Travelog Korea- 17 Nov 2013: Kembali Ke Malaysia (Repost)

Bismillah...

4.30 pagi @ Daejeon Korea Selatan

Rumah tamu mewah tu sudah mula riuh rendah. Kami bertiga dah mula bangun dan bersiap-siap. Bas akan sampai jam 6 pagi untuk membawa kami ke Lapangan Terbang Incheon bagi menaiki penerbangan MAS ke Malaysia jam 11 pagi.
Macam-macam perasaan dalam hati. Lapan minggu yang penuh kenangan pahit dan manis akan mula tersimpan dalam kotak kenangan. Entah bilalah lagi saya akan jejak negara luar. Peluang ini pun orang yang beri. Kalau nak harapkan duit sendiri, memang tak mampu.
Perjalanan mengambil masa dua jam setengah. Sebaik sampai, kami tak ada masa untuk berjalan-jalan sebab perlu terus check-in luggage. Tak mengejutkan kalau beg saya terlebih berat. Memang dah jangka dan saya dah bersedia dengan RM195 sebagai 'denda'. Lantaklah. Janji barang-barang saya, dan saya semuanya lepas balik ke Malaysia!

Wajah gembira nak balik Malaysia. (Padahal dalam hati sayu gilaaaaa)
Ini semua drama je ni. Yep, kami bersepuluh. Dalam lapan minggu tu, kami hidup macam adik beradik. Masa dah nak berpisah ni, memang sayu jugalah.
Ini beg-beg saya yang terlebih berat tu.

Kami tak menunggu lama. Jalan-jalan tak sampai sejam di free-duty shops, dah terus menunggu untuk masuk ke dalam perut kapal. Masa ni dah mula nampak ramai orang Malaysia. Terasa macam jakun sekejap sebab dah lapan minggu hidup dikelilingi oleh orang Korea.
11 pagi @ Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan
Macam mimpi, jam 11 pagi waktu Korea, kami pun berlepas pulang ke Malaysia. 
Saya cuma mampu bisikkan dalam hati; Selamat tinggal bumi Korea! Semoga saya berpeluang untuk datang lagi dan mengambil segala yang baik dari negara ini.
Menu makan tengahari. Nikmatnya dapat makan daging setelah lapan minggu. Terasa Malaysia sangat membahagiakan! Haha~
Penerbangan mengambil masa lebih kurang 7 jam. Semuanya lancar. Tak ada turbulence yang teruk sangat walaupun kami dikatakan 'berselisih' dengan Taufan Haiyan di Filipina. Saya sempat menonton filem Despicable Me 2. Selebihnya, masih tak boleh tidur pun sebab masih teringat turbulence dalam penerbangan datang ke Korea 2 bulan lepas semasa menaiki Korean Air. Dasyat sangat sampai masuk dalam mimpi.
Selebihnya melayan perasaan sambil sekejap-sekejap melihat maklumat penerbangan. Terasa lambat sangat nak sampai!
Half-way home!
Akan merindui Seoul dan seluruh isinya sebagai kenangan terindah yang mematangkan.
 Selepas 7 jam penerbangan, kami akhirnya sampai. Ya Allah...
Tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya saya. Bumi ini terlalu bertuah untuk saya tinggalkan sebegitu lama. 8 minggu, cukuplah!
5 petang @ Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
Selesai semua urusan, saya hanya tiba di balai ketibaan dalam lebih kurang 5.30 petang. Terima kasih Elis yang sudi jemput saya betul-betul depan arrival. Rasa bersalah pula sebab tak dapat belikan minyak wangi kirimannya. Ya Allah, maaf sangat sebab memang saya tersilap.
Kami terus ke gerai ikan bakar di Bagan Lalang untuk makan malam. Memang surprise sangat. Katanya untuk meraikan manusia yang dah dua bulan tak makan lauk Malaysia. Cisss!
10 malam, KTSN Kuala Lumpur
Terussss...saya kemudiannya mendaftar masuk ke rumah tamu KTSN di Kuala Lumpur untuk satu malam sebelum pulang ke Pahang. Kalau terus balik lepas arrival tadi, memang tak sempat sebab bas terakhir saya di Kuala Lumpur pada jam 8 malam. Kelam kabut pun tak bagus juga.
Maka bermalamlah saya ala-ala pelajar universiti di kampus KTSN dan saya mula merindui KTHO di Bangi....
Demikianlah cerita 17 November saya yang hampir memakan masa 24 jam. Penat, sakit badan dan rasa nak tercabut segala sendi. All in all, saya dah selamat sampai ke tanah air dan berazam untuk merencana hidup saya dengan lebih kemas lagi. Pengalaman bermastautin di negara yang sangat maju dan bertamadun buat saya ingin mencontohi sifat baik mereka.
Tunggu cerita yang akan datang, ya!
Salam sayang, 
Dhiya

Travelog Korea- Korea: Ayam Halal di Daejeon (Repost)


Bismillah

Lama saya tak cerita tentang kenangan di Korea kan?  Siri kembara saya selama 8 minggu ke Daejeon sudah saya tulis dengan panjang lebarnya dalam entri yang lepas-lepas. Cuma macam yang saya cakap dulu, saya mungkin akan terus menulis tentang pengalaman saya secara tidak langsung termasuklah gaya hidup, pengalaman dan rutin selama di sana.
Jadi entri ini akan bercakap tentang ayam. Ayam halal.
Korea bukanlah negara Islam, jauh sekali dapat menyediakan 100% keperluan saya sebagai seorang Muslim terutamanya dalam bab makanan. Dua minggu pertama merupakan tempoh yang agak sukar untuk saya dan rakan-rakan cuba menyesuaikan diri dengan makanan yang sederhana. Pernah kami hanya jamah nasi kosong dengan kimchi kerana lauk-lauk lain ada yang tidak halal dan tidak kena dengan tekak kami. Itu pun kami terpaksa tolak tepi isu bekas makanan sebab makanan kami hanya ditaja di cafe Wellstory.
Saya berjaya mendapatkan jaringan pelajar Malaysia di KAIST dan Alhamdulillah mereka telah bantu kami untuk ke Islamic Center dan beritahu kami tips dan trick kehidupan sebagai seorang Muslim di sana terutamanya dalam mengurus bab makanan. Masa tulah baru saya tahu yang Islamic Center ada menjual daging halal serta rempah-rempah masakan yang kebanyakannya datang dari Pakistan. Syukur.
Kaunter jualan tidak dibuka setiap hari. Ada hari--hari tertentu sahaja. Pernah sekali kami pergi, stok ayam halal yang tinggal sangat sedikit. Itu pun macam kena berebut dengan Muslim lain termasuk yang datang dari Pakistan dan Iran. Saya dan Kak Ammar dapat berkongsi seekor ayam. Jadilah.
Merasa juga makan ayam di Korea. Melepaskan kepingin.
Disebabkan stok ayam halal ni agak susah nak dapat, kami memang agak berjimat cermat. Sementara nak tunggu lagi seminggu stok ayam baru sampai, nak redah 1 jam cuaca sejuk berjalan kaki ke Islamic Center dan keadaan yang jam 5.30 petang je dah gelap dan Masuk waktu Maghrib (walhal kadang-kadang 5.30 petang kami baru habis kelas), memang agak mencabar juga. Tapi itu je lah usaha kami yang sepicing dalam pencarian makanan halal.
Kalau tak ada makanan sedap macamni, bagi saya telur goreng (telur sangat mudah didapati di sana), makan dengan serunding yang saya bawa dari Malaysia pun dah cukup sorga sebenarnya.
Insya Allah apabila saya kembali ke sini satu hari nanti, saya akan datang balik ke Islamic Center ni. Walaupun hanya untuk 8 minggu, banyak pengalaman dan pengajaran yang saya perolehi di rantau orang ini. Tak ada wang ringgit yang dapat membeli pengalaman ini.
Cerita ayam je pun. Tapi sebab isunya adalah ayam halal di Korea, jadi memang seriuslah skit kan~
Nanti saya cerita hal lain pula :)
Salam sayang,
Dhiya

Travelog Korea- Sushi King: Tempat Berlatih Guna Chop Stick (Repost)


Bismillah


Teringat lagi dulu--
Sebelum terbang ke Korea, saya berlatih makan pakai chop stick di Sushi Kinglah!
Kalau dikenangkan balik, memang kesian sangat. Saya memang tak reti langsung pegang chop stick ni dari dulu lagi. Bukan setakat tak reti, malah tak minat pun nak belajar sebab tengok pun dah tahu susah bukan main nak makan guna benda alah tu!
Sekali Allah 'uji' dengan peluang hidup di negara yang memang makan guna chop stick. Masa tu tepuk dahi jugalah.
Tapi Elis ni punya la nak tengok saya ni survive, dia bawa saya ke Sushi King dan di situlah tabir kelemahan saya dalam menggunakan chop stick tersingkap. Sungguh, nak suap satu ketul sushi pun terasa payah sangat. Ada sekali tu saya dah macam putus asa, saya cucuk sushi tu dengan batang buluh yang dijadikan chop stick dan saya terus suap dalam mulut.
Orang tengok ke, nak gelak ke- Lantak!
Itu baru makan benda berketul- Kalau makan mee nampaknya saya terpaksa berlaparlah~
Memang
Sebelum saya ke Korea, saya ada beli chop stick khas untuk saya sendiri dan satu set sudu dan garfu (sebagai back-up). Chop stick yang saya beli tu, hari-hari saya pegang dan belajar kepit barang. Kadang-kadang dalam kereta pun saya berlatih.  Sedih kan? Nak gelak pun tak apa. Saya tak kisah.
Tapi apabila saya sampai di Korea, baru saya tahu yang chop stick mereka sebenarnya totally berbeza dengan chop stick yang biasa ada di Malaysia dan digunakan oleh kaum Cina. Tak percaya? Sila Google sekarang atau boleh tengok gambar di bawah.
Chop stick di sini agak ringan dan lebih licin. Di hujungnya sedikit leper dan ada beberapa urat alur untuk 'memegang' makanan supaya tidak jatuh. Uniknya lagi, chop stick di sini mesti dipasangkan dengan sudu. Mula-mula sampai, memang susah nak makan. Saya dengan muka tak malu akan keluarkan set sudu dan garfu saya. Tapi lama-lama pandai juga. Itu pun masih terkial-kial dan selalu jadi orang terakhir siap makan.
<Tak nak ingat dah~>

Pengalaman indah sangat,
Dhiya Dahlia

Cerita Backpacking Solo di Seoul: Hari #2 (Repost)


Bismillah...


Setelah sekian lama, mari saya sambung semula cerita backpacking saya di Seoul pada hari kedua. Macam biasa, entri Korea akan penuh dengan gambar dan entri ini super amat panjang. Hahaha~!
Pagi 27 Oktober (hari kedua) saya bangun awal macam biasa untuk solat subuh. Lisa masih tidur. Jadi saya tak sampai hati nak buka lampu bilik melainkan hanya menumpang cahaya lampu bilik air.
Hari kedua akan menjadi lebih mencabar berbanding semalamnya. Saya akan bergerak sendiri tanpa ditemani sesiapa. Alhamdulillah itinerary untuk hari kedua telah dirancang rapi. Banyak tempat yang tersenarai, cuma pastinya saya akan singgah sekejap-sekejap sahaja. Dan memandangkan saya tak bercadang untuk ke Seoul sekali lagi, saya akan ambil kesempatan untuk membeli belah terutamanya cenderahati yang tiada di Daejeon.
Lebih kurang jam 7.30 pagi, saya sempat ber-whatsapp dengan rakan saya yang lagi enam orang dan saya kongsikan gambar ni. 2 darjah Celcius! Fadz dah bising-bising sebab dia tak bawa sarung tangan. Ann pula menyesal sebab tak bawa trench coat tebalnya. Ingat ye kawan-kawan, jangan lupa untuk sentiasa semak ramalan cuaca semasa. Ianya sangat penting supaya kita dapat bersedia dengan sekecil-kecil benda.
Macam saya cakap tadi, perancangan rapi telah dibuat termasuklah meng-install serta mengkaji peta laluan subway, merancang dan menyusun tempat-tempat yang ingin dilawati berdasarkan masa dan laluan subway dan senarai barang yang ingin saya beli.
Keselamatan masih menjadi keutamaan. 
[1] Beg duit saya simpan di poket jeans sebelah kanan. Saya tak akan simpan dalam poket kecil di beg saya sebab kemungkinan untuk hilang tetap ada.
[2] Kamera gantung di leher. Simpan siap-siap lense cover dalam beg.
[3] Telefon bimbit saya simpan di poket jeans sebelah kiri.
[4] Saya sentiasa memegang peta subway, T-money (kad prabayar untuk menaiki subway) dan buku itinerary kecil saya.
[5] Beg galas saya ada bekal (ketupat, serunding kesayangan dan telur rebus) dan telekung mini. Air mineral dan botol kosong jangan lupa~
Ini peta laluan subway di dalam bandar Seoul. Nampak berselirat kan? Tapi jangan rusuh hati. Ianya senang untuk difahami. Dan kalau kita berada di dalam stesen sebenar pun, kebarangkalian untuk sesat adalah 1% sahaja. Tanda arah ada disediakan. Tapi sebelum tu adalah sangat penting untuk kenal pasti destinasi yang kita nak pergi supaya kita tahu kita nak ke stesen mana, guna laluan mana (yang dibezakan dengan warna) dan exit yang mana. Alah macam kat Malaysia, kalau nak pergi Masjid Jamek, mesti kena turun stesen Masjid Jamek. Kalau turun stesen Taman Jaya, dah sesat barat entah ke mana ...Ha macamtu lah~
Antara suasana dalam subway. Kadang-kadang betul juga yang teknologi ni membunuh sifat keinsanan. Dah jadi anti sosial sebab masing-masing membelek telefon masing-masing. Tapi yang sorga sangat kat sini adalah- stesen subway mereka ada wifi percumaaaa! Kalau hari-hari guna kemudahan subway ni, agaknya memang saya pun akan jadi anti sosial macam mereka. Sigh...
Subway mereka sama je macam Putra Malaysia. Cuma lebih kemas, mesra penumpang dan penumpangnya yang lebih sopan dan tak kasar macam orang kita. Hahah! Seoul ni tak pelik sangat kalau ternampak orang bertudung seperti saya berada di dalam Subway. Pernah di Daejeon, seorang mak cik ni bukan main seronok membelek tudung yang saya pakai sebab di daerah Daejeon agak jarang menerima orang luar selain pelajar antarabangsa yang sangat terhad. Nak cari Muslim memang susah.
Destinasi pertama saya pagi itu adalah untuk Seoul Station sebab saya nak simpan luggage saya terlebih dahulu. Hasil belian semalam saya dah masukkan dalam luggage tu. Nak berjalan banyak tempat, lecehlah nak heret luggage tu. Lagipun nampak pelik! Di kebanyakan stesen subway, memang ada disediakan auto-pay locker yang pelbagai saiz untuk kemudahan penumpang menyimpan barang sebab jalan-jalan di Seoul sambil bawak barang kiri kanan memang tak best!
Tapi nasib tak menyebelahi saya hari tu. Kebanyakan locker ni penuh dan yang bersaiz besar kalau ada pun tak muat dengan luggage saya. Jadi anda boleh agak la yang luggage saya tu memang besarnya dah macam nak terbang balik ke Malaysia.
Atas bantuan seorang pegawai di situ, dia telah menunjukkan saya satu pusat menyimpan beg khas untuk luggage. Kedai ini terletak  di B2 Seoul Station. Kena 2 kali turun escalator. Memang mencabar juga sebab ini pengalaman pertama. Jujur saya katakan, masa saya banyak terbuang di sini. Kalau saya tahu dari awal ada perkhidmatan macamni, tak adalah saya pergi tengok auto-pay locker satu persatu.
Ini pintu depan kedai tu. Premium Travel Center menyediakan khidmat menyimpan luggage pada kadar tertentu bergantung kepada saiz luggage kita. Macam luggage saya tu, saya dikenakan KWN15000 untuk satu beg. Kedai ni ditutup pada jam 8.30 malam. Jadi kena pandai-pandai rancang masa untuk kembali ke sini dan ambil balik luggage. Kalau tak, nanti dia kurung luggage korang. Padan muka. Haha~ Macam saya, tak ada masalah sebab tren balik ke Daejeon pun 7 malam. Jadi sudah pastinya saya akan berada di sini paling lambat pun 6.30 petang. Bingo!
Disebabkan takut lupa dan sesat punya pasal, saya ambil beberapa gambar supaya saya boleh ingat balik kat mana kedai tu. Seoul Station sangat besar ok. Dah macam KLIA nun~. Jadi memang kena beringat masuk ikut mana, keluar ikut mana dan lalu jalan mana.
Cuba tengok jam tu. Baru kat Seoul Station, dah cecah pukul 10 pagi. Sedihnyaa!
Antara landmark di tingkat satu Seoul Station.
Selesai urusan di Seoul Station, saya ke destinasi Pertama iaitu Namdaemun Market. Ann beritahu saya Namdaemun Market ni ditutup pada hari Ahad. Tapi masa saya sampai tu, Namdaemun Market ni sedang mula dibuka. Banyak kedai masih ditutup tapi dalam tempoh setengah jam, saya dapat rasa laluan Namdaemun Market mula meriah dengan penjual dan pengunjung.
Saya memang memilih Namdaemun Market sebab dah buat survey, memang membeli cenderamata di sini lebih murah berbanding Dongdaemun, Myeondong atau Insadong. Namdaemun Market ni juga sangatlah besar, panjang dan banyak lorong. Sekali lagi saya menggunakan kaedah mengambil gambar supaya saya boleh ingat jalan datang saya. 
Seronok rupanya berjalan sendiri ni. Kita tak terikat dengan sesiapa dan tak perlu risau orang lain menunggu kita. Saya sempat berselisih dengan beberapa orang solo dan duo traveler di Namdaemun Market. Mereka pun macam saya, cuma bezanya mereka memang datang bercuti dari Malaysia. Bila saya cakap saya pelajar dari Daejeon mereka kata saya punya benefit. Benefitlah sangat bro~ Makan tetap susah, sebab tu aku bawak ketupat dan serunding ikan mak! Haha
Antara pemandangan di Namdaemun Market. Namdaemun Market menjual banyak benda termasuklah cenderamata, pakaian dan beg-beg yang comel. Gila. Memang gila. Mujur juga saya dah tinggalkan luggage saya siap-siap di Seoul Station. Kalau tak, saya akan beli dan sumbat dalam luggage sampai tak sedar diri. Hoiih~
Namdaemun Market pun ada kedai kosmetik, tapi tak banyak macam Myeondong. Sebab tu orang cakap kalau nak beli barang kosmetik, belilah di Myeondong sebab lebih banyak pilihan dan lebih murah.
Daaaaaaaaaaaannnnn inilah kegilaan saya selama berada di Korea. Baik di Daejeon mahupun di Seoul, saya memang suka membeli wide shawl yang dijual dalam pelbagai corak. Orang di sini menggunakannya sebagai mafla utnuk menutup leher mereka sewaktu dalam cuaca sejuk. Sebab tu materialnya dibuat dari kain kapas dan lembut. Saya bukanlah orang yang suka mengenakan shawl malah tak pernah pun pakai shawl. Tapi disebabkan ianya labuh, lebar dan materialnya macam tudung bawal biasa, jadi saya beli banyak sangat. Kalau tak silap ada dalam 25 helai. Selama di sana, saya jumpa banyak harga. Mula-mula KWN10,000 tu dah kira murah masa saya jumpa di Home Plus Daejeon. Tapi di Seoul, saya bayar KWN5000 untuk 3 helai wide shawl. Ada satu kedai tu, saya dapat KWN4500 untuk 3 helai. Uwaaaa! Gilaaaa! Abang-abang di dalam gambar tu tak habis-habis melobi saya membeli wide shawl di gerainya. Tersangkut jugalah lagi 3 helai. Mencik!
Di Namdaemun Market, saya dapatkan tshirt I Love Korea untuk kesayangan-kesayangan saya di Malaysia. Di lorong mula-mula tu , tshirt I Love Korea dijual pada harga KWN10,000 sehelai. Nasihat saya supaya jangan terus beli. Kena jalan lebih sikit dan bandingkan harga. Memang betul. Kedai-kedai di bahagain dalam Namdaemun Market sebenarnya menjual tshirt tu dengan harga yang lebih murah. Saya dapat beli pada harga KWN10,000 untuk 3 helai tshirt. Macamana tu? Of course kita sebagai pembeli kena pandai survey dan jangan terlalu cepat membuat keputusan :)
Selebihnya saya dapat beli penanda buku yang cantik-cantik pada harga KWN1000 setiap satu. Pun murah sebab di Daejeon, harganya mencecah KWN2500.
Memang tak boleh lama-lama la di Namdaemun Market ni. Poket nipis, hati sakit. Hahah. Matlamat saya sekarang ni adalah untuk pergi sebanyak tempat yang boleh, tapi sekejap-sekejap sahaja. Nak rasa jeeee :)
Sebaik keluar dari Namdaemun Market, saya kembali ke stesen subway dan menghala ke destinasi seterusnya.
Stesen subway ditandai dengan tangga menuju ke bawah. Jangan bimbang. Ramai orang, bersih dan selamat.
Stesen berikutnya!
Saya kembali ke Myeondong! Tapi kali ni melalui pintu lain. Nak rasa cabarannya sendiri. Orang sangatlah ramai dan saya pun tak berhajat untuk membeli apa-apa.
Sempatlah singgah Skinfood sekejap untuk menjamu mata. Rasanya Myeondong hari kedua ni hanya untuk lawatan sahaja, bukan untuk membeli belah.
Selesai menyusur laluan Myeondong, saya terus kembali ke subway, mencari stesen Chungmuro.
Stesen Chungmuro akan membawa saya ke satu lagi Hanok Village di Seoul selepas Bukchon Hanok Village.
Yep! Saya ke Namsangol Hanok Village! Pada asasnya semua Hanok Village pun sama je. Tapi saya suka masuk sebab tak jemu untuk lihat kebudayaan dan kesenian tradisi mereka. Saya betul-betul jatuh cinta dengan Hanok Village. Rasanya selama di Korea, saya dapat masuk 5 buah Hanok Village termasuk di sekitar Daejeon dan Gongju :)
Keluar je dari stesen Chungmaro, terus nampak Hollys Coffee. Haruslah ambil gambar kalau rasa tak mahu sesat. Saya pun tak tahu sebenarnya di mana Namsangol Hanok Village ni. Tapi kadang-kadang kita kena ikut instinct dan langkah kaki sendiri. Lagipun flow manusia kat sini secara automatik akan membawa kita ke destinasi yang dituju. Kalau tak silap, stesen Chungmuro memang ada satu je destinasi pelancongan iaitu Namsangol Hanok Village.
Oh ye. Namsan Park pun berada di sekitar Namsangol Hanok Village ni, tapi saya rasa perlu ambil bas kalau nak ke sana. Maaflah, saya tak ke sana sebab Dr. Jung dah pernah bawa masa student trip yang mula-mula dulu. Jadi saya tak pasti sangat. Huuu
Yang seronoknya, Namsangol Hanok Village ni tiada yuran masuk. Rasanya semua Hanok Village yang saya pergi pun memang percuma. Bagus kan?
Gambar pintu masuk yang saya ambil dari dalam. Stesen subway Chungmuro hanya beberapa meter dan terletak di balakang bangunan coklat tu sahaja. Dekat sangat.
Persembahan nyanyian. Tempat ni memang macam astaka terbuka dan ada tempat duduk untuk penonton duduk dan menonotn persembahan. Lama juga saya duduk di sini untuk ambil nafas di samping mengemas barang-barang yang saya beli tadi dan menyemak destinasi yang tinggal.
Pintu masuk yang dapat anda lihat tu adalah pintu untuk ke dalam Hanok Village yang ada bangunan tradisi tu.
Astaka yang menyediakan tempat duduk untuk penonton.
Saya ambil peluang untuk masuk ke dalam dan melihat banyak aktiviti menarik.
Membuat dan mewarnakan topeng. Semua aktiviti ni akan dikenakan bayaran.
Jalan-jalan tak kena bayar. Huhu
Lupa saya nak cakap. Lawatan saya yang ini adalah lawatan yang paling kurang gambar sendiri sebab tak cukup kakitangan. Banyak ambil gambar sekitar je. Adalah sedikit-sedikit minta tolong orang ambil gambar. Nak ber-selfie banyak pun tak ada semangat. Hahah
Kat sini boleh pakai Hanbok (Pakaian tradisi orang Korea), tapi kena bayar. Haruslah tahan nafsu. Ada nanti tempat yang boleh pakai percuma. Jadi kepada rakan-rakan sekalian, jangan buang duit untuk pakai Hanbok berbayar. Cari yang percuma, tahu!
Lama juga dalam Namsangol Hanok Vilage ni. Seronok sampai tak sedar dah makan masa.
Way out from the Hnaok Village. Ternampak anak-anak ni mengenakan alatan tradisi lama. Comel je.
Ok kita berkejar ke destinasi seterusnya!
Please take note sebenarnya banyak sangat destinasi persinggahan saya. Yang saya catatkan di sini adalah yang paling outstanding dan saya dapat singgah lama. Kalau nak tulis semua, haruslah pembaca saya menyampah. Hahah~

Jom turun ke subway!
Sebenarnya kita tak perlu sesiapa pun untuk ajar naik subway ni. Apa yang hanya kita perlu buat adalah ambil masa dalam 30 minit malam sebelum memulakan perjalanan dan study skit tentang pathway ni, Insya Allah dah boleh faham. Kalau saya yang penakut dan tak berapa yakin ni boleh buat, saya yakin anda lagi boleh buat.

Destinasi seterusnya adalah destinasi impian saya.
Itaewon!
Itaewon terkenal dengan hub migran asing dan kebanyakannya didominasi oleh komuniti Islam Timur Tengah. Jadi tak hairanlah kalau Itaewon menjadi syurga bagi mendapatkan makanan halal sedia masak ataupun bahan mentah seperti ayam dan daging.
Memang banyak kedai makanan halal di sini. Tapi untuk makan di sini, tak termasuk dalam itinerary saya. Lagipun tak berbaloi sebab saya seorang.
Gambar sekitar mendaki ke Masjid Itaewon. Boleh tahan juga mengahnya nak menjejak masjid ni. Tapi demi azam peribadi, saya gagahkan juga. Pada saya- Alang-alang dah jejak Seoul, memang kena usaha sampai ke Masjid Itaewon ni! Tak gwiyomi lah kalau tempat membeli belah semua boleh jejak, nak rasa solat di sini bukan main lagi banyak alasannya.
Paling saya berhajat besar, saya nak singgah beriktikaf dan bersolat di Masjid Itaewon. :) Kebetulan saya sampai tu dah pukul 4 petang. Molek sangat untuk saya solat jamak ta'akhir di situ.
Tempat solat wanita terletak di bahagian atas. Tapi sebelum tu, ambillah wuduk siap-siap sebab tandas dan tempat wuduk terletak di bawah.
Gambar ruang solat lelaki, diambil dari tempat solat wanita. Saya sempat bersembang dengan beberapa pelajar Malaysia yang mengadakan usrah di situ. Sejuknya rasa hati. Mereka siap offer nombor telefon, FB dan alamat rumah lagi sebab saya cakap saya student di sini. Ukhuwwah lagi teguh dan dihargai apabila kita ada dalam keadaan macamni. Sebab saya dah pernah lalui dan rasakannya :)
Gambar wajib. Lama juga saya duduk di depan masjid ni melihat ragam orang. Paling awesome, saya sempat buka lunch box saya yang ada ketupat, serunding dan telur rebus tu dan makan dengan penuh bangganya. Berani? Ada beberapa kumpulan orang Malaysia yang lalu hanya senyum. Eleh mesti korang rindu nak makan makanan Malaysia kan~ Lalala
Selama saya duduk di depan masjid ni, banyak saya fikir tentang Islam. Betapa kita di mana-mana pun, Islam itu tertegak dengan megahnya atas syahadah kita. Masa tu saya sedar saya ni hanya  sebahagian hamba Allah dari berjuta-juta lagi dari negara dan zaman yang lain. Kecil sebenarnya kita ni. Jadi kalau rasa pernah jalan mendongak bongkak, perlu rasa sebenarnya kita tak layak. Baru tengok masjid ni, saya dah rasa kecil sangat. Menitis air mata. Sayu je. Kalau di depan Kaabah...Entah bagaimanalah. Allah...
Masjid Itaewon terletak di atas bukit,jadi kita boleh nampak kawasan sekitar Seoul dengan jelasnya.
Dalam perjalanan turun. Saya tak sempat jamak taqdim Maghrib dan Isyak di sini sebab mengejar masa untuk kembali ke Seoul Station. Nak berjalan lagilah memakan masa. Saya tak suka tergesa-gesa, jadi saya bergerak awal. Nanti solat jamak akan saya lakukan di Seoul Station.
Matahari dah mula terbenam. Memang alang-alang dan sedih sangat tak dapat solat di masjid. Tapi apakan daya, saya pun musafir mengejar masa. :(
Saya juga sempat curi masa untuk masuk ke kedai Islamic Bookstore ini. Dapatlah beli tasbih untuk abah. Brother yang jaga kedai ni adalah seorang lelaki berkulit hitam yang sangat fasih berbahasa Arab. Masa saya masuk, ada seorang rakannya dan mereka sedang bersembang dan ada seorang lagi lelaki dengan anak OKU di dalam stroller. Mereka menyantuni anak perempuan dalam lingkungan 6 tahun tu dengan baik sekali.
Saya sempat cakap yang saya faham perbualan mereka tadi dan mereka sangat terkejut dan gembira sambil terus berbual dengan saya dalam Bahasa Arab. Masya Allah, mereka sangat ramah!
Apabila saya minta diri untuk ke subway, mereka ajar saya bagaimana untuk ke Seoul Station dengan menaiki bas. Mereka mengajar saya dengan bersungguh-sungguh sampai sanggup melukis peta. Kata mereka, kalau naik subway, saya perlu berpatah balik dan perlu transit ke laluan lain. Kalau naik bas, sekali je, terus sampai Seoul Yok. (Seoul Station)
Kalau saya sampai lagi ke Itaewon, saya akan singgah lagi ke kedai ni dan tunjuk balik peta yang mereka bagi tu. Wallahi saya akan simpan  peta tu sebagai tanpa pertolongan sesama saudara Islam yang sangat ikhlas.
Jalan yang saya lalui untuk menunggu bas. Mula-mula memang gementar juga. Tapi saya fikir saya nak cuba juga sebab lepas ni dah tak tahu bila lagi akan sampai ke sini.
Semasa menunggu bas, ada seorang lelaki berwajah Asia menunggu bas. Saya maniskan mulut bertanya untuk confirmkan balik betul ke bas ni akan ke Seoul Yok.
Lelaki itu sangat membantu. Sambil menunggu bas, dia sempat bertanya perihal saya dan sebaliknya. Dia memperkenalkan diri sebagai seorang pensyarah di kawasan ini dan berasal dari Filipina.
Semasa bas saya sampai, dia yang tolong cakapkan pada pemandu bas tu supaya turunkan saya di Seoul Yok. Alhamdulillah musafir saya dikelilingi oleh orang yang baik-baik dan mulia sekali.
Sampai di Seoul Yok, saya tidak terus mengambil beg. Masa tu lebih kurang jam 6 petang. Saya ambil wuduk dan solat jamak taqdim di tepi tempat menunggu yang agak tersembunyi. Alhamdulillah syukur.
Jam 7 malam, kesemua 7 orang kami sedia untuk menaiki tren dan berlepas pulang ke Daejeon.
Suasana dalam tren. Oppa yang tidur mati tu telah menyebabkan Che tak dapat keluar semasa kami tiba di Daejeon Station. Hahaha.
Alhamdulillah kami selamat sampai ke Daejeon jam 9.30 malam dan memang just nice dapat bas akhir untuk balik ke kampus. Nampak macam kerja gila, tapi Allah je tahu betapa saya gembira dapat mencedok pengalaman dan pengajaran dalam rehlah ini.
Terima kasih kerana membaca.
Saya akan terus menulis entri Korea yang seterusnya. Doakan saya terus berjaya dan gembira dalam redhaNya.
Salam sayang,
Dhiya