Bismillah...
Kita betul-betul berada di hujung tahun 2013. Terasa baru semalam meneliti kalendar 2013 dan merencana hidup untuk setahun yang mencabar.
Suka duka, hilai tangis yang dilalui telah menjadikan tahun ini penuh warna.
Saya terlalu yakin bahawa kekurangan kita di suatu ruang, bukanlah maknanya kita kurang dan lemah di semua ruang yang ada. Allah Maha Adil untuk menjadikan semua orang berhak untuk gembira walaupun ada duka...
Januari
Saya masih bekerja di situ. Rasanya inilah bulan terakhir yang saya betul-betul fokus bekerja. Bos pula sudah 'terancam' dengan rancangan saya. Jadi dia pujuk dengan menyemak semula pangkat dan tangga gaji saya. Katanya kalau diluluskan, semuanya akan berubah seawal Februari- Naik pangkat, naik gaji.
Hujung Januari, lebih kurang seminggu lebih selepas menyambut ulangtahun kelahiran saya, surat yang ditunggu akhirnya tiba.
Saya tekad.
Tawaran pengajian peringkat sarjana di UKM ini betul-betul telah membulatkan hati saya untuk meninggalkan syarikat ini.Walaupun saya sedar akan 'kelamnya' jalan di depan tanpa sumber kewangan yang sahih untuk menampung hidup di kampus, tapi saya yakin dengan aturanNya. Saya bertawakkal kepada Allah, semoga dicukupkan semuanya.
Februari
Bagai mimpi, selepas sambutan Tahun Baru Cina, 12 Februari saya telah ke UKM untuk mendaftar sebagai pelajar baru dalam semester 2, 2012/2013. Sebelum itu saya sudahpun menyelesaikan banyak perkara berkaitan pengajian termasuklah pemeriksaan kesihatan dan bayaran yuran.
Minggu berikutnya saya terus menghadiri kelas!
Ya Allah. Untuk kelas pertama, saya sangat gembira. Tidak ada riak sedih kerana meninggalkan kerjaya yang bergaji mewah, tidak ada sedih keluar dari Kuala Lumpur kota sendat itu.
Bermula Februari juga, gaji saya dikira sebagai pro rata. Saya dah tak kisah, walaupun bermula bulan ini, saya hanya boleh hadir ke pejabat sekali sahaja dalam seminggu!
Notis berhenti kerja juga telah dihantar. Saya sedar akan kemarahan Jane (bos saya). Staf pun ramai yang terkejut dengan keputusan saya.
Alasan saya masih alasan selamat: "berhenti sebab sambung belajar"
Kalau ikutkan sayang, memanglah tak mahu tinggalkan kakak-kakak yang baik-baik tu. Tapi saya sedar muslihat Jane sejak dari dulu lagi yang mengamalkan favoritism terhadap saya. Jadi peluang menyambung pengajian ini adalah cara terbaik untuk 'mengajar' dia.
Mac
Bulan terakhir di rumah sewa. Sedih sangat untuk tinggalkan rumah sewa pertama di KL ini. Tapi saya sudah tekad. Budak-budak serumah pun dah mula dengan perangai macam-macam. Saya tak mahulah cerita lebih. Tapi kalau anda ada pengalaman menyewa di KL dengan orang yang kita tak pernah kenal, anda akan tahu bagaimana rasanya.
Tamat bulan Mac ni, cukuplah.
Gaji terakhir diterima dalam bentuk cek.
...Dan saya melangkah keluar dari syarikat itu pada 27 Mac 2013 dengan penuh rasa bermaruah. Saya menerima banyak ucapan dan doa positif dari staf-staf kecuali kroni Jane :p. Jurutera-jurutera senior dan rakan-rakan junior ada riak kecewa. Saya menerima RM xxx dari Ir. Mah yang katanya bangga dengan keputusan berani saya.
April
Alhamdulillah. Kehidupan kampus saya terasa lengkap apabila saya mendaftar masuk ke kolej. Terasa sangat sempurna apabila dapat memberi fokus kepada pengajian. Hadir ke kelas, menyiapkan tugasan, dan pembentangan betul-betul menggembirakan saya walaupun kadangkala bebanan tugas tu terasa juga. Setelah tiga tahun, peluang yang didamba ini akhirnya tiba dengan cara yang paling dimudahkan Allah.
Awal bulan, saya berpeluang ke Beijing- yang telah dirancang seawal tahun lepas.
Dalam bulan ini juga, saya menerima panggilan untuk menghadiri peperiksaan Pegawai Tadbir Diplomatik di Kuala Lumpur :)
Saya mula berbisik...Allah sedang mula memberikan kegembiraan!
Mei
Kelas berjalan seperti biasa. Yang berbeza hanyalah tahap pengajian. Masih, saya terikat dengan jadual, tugasan, dan pembentangan. Saya sangat terinspirasi.
Keputusan peperiksaan PTD diumumkan dan saya berjaya melepasinya dengan baik sekali. Dengan penuh debar, saya menunggu surat panggilan temuduga pula :)
Jun
Saya sibuk dengan peperiksaan, tugasan dan pembentangan akhir. Adat menjadi pelajar begitulah. Tapi saya sangat gembira melakukan semua itu.
Dalam minggu ulangkaji, saya menerima panggilan temuduga jawatan Pegawai Penyelidik MOSTI. Rezeki untuk menagguk ilmu lagi, Alhamdulillah.
Saya juga tergopoh gapah mendapatkan cop dan pengesahan untuk permohonan program ke Korea yang saya anggap hanya suka-suka. Tahun lepas pernah memohon, tapi gagal. Tahun ini sekadar mencuba sekali lagi.
Hujung Jun, peperiksaan akhir berjalan. Alhamdulillah. Pengalaman peperiksaan pertama selepas tiga tahun. Azam saya mahu menebus kelemahan ketika di UM dulu harapnya tertunai.
Julai
Peperiksaan akhir selesai. Cuti semester pun bermula! Untuk pertama kalinya selepas beberapa tahun kebelakangan ini saya pulang ke kampung dan dapat bercuti lama. Paling manis, Ramadhan dan Syawal saya akan diraikan di desa. Jadi untuk tahun ini, tiada istilah berebut di lebuhraya untuk balik ke kampung :)
Temuduga Pegawai Penyelidik MOSTI di Kuala Lumpur. Baru beberapa hari pulang, saya kembali ke kota. Jihad, Insya Allah!
Kalau tak silap dalam bulan Julai ni, 2 kali juga saya ke Kuala Lumpur...
Ogos
Cuti semester saya bukanlah untuk berehat sangat. Ramadhan dalam waktu 'rehat' ini perlu digunakan sebaik mungkin. Tambahan pula, temuduga PTD saya dijadualkan dalam bulan ini juga. Rutin saya banyak dihabiskan dengan membaca dan meneliti banyak isu tentang kenegaraan, pentadbiran awam dan pengetahuan am.
Awal Ogos, saya menerima kejutan berupa panggilan temuduga untuk program ke Korea yang saya mohon Jun lalu. Maka sekali lagi saya ke kota dalam bulan Ramadhan. Berjaya atau tidak, semuanya saya serahkan kepada Allah. Pengalaman memandu pulang dalam keadaan berpuasa dan mengantuk tak akan saya lupakan!
Selepas 2 minggu, saya menerima kejutan lagi apabila saya merupakan salah seorang calon yang berjaya dalam temuduga untuk ke program Korea! Sungguh terasa macam mimpi, tapi saya sedar Allah sedang memberi dan memberi kepada saya. Alhamdulillah!
Hujung Ogos, sekali lagi saya menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur untuk temuduga PTD. Walaupun penuh dengan ujian, tapi saya anggap semua ini sebagai pelajaran hidup. Insya Allah jika tak berjaya pun, saya sudah ada pengalaman. Saya juga ke UKM untuk menguruskan hal penangguhan pengajian untuk mengikuti program di Korea pada bulan September. Alhamduluillah, semuanya dipermudahkan :)
Eidul Fitri saya sederhana sahaja. Kembali beraya sebagai seorang pelajar dan tak dapat memberikan duit raya kepada yang tersayang. Doakan, tahun depan Allah beri rezeki, ya!
September
September menjengah dengan penuh warna. Saya sudah sahkan penangguhan pengajian di UKM dan akan ke Korea dalam tempoh 20 hari lagi.
Kursus persediaan, kem jatidiri dan bina semangat sudah bermula. Semuanya berlaku dalam 20 hari itu.
21 September, saya terbang membawa semangat baru untuk belajar. Walaupun hanya untuk 2 bulan, tetapi peluang keemasan ini adalah anugerah Allah yang paling mahal dalam tahun ini setelah segala pesedihan, kepayahan dan kegusaran yang melanda.
Cerita dan pengalaman saya di bumi ginseng ini masih saya coretkan dari masa ke masa hingga ke hari ini :)
Oktober
Saya menikmati pengalaman di bumi orang dengan tahap paling maksima. Musim luruh betul-betul istimewa. Maha Suci Allah yang menjadikan alam ini medan untuk hambaNya berfikir!
Eidul Adha di Korea tiada yang istimewa. Malah kami perlu berada di makmal lebih lama dalam minggu itu. Tiada baju kurung, tiada takbir dan jauh sekali makanan tradisi!
November
Bulan terakhir di Korea. Demi Allah, pengalaman ini adalah hadiah terbesar yang Allah berikan kepada saya. Saya percaya inilah belaianNya yang paling istimewa kepada saya dan Dia Maha Tahu kemampuan mengatasi keperluan dan kehendak saya.
Berapa banyak saya lari ke taman bersendirian untuk berfikir tentang ini. Allah sangat sangat sangat baik dengan saya, di saat saya sering lupa dan jauh denganNya :(
15 November, saya pulang ke Malaysia.
Dalam hati saya berazam untuk menjadi manusia yang lebih baik setelah ditarbiah sebegini indah!
Disember
Saya memilih untuk berhibernasi dan menyendiri. Walaupun macam-macam pertanyaan, sindiran dan kata-kata yang diungkapkan- hanya kerana saya berada di kampung dan memilih untuk bekerja, saya abaikan sahaja.
Dalam diam, saya sedang bekerja keras menyediakan cadangan kertas kerja saya untuk dipersembahkan kepada penyelia saya sebaik saya kembali ke kampus nanti. Orang kampung tak perlu tahu itu. Mereka tak pernah dan tak akan faham. Yang mereka nampak, saya tidak bekerja. Tak kisahlah.
Pengajian saya akan bermula dengan baik, tahun hadapan. Insya Allah :)
Sesunggunya Allah jualah yang Maha Mengetahui dan Maha Mengatur putaran hidup saya. Dia uji saya dengan sedikit kesedihan dan kepayahan di permulaan jalan, dan segalanya bertambah baik seiring dengan peredaran masa.
Dia Maha Tahu akan kemampuan saya.
Dia Maha Arif akan perasaan saya.
Dia Maha Mendengar setiap detik hati saya yang dikarang menjadi doa.
Semoga hari-hari mendatang lebih baik dari hari-hari yang berlalu...
Semoga apa yang hilang dan pergi, Allah gantikan dengan yang baru. :)
Selamat Tahun Baru 2014,
Dhiya Dahlia
No comments