Sekitar dua minggu lepas, ketika itu hujan rintik-rintik dan rentaknya semakin lebat. Sejak pulang dari kerja, saya masih belum makan. Begitulah selalunya.
Malam itu saya berpeluang ke Domino's Pizza di TTDI. Dalam hujan renyai yang berpanjangan itu, saya gagahkan juga untuk menapak keluar demi perut yang minta diisi.
Selepas membuat pesanan, saya duduk di tempat duduk yang disediakan. Mata saya asyik memerhatikan pekerja-pekerja Domino's Pizza yang keluar dan masuk membuat delivery yang dipesan melalui telefon. Mereka menggalas beg sandang khas yang menyimpan pizza tersebut sebelum sampai ke tangan si pemesan di rumah mereka.
Ketika itu hujan agak lebat di luar. Saya lihat makin ramai pekerja-pekerja Domino's Pizza yang keluar dan menunggang motosikal untuk membuat penghantaran ke destinasi yang ditetapkan.
Allah. Di saat hujan dan semua orang selesa untuk hanya berada di rumah, ada orang yang bekerja dan mencari rezeki dengan memenuhi permintaan orang lain. Ketika orang lain bermalas-malasan untuk keluar dan meranduk hujan, ada insan yang memilih untuk melakukannya demi sebuah tugas dan tanggungjawab!
Tiba-tiba saya menginsafi diri sendiri.
Saya punya cuti Sabtu dan Ahad (walaupun ada kalanya saya perlu hadir bekerja pada hari Sabtu tetapi itupun hanya separuh hari).
Saya hanya bekerja bermula jam 9 pagi dan pulang pada jam 5.30 petang setiap hari (walaupun ada sekali sekala perlu stay back untuk mesyuarat tetapi itupun dibayar!)
Sebaliknya, mereka ada yang perlu bekerja tanpa mengira hari dan waktu demi memenuhi keperluan orang lain. Tidak cukup bernasib baikkah saya ini?
Saya pernah merungut kepada emak dan abah serta Elis dan Nurul yang saya sedih kerana perlu bekerja pada hari Sabtu. Kini saya sangat kesal. Rungutan saya benar-benar menafikan rasa bersyukur saya kepada Allah atas apa yang Dia berikan ini.
Bermula detik itu apabila saya rasa penat dan tertekan dengan kerja, saya pasti akan teringatkan pekerja-pekerja Domino's yang meredah hujan untuk menghantar pesanan dari pelanggan tempoh hari.
Sungguh, dalam diam mereka telah mengajarkan saya erti syukur. Dalam senyum ramah, mereka telah membawa saya menyantuni nilai sebuah kehidupan. Bekerja untuk hidup dan bukan sebaliknya. Allah Maha Mengetahui bahawa rezeki yang dikurniakannNya itu adalah cukup (malah mungkin lebih) untuk kehidupan hambaNya. Kalau kurang pun, itulah bentuk ujian terhadap kita. Tetapi kita perlu yakin yang Dia takkan menguji apa yang kita tak mampu lalui.
Firman Allah bermaksud:
"Kami tidak membebani seseorang melainkan munurut kesanggupannya, dan pada sisi Kami ada suatu Kitab yang membicarakan kebenaran, dan mereka tidak dianiaya."
(Surah Al Mukminun, ayat 62)
(Surah Al Mukminun, ayat 62)
Si penghantar pizza telah memberi pengajaran penting dalam hidup saya:
Syukur apa adanya.
Kerana janji Allah sentiasa benar.
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya. Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."
(Surah Ibrahim, ayat 7)
Sungguh orang yang bersyukur adalah golongan yang sedikit. Semoga kita dimasukkan ke dalam golongan yang sedikit itu!
p/s: Tadi membeli ikan patin dari seorang peniaga. Dia bekerja pada hari Ahad sedang saya masih bercuti! Terima kasih atas pengajaran itu.
No comments