Kisah Kad Raya


Dua minggu lepas, datang satu mesej dari seorang rakan baik saya meminta alamat rumah. Katanya mahu menghantar kad raya.

"Iyalah..Kad raya! Dah lama tak disebut." Saya mengomel sendiri...

Benar. 10 tahun yang lalu ketika saya masih di bangku sekolah, saya dan rakan-rakan akan bertukar-tukar alamat supaya kad raya boleh dihantar ke rumah menjelang lebaran. Di kedai-kedai alatulis pula terjual bermacam-macam jenis dan saiz kad raya.
Pada satu tahap, kita akan ke pejabat pos membeli berpuluh-puluh keping setem yang ketika itu hanya berharga 30 sen dan datang dengan kad raya yang banyak hingga perlu diikat-ikat supaya tidak berterabur!

Hari ini semuanya berubah 360 darjah. Saya fikir sudah lama tidak menerima kad ucapan hari raya, rasanya sejak belajar di universiti lagi. Kalau ada pun, satu dari kawan jauh yang belajar di Ireland suatu masa dulu. Pelik kan? Yang di Malaysia tak pula menghantar kad raya. Yang jauh beribu batu yang bersusah payah merentas awan biru. Huu!

Perkembangan teknologi yang tidak boleh disekat juga menjadi sebab mengapa kaedah konvensional ini semakin dilupakan. Sejak saya membuka akaun Facebook, banyak ucapan yang hanya ditag di sana. Malah, ucapan selamat melalui SMS sudah menjadi perkara biasa yang wajib. Telefon bimbit buruk saya pasti mengalami kesesakan dek terlalu banyak SMS yang diterima dari kawan-kawan dan saudara mara. Menjadi lebih mudah, kadangkala saya juga berbuat demikian.

Tahun ini memori lama saya berulang. Sekeping kad raya diterima dari salah seorang kawan baik saya, An. Yeaha, akhirnya!!!
Terima kasih, An atas kesudian bersusah payah membeli, menulis dan mengepos kad raya. Biarpun hanya sekeping kad, tapi apa yang lebih bermakna adalah ingatan dan doa yang dikirim. Nilai persahabatan itu kadangkala tak terjemah dengan penulisan yang panjang, tapi cukup terbukti dengan keikhlasan dan perlakuan.

Ini kisah kad raya tahun ini. Tahun depan belum pasti lagi. Entah masih dijual di pasaran entah tidak. Kasihan anak cucu kita kelak, pasti berasa pelik mendengar kisah apa itu kad raya. Mereka pasti sibuk melakukan tagging ucapan di Facebook atau mungkin lebih canggih dari itu!

p/s: Kad raya oh kad raya

No comments