Rabu


Alhamdulillah.

Hari ini semuanya berjalan lancar di pejabat. Gembira, ceria dan bahagia. (^^)
(Tunggulah hari Jumaat nanti. Mesti kau tak senang duduk, Dhiya!)

Rasanya kerja untuk Sabtu ni pun dah 80% selesai. Masih merangkak-rangkak mencari rentak. Tapi saya yakin saya boleh lakukannya.

Syukurlah, hari ini saya pulang ke rumah dalam keadaan masih kenal bayang-bayang. Kalau nak diingatkan balik, saya sangat banyak stay back awal bulan lepas. Kalau tak solat Maghrib di pejabat memang tak sah! Tapi sekarang sudah stabil sedikit.

Terima kasih untuk kawan-kawan baik saya yang sudi memuat turun jurnal-jurnal untuk keperluan peribadi. Mungkin tak terguna dalam masa terdekat, tapi saya punya stratergi. Langkah biarlah lambat pun, tetapi mesti penuh hati-hati. Jangan sampai tersadung kaki~

Seronoknya dapat menulis hari ini. Walaupun ceritanya ringkas dan mungkin sukar difahami hujung pangkalnya, tapi saya puas. Saya menulis atas kemahuan dan minat diri. Andai ada yang baik, bolehlah dibuat teladan bersama. Namun kalau ada tiris di mana-mana, jangan dikeji atau dihina. Sama-sama kita buat pedoman~

Cukup dulu. Esok mesti ada cerita lagi.

p/s: Oh!

Syukur Apa Adanya


Sekitar dua minggu lepas, ketika itu hujan rintik-rintik dan rentaknya semakin lebat. Sejak pulang dari kerja, saya masih belum makan. Begitulah selalunya.
Malam itu saya berpeluang ke Domino's Pizza di TTDI. Dalam hujan renyai yang berpanjangan itu, saya gagahkan juga untuk menapak keluar demi perut yang minta diisi.

Selepas membuat pesanan, saya duduk di tempat duduk yang disediakan. Mata saya asyik memerhatikan pekerja-pekerja Domino's Pizza yang keluar dan masuk membuat delivery yang dipesan melalui telefon. Mereka menggalas beg sandang khas yang menyimpan pizza tersebut sebelum sampai ke tangan si pemesan di rumah mereka.

Ketika itu hujan agak lebat di luar. Saya lihat makin ramai pekerja-pekerja Domino's Pizza yang keluar dan menunggang motosikal untuk membuat penghantaran ke destinasi yang ditetapkan.
Allah. Di saat hujan dan semua orang selesa untuk hanya berada di rumah, ada orang yang bekerja dan mencari rezeki dengan memenuhi permintaan orang lain. Ketika orang lain bermalas-malasan untuk keluar dan meranduk hujan, ada insan yang memilih untuk melakukannya demi sebuah tugas dan tanggungjawab!

Tiba-tiba saya menginsafi diri sendiri.
Saya punya cuti Sabtu dan Ahad (walaupun ada kalanya saya perlu hadir bekerja pada hari Sabtu tetapi itupun hanya separuh hari).
Saya hanya bekerja bermula jam 9 pagi dan pulang pada jam 5.30 petang setiap hari (walaupun ada sekali sekala perlu stay back untuk mesyuarat tetapi itupun dibayar!)
Sebaliknya, mereka ada yang perlu bekerja tanpa mengira hari dan waktu demi memenuhi keperluan orang lain. Tidak cukup bernasib baikkah saya ini?

Saya pernah merungut kepada emak dan abah serta Elis dan Nurul yang saya sedih kerana perlu bekerja pada hari Sabtu. Kini saya sangat kesal. Rungutan saya benar-benar menafikan rasa bersyukur saya kepada Allah atas apa yang Dia berikan ini.

Bermula detik itu apabila saya rasa penat dan tertekan dengan kerja, saya pasti akan teringatkan pekerja-pekerja Domino's yang meredah hujan untuk menghantar pesanan dari pelanggan tempoh hari.
Sungguh, dalam diam mereka telah mengajarkan saya erti syukur. Dalam senyum ramah, mereka telah membawa saya menyantuni nilai sebuah kehidupan. Bekerja untuk hidup dan bukan sebaliknya. Allah Maha Mengetahui bahawa rezeki yang dikurniakannNya itu adalah cukup (malah mungkin lebih) untuk kehidupan hambaNya. Kalau kurang pun, itulah bentuk ujian terhadap kita. Tetapi kita perlu yakin yang Dia takkan menguji apa yang kita tak mampu lalui.

Firman Allah bermaksud:

"Kami tidak membebani seseorang melainkan munurut kesanggupannya, dan pada sisi Kami ada suatu Kitab yang membicarakan kebenaran, dan mereka tidak dianiaya."
(Surah Al Mukminun, ayat 62)

Si penghantar pizza telah memberi pengajaran penting dalam hidup saya:
Syukur apa adanya
.
Kerana janji Allah sentiasa benar.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya. Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."
(Surah Ibrahim, ayat 7)

Sungguh orang yang bersyukur adalah golongan yang sedikit. Semoga kita dimasukkan ke dalam golongan yang sedikit itu!

p/s: Tadi membeli ikan patin dari seorang peniaga. Dia bekerja pada hari Ahad sedang saya masih bercuti! Terima kasih atas pengajaran itu.

26 November 2011


Saya sampai di rumah jam 9.30 malam semalam. Huh, memang penat. Tepat jam 5 petang saja, saya dah tak toleh ke kiri dan kanan lagi. Mesti clocked out cepat dan pulang!

***********************
Satu
Pagi ini saya perlu cepat-cepat ke majlis itu. Antara minat dan tanggungjawab, saya selesa menyatakan ia sebagai minat. Bukanlah untuk menang sangat. Tapi hanya untuk mencabar diri sendiri. Terima kasih abah yang sudi temankan Dhiya ke sana. Huuu!
Dipendekkan cerita, saya telah memenangi tempat kedua. Saya tahu abah sedikit kecewa kerana tahun lepas saya menjadi johan. Tapi nak buat macamana. Kalau dah bukan namanya rezeki, buat macamana pun tetap bukan jadi milik saya.
Lagipun kalau jadi johan lagi, saya pasti akan susah hati untuk mengatur cuti untuk ke peringkat seterusnya. Maklumlah, sekarang sudah banyak yang berbeza. Komitmen kerja perlu dipelihara juga. Maka saya redha atas apa yang Dia berikan hari ini. Memang dah terlihat akan hikmahnya kenapa saya tidak menang~

Dua
Saya ke hospital untuk melawat emak Ani yang katanya jatuh ketika membuat kerja-kerja di rumahnya pagi tadi. Tapi kami akhirnya hanya berselisih di jalanan. Tak sempat melawat pun sebab mak Ani dibenarkan balik selepas pemeriksaan. Alhamdulillah tak ada apa yang serius cuma mungkin terkejut...

Tiga
Petangnya, saya hanya berehat di rumah. Sekali sekala memanjakan diri sedemikian rupa tak salah, kan? Tolak ke tepi semua hal kerja yang memberatkan fikiran. Hari ini hari untuk berehat!

Empat
Di sebelah malam, saya dan akak 'menggila' dengan komputer barunya. Hu. Nasiblah. Laptop saya sudah tidak mampu untuk kerja-kerja berat. Jadi apa salahnya kita gasak yang muda belia tu sementara masih mampu...
Malam minggu beginilah. Abah sibuk dengan marhaban sempena kenduri pengantin yang sangat banyak sekarang ni. Balik nanti, kami akan menonton tv bersama. Itulah masa untuk kami bersua.

**********************************
Keluarga kecil, tak sesenang mana...Tapi saya gembira dan bahagia. Bukan wang ringgit yang menjadi keutamaan, sebaliknya nilai tanggungjawab yang menjadi perhitungan. Tak guna wang ringgit dan harta melimpah ruah tapi tanggungjawab antara satu sama lain terabai.

Saya sayang keluarga saya.

1 Muharram 1433


Allahurabbi...

Lorongkan hambaMu ini ke daerah yang paling diberkati. Bukakan hijab yang menutup aku dari kasihMu.

Dekatkan aku dengan rezeki dan kebaikan. Jauhkan aku dari sifat menzalimi diri sendiri apatah lagi orang lain.

Jadikan aku anak yang baik, soleh dan berilmu. Berkati ayah ibuku yang mengasuh mendidik tanpa jemu.

Temukan aku jodoh yang punya iman. Sungguh kalau dia tidak sempurna, maka sempurnakanlah imannya. Jika sempit rezeki dan peluangnya, maka cukupkanlah baginya dan bagi kami berdua.

Allah, atas namaMu...Aku ingin berubah. Menjadi seorang yang lebih baik daripada hari semalam untuk yang lebih baik daripada hari ini. Semoga aku dan seluruh Muslim di bawah taklukanMu tidak tergolong dalam kumpulan yang rugi.

Selamat tinggal Tahun 1432. Semoga Tahun 1433 memberi sejuta rahmat. Amin.

p/s: Mula berfikir tentang isu yang satu itu.

Ubatlah Duka!


Khamis, 24 November 2011.

Ini memang sebuah kesalahan. Tapi biarlah kita gantikan ia dengan keinsafan.

Saya sedar saya bukan seorang yang sempurna. Maka saya juga memang tidak layak untuk mendapat yang sempurna. Tapi jauh di sudut hati, semua manusia mengidamkan kesempurnaan termasuklah saya.

Atas kekecewaan dan kesedihan yang saya alami, saya berazam untuk merubah sesuatu. Memang untuk mengubah sesuatu yang rutin adalah sukar. Hilang sesuatu yang kita biasa ada adalah sesuatu yang janggal. Tapi apa boleh buat. Untuk mendapat yang lebih baik, kita sendiri perlu menjadi baik terlebih dahulu. Inilah namanya mujahadah. Semoga Allah menerima usaha dan jihad hati kami ini dan dimudahkan jalan untuk perjuangan seterusnya.

Saya akui silap saya juga. Saya benar-benar rasa bersalah dan berazam untuk membetulkan kesilapan ini. Saya berdoa agar Allah mudahkan niat ini untuk diterjemahkan kepada perbuatan. Allah, bantulah hambaMu ini!

Seperti memasak, janji saya agar rasanya tetap sama. Cuma apa yang berbeza adalah rencah dan langkahnya sahaja. Semoga Allah mudahkan urusan kita dalam jalan juang yang penuh cabaran ini. Sungguh, Iblis sangat benci kepada orang yang waima baru berniat untuk berbuat kebaikan. Semoga Allah tidak akan membolak-balikkan hati kita.

Setiap Muslim punya satu senjata dalam dirinya- Doa. Itu janji Allah.


Firman Allah Taala maksudnya:

"Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada Ku, nescaya akan aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina."
(Surah Ghafir, ayat 60)

Dan Dia tak pernah memungkiri akan janjiNya...Mari kita tauhidkan ayat ini. Semoga hati kita tsabat dan terus istiqamah menyerah diri padaNya.

Untuk yang mengerti, inilah luahan hati saya. Pasti rasa itu tak akan berubah. Cuma rencah dan langkahnya saja akan berbeza. Mari kita usahakan demi sebuah kehidupan yang lebih baik. Insya Allah.

Salam sayang,
Dhiya

p/s: Dari hati ke hati...

Peluang Menulis


Alhamdulillah.

Hari ini hari Rabu, saya berpeluang untuk menulis!

Sepatutnya saya perlu menghadiri mesyuarat pada jam 7.30 malam. Bayangkanlah...Kalau pukul 7.30 baru nak mula. Pukul berapa baru tamat? Atas dasar keselamatan, saya 'dilepaskan'. Tapi sepanjang hari ini memang penat saya dibuatnya. Macam-macam persediaan diperlukan. Itu dan ini semuanya perlu ready!

Di rumah, saya seorang. Hu. Seronok juga sekali sekala diberi privasi sebegini. Mereka semua entah ke mana-mana, saya tidak pasti. Yang jelas saya senang sekali sekala begitu.

Elis ke Johor petang tadi. Jadi tak adalah teman bersembang setia saya. Maka peluang yang ada mestilah digunakan sebaik mungkin, terutamanya untuk Dari Diri Dhiya~

Sms yang menakutkan

Tadi saya menerima sms dari Elis:

"Kepada sesiapa yang menggunakan highway Karak ke Gombak (dan sebaliknya) semasa hujan, diminta pandu perlahan bermula dari Karak ke Bentong (dan sebaliknya) kerana ada pihak yang khianat dengan meletakkan minyak di atas jalan raya di kawasan Sg. Dua. Petang ini sahaja terdapat 15 buah kereta berpusing dan hilang kawalan. Minta sebarkan kepada saudara dan sahabat..."

Meremang pula saya dibuatnya. Saya paling ingat kawasan Sg. Dua kerana di situlah ada cabang simpang balik ke Temerloh samada melalui Lebuhraya Pantai Timur atau melalui jalan lama.

Tiba-tiba saya jadi takut pula untuk pulang. Tak kisahlah memandu sendiri atau menaiki bas. Aduh! Semoga Allah pelihara perjalanan saya. Amin.

Kepada yang terbaca pesanan di atas, kongsikanlah dengan orang yang tersayang.

Balik kampung

Ini berita paling penting. Balik sempena cuti umum Awal Muharram, balik melihat wajah emak dan abah, balik menatap anak-anak serta balik untuk sebuah perjuangan.

Sungguh minat yang diasuh oleh emak dan abah ini sekarang telah menjadi sebahagian dari darah daging saya. Biarpun masih kekal sebagai seorang gadis yang biasa-biasa sahaja, tapi saya masih minat dengan bidang yang satu itu.

Semoga Allah memberkati emak dan abah. Ilmu bermanfaat itu akan terus-menerus menjadi nadi mereka. Amin. Terima kasih emak, terima kasih, abah!

*****************************
Malam makin lewat. Perjuangan esok entah apa yang menanti. Semoga Allah mudahkan urusan saya esok dan pada hari-hari seterusnya. Jumpa nanti!


20.11.2011


Kebetulan tarikh ini jatuh pada hari Ahad yang sangat indah. Saya bangun pada pukul 6.30 untuk menunaikan solat Subuh. Apabila pintu balkoni dikuak, terasa tenang sekali. Pasti seluruh warga kota masih enak diulit mimpi. Ada rintik renyai di luar. Memang indah sekali!

Dari semalam lagi saya berhajat memandu ke Tasik Titiwangsa untuk 'tazkirah' pagi di sana. Tapi entahlah, penyakit lama ini memang susah untuk dibuang. Walaupun laluan jalanraya pasti tidak sesak, perasaan takut masih menebal dalam diri. Itu kelemahan yang masih gagal untuk saya atasi. Allah!
Sama juga pagi ini, akhirnya selepas solat Subuh saya hanya terpaku di depan laptop yang baru sihat sambil membaca akhbar dalam talian. Kalau Elis atau Yan tahu, mesti saya akan diketawakan. Semangat bukan main, tapi tak sampai juga hajatnya untuk memandu sendiri. Entah apa gunanya Baby-K di bawah tu. (TT)

Lebih kurang pukul 7.30, saya bersiap-siap untuk bersarapan. Memandangkan saya bujang, lebih selesa membeli daripada memasak. Lagipun isu dapur di rumah ini adalah satu isu yang agak berat. Jadi saya tak mahu bebankan diri saya. Nak tahu ke mana saya mencari sesuap makanan? Ha. Saya memandu sendiri ke Kampus Kota Mega yang agak mencabar juga jalannya. (Eh, boleh pula kamu memandu, Dhiya~) Ejeklah, ejeklah. Saya tak kisah sebab kalau dah lapar, saya sanggup berbuat apa saja! Hihihi!

Setelah pulang, semua aktiviti saya hanyalah di rumah. Di saat orang lain keluar entah ke mana, saya selesa bersendirian di rumah. Cukuplah lima hari bekerja adalah hari yang sangat sibuk. Sekurang-kurangnya Sabtu dan Ahad saya tak ada yang mengganggu.

Semua baju yang hendak dipakai untuk kerja sudah siap digosok. Memang puas. Nanti tak perlu ribut-ribut di pagi hari. Boleh lepak-lepak sambil menulis blog (kut).

Petangnya saya puas membaca semua bentuk bahan bacaan di bilik ini. Hobi yang satu ini hanya terpakai di hujung minggu. Di hari lain, jangan haraplah. Sambil di luar hujan rintik-rintik, akhirnya saya terlelap juga. He. Ok lah tu. Berhibernat macam beruang kutub!

Malam ini ada yang istimewa. Tak sabar menunggu. Cepatlah, cepatlah! Walaupun esok adalah hari yang paling tak seronok (kerana hari bekerja), tapi sekurang-kurangnya malam ini saya mahukan yang lain dari yang lain. Apakah ia? Rahsia.

Jom bersiap-siap untuk solat Maghrib. Tak mahu lewat walau sesaat. Allah, mudahkan urusan kami!

p/s: Senyum leret-leret~ Oh ya, tahniah untuk yang melangsungkan perkahwinan pada hari ini.

Kemalangan Laptop.


Sejak dalam pengajian asasi di UM, saya cuma ada sebuah laptop sahaja. Tidak pernah berganti malah tidak pernah rosak (kecuali sekali, itu pun masih dalam warranty period). Walaupun cuma jenama biasa-biasa sahaja, tetapi tahan lama kerana saya akui yang saya tidak pandai sangat untuk mengubah-ubah tetapan atau apa sahaja di dalam gadjet ini.

Semalam adalah hari yang sangat menyesakkan dada. Nyawa laptop saya hampir melayang dek kelalaian dan kebodohan pendek akal orang lain.

Laptop saya itu tidak pernah mengganggu sesiapa di pinggir sudut bilik di rumah sewa. Nak dijadikan cerita, saya menjerang air masak menggunakan pemanas air di atas meja berdekatan dengan laptop itu. Lantas seorang hamba Allah ini meminta sedikit air panas saya cuma iyakan sahaja.
Sedang leka menonton tv di ruang tamu, saya dikejutkan dengan bunyi letupan dari dalam bilik. Apabila saya bergegas masuk, papan kekunci laptop saya basah kuyup digenangi air dan sekelilingnya juga basah. Rupanya air panas tadi dituang ke dalam jag kaca dan jag itu telah meletup kerana tidak tahan panas!

Gelap mata sekejap. Bingung dengan apa yang terjadi. Saya terus mengangkat laptop saya dan menutup suis serta mencabut modem mudah alih serta walkman Sony saya yang masih dicas pada laptop tersebut. Apabila dibalikkan, air menitik-nitik keluar dari celah-celah butang kekunci. .Saya kaget. Tujuh tahun membelanya, tidak pernah terjadi sebegitu rupa. Telefon bimbit saya juga kebasahan hingga terpaksa dibuka baterinya dan dianginkan di bawah kipas. Tidak!

Saya tak pasti untuk marah atau apa. Mungkin juga saya silap kerana menjerang air di dalam bilik. Tetapi apa yang saya ingin pertahankan, itu bukanlah kali pertama saya berbuat demikian. Selama ini pun begitulah juga ia. Apa yang saya kesalkan ialah saya tidak tahu dan tidak perasan yang dia telah menggunakan jag kaca untuk menuang air panas itu. Rasanya semua maklum yang kebanyakan barang kaca tidak tahan panas.

Masih terkejut, saya biarkan laptop saya kering di ruang tamu. Selepas solat Maghrib, saya cuba untuk membukanya. Sekali lagi saya susah hati kerana ia gagal untuk berfungsi seperti sedia kala. Nak marah tak boleh, nak menangis pun tak boleh. Saya hanya diam mengunci diri di dalam bilik. Daripada saya berbuat sesuatu perkara yang tidak bijak, lebih baik saya diam. Beberapa kali saya mencuba, tetapi masih gagal.
Di saat itu saya cuma pasrah. Kalau ditakdirkan rosak, tak mengapalah. Sudah tiba masanya ia berehat dari berkhidmat. Tujuh tahun bukan tempoh yang singkat. Di saat rakan-rakan saya sudah punya laptop kedua dan ketiga, saya masih setia dengannya walaupun sudah banyak yang usang di sana sini!

Malam tadi saya tidur dengan hati yang gundah. Sekejap-sekejap saya terjaga dan cuba untuk menghidupkan laptop saya- Tetapi masih gagal. Tak mengapalah. Itu habuan saya.

Selesai solat Subuh pagi ini, saya mencuba sekali lagi. Alhamdulillah semuanya ok. Setakat entri ini ditulis, semuanya ok kecuali ada sedikit kesan yang tidak enak dipandang pada permukaan skrin laptop saya. Nanti pasti hilang, Insya Allah.

Kenapa saya sangat emosi dengan laptop yang satu ini? Kerana inilah hadiah paling mahal pemberian emak dan abah selepas saya mendapat keputusan peperiksaan SPM dan ingin melangkah ke pengajian asasi UM. Inilah barang paling berat yang saya selalu usung setiap kali pulang ke kampung bercuti. Saya tidak kisah untuk tidak membewa beg balik kampung yang besar, asalkan saya tidak tinggal membawa laptop kesayangan ini. Dengannya jugalah saya selalu meneroka hal ehwal semasa negara serta global di saat saya mula perlahan-lahan meninggalkan surat khabar versi konvensional. Paling penting, dengannya jugalah saya berkarya, menulis, dan mengarang baris-baris ayat untuk diluahkan dalam Dari Diri Dhiya.

Apa yang terjadi, sudahlah. Cuma saya sangat berharap untuk berpindah ke sebuah rumah dan bilik baru yang lebih selesa dan kemas dari sekarang. Saya juga perlukan sedikit privasi untuk terus menulis. Kadangkala bersendirian itu menjadikan saya lebih bijak untuk berfikir di luar landasan. Erm...

Untuk lappy kesayangan, jangan buat Dhiya susah hati lagi, ya!

p/s: Saya maafkan kamu. ..Sendirian di sini. Tak ada tempat mengadu. Seorang jauh nun di Kedah, seorang lagi nun jauh di Pulau Pinang. Oh!

Tak Tertulis


Tak tertulis.

Banyak perkara yang berlaku sepanjang tempoh senyap saya ini. Seperti biasa, komitmen pada tugas menjadi sebab utama saya gagal untuk konsisten dalam menulis. Banyak yang tertinggal, banyak yang terpaksa ditinggalkan. Ketika inilah soal keutamaan menjadi isu!

Alhamdulillah di hening malam ini dapat juga saya menulis walau sedikit. Paling tidak terlepas juga gian mengarang ayat. Dari Diri Dhiya sungguh dekat di hati saya. Maka saya akan cuba sedaya upaya untuk menaruh pengisian di dalamnya.

Insya Allah esok akan datang penulisan lain lagi. Maaf kerana terpaksa membiarkan blog ini lesu dan hanya meriah pada musimnya. Untuk yang membaca- Terima kasih.

Salam sayang,
Dhiya Dahlia

Kenduri Di Desa


Lama entri ni tertangguh. Asyik bekerja, bimbang betul kalau memori ini tak tertulis langsung.

Ahad lepas bersamaan dengan 13 November 2011, keluarga kami telah mengadakan satu kenduri kecil bersempena dengan ibadah korban yang dibuat pada minggu sebelumnya. Alhamdulillah kali ini rezeki akak dan anak-anaknya untuk ibadah yang satu itu.

Agak memeningkan kepala juga kerana Sabtu 12 November itu saya bekerja malah lebih teruk terpaksa menunggu sehingga petang. Ralat juga saya dibuatnya. Mana hendak pulang dari tempat kerja, mana hendak ke stesen bas mengejar diri menuju ke desa. Saya biasalah, air mata cepat tumpah apabila berkait hal keluarga.
Tekad dengan niat, saya memberanikan diri untuk berbicara dengan senior saya dan Alhamdulillah saya dilepaskan awal. (Pukul satu petang masih awal kan?) Itu pun bos di atas seperti tidak puas hati dengan saya. Ah. Tak mahu pandang belakang lagi. Saya angkat beg, clocked out dan terus pulang!
Perjalanan saya benar-benar dimudahkan. Sedari meredah lautan manusia yang ramai di kawasan Masjid Jamek hinggalah membeli tiket di stesen bas, semuanya lancar tanpa masalah.

Saya tiba di rumah jam 6 petang Sabtu. Kanopi sudah terpasang di halaman rumah. Ruang dalam rumah sudah lapang dan siap dibentang tikar. Dapur sudah penuh dengan bahan-bahan memasak. Oh. Seingat saya, kali terakhir suasana seperti ini adalah sewaktu majlis perkahwinan akak 10 tahun yang lalu. Saya rindu, dan air mata pasti merintik lagi!
Biha lah orang yang paling teruja. Katanya ada pengantin dalam rumah ni. Padanya, asal ada kenduri sedemikian maka kenduri pengantinlah ia.

--Uh anak kecil. Kalau kamu mengerti apa isi kehidupan ini, pasti kamu akan tahu apa nilai perjuangan ibumu--

Malamnya saya menolong emak membentang tikar di luar rumah. Budaya rewang masih ada di sini. Jadi kami perlu menyediakan tempat untuk jiran tetangga yang datang menolong dan duduk sambil membuat kerja-kerja seperti mengupas bawang, kentang dan bahan masakan lain.
Syukurnya, cuaca sangat elok tanpa tanda-tanda akan hujan. Malam itu banyak memori yang hinggap dalam fikiran saya. Hanya saya, mungkin emak juga.

**********************
Ahad 13 November 2011

Rumah ini didatangi jirang seawal 7.30 pagi. Inilah yang paling mahal dalam hidup bersama di kawasan kejiranan kecil ini. Nilai kebersamaan masih ada malah sangat teguh menjadi paksi hidup bermasyarakat. Di kota mega bagaimana? Masih adakah nilai ini?

Mak Cik Ani: "Dhiya, berapa orang rombongan nak datang ni?"
Saya: "Rombongan apa?"
Mak Cik Ani: "Eh budak ni, mak cik tanya kamu. Kenapa kamu tanya makcik balik?
Saya: "Betullah...Dhiya tak faham ni."
Mak Cik Ani: "Iyalah...Berapa orang rombongan yang datang untuk majlis bertunang kamu ni?"

Saya tak tahu ini jenaka atau apa. Tapi saya sangat terkejut kalau jiran-jiran tidak maklum akan tujuan kenduri yang diadakan hari ini. Boleh cakap apa jenis kenduri pun, tapi yang pasti bukan kenduri bertunang saya. Mak Cik Ani kelihatan sangat 'nakal' dengan soalan yang diajukannya itu. Emak pula selamba sambil menahan senyum simpulnya. Oh? Dah dekat ke?

Matahari mula naik. Jemputan qariah masjid mula hadir dan majlis dimulakan dengan tahlil ringkas. Selesai semuanya, jamuan pun bermula. Seronok melihat tetamu menjamah makanan yang ada. Rezeki yang ada kita kongsi bersama, Insya Allah.

Petangnya setelah selesai majlis, saya menolong abah mengemas halaman rumah. Uuu, boleh tahan penatnya. Tapi puas sebab melihat jiran-jiran datang dan pulang dengan buah tangan yang dikirim. Lauk pauk juga habis untuk dijamu. Jadi saya dan abah tak perlu fikir banyak sangat- Kami hanya membasuh periuk yang kosong!

Jam 6 petang, saya bersiap-siap untuk pulang ke KL. Ya, saya pulang pada hari yang sama kerana esoknya (Isnin) adalah hari bekerja. Tiada pilihan lain, saya pulang ke kota mega dengan memandu Baby-K saya. Itu lebih baik daripada membeli tiket bas dan terpaksa pulang ketika majlis belum selesai. Terima kasih abah kerana percaya dan sudi 'melepaskan' Dhiya untuk kali keempat memandu ke KL!

Saya tiba di KL di saat hampir seluruh warganya sudah nyenyak tidur. Saya pun bersiap ala kadar untuk bekerja esok, dan terus tidur kepenatan. Tak sempat fikir apa-apa pun melainkan syukur kerana apa yang dirancang baik semuanya.

Maaf kepada rakan-rakan yang tidak terjemput. Ada yang dijemput, tapi tak boleh hadir pula. Nak buat macamana kan...Insya Allah ada rezeki lain nanti, kita akan berkumpul lagi. Terima kasih sekali lagi jiran-jiran yang membantu. Semoga ikatan kejirananan kita utuh sampai bila-bila. Benarlah, desa permai itu memang tempat yang mendamaikan!

p/s: Maaflah, masih belum ada gambar dalam Dari Diri Dhiya ni...


11.11.11


Uh. Inilah entri 11.11.11 yang paling lewat ditulis dalam dunia blog. Cukup sekadar menulis tajuk pada tarikhnya, entri ini terus tersimpan di dalam draf lebih kurang dua minggu. Aduh. Kasihan!

Umum mengetahui yang tarikh istimewa ini jatuh pada hari Jumaat. Jadi memang ramai yang mengambil keputusan istimewa- dari majlis angkat nikah hinggalah melahirkan anak pada tarikh 'cantik' ini.

Salah seorang rakan sekelas saya di Kisas dulu juga telah melangsungkan akad nikahnya pada tarikh ini. Saya ada menerima jemputan majlis persandingannya pada hari Sabtu 12.11.11, tetapi kebetulan saya bekerja pada hari itu. Maka terlepaslah untuk berjumpa dengan pengantin baru! Selepas kerja pula saya terus pulang untuk majlis kenduri di rumah sendiri pada Ahadnya. (Nanti saya cerita lain,ya!). Jadi minggu istimewa itu memang istimewa. Penat tapi gembira.

Kita melihat setiap sesuatu dengan signifikan yang kadangkalanya menyusahkan diri sendiri. Saya ada terbaca satu kisah tragis perceraian pasangan yang berkahwin pada 11.11.11 dalam sebuah akhbar tabloid negara. Walaupun bukan terjadi di Malaysia, tetapi ia tetap sebuah kisah masyarakat.

***************************

DHAKA - Seorang lelaki Bangladesh yang berkahwin pada 11.11.2011 pada pukul 11.11 pagi akhirnya bercerai dengan isterinya beberapa minit selepas majlis perkahwinan mereka berlangsung.

Lelaki Bangladesh itu, Shawkat Ali Khan berkata, dia tidak mengetahui kenapa isterinya itu bertindak keluar dari majlis perkahwinan mereka.

Namun, pasangannya itu, Farzana Yasmin berkata, dia berasa marah ekoran permintaan keluarga Shawkat yang mahu hantaran perkahwinan termasuk sebuah peti sejuk dan sebuah televisyen.

Amalan hantaran perkahwinan oleh pengantin wanita telah dilarang di Bangladesh.

"Untuk menjadikan majlis tersebut istimewa, saya mengeluarkan kad mahal, mengundang rakan dan saudara-mara untuk menyertai majlis perkahwinan," kata Shawkat yang berusia 32 tahun.

Menurutnya, majlis itu diadakan pada pukul 11.11 pagi pada 11.11.2011.

"Majlis itu berlangsung di sebuah masjid tepat pada waktu itu," katanya yang merupakan seorang guru besar.

Dia percaya 11 merupakan nombor yang bertuah.

"Kami telah merancang parti selepas perkahwinan dua hari kemudian.

"Saya menunggu majlis yang mempunyai nombor tersebut selama bertahun-tahun lamanya.

"Saya tidak mengetahui bahawa ia akan berakhir," tambahnya.

Farzana yang berusia 27 tahun dipuji oleh ramai penduduk Bangladesh kerana pendiriannya berhubung hantaran perkahwinan itu.

Amalan hantaran dalam perkahwinan itu dikritik kerana keluarga pengantin perempuan perlu memberikan hadiah yang mewah kepada si suami.

Ketua polis tempatan, Babul Akhter menyokong dakwaan Farzana dengan menyatakan perkahwinan tersebut berkecai berhubung ekoran tuntutan hantaran yang dibuat oleh ibu saudara Shawkat semasa majlis perkahwinan berlangsung.

Namun, Shawkat menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan dia berkemampuan untuk tidak menerima hantaran itu. - Agensi (Sumber: Kosmo!)

***************************

Sanggupkah kita mengorbankan jiwa demi sebuah pendirian yang membunuh? Nah. tepuk dada, tanyalah selera.

Pada saya 11.11.11 tidap punya apa-apa makna. Boleh untuk mengambil ia sebagai 'sempena', tapi bukan untuk memaksa dan terpaksa.

p/s: Maaf jika tidak selari dengan idea anda di luar sana.