Seoul Korea: Insadong!


Bismillah...

Sekarang saya akan kongsikan pengalaman saya di Insadong. Insadong merupakan nama sebuah jalan yang terletak di Seoul. Insadong ni mungkin boleh disamakan dengan Jalan TAR di Malaysia cuma bezanya Insadong menerapkan identiti tempatan yang sangat jitu di samping menjual pelbagai barangan cenderahati yang bermotifkan kebudayaan mereka.

Kalau anda ke Seoul, jangan lupa untuk singgah di Insadong untuk mencuci mata melihat pelbagai cenderahati yang mungkin boleh dibawa pulang untuk saudara-mara dan kenalan :)
Ok, jom.
Perjalanan bermula!

Gambar ini diambil sebaik kami keluar dari Gyeongbokgung Palace. Bas persiaran kami menunggu di tepi pintu masuk utama.
Perjalanan dari Gyeongbokgung Palace ke Insadong mengambil masa setengah jam dengan menaiki bas. Kami sedang berjalan menuju ke Insadong. Yang pakai hood putih dalam gambar ni adalah Angel, rakan satu kumpulan saya. Orangnya baik, kelakar dan cantik~
Sebaik memasuki jalan Insadong, kami mula disajikan dengan pemandangan barang jualan seperti ini. Tergugat sekejap iman. Kadang-kadang kita ni bukan nak beli sangat, tapi saja suka nak singgah dan tengok. Tak payah tunggu sampai ke Korea la...Kalau di Malaysia pun kita akan buat macamtu~Betul tak?
 Tapi Dr. Jung cakap, kena makan tengahari dulu. Orang Korea ni waktu makan tengahari mereka awal...Bukan macam kita. Bagi mereka, jam 11 pagi ke 12 tengahari tu dah kena makan tengahari. Selepas pukul 1, memang dah susah nak cari restoran yang menyediakan makan tengahari. Tapi kami bernasib baik, restoran Gogung yang kami pergi ni masih menyediakan makan tengahari. Mungkin mereka maklum yang tempat ini destinasi pelancongan, jadi permintaan tu sentiasa ada.
Dr. Jung cakap, Jeonju Traditional Bibimbap adalah antara Bibimbap yang terkenal dengan keenakannya. Jadi Dr. Jung yang cadangkan agar kami ke sini. Dr. Jung juga yang bantu kami buat pesanan Bibimbap tanpa daging. Sampai ke dapur dia pergi semata-mata nak pastikan anak didiknya mendapat yang terbaik.
Dalam restoran. Yang sedang bercakap dengan telefon tu adalah pemandu bas kami. Nah kau. Pemandu bas pun pakai kemeja. Dia tak fasih berbahasa Inggeris, tapi selama dua bulan dia membawa kami ke hulu dan ke hilir, kami ajar dia Bahasa Inggeris mudah, ditambah dengan Bahasa Melayu dan bahasa isyarat badan dan tangan. Orang Korea cakap Melayu memang comel!
Antara menu yang ditawarkan
Menu tengahari saya, 18 Oktober 2013 @ Seoul, Korea Selatan. Ada nasi di bawah. Selebihnya adalah sayur-sayuran dan telur. Alhamdulillah, rezeki Allah. Selama di Korea, saya selalu berdoa agar Allah mudahkan urusan saya dalam hal-hal sebegini. Bukan mudah sebenarnya nak menyediakan yang terbaik untuk diri sendiri. Tapi kita kena kuat semangat dan yakin dengan pertolongan Allah.
Selesai makan, masa yang ditunggu-tunggu telah tiba! Dr. Jung suka konsep 'lepas' kan kami dalam tempoh tertentu dan berjalanlah sesuka hati. Syaratnya, kami perlu patuh pada tempoh masa yang ditetapkan dan ingat tempat untuk berkumpul semula. Jadi kami diberikan kebebasan sepenuhnya untuk meneroka Insadong.

Saya mengambil cabaran ini untuk bergerak sendiri. Kebetulan pula rakan-rakan saya semuanya sudah lesap. Saya terlebih dahulu menuju ke bank untuk mengeluarkan sedikit wang menggunakan kad bank ceri (Maybank) saya. Atas sebab-sebab tertentu, saya tiada pilihan kecuali 'terpaksa' withdraw KWN500,000 iaitu lebih kurang RM1500 tunai~ Punyalah takut bawa duit sebanyak tu. Tapi Korea memang diketahui sebagai negara kurang jenayah cetek akal seperti meragut dan menyamun ni. Insya Allah, Alhamdulillah... selamat :)

Haha. Tak perlu teka. Ini adalah ais krim. Saya tak faham kenapa ramai sangat yang beratur untuk beli ais krim ni. Saya hanya melihat dari luar. Mengintai ragam manusia di tempat orang.
Antara kedai yang menjual cenderamata Korea. Harganya semua hampir sama. Iyalah...Mereka kan semua bersaing untuk dapatkan pelanggan. Jadi mereka perlu berikan harga terbaik. Kalau mahal sangat, nanti hilang pelanggan. Kalau murah sangat pun, pekedai lain akan marah.
Pemandangan sepanjang Insadong Street. Ramai sangat pelancong datang ke sini. Kadang-kadang berselisih juga dengan orang Malaysia yang sedang membeli belah.
Di satu deretan kedai, saya berhenti di sebuah kedai yang membuat gula-gula dari madu.

To my surprise, hasil yang anda lihat pada gambar di atas adalah selepas ulian dari segumpal madu asli. Dah macam bihun kan?
Prosesnya nampak macam rumit. Madu tu diuli dan ditarik berkali-kali inggalah dia menjadi halus.
Oppa ni pula bukan sekadar menguli. Dia buat penerangan dan promosi sambil menyanyi. Kadang-kadang rasa seronok juga mendengarnya, ada masa kelakar juga. Apa masa macam nak bagi selipar juga sebab antara lirik dalam lagu dia tu adalah: "give me your money, give me your money~!" Saya hanya jawab: "Thanks, I just want to watch your show" Haha!
Manisan. Ada sejenis lagi tu, labu yang dikeraskan dan dipotong kecil. Rasanya manis.
Ragam manusia di Insadong
Sebaik menghabiskan jalan Insadong, saya ke ke sebuah pusat beli belah bertingkat berhampiran. Di sini pun banyak juga menjual cenderahati, cuma rasanya agak mahal. Insadong menyediakan terlalu banyak pilihan untuk pengunjung. Tapi saya ada juga membaca yang sebenarnya ada beberapa lagi tempat membeli belah yang lebih murah. Saya bercadang untuk membeli belah sungguh-sungguh kelak apabila saya ke Seoul untuk kali kedua. Dalam itinerary, saya sudah rancang untuk ke tempat best tu! (Nanti saya cerita ok~)

Pemandangan menarik di foyer
Pasar bertingkat ni berlingkar dah macam ubat nyamuk. Kedai-kedai di sini banyak menjual barang kraf yang comel-comel, tapi agak ekslusif.
Pemandangan dari atas bangunan berlingkar.
Tak lama selepas itu, saya pun turun kembali. Rasanya sudah habis seluruh Insadong saya jelajah. Masa yang diberikan pun sudah hampir tamat. Jadi saya mula ke tempat menunggu yang dijanjikan dan hanya berlegar di kawasan tersebut.
Paling boleh puji diri sendiri apabila saya masih belum (dan nampaknya) tidak membeli apa-apa buah tangan walaupun dalam poket ada setengah juta Won!
Cenderamata yang dijual. Oh ya, lupa nak kongsi. Di Seoul, kebanyakan penjual sangat fasih berbahasa Inggeris. Apabila saya bertanya dalam bahasa Korea (yang mana kami sudah terbiasa sebab di Daejeon tak ramai yang boleh berbahasa Inggeris), mereka sangat kagum dan masa tu lah kita boleh cucuk jarum untuk minta harga murah lagi. Hhahaha!
Insadong!
Sementara menunggu rakan-rakan yang lain, saya sempat menembak wajah gadis Korea ini. Mereka amat pemalu tetapi peramah. Apabila kita mulakan perbualan, mereka sangat gembira untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris.
Dua orang gadis ini masih bersekolah. Berumur 17 tahun. Saya tengok dekat-dekat kulit wajah mereka. Ok. Pengsan sekejap.

Destinasi kedua saya di Seoul sudah habis diteroka. Kami semua sedang bersiap-siap untuk ke destinasi terakhir sebelum pulang ke Daejeon petang itu juga!

Tunggu!

Salam sayang,
Dhiya

2 comments

  1. bestnya dapat jln2 ke negara org..

    http://shafiqhashim.blogspot.com/2013/12/permohonan-br1m-30-2014.html

    ReplyDelete
  2. saya pergi atas kapasiti seorang pelajar :)
    Memang seronok. kata orang jauh berjalan, luas pemandangan. Insya allah, doakan perkongsian ini bermanfaat.

    ReplyDelete