Kemalangan Laptop.


Sejak dalam pengajian asasi di UM, saya cuma ada sebuah laptop sahaja. Tidak pernah berganti malah tidak pernah rosak (kecuali sekali, itu pun masih dalam warranty period). Walaupun cuma jenama biasa-biasa sahaja, tetapi tahan lama kerana saya akui yang saya tidak pandai sangat untuk mengubah-ubah tetapan atau apa sahaja di dalam gadjet ini.

Semalam adalah hari yang sangat menyesakkan dada. Nyawa laptop saya hampir melayang dek kelalaian dan kebodohan pendek akal orang lain.

Laptop saya itu tidak pernah mengganggu sesiapa di pinggir sudut bilik di rumah sewa. Nak dijadikan cerita, saya menjerang air masak menggunakan pemanas air di atas meja berdekatan dengan laptop itu. Lantas seorang hamba Allah ini meminta sedikit air panas saya cuma iyakan sahaja.
Sedang leka menonton tv di ruang tamu, saya dikejutkan dengan bunyi letupan dari dalam bilik. Apabila saya bergegas masuk, papan kekunci laptop saya basah kuyup digenangi air dan sekelilingnya juga basah. Rupanya air panas tadi dituang ke dalam jag kaca dan jag itu telah meletup kerana tidak tahan panas!

Gelap mata sekejap. Bingung dengan apa yang terjadi. Saya terus mengangkat laptop saya dan menutup suis serta mencabut modem mudah alih serta walkman Sony saya yang masih dicas pada laptop tersebut. Apabila dibalikkan, air menitik-nitik keluar dari celah-celah butang kekunci. .Saya kaget. Tujuh tahun membelanya, tidak pernah terjadi sebegitu rupa. Telefon bimbit saya juga kebasahan hingga terpaksa dibuka baterinya dan dianginkan di bawah kipas. Tidak!

Saya tak pasti untuk marah atau apa. Mungkin juga saya silap kerana menjerang air di dalam bilik. Tetapi apa yang saya ingin pertahankan, itu bukanlah kali pertama saya berbuat demikian. Selama ini pun begitulah juga ia. Apa yang saya kesalkan ialah saya tidak tahu dan tidak perasan yang dia telah menggunakan jag kaca untuk menuang air panas itu. Rasanya semua maklum yang kebanyakan barang kaca tidak tahan panas.

Masih terkejut, saya biarkan laptop saya kering di ruang tamu. Selepas solat Maghrib, saya cuba untuk membukanya. Sekali lagi saya susah hati kerana ia gagal untuk berfungsi seperti sedia kala. Nak marah tak boleh, nak menangis pun tak boleh. Saya hanya diam mengunci diri di dalam bilik. Daripada saya berbuat sesuatu perkara yang tidak bijak, lebih baik saya diam. Beberapa kali saya mencuba, tetapi masih gagal.
Di saat itu saya cuma pasrah. Kalau ditakdirkan rosak, tak mengapalah. Sudah tiba masanya ia berehat dari berkhidmat. Tujuh tahun bukan tempoh yang singkat. Di saat rakan-rakan saya sudah punya laptop kedua dan ketiga, saya masih setia dengannya walaupun sudah banyak yang usang di sana sini!

Malam tadi saya tidur dengan hati yang gundah. Sekejap-sekejap saya terjaga dan cuba untuk menghidupkan laptop saya- Tetapi masih gagal. Tak mengapalah. Itu habuan saya.

Selesai solat Subuh pagi ini, saya mencuba sekali lagi. Alhamdulillah semuanya ok. Setakat entri ini ditulis, semuanya ok kecuali ada sedikit kesan yang tidak enak dipandang pada permukaan skrin laptop saya. Nanti pasti hilang, Insya Allah.

Kenapa saya sangat emosi dengan laptop yang satu ini? Kerana inilah hadiah paling mahal pemberian emak dan abah selepas saya mendapat keputusan peperiksaan SPM dan ingin melangkah ke pengajian asasi UM. Inilah barang paling berat yang saya selalu usung setiap kali pulang ke kampung bercuti. Saya tidak kisah untuk tidak membewa beg balik kampung yang besar, asalkan saya tidak tinggal membawa laptop kesayangan ini. Dengannya jugalah saya selalu meneroka hal ehwal semasa negara serta global di saat saya mula perlahan-lahan meninggalkan surat khabar versi konvensional. Paling penting, dengannya jugalah saya berkarya, menulis, dan mengarang baris-baris ayat untuk diluahkan dalam Dari Diri Dhiya.

Apa yang terjadi, sudahlah. Cuma saya sangat berharap untuk berpindah ke sebuah rumah dan bilik baru yang lebih selesa dan kemas dari sekarang. Saya juga perlukan sedikit privasi untuk terus menulis. Kadangkala bersendirian itu menjadikan saya lebih bijak untuk berfikir di luar landasan. Erm...

Untuk lappy kesayangan, jangan buat Dhiya susah hati lagi, ya!

p/s: Saya maafkan kamu. ..Sendirian di sini. Tak ada tempat mengadu. Seorang jauh nun di Kedah, seorang lagi nun jauh di Pulau Pinang. Oh!

2 comments