1 Disember 2011
Allah.
Kita sudah berada dalam bulan terakhir tahun 2011. Sudah hampir setahun ini saya tempuhi. Ada air mata, ada juga ketawa. Mana yang sempat tertulis, adalah ia di dalam Dari Diri Dhiya ini. Mana-mana yang tak sempat, berlalulah ia sebagai satu memori atau terus dilupai...
Dari Dulu Memang Begitu...
Disember cukup sinonim dengan cuti sekolah. Teringat saya ketika masih di bangku sekolah rendah dulu, cuti sekolah adalah waktu yang sangat menyeronokkan. Biarpun hanya 'terkurung' di desa itu, tapi kehidupan saya tak pernah sempit. Terlalu banyak yang saya lalui. Terlalu banyak yang saya terokai.
Saya hidup seperti anak kampung yang lain- Pernah bermain pondok-pondok, pernah menangguk ikan di longkang dan parit, malah pernah memanjat dan bergayut di dahan pokok!
Ketika itu saya tak pernah mengerti yang zaman kanak-kanak adalah zaman yang paling banyak kenangan. Hari ini...Setelah bertahun-tahun saya meninggalkannya, barulah saya tahu bahawa zaman itu cukup indah. Kalau boleh diulang, biarlah saya kembali ke waktu itu!
Cuti sekolah jugalah jiran-jiran berebut-rebut melangsungkan kenduri yang bermacam-macam. Kenduri kahwin tu sudah tentu. Belum kira lagi kenduri marhaban dan kenduri khatan~ (-.-)
Kini sudah banyak yang berubah. Tuntutan tugas benar-benar mengikat saya di kota mega ini. Kesempatan yang ada sekali sekala saya gunakan untuk menjenguk keluarga. Itu pun terhad hanya dua ke tiga hari. (TT)
Sudah, sudah. Jangan cerita pasal kampung lagi. Nanti saya menangis. Rindu!
Disember ini saya menerima banyak jemputan kahwin. Bukan lagi dari jiran-jiran emak dan abah yang menikahkan anak-anak. Sebaliknya jemputan datang dari rakan-rakan seperjuangan saya yang akan mendirikan rumahtangga.
Betullah. Laju sungguh masa berputar. Dulu mereka semua kawan bergelak ketawa saya, tapi hari ini sudah gagah memikul tanggungjawab dunia dan akhirat. Kita semakin dewasa!
Saya ada hujah peribadi apabila ditebak soalan nikah kahwin ini. Bagi saya ia suatu yang sangat sensitif dan penuh emosi. Saya selalu menangis sendiri apabila memikirkan isu ini. Banyak sebab, ada asasnya mengapa saya begitu.
Apa pun, Tahniah kepada sahabat handai yang telah dan bakal mendirikan rumah tangga musim ini. Terima kasih yang sudi menjemput saya. Insya Allah kalau ada kesempatan, saya akan datang. Mana-mana yang tak berkesempatan, hanya doa menjadi ganti, semoga anda semua diberkati.
Disember Dhiya yang penuh inti. Padat, sibuk dengan komitmen atas diri. Semoga tak lupa terus berbakti. Semoga tak jauh dari Ilahi...
Dhiya
p/s: Disember...Januari...
No comments