Uh. Inilah entri 11.11.11 yang paling lewat ditulis dalam dunia blog. Cukup sekadar menulis tajuk pada tarikhnya, entri ini terus tersimpan di dalam draf lebih kurang dua minggu. Aduh. Kasihan!
Umum mengetahui yang tarikh istimewa ini jatuh pada hari Jumaat. Jadi memang ramai yang mengambil keputusan istimewa- dari majlis angkat nikah hinggalah melahirkan anak pada tarikh 'cantik' ini.
Salah seorang rakan sekelas saya di Kisas dulu juga telah melangsungkan akad nikahnya pada tarikh ini. Saya ada menerima jemputan majlis persandingannya pada hari Sabtu 12.11.11, tetapi kebetulan saya bekerja pada hari itu. Maka terlepaslah untuk berjumpa dengan pengantin baru! Selepas kerja pula saya terus pulang untuk majlis kenduri di rumah sendiri pada Ahadnya. (Nanti saya cerita lain,ya!). Jadi minggu istimewa itu memang istimewa. Penat tapi gembira.
Kita melihat setiap sesuatu dengan signifikan yang kadangkalanya menyusahkan diri sendiri. Saya ada terbaca satu kisah tragis perceraian pasangan yang berkahwin pada 11.11.11 dalam sebuah akhbar tabloid negara. Walaupun bukan terjadi di Malaysia, tetapi ia tetap sebuah kisah masyarakat.
DHAKA - Seorang lelaki Bangladesh yang berkahwin pada 11.11.2011 pada pukul 11.11 pagi akhirnya bercerai dengan isterinya beberapa minit selepas majlis perkahwinan mereka berlangsung.
Lelaki Bangladesh itu, Shawkat Ali Khan berkata, dia tidak mengetahui kenapa isterinya itu bertindak keluar dari majlis perkahwinan mereka.
Namun, pasangannya itu, Farzana Yasmin berkata, dia berasa marah ekoran permintaan keluarga Shawkat yang mahu hantaran perkahwinan termasuk sebuah peti sejuk dan sebuah televisyen.
Amalan hantaran perkahwinan oleh pengantin wanita telah dilarang di Bangladesh.
"Untuk menjadikan majlis tersebut istimewa, saya mengeluarkan kad mahal, mengundang rakan dan saudara-mara untuk menyertai majlis perkahwinan," kata Shawkat yang berusia 32 tahun.
Menurutnya, majlis itu diadakan pada pukul 11.11 pagi pada 11.11.2011.
"Majlis itu berlangsung di sebuah masjid tepat pada waktu itu," katanya yang merupakan seorang guru besar.
Dia percaya 11 merupakan nombor yang bertuah.
"Kami telah merancang parti selepas perkahwinan dua hari kemudian.
"Saya menunggu majlis yang mempunyai nombor tersebut selama bertahun-tahun lamanya.
"Saya tidak mengetahui bahawa ia akan berakhir," tambahnya.
Farzana yang berusia 27 tahun dipuji oleh ramai penduduk Bangladesh kerana pendiriannya berhubung hantaran perkahwinan itu.
Amalan hantaran dalam perkahwinan itu dikritik kerana keluarga pengantin perempuan perlu memberikan hadiah yang mewah kepada si suami.
Ketua polis tempatan, Babul Akhter menyokong dakwaan Farzana dengan menyatakan perkahwinan tersebut berkecai berhubung ekoran tuntutan hantaran yang dibuat oleh ibu saudara Shawkat semasa majlis perkahwinan berlangsung.
Namun, Shawkat menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan dia berkemampuan untuk tidak menerima hantaran itu. - Agensi (Sumber: Kosmo!)
***************************
Sanggupkah kita mengorbankan jiwa demi sebuah pendirian yang membunuh? Nah. tepuk dada, tanyalah selera.
Pada saya 11.11.11 tidap punya apa-apa makna. Boleh untuk mengambil ia sebagai 'sempena', tapi bukan untuk memaksa dan terpaksa.
p/s: Maaf jika tidak selari dengan idea anda di luar sana.
No comments