...Setahun Yang Lalu...

Jam sudah menginjak ke pukul 1 pagi 7 Ogos 2011. Mata ini masih belum layu untuk tidur sedang diri sangat teruja dengan segala apa yang berlaku pada tarikh ini setahun yang lalu.

***********************

7 Ogos 2010

Pagi itu adalah hari keterujaan buat semua warga KEU 060 terutamanya saya. Setelah empat tahun berada di Kampus Kota Mega, akhirnya saya bergraduasi. Keringat dan air mata yang gugur itu akhirnya dinilai sebagai sebuah kejayaan yang diterjemahkan menjadi sebuah majlis keraian.
Sejenak saya terfikir, inilah rupanya jejak jalan saya ke menara gading. Kalau dulu semasa di zaman persekolahan, emak, abah dan guru-guru tidak putus-putus memberi motivasi agar belajar hingga ke menara gading. Saya sering gagal membayangkan bagaimanakah bentuk dan sifatnya.
Nah, hari ini setahun yang lalu...Ianya sudah terjawab. Sebuah elemen yang tidak mempunyai bentuk jauh sekali boleh disentuh, tetapi ia mempunyai sifat dan kualiti sebagai seorang yang berilmu, beramal dan berjaya (Insya Allah semuanya).

Ya, mungkin Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) saya tidak setinggi yang lainnya. Tetapi saya tahu apa usaha yang saya letakkan, apa ikhtiar saya setiap kali perlu ke medan juang. Sekurang-kurangnya saya mampu memberi saingan dan berdiri sebaris dengan rakan-rakan yang lebih baik daripada saya.

Dalam tempoh setahun itu, saya melihat diri saya dari sudut pandangan sendiri. Perjalanan meniti dunia kerjaya sungguh tak semudah yang disangka. Kalau dulu ketika masih belajar, kami semua selalu merungut agar semua itu berlalu pantas. Stigma kami, dunia kerjaya lebih relaks dan menggembirakan.
Namum kami salah. Saya salah. Hidup menjadi seorang yang bekerjaya menuntut pengorbanan yang lebih banyak berbanding sebelumnya. Itu belum dibincang lagi ujian getir untuk mendapatkan satu-satu jawatan yang ditawarkan. Saingan yang sengit, ilmu pengetahuan am yang cetek, kemahiran komunikasi yang dangkal serta sifar pengalaman benar-benar menjadi penghalang untuk memulakan langkah kerjaya.

Saya juga pernah melalui jalan yang sukar dalam hal ini. Antara tuntutan peribadi dan persepsi masyarakat, saya kadangkala menjadi tertekan dan terdesak untuk mendapatkan pekerjaan. Tapi semua itu dilalui juga walaupun payah. Alhamdulillah selepas setahun, saya kini semakin bijak memilih, semakin tahu untuk bagaimana menjadi yang terpilih.

Bertahun-tahun pun kisah ini telah berlalu, saya akan terus mengingatinya sebagai satu memori indah. Inilah sumber motivasi saya untuk membela diri dan keluarga. Kerana setahun lepas itu jugalah, saya kini sedang giat menyiapkan kertas kerja untuk pengajian ke peringkat seterusnya. Cabarannya banyak, semoga Allah mengurniakan sifat gigih agar saya tabah untuk melakukannya. Amin...

'Ala kulli hal, Syukur Ya Allah kerana memberi saya peluang untuk merasai pengalaman yang memotivasikan itu. Semoga ianya juga turut menjadi inspirasi kepada seluruh ahli keluarga dan generasi masa depan nanti. Insya Allah.

Banyak lagi yang tak terkongsi. Baik tunggu saja~ Jumpa nanti!

P/s: Wah...Seronoknya dapat menulis!

1 comment