Bismillah
Entri kali ini sedikit berangka. Dah lama saya niatkan untuk berkongsi cerita, cuma asyik- asyik sibuk dan tak sempat.
April lalu saya telah dipanggil untuk menghadiri sesi ujian bertulis untuk calon Pegawai Tadbir Diplomatik. M41. Saya pun tak sangka juga. SMS dan email yang diterima buat saya agak teruja. Iyalah...sejak tamat pengajian pada tahun 2010, saya tidak pernah dipanggil untuk sebarang temuduga atau ujian Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Saya pun dah tak ingat berapa kali maklumat saya di laman web SPA dikemaskini dalam tempoh tiga tahun tu.
Mungkin ada betulnya juga cakap-cakap orang- Memang susah nak masuk perkhidmatan awam ni. Bergantung kepada rezeki dan kekosongan. Itu pun bukan terus boleh masuk dan duduk silang kaki. Pelbagai ujian, temuduga dan kursus yang perlu dihadiri.
Ok balik kepada cerita saya. Sebaik menerima SMS jemputan temuduga, saya terus menyemak laman web SPA. Segala maklumat telah dikemukakan. Kebetulan, pusat ujian yang saya pilih adalah di Kuala Lumpur, bukan di Pahang. Jadi tidaklah ribut sangat untuk balik ke kampung, berperang dengan kesibukan kerja sekolah dan sebagainya. Ujian bertulis merangkumi empat bahagian:
A. Pengetahuan Am
Saya taklah ingat satu satu soalan yang ditanya. Tapi seingat saya soalannya lebih kepada isu semasa tempatan dan sedikit pengetahuan am luar negara. Yang pasti, calon perlu familiar dengan NKRA, KPI, dasar-dasar negara Malaysia serta sistem pentadbiran negara. Soalan tak susah. Jawapan disediakan, cuma kena pilih yang betullah~ Itu yang susah kalau tak baca.
Antara soalan yang ditanya adalah nombor telefon 1MOCC, Sukan Komanwel Malaysia, negara ASEAN, sistem pentadbiran negara dan banyak lagi. Untuk cemerlang dalam bahagian ini, saya rasa memang kena selalu dengar radio, tengok berita dan baca akhbar. Bahagian ni tak ada silibus, melainkan kekuatan pengetahuan am individu itu sendiri.
Tapi saya akui, saya sendiri agak tunggang terbalik di bahagian ini. Soalannya boleh tahan juga mencabar. Mana yang tak tahu jawapan, memang pejam mata dan tembak sahaja. (TT)
B. Daya Menyelesaikan Masalah
Secara peribadi, saya agak yakin di bahagian ini :) Banyak soalan pengiraan mudah, tetapi masih memerlukan kemahiran. Sebagai pelajar bidang kejuruteraan, saya menganggap ini sebagai satu kelebihan. Soalan tidak akan melepasi silibus SPM dan kalkulator tidak dibenarkan. Maka jelaslah soalan yang dikemukakan adalah mudah. Mudah. Tak tipu.
C. Esei Bahasa Melayu
Aha. Sekali lagi, saya menganggap bahagian ini sebagai satu bonus kepada saya sebagai seorang blogger yang peduli bahasa.
Apa yang mencabar hanyalah soalannya. Tiga soalan, pilih satu. Dalam tiga soalan yang diberi, semua isunya berkisar tentang negara kita. Jadi jika tiada fakta dan huraian, memang susah juga. Salah satu soalan yang saya rasa selamat adalah " Kesan penggunaan media sosial terhadap rakyat Malaysia" (lebih kurang begitulah tajuknya). Gigih jugalah menggoreng dan menggoreng, asalkan tidak hangit. Seingat saya kali terakhir saya mengarang sesempurna itu adalah pada peperiksaan SPM 2004.
Lenguh tangan oi~
Kena banyak membaca, membaca dan membaca. Masa ni barulah menyesal yang FB tu tak memberi manfaat sangat. Tahu?
D. Esei Bahasa Inggeris
Sama seperti bahagian Esei Bahasa Melayu, pengetahuan dan fakta adalah sangat penting di samping kemahiran dan pengetahuan tatabahasa dan perbendaharaan kata Bahasa Inggeris yang baik. Ada isi, tapi tiada kemahiran Bahasa Inggeris atau sebaliknya adalah satu sisi rompong yang akan dikesan dalam bahagian ini.
Saya bukanlah pengguna Bahasa Inggeris penuh dalam perbualan harian.Jadi agak mencabar juga untuk siapkan satu ayat sempurna, yang difahami maksudnya. Tempoh satu jam yang diberi sangat tidak mencukupi. Tapi saya buat sehabis baik. Oh ya...Masih tiga soalan, pilih satu tajuk sahaja. Dan tajuk yang paling selamat yang saya pilih adalah dalam bentuk perbincangan terbuka yang bertajuk (lebih kurang): "What do you mean by job satisfaction"
Heh. Memang kenaaaa sangat dengan situasi saya pada ketika itu. Jadi jujur saya menulis dari hati dan berdasarkan pengalaman sendiri. Antara isi yang saya paling ingat, job satisfaction (kepuasan bekerja) adalah apabila kita dihargai oleh pihak atasan tanpa ada sikap pilih kasih. PILIH KASIH. Mohon terasa.
Berbaloi rasanya keluar dari kolej seawal 6.50 pagi dan sesat barat di seluruh pelosok Sentul. Terima kasih pakcik jaga yang tolong tunjukkan jalan di saat saya rasa Waze sangat WASTE. Susah juga mencari tempatnya. Elis pula tak dapat menolong sebab dia sendiri pun dipanggil untuk ujian yang sama, tetapi di Sekolah Sukan Bukit Jalil. Tempat dia senang nak cari, tempat saya susah woo!
Pada hari menyemak keputusan iaitu pada 17 Mei 2013, saya sangat gigih menunggu di lamat web SPA. Gelojoh ok~Bukan seronok nak tahu dapat atau tidak sangat. Cuma teruja nak tahu pencapaian peribadi saya yang tak pernah menghadapi ujian sesusah itu.
Malangnya SPA telah mengeluarkan tarikh baru pengumuman keputusan iaitu pada 23 Mei. Hahaha. Padan muka
23 Mei selepas 12 tengahari, saya dengan penuh semangat menunggu. Pada hemat saya, saya mesti gagal ujian tu, sebab bahagian Pengetahuan Am sangat susah dan saya tak yakin langsung untuk skor di situ. Itu sahaja bahagian yang saya terkilan sangat. Salah saya juga sebab tak banyak buat persediaan dari segi pembacaan. Tak sempat kut~
To my surprise, saya LULUS. Lama saya termenung...macam tak percaya. Mengenangkan balik soalannya yang susah tu, saya betul-betul tak percaya. Tapi secara peribadi, Alhamdulillah. Kalau ini lorongnya, saya akan berusaha yang terbaik.
Ini bukan soal kerja kerajaan dan jadi macai (macai tu ape?) mana-mana parti politik. Ini soal peningkatan kerjaya saya. Memang ada yang sinis mengatakan saya akan menjadi hamba abdi di Nepal Timur (merujuk kepada Putrajaya) dan macam-macam lagi. Tapi saya bolayankan saja. Dia sendiri pun kakitangan kerajaan. Jadi apa yang dia katakan tu adalah untuk dirinya sendiri. Selesai :p
Berdasarkan pembacaan saya, calon yang lulus ujian akan dipanggil untuk PAC di mana-mana INTAN, dan kemudiannya baru dipanggil temuduga . Tapi untuk kali ini, menurut laman web SPA, calon akan terus dipanggil untuk temuduga. Orang kata untung, tapi saya ada tanya kakak senior saya yang sekarang bertugas sebagai PTD. Katanya tidaklah untung mana pun~ Kalau lulus temuduga, calon tu akan dipanggil untuk program kadet pula. Sama saja. Mungkin mereka pilih yang betul-betul layak sahaja untuk ujian mental kut.Kuikui~
SPA sekarang sedang giat menjalankan temuduga untuk calon yang lulus ujian 13 April lalu dan kumpulan pertama telah berakhir 28 Jun lepas. Saya tak tahu saya dalam kumpulan yang mana...Kena selalu semak laman web SPA bahagian jadual temuduga.
Kebetulan, sewaktu rajin-rajin menyemak tarikh temuduga PTD hujung Jun lalu, saya mendapat satu lagi panggilan temuduga SPA untuk jawatan Pegawai Penyelidik MOSTI pada 4 Julai. Allah...Besarnya peluang dan nikmat yang Dia bagi pada saya. Persediaan ala kadar sahaja, kerana ketika itu saya sibuk dengan peperiksaan akhir dan perlu berkemas pulang dan keluar dari asrama. Kelam kabut. Cerita Pegawai Penyelidik ni saya akan kongsikan dalam entri lain ok :)
Kepada rakan-rakan yang sama haluan dengan saya, selamat maju jaya. Doakan juga saya boleh menghadapi semua ini dengan baik, tenang dan gwiyomi. Ohohoh!~
Salam optimis,
Dhiya
No comments