Bismillah
Lama saya tak cerita tentang kenangan di Korea kan? Siri kembara saya selama 8 minggu ke Daejeon sudah saya tulis dengan panjang lebarnya dalam entri yang lepas-lepas. Cuma macam yang saya cakap dulu, saya mungkin akan terus menulis tentang pengalaman saya secara tidak langsung termasuklah gaya hidup, pengalaman dan rutin selama di sana.
Jadi entri ini akan bercakap tentang ayam. Ayam halal.
Korea bukanlah negara Islam, jauh sekali dapat menyediakan 100% keperluan saya sebagai seorang Muslim terutamanya dalam bab makanan. Dua minggu pertama merupakan tempoh yang agak sukar untuk saya dan rakan-rakan cuba menyesuaikan diri dengan makanan yang sederhana. Pernah kami hanya jamah nasi kosong dengan kimchi kerana lauk-lauk lain ada yang tidak halal dan tidak kena dengan tekak kami. Itu pun kami terpaksa tolak tepi isu bekas makanan sebab makanan kami hanya ditaja di cafe Wellstory.
Saya berjaya mendapatkan jaringan pelajar Malaysia di KAIST dan Alhamdulillah mereka telah bantu kami untuk ke Islamic Center dan beritahu kami tips dan trick kehidupan sebagai seorang Muslim di sana terutamanya dalam mengurus bab makanan. Masa tulah baru saya tahu yang Islamic Center ada menjual daging halal serta rempah-rempah masakan yang kebanyakannya datang dari Pakistan. Syukur.
Kaunter jualan tidak dibuka setiap hari. Ada hari--hari tertentu sahaja. Pernah sekali kami pergi, stok ayam halal yang tinggal sangat sedikit. Itu pun macam kena berebut dengan Muslim lain termasuk yang datang dari Pakistan dan Iran. Saya dan Kak Ammar dapat berkongsi seekor ayam. Jadilah.
Merasa juga makan ayam di Korea. Melepaskan kepingin.
Disebabkan stok ayam halal ni agak susah nak dapat, kami memang agak berjimat cermat. Sementara nak tunggu lagi seminggu stok ayam baru sampai, nak redah 1 jam cuaca sejuk berjalan kaki ke Islamic Center dan keadaan yang jam 5.30 petang je dah gelap dan Masuk waktu Maghrib (walhal kadang-kadang 5.30 petang kami baru habis kelas), memang agak mencabar juga. Tapi itu je lah usaha kami yang sepicing dalam pencarian makanan halal.
Kalau tak ada makanan sedap macamni, bagi saya telur goreng (telur sangat mudah didapati di sana), makan dengan serunding yang saya bawa dari Malaysia pun dah cukup sorga sebenarnya.
Insya Allah apabila saya kembali ke sini satu hari nanti, saya akan datang balik ke Islamic Center ni. Walaupun hanya untuk 8 minggu, banyak pengalaman dan pengajaran yang saya perolehi di rantau orang ini. Tak ada wang ringgit yang dapat membeli pengalaman ini.
Cerita ayam je pun. Tapi sebab isunya adalah ayam halal di Korea, jadi memang seriuslah skit kan~
Nanti saya cerita hal lain pula :)
Salam sayang,
Dhiya
No comments