Teks ucapan Persidangan Parlimen Khas MH17
Datuk
Seri Najib Razak Bentang Usul Mengenai Tragedi Malang Yang Menimpa
Pesawat MAS, MH17 Pada 17 Julai 2014, Di Bawah Peraturan 27(3),
Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat
Tuan Yang Dipertua,
1. Kira-kira jam 11 malam, pada hari Khamis 17 Julai 2014, bersamaan 19
Ramadan 1435 Hijrah, satu tarikh yang tidak akan luput dalam ingatan,
apabila saya menerima panggilan daripada Pengerusi Malaysian Airlines,
Tan Sri Md Nor Yusof, berkaitan MH17.
2. Ternyata, belum pun reda tragedi MH370, kini peristiwa tragik MH17 berlaku tanpa diundang.
3. Bahawa, atas ketentuan Ilahi jua, satu peristiwa tragik telah
berlaku. Dunia secara umum dan khususnya kita rakyat Malaysia, telah
dikejutkan dengan tragedi tidak terduga, apabila pesawat komersial
Boeing 777-200 Malaysia Airlines penerbangan MH17 dari Amsterdam ke
Kuala Lumpur diberitakan terhempas.
4. Dalam tempoh kurang 2 jam,
saya telah tiba di bilik operasi MAS KLIA, bersama beberapa orang
Menteri. Kami diberi taklimat daripada pihak pengurusan MAS tentang apa
yang berlaku. Setelah itu, tanpa berlengah, saya tidak putus-putus
menghubungi dan dihubungi oleh beberapa pemimpin dunia antaranya
Presiden Obama dari Amerika Syarikat, Perdana Menteri Mark Rutte dari
negara Belanda dan Presiden Ukraine Petro Poroshenko tentang musibah
yang terjadi.
5. Selepas itu, lebih kurang pukul 2 pagi, saya
telah membuat keputusan segera untuk menghantar pasukan khas ke kawasan
bencana tersebut.
6. Akhirnya, sekitar jam 5 pagi, saya telah
mengadakan sidang akhbar khas, untuk memaklumkan kepada rakyat Malaysia
dan seluruh dunia, tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku pada
ketika itu.
7. Untuk makluman dewan yang mulia ini, penerbangan
tersebut berlepas kira-kira jam 12.15 tengahari waktu tempatan,
dijadualkan tiba di KLIA pada jam 6.10 pagi waktu Malaysia. Pesawat itu
membawa sejumlah 298 orang, yang terdiri daripada 283 penumpang dan 15
anak kapal. Seramai 43 orang daripadanya merupakan warganegara Malaysia
termasuklah 2 orang bayi.
8. Pihak Malaysian Airlines turut
mengesahkan menerima makluman daripada Pusat Kawalan Trafik Udara atau
ATC, Ukraine yang ia terputus hubungan dengan pesawat MH17 pada pukul
10.15 malam waktu tempatan, kira-kira 50 kilometer dari sempadan
Rusia-Ukraine.
Pernyataan Takziah dan Belasungkawa
Tuan Yang Dipertua,
9. Justeru, bagi mewakili pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya
menzahirkan perasaan amat dukacita, rasa sangat sedih dan kepiluan yang
amat sangat terhadap tragedi yang menimpa penumpang-penumpang serta
anak-anak kapal pesawat MH17.
10. Lanjutan itu, ucapan takziah
dan belasungkawa serta simpati yang sangat mendalam juga, terutama
kepada kepada seluruh anggota keluarga, rakan taulan dan kenalan
mangsa-mangsa tragedi. Adalah diharapkan semoga mereka semua terus cekal
dan tabah dalam menempuh dugaan yang amat berat lagi mencabar ini.
11. Dalam hal ini, kita juga telah memutuskan pada 18 hingga 21 Julai
2014 lalu, Kerajaan telah mengisytiharkan panji-panji negara yakni jalur
gemilang, dikibarkan separuh tiang di seluruh negara.
12. Kepada
yang beragama Islam, marilah kita sedekahkan Ummul Kitab Al-fatihah dan
kepada yang beragama lain, kita bertafakur sejenak.
Fakta-Fakta Mustahak
Tuan Yang Dipertua,
13. Beberapa fakta penting yang perlu diperincikan dalam dewan yang mulia ini.
14. Fakta pertama: Jumlah mangsa yang terkorban. Bagi makluman semua,
Malaysia Airlines telah menyenaraikan kewarganegaraan penumpang dan anak
kapal pesawat MH17 yang terlibat dengan insiden ini. Senarai kemaskini
pada 18 Julai 2014 berdasarkan pecahan warganegara yang dikenal pasti
adalah seperti berikut:
Belanda- 192 orang
Malaysia- 43 orang (termasuk 15 anak kapal dan 2 bayi)
Australia- 27 orang
Indonesia- 12 orang (termasuk seorang bayi)
United Kingdom- 10 orang (termasuk 1 dwi-kerakyatan UK/Afrika selatan)
Jerman- 4 orang
Belgium- 4 orang
Filipina- 3 orang
Amerika- 1 orang (dwi kerakyatan Amerika/Belanda)
Kanada- 1 orang
New Zealand- 1 orang
Ini menjadikan kesemua mangsa yang terkorban berjumlah 298 orang,
terdiri daripada 283 penumpang dan 15 anak kapal. Ini termasuk 83 orang
kanak-kanak dan 3 bayi yang tidak berdosa.
Tuan Yang Dipertua,
15. Fakta kedua: Laluan Penerbangan MAS diperakui selamat. Berkaitan
laluan penerbangan yang digunakan oleh MAS pula, perlu saya jelaskan,
bahawa laluan penerbangan yang direntasi pesawat MH17 ini merupakan
laluan yang diperakui selamat dan diluluskan oleh International Civil
Aviation Organization atau Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa
ICAO, serta negara Ukraine yang ruang udaranya turut dijadikan laluan
penerbangan. Tambahan lagi, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa
atau IATA juga telah menyatakan ruang udara yang direntasi pesawat itu
adalah laluan udara yang selamat.
16. Sebagai contoh, lima belas
daripada 16 syarikat penerbangan dalam Persatuan Penerbangan Asia
Pasifik turut menggunakan laluan ini untuk ke Ukraine. Syarikat
penerbangan Eropah juga menggunakan laluan sama dan merentasi ruang
udara yang sama. Malah, beberapa jam sebelum nahas, beberapa pesawat
penumpang syarikat penerbangan dari beberapa negara Asia turut
menggunakan laluan yang sama.
17. Untuk makluman juga, menurut
Wall Street Journal, yang memetik laporan dari Eurocontrol, terdapat 400
penerbangan komersial, termasuk 150 penerbangan antarabangsa dilaporkan
merentasi ruang udara Timur Ukraine setiap hari. Malah, 2 hari sebelum
berlakunya tragedi ini, sebanyak 75 penerbangan dari pelbagai syarikat
penerbangan yang berbeza turut menggunakan laluan yang sama, sepertimana
laluan yang digunakan oleh Pesawat MH17. Lagi pula, ketika pada hari
kejadian itu juga, juruterbang Pesawat MH17 tidak menerima sebarang
arahan untuk menukar laluan penerbangan.
18. Fakta ketiga:
Fizikal dan Teknikal Pesawat MAS berkeadaan baik. Berkait soal keadaan
fizikal serta teknikal pesawat pula, pada awal pagi 18 Julai 2014 lalu,
MAS telah mengeluarkan kenyataan dan mengesahkan bahawa pesawat MH17
berada dalam keadaan baik. MAS turut mengesahkan semua sistem pesawat
berfungsi seperti biasa, terutamanya Aircraft Communications Addressing
And Reporting System (ACARS) dan transponder pesawat.
19. Fakta
keempat: Undang-Undang Antarabangsa. Tindakan menembak jatuh pesawat
ini, bukan sahaja perbuatan yang sangat zalim, malah bertentangan serta
melanggar prinsip sepertimana yang ditetapkan oleh undang-undang
antarabangsa melalui Convention on International Civil Aviation atau
lebih dikenali sebagai Chicago Convention dan diiktiraf oleh Majlis
Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB dalam Resolusi
1067 (1996).
20. Dalam hal ini, PBB telah sebulat suara menerima
pakai resolusi bagi mendesak puak pemisah memberi akses tanpa halangan
ke tempat kejadian di mana pesawat MH17 terhempas di Ukraine. Ia juga
mendesak agar semua kegiatan ketenteraan, termasuk oleh kumpulan
bersenjata, dihentikan serta-merta di sekeliling kawasan terbabit dengan
insiden berkenaan, bagi membolehkan penyiasatan antarabangsa dilakukan
dengan selamat.
21. Sehubungan itu, saya juga telah mengarahkan
Peguam Negara untuk mengkaji perkara ini dengan mendalam dan teliti,
bagi memastikan sebarang tindakan yang akan diambil oleh Malaysia kelak,
berlandaskan serta selaras dengan undang-undang antarabangsa yang
terpakai dalam hal keadaan sebegini.
Tuntutan dan Gesaan Malaysia
Tuan Yang Dipertua,
22. Sebagai makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada 17 Julai 2014,
iaitu beberapa jam selepas pesawat MH17 terhempas, pegawai di Amerika
Syarikat dan Ukraine mendakwa pesawat tersebut telah ditembak jatuh di
Timur Ukraine.
23. Jika benar dakwaan tersebut berlaku, kita
mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang tidak berperikemanusiaan, tidak
bertamadun, biadap dan bersifat ganas lagi tidak bertanggungjawab oleh
pihak yang dipercayai menembak jatuh pesawat malang MH17.
24.
Namun demikian, buat masa ini, kita tidak menuding jari kepada mana-mana
pihak, sehinggalah bukti benar-benar sahih dapat diperolehi.
25.
Saya difahamkan bahawa kawasan berlakunya kejadian tersebut, telah
dikuasai serta dikawal oleh kumpulan pemisah. Namun demikian, saya
merasa agak marah dan kecewa disebabkan oleh dua perkara iaitu:
Perkara pertama: Apabila saya dimaklumkan bahawa mereka tidak
menghormati kawasan tragedi kemalangan itu sebagai kawasan larangan
serta tidak mengikut atau mematuhi piawai amalan antarabangsa untuk
mempastikan bahan-bahan bukti tidak hilang dan tidak tercemar.
Perkara kedua: Kelewatan dalam mengendalikan tragedi itu, yang
menyebabkan kegagalan memberi penghormatan dan menjaga maruah
mayat-mayat mangsa yang sepatutnya mereka terima.
26. Di samping
itu juga, Malaysia menggesa ICAO, selaku penjaga keselamatan penerbangan
awam sedunia, untuk mengeluarkan resolusi yang mengutuk
sekeras-kerasnya serangan ke atas pesawat MH17, sebagaimana yang telah
dibuat terdahulu dalam kes penembakan pesawat udara yang lain.
27. Tambahan pula, perbuatan menembak jatuh pesawat komersial MH17 ini,
suatu tindakan sangat zalim dan merupakan jenayah yang sangat kejam dan
sangat ganas.
Tuan Yang Dipertua,
28. Seperti yang
dinyatakan dalam Annex 13, Konvensyen ICAO, Kerajaan Ukraine perlu
bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan yang membawa kepada
berlakunya nahas itu. Laporan kemaskini siasatan perlu diberikan kepada
keluarga terdekat sepertimana tertakluk di dalam garis panduan ICAO.
29. Semestinya, Malaysia akan menawarkan sokongan penuh tidak berbelah
bahagi untuk terlibat sama dalam siasatan ini. Untuk makluman, Menteri
Pengangkutan Malaysia, Yang Berhormat Dato' Sri Liow Tiong Lai dan
Menteri Luar, Dato’ Sri Anifah Aman antara yang telahpun berada di Kiev,
Ukraine.
30. Oleh yang demikian, Malaysia juga mengalu-alukan
gesaan untuk siasatan oleh badan bebas antarabangsa mengenai nahas itu,
dan mendesak semua pihak untuk bekerjasama bagi memastikan siasatan itu
dapat diselesaikan. Kita menuntut dan menyokong siasatan antarabangsa
yang bebas dalam tragedi ini. Pihak yang bertanggungjawab terhadap
berlakunya tragedi ini perlu dibawa dan dihadapkan ke muka pengadilan.
31. Berkait dengan itu, pada jumaat lalu, kita telah menghantar sebuah
pesawat yang membawa satu pasukan khas sejumlah 133 orang, terdiri
daripada pasukan SMART, pegawai-pegawai teknikal, kumpulan perubatan dan
Jakim ke kawasan bencana. Satu Pasukan Penyiasatan Khas juga terdiri
daripada wakil dari Malaysia, Belanda, Britain dan Amerika Syarikat
telah dibentuk.
32. Kepada ahli keluarga dan waris mangsa nahas
pula, MAS telah pun menghantar seramai 40 kakitangannya ke Amsterdam
untuk memberi bantuan dan sokongan moral kepada ahli keluarga mangsa.
33. Selanjutnya, saya juga telah menerima banyak panggilan daripada
pemimpin-pemimpin dunia yang memberi sokongan dan simpati serta berjanji
akan menghulurkan pertolongan dalam apa jua bentuk yang terdaya.
Tentunya, bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan
berbanyak-banyak terima kasih atas sokongan mereka dan masyarakat dunia
kepada Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,
Kejayaan Tiga Persetujuan
34. Ketahuilah, secara prinsipnya apa telah dilakukan ke atas mayat
mangsa adalah perbuatan yang salah, namun, setidak-tidaknya hasil
perundingan dengan ketua kumpulan pemisah, kita berjaya mengurangkan
kerosakan yang lebih besar.
35. Lantas, tidak semua tindakan
perlu kita hebahkan. Dengan izin, “sometimes we must work quitely in the
service of a better outcome” yakni, adakalanya kita mesti bekerja
secara senyap dalam perkhidmatan demi mendapatkan keberhasilan yang
lebih baik, terutama ketika berhubung dengan ketua kumpulan pemisah,
dengan nawaitu dan hasrat murni bagi memastikan mangsa-mangsa dapat
dikembalikan serta diberi penghormatan untuk disemadikan, meskipun
masanya sudah berlalu.
36. Alhamdulillah, pada hari Isnin 21
haribulan Julai 2014 yang lalu, dalam keadaan yang sukar, saya terpaksa
mengambil keputusan berisiko, demi kepentingan mayat-mayat mangsa
tragedi dan untuk mendapatkan kepastian serta realiti sebenar tentang
apa yang telah berlaku.
37. Dalam hal ini, saya telah berunding
dengan Alexander Borodai, iaitu Ketua Pemisah Pro-Rusia, kerana kawasan
berkenaan dikuasai oleh mereka. Hasil rundingan tersebut telah berjaya
mencapai tiga persetujuan iaitu:
i) Pertama: Kesemua mayat mangsa
MH17 yang ditemui, yang dianggarkan berjumlah 282, telah dibawa dari
Torev ke bandar Kharkiv di Ukraine dengan menaiki keretapi, sebelum
diterbangkan ke Amsterdam dengan diiringi oleh enam anggota pasukan
penyelamat Malaysia pada jam 1 pagi, hari Selasa 22 Julai 2014 dan telah
sampai pada pukul 11.00 pagi waktu tempatan. Selepas kerja-kerja
forensik yang akan dilakukan di Amsterdam, kesemua mayat rakyat Malaysia
akan dibawa pulang ke tanahair dengan seberapa segera. Saya lakukan
perkara-perkara ini dan akan berusaha sedaya mungkin, sebab saya sudah
berjanji sewaktu bertemu dengan keluarga mangsa, seboleh-bolehnya
menjelang syawal ini, semua mayat mangsa dapat disemadikan dengan
selamat. Barulah damai dan tenteram hati-hati pihak keluarga korban
tragedi.
ii) Kedua: Dua kotak hitam pesawat MH17 telah diserahkan
kepada pasukan Malaysia di Donetsk, pada pukul 9 malam, hari Isnin 21
Julai 2014, waktu Ukraine, untuk dijadikan hak milik Malaysia. Tanpanya,
agak sukar untuk kita meneruskan siasatan. Kotak hitam tersebut telah
diserahkan kepada pasukan penyiasat yang diketuai oleh negara Belanda
dan akan dihantar ke London untuk siasatan lanjut.
iii) Ketiga:
Semua anggota penyiasat bebas antarabangsa diberi akses masuk dan
jaminan keselamatan ke lokasi nahas untuk melakukan siasatan
komprehensif terhadap tragedi MH17. Namun begitu, perkara tersebut belum
lagi menjadi kenyataan sepenuhnya.
Solidariti dan Perpaduan
Tuan Yang Dipertua,
38. Hakikatnya, inilah takwim yang sungguh bertragis bagi kita.
Meskipun begitu, pada saat dan detik-detik sukar lagi amat menduga di
bulan Ramadan inilah kita semestinya memperkukuhkan lagi solidariti dan
semangat perpaduan sesama kita, demi menghadapi semuanya ini. Insya
Allah.
39. Tiada kata-kata yang dapat melukiskan kesedihan. Tiada
umpama yang dapat menjadi ganti kehilangan insan yang dikasihi. Maka
itu, demi menghadapi waktu-waktu sukar ini, tidak kira apa latar
belakang politik dan agama, kita sewajibnya bersatu hati sebagai satu
negara, 1Malaysia.
40. Sehubungan itu, janganlah membuat
spekulasi yang boleh mengaibkan mangsa dan keluarga mangsa. Ini bukan
masanya untuk kita berwenang-wenang di sosial media menceritakan sesuatu
yang barangkali faktanya tidak tepat atau tidak sahih.
41. Pada
kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua
Pembangkang dan Ahli Yang Berhormat Gelang Patah serta ketua-ketua parti
lain, kerana tampil memberi kenyataan yang menyifatkan tragedi MH17,
seumpama pembunuhan beramai-ramai dan pembunuhnya mestilah dibawa ke
muka pengadilan.
42. Meskipun begitu, dalam masa kita masih
diselubungi perasaan dukacita dan kesedihan yang amat sangat, kita
sesekali tidak pernah lupa tentang nasib buruk yang menimpa saudara
seakidah kita rakyat Palestin di bumi Gaza, telah mengorbankan banyak
nyawa yang tidak berdosa, akibat kekejaman serta kezaliman. Oleh itu,
kita mendesak supaya gencatan senjata dilakukan serta merta.
Penutup
Tuan Yang Dipertua,
43. Jelasnya, walaupun banyak ikhtiar yang telah kita lakukan, namun
masih ada lagi tugasan yang perlu diselesaikan. Walaupun masih getir dan
mencabar serta menempuh pelbagai rintangan, kita tidak sekali-kali akan
berhenti separuh jalan.
44. Lantaran itu, kita menggesa
penyiasatan mestilah dilakukan oleh sebuah pasukan bebas bagi menyiasat
punca-punca pesawat MH17 terhempas. Beberapa persoalan yang inginkan
jawapan segera seperti adakah ia ditembak dengan peluru berpandu,
angkara siapa, siapa bekalkan persenjataan, apa motif mereka sebenarnya?
45. Lanjutan, adakah ia ditembak secara terancang, dengan niat
menjatuhkan pesawat komersial atau kesilapan yang tidak disengajakan?
Pasti semuanya ini, perlukan bukti yang jelas dan benar-benar sahih.
46. Walau apa pun yang dilakukan, ini tidak akan dapat mengembalikan
apa yang telah hilang. Bayangkan bagaimana anak yang berusia setahun
membesar tanpa kasih sayang ayahnya iaitu Ahmad Hakimi Hanapi, seorang
pembantu juruterbang, yang menjadi mangsa korban dalam tragedi ini.
Tambah memilukan, ibunya pula telah kehilangan suami.
47.
Bagaimana pula nasib dan masa depan Amarpal Singh, alangkah gundah
hatinya sebagai seorang pelajar perubatan, di mana kos pengajian selama
ini, telah ditanggung oleh ayahnya yang menjadi mangsa tragedi ini?
48. Cuba fikirkan betapa leburnya hati seorang nenek, Jamillah Noriah
Abang Anuar, dari Kuching, Sarawak yang kehilangan 6 ahli keluarga
tersayangnya.
49. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat
lagi bahu memikul. Secara peribadi, saya merasai apa yang mereka alami
apabila nenek tiri saya sendiri merupakan salah seorang daripada mangsa
tersebut.
50. Berkait insiden itu juga, tambah memilukan, dunia
telah kehilangan sekumpulan pakar saintis yang terlibat dalam
penyelidikan berkaitan AIDS dan HIV, sedang dalam perjalanan untuk
menghadiri Persidangan AIDS Antarabangsa di Australia.
51.
Sebenarnya, banyak lagi kisah-kisah yang tidak dapat saya utarakan di
sini. Sebagai contoh, negara Belanda telah kehilangan sejumlah 192
rakyatnya dalam tragedi MH17. Jumlah ini sangat besar berdasarkan nisbah
peratusan penduduk negaranya.
52. Sebab itu, saya berpendirian
bahawa pergolakan geo-politik ini tidak menguntungkan sesiapa. Ini hanya
menyebabkan manusia semakin menderita apabila kehilangan orang
tersayang dan dunia pula kehilangan insan-insan berwibawa.
53.
Justeru, kepada keluarga mangsa tragedi MH17, usahlah merasa bimbang,
kerana selagi jawapan belum ketemu, selagi itulah kita tidak berhenti
mencari kebenarannya. Sesukar dan sepayah mana pun, keadilan yang
dituntut, pasti akan kita kembalikan kepada keluarga mangsa.
Tuan Yang Dipertua,
54. Sesungguhnya jua, let us walk through this difficult time together.
Marilah kita jalani tempoh-tempoh dan waktu-waktu yang payah ini
bersama-sama, bersatu dalam kesedihan. Moga-moga yang Maha Berkuasa
memberi bantuan dan pencerahannya agar ada cahaya penyelesaian di
hujung.
55. Atas segalanya, sempena keberkatan dan hari-hari
akhir ramadan al-mubarak ini, banyakkanlah berdoa dan berharap agar
Allah SWT memberi bantuan serta pertolongan, dalam ikhtiar-ikhtiar kita
mencari penyelesaian. Mengambil iktibar mafhum pengertian surah
Al-Insyirah, pada setiap kesukaran itu pastinya ada hikmah-hikmah
menanti yang telah ditetapkan oleh Maha Pencipta. Dalam segala kudrat
manusia, kepada Allah kita membuat segala penyerahan dan mengembalikan
segala urusan.
Tuan Yang Dipertua, saya mohon mencadang.
Sekian, terima kasih.