Selamat Tinggal Semalam


Selamat tinggal 2011

Berbaki hanya beberapa jam sahaja lagi, tahun 2011 akan ditinggalkan.
Secara peribadi, saya tidak sedikit pun rasa seronok atau teruja dengan kehadiran tiap-tiap tahun baru. Yang ada hanyalah tanggungjawab yang semakin memberat usia yang semakin bertambah dan kematian yang semakin hampir.

Tahun 2011 merupakan tahun pertama saya sebagai seorang survivor dalam dunia kerjaya selepas menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Univeristi Malaya pada tahun 2010. Perjalanan kerjaya saya tidak semudah yang disangka. Banyak perkara yang saya pernah lalui, diiring suka dan duka.

Awal Januari 2011 menyaksikan saya diterima menyertai kursus selama 6 bulan dengan Malaysian Biotech Corporation Malaysia (BiotechCorp Malaysia). Itulah permulaan dalam dunia kerjaya saya. Diterima pula sebagai trainee engineer di Hospital Temerloh dan setelah tamat 6 bulan, saya kembali mengikuti kursus. Setelah lebih kurang 4 bulan kemudiannya, saya akhirnya bekerja di tempat sekarang.
Nampak macam mudah. Tetapi tidak. Hanya yang hampir dengan saya tahu dan mengerti perjuangan saya.
Alhamdulillah, sekarang saya bersyukur dan gembira dengan apa yang dimiliki. Tak mampu untuk ada semua, tapi cukuplah seadanya.

Julai 2011 memberi kejutan besar apabila abah diserang TIA. Saya yang ketika itu sedang berkursus di UPM Serdang hampir-hampir mati akal dan bertindak di luar pemikiran. Mujurlah keadaan abah tidak serius.
Saya akhirnya pulang dengan sedikit tenang. Bermula saat itu saya sedar yang bonding saya dengan abah memang maha kuat. Saya sedar yang saya jarang menunjukkan kasih sayang saya pada abah sedangkan sewaktu kecil abahlah yang mendukung dan melayan semua kehendak saya.
Bermula dari insiden itu juga saya lihat ikatan kekeluargaan kami lebih rapat dan penuh emosi. Semua isinya saling menunjukkan rasa peduli dan kasih sayang yang luar biasa. Dan saya juga berazam untuk lebih menyayangi dan menghargai kedua emak dan abah yang tidak boleh ditukar ganti!
Terima kasih Allah, atas petunjuk ini.

September 2011, sudah dua tahun kejadian pahit itu berlaku. Masih ingat lagi, saya hampir-hampir hilang semangat belajar dan ingin menangguhkan pengajian sedangkan tahun itu adalah tahun akhir saya di kampus.
Semua orang tertekan dan saya terpaksa menanggung bebanan emosi yang sangat teruk. Antara tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan anak serta ahli kepada sebuah keluarga yang sedang diuji.
Insiden itu juga telah menjadikan saya seorang yang paranoid dan emosianal dengan isu-isu tertentu. Saya mudah sedih, benci dan menangis untuk satu-satu masa yang sukar dijangka.
Syukurlah saya tidak bertindak melulu. Atas nasihat emak dan abah, serta rakan-rakan yang memahami, saya cekalkan juga hati dan akhirnya jalan juang di kampus berjaya ditamatkan dengan baik.
Dua tahun berlalu, kemaafan masih sukar untuk diucapkan. Biarlah sang pelaku dibalasi Tuhan yang Maha Adil. Saya sedang belajar menerima serta redha dengan ujian ini. Apalah sangat kesedihan ini kalau nak dibandingkan dengan azab Tuhan yang bakal diterima sang pesalah.

Sepanjang tahun 2011 menyaksikan ramai di kalangan rakan-rakan Seri, Kisas dan Universiti Malaya menamatkan zaman bujang masing-masing. Bila dibelek-belek kalendar dan jam, barulah saya sedar yang:
"Oh, kita sedang menuju sebuah kedewasaan!"
Nikah kahwin bukan lagi satu isu angan-angan. Kita sedang menuju ke arah realiti dan kebenaran!
Saya punya pendirian peribadi yang agak kompleks apabila ditebak persoalan ini. Namun saya masih belum bersedia untuk mengupas isunya di sini. Mungkin nanti, apabila saya punya kekuatan dan motivasi tentangnya saya pasti akan menulisnya. Janji.

Selamat Tinggal Semalam

Apa yang telah berlaku semalam bukanlah untuk ditinggalkan dan dilupai begitu sahaja. Sungguh rugi bagi mereka yang tidak mengambil sebarang iktibar dan pengajaran atas pengalaman dan tarbiyyah yang mendidik.

Setiap yang berlaku mempunyai hikmah dan signifikan tersendiri. Maka di situlah perlunya sifat optimis dan memandang pada kedua-dua aspek negatif dan positif.
Motivasi harus dibentuk daripada gabungan pengalaman baik dan sebaliknya. Apa yang buruk tidak semestinya jelek dan memberikan kesan yang tidak baik. Mungkin itu sisi lain bagaimana Allah mahu kita melihat dunia- Kerana bukan semua dalam dunia ini indah belaka.

Secara peribadi, saya mula belajar melihat dunia dari kaca mata seorang yang optimis. Baik atau buruk sesuatu kejadian, saya tetap cuba mencari hikmah dan kebaikan daripadanya. Ujian Tuhan datang dalam pelbagai bentuk. Jadi bagaimana ia diinterpretasi, begitulah ia dalam kefahaman kita.

Semalam telah menjadikan saya setingkat dewasa dalam kehidupan. Esok akan membawa saya ke satu lagi tingkat kematangan. Semoga Allah memberkati 2011 saya, dan menghadiahi saya 2012 yang penuh dengan kegembiraan dan rezeki penuh keberkatan dan sentiasa disyukuri tanpa henti.

p/s: Semalam adalah kenangan, esok adalah perjuangan!

No comments