Hari ini merupakan hari ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-54. Berturut hari dengan 1 Syawal, saya percaya ini suatu yang istimewa buat negara. Perayaan berganda ini pasti membawa seribu satu signifikan yang mendalam khususnya dari aspek perpaduan negara.
Melihat kepada pelbagai cabaran dan isu yang dihadapi sekarang, kita semua sedang tercari-cari medium yang terbaik untuk menyatu padukan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Saya sendiri pernah ada rasa bimbang dan takut dengan fenomena semasa negara. Perbezaan idea dan pendapat menjadi punca pertikaman lidah dan rusuhan-rusuhan di kaki lima. Gerun hingga tak tergambar dek akal, andai keamanan watan direnggut seperti di Palestin, Iraq dan seangkatan dengannya.
Teringat saya sewaktu zaman persekolahan dulu, saya pernah terbaca sebuah novel kisah perjuangan pahlawan Pahang menentang penjajah British. Ada rasa yang menyerap masuk. Betapa kita menolak campur tangan orang luar daripada mengemudi tanah air hingga ada yang sanggup berkorban biar darah menjadi galang gantinya.
Kisah Bukit Kepong yang menjadi salah satu judul Komponen Sastera (KOMSAS) untuk SPM juga telah memberi impak kepada saya dan rakan-rakan sekelas ketika itu.
Hari ini, anak-anak emak dan abah semuanya berjaya menjejakkan kaki ke universiti, belajar hingga ke peringkat tertinggi dan menjadi apa yang diingini. Semuanya atas izin Allah yang mengurniakan nikmat aman dan makmur di bumi ini. Andai sebaliknya berlaku, saya yakin perjuangan kita anak muda bukan di medan ilmu memegang pen dan papan kekunci komputer tetapi di medan perang mengangkat senjata memburu musuh!
Sebagai seorang anak muda yang dilahirkan di Malaysia, saya amat menghargai perjuangan bapa-bapa kita yang bersusah payah memerah keringat menuntut kebebasan mentadbir negara sendiri suatu masa dahulu. Tanpa kudrat mereka, saya bukan siapa saya hari ini. Saya bukan seorang Dhiya yang begini- riang, gembira sambil bebas ke mana-mana tanpa rasa takut diburu bayonet tentera pengaman.
Sebagai seorang blogger pula, saya rasa bertanggungjawab untuk menjaga sensitiviti penulisan agar tidak menyentuh mana-mana pihak kerana ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati malah membangkitkan kontroversi yang mengancam diri sendiri malah lebih teruk mengancam keselamatan negara. Bagi saya, menulislah selagi punya idea tapi bukan untuk mencipta api amarah yang boleh membawa mudarat. Ingatlah, mata pena (penulisan) lebih tajam daripada mata pedang!
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Ulangtahun Kemerdekaan yang ke-54 kepada semua rakyat Malaysia. Hargai, cintai dan peliharakan tanah tumpah darah kita ini. Beratus-ratus tahun kita dijajah, takkan mungkin kita dijajah kembali selepas seusia ini. Demi anak cucu kita di masa hadapan, biarkan kita hidup bersama, berkongsi segala hasil mahsul yang ada di bumi bertuah ini. Biar hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Namun untuk bertelagah, itu bukanlah kita- warga Malaysia!
p/s: Saya sayang Malaysia. Anda bagaimana?