
"Cintailah kekasihmua sekadarnya sahaja, siapa tahu ia akan menjadi musuhmu suatu hari nanti. Dan bencilah musuhmu sekadarnya sahaja, siapa tahu ia akan menjadi kekasihmu suatu hari nanti."

Kali ini saya nak kongsikan satu cerita. Ada sisi baiknya yang memukul palu hati saya sendiri. Malu untuk berkongsikan kisah ini kerana saya juga tidak sempurna dalam mengasihi dan membenci orang lain...Apapun, tak mengapa. Saya mengambilnya sebagai satu nasihat dan teguran untuk saya perbaiki diri sendiri juga.

****************
Kisah benar di Mesir ini berlaku suatu masa dahulu. Ia membabitkan dua orang tokoh ulama di kota tersebut iaitu Ibn Daqiq al-'Id dan Ibn Binti al-A'azzi. Kerana sebab-sebab tertentu, hubungan mereka dicemburui dengan konflik yang agak serius.

Suatu masa, Ibn Binti al-A'azzi telah melakukan kesalahan yang tidak boleh dimaafkan di mata Sultan dan pengawainya. Mereka berpakat untuk menghukum mati ulama ini dengan mencipta tuduhan palsu mengatakan ulama itu telah murtad.

Tuduhan itu ditulis pada selembar kertas dan diedar kepada setiap tokoh besar di seluruh Mesir. Seorang demi seorang tokoh menurunkan tandatangan menyetujui kandungan surat tersebut.

Ibn Daqiq al-'Id menjadi tokoh terakhir menerima surat itu dan membaca isinya dengan teliti. Semua tokoh yang hadir menggesanya agar menandatangani sahaja surat itu, namun beliau tidak mengendahkannya sebaliknya terus meneliti surat tersebut.

Selesai membaca, Ibn Daqiq al-'Id mengangkat kepalanya dan berkata:
"Tidak halal bagiku menyetujui surat ini!"

Kata-kata itu sangat mengejutkan semua orang. Mereka tidak menyangka sikap ini yang ditampilkan Ibn Daqiq al-'Id terhadap orang yang membenci dan memusuhinya. Mereka menyangka tokoh ini pasti akan menggunakan peluang itu untuk menghapuskan musuhnya!

Demi untuk meneruskan usaha membunuh Ibn Binti al-A'azzi, ada yang masih memujuk Ibn Daqiq untuk turut bersejutu akan kandungan surat itu. Malangnya Ibn Daqiq al-'Id tetap dengan keputusannya:
"Aku tidak akan turut serta membunuh seorang Muslim!"

Sikap tegas ini telah menggagalkan pakatan jahat tersebut sekaligus menyelamatkan Ibn Binti al-A'azzi dan pada masa yang sama meninggikan nama Ibn Daqiq al-'Id dalam lembaran sejarah umat Islam hingga ke hari ini.

Sumber: Petikan dari Majalah Solusi, Isu no. 29.

****************************
Semoga kita semua beroleh isi dan manfaat. Saya pun berkongsi di sini supaya tidak mudah lupa kelak. Koleksi Majalah Solusi saya sangat banyak info menarik! Saya suka!

p/s: Insya Allah...

No comments