Kemerdekaan Malaysia ke-56


56 tahun.

Lebih kurang usia abah.
Usia untuk disayangi
Usia untuk dihargai

Usia emas kata setengah orang. 
Lagi pula, saya baru sudah menghabiskan buku Malaysia Kita sebagai persediaan untuk temuduga PTD tempoh hari.
Saya amat terkesan dengan kisah bagaimana Tanah Melayu mula-mula dibentuk.
Saya cukup terasa dekatnya pejuang-pejuang lampau bangkit di sini saya, untuk memperjuangkan sebuah negara ini.

Dan saya lahir senang lenang atas tanah yang tumpah darah dan keringat mereka.
Yang gigih untuk melihat anak bangsanya merdeka.

Hai anak muda,
Di mana kita?
Apa sumbangan kita?

Tepuk dada, tanya selera.

Salam kemerdekaan,
Dhiya

Dan Sebenarnya...


Hari ini hari Jumaat. 
Baik dari zaman belajar di sekolah rendah, hinggalah belajar semula sekarang ni, Jumaat la yang paling ditunggu.
Balik sekolah petang Jumaat, punyalah seronok dapat bermain di luar dan dapatlah lesen masuk rumah lambat sikit- Dalam 10-15 minit.
Malamnya selepas mengaji, dapatlah juga lesen menonton tv sampai malam sikit.
Sikit.
Masa duduk asrama, Jumaat lepas waktu sekolah dah mulalah tunggu bas untuk balik ke kampung. Masa di KISAS, emosi tu lebih sikit sebab balik kampung terasa lebih memberi erti. 
Luar negerilah katakan.
Itu signifikannya Jumaat- secara eksplisit.

Zaman Facebook sekarang.
10 tahun dulu, saya tak pernah terfikir untuk ada semua ini.
Nak ada komputer sebuah pun macam tak ada harapan.
Hari ini, semua benda luar dalam kain nak ditayang.
Eh jujurlah, saya dah menyampah.
Saya sudah tidak lagi berminat dengan Facebook, jauh sekali Twitter, Instagram dan entah apa-apa lagi.
Saya kini sedang berkira-kira untuk bersosial hanya melalui Blogger.
Pada saya ia lebih bersih
Lebih tenang
Lebih sesuai untuk saya
Facebook? Dinyahaktifkan.

Sekarang pergi mana-mana pun orang akan cakap pasal kahwin.
Tanya itu soal ini.
Ok, umur macam saya ni memang waktu sedang untuk berkahwin.
Tapi saya bukan Tuhan yang mengatur hidup.
Itu bukan kerja saya.
Er...Saya pun dah jadi malas dan culas untuk jumpa orang sebegini.
Macam salah dan berdosa sangat tak berkahwin lagi.
Kalau saya tahu jawapan kepada soalan ini, tidaklah saya bagi jawapan klise.
Jadi kepada yang masih berhajat untuk tanya soalan 'bila' kepada saya,
Tolong fikir sebelum kata.

Dan sebenarnya,
Tiga perenggan ini adalah yang sedang bermain dalam fikiran saya sejak pagi tadi.
Menjadi seorang Dhiya bukan satu pilihan.
Ini lorong yang memang Allah dah beri.
Saya cuma ada pilihan dalam meneruskan hidup ini.
Menjadi seorang Dhiya juga bukan mudah.
Ada yang cakap " Untunglah kamu ni Dhiya. Semua dapat...Bla bla bla"
Yep, untung.
Untung sebab aku seorang Dhiya
Bukan seorang yang suka melihat hal orang lain dan tak pernah bersyukur dengan nikmat yang ada dalam diri sendiri.

Salam Jumaat
Dhiya Dahlia

Pemeriksaan Kesihatan di PUSRAWI (kali ke-2)


Lagi!

Tak ada orang yang pergi hospital untuk suka-suka.
(Eh ye memang saya suka dan gelak seorang diri semasa di hospital sebab tengok Grumpy Cat sampai mak cik sebelah saya pelik. Tapi itu bukan maksud saya)

Selepas mendapat surat tawaran ke Korea tempoh hari, saya perasan yang pihak penaja ada minta untuk semua pelajar buat pemeriksaan perubatan.
Saya yang super bijak ini telah menelefon semula PUSRAWI untuk tanya pendapat mereka.
Maksud saya hanya satu- Saya tak mahu malas dah buat check-up tu. Jadi saya nak minta doktor tandatangan, revise sikit-sikit dan retreive filem x-ray saya je. Kan senang (kononnya tau nak senang je). Tapi kalau PUSRAWI dan doktor tu abah sendiri punya, memang tak ada masalah.
Jururawat yang berbincang dengan saya tu cakap sebenarnya boleh. Guna je balik keputusan yang lepas. Nanti doktor akan revise dan sahkan yang tahap kesihatan kita sama je- Tak ada sebarang penyakit teruk.Tapi disebabkan keputusan tu terutamanya filem x-ray dikira lupus selepas 6 bulan, (dan masa tu memang cukup-cukup 6 bulan)- Jadi saya tak ada pilihan lain kecuali melalui semula prosedur pemeriksaan kesihatan sekali lagi.

Tapi secara peribadi saya tak ada isu sangat pun untuk buat balik pemeriksaan kesihatan tu. Yang pertama, untuk kebaikan saya juga. Yang keduanya, PUSRAWI tak pernah mengecewakan saya! Servis mereka cepat, mesra dan tak banyak kerenah.
Sebab tu saya kembali ke PUSRAWI.
Cumanya kedatangan saya ke Kuala Lumpur masa tu agak penuh dengan agenda, itu yang jadi malas dan culas kalau boleh nak senang je. Haha~

Prosedur masih sama. Tak ada yang berubah.
Saya datang hari Sabtu. Tapi harus diingat bahawa PUSRAWI beroperasi separuh hari sahaja. Jadi bagi anda yang bercadang untuk membuat pemeriksaan kesihatan pada hari Sabtu, kenalah datang seawal yang boleh.
8.30 pagi saya naik terus ke tingkat 7, - Pusat Pemeriksaan Kesihatan Eksekutif, sudah ada dua orang yang menunggu. Jadi jangan lambat ok!

Tingkat 7 (8.30 pagi)
Serahkan borang
Pemeriksaan fizikal- Berat/ tinggi/ tekanan darah/ penglihatan

Tingkat 2
Urine test
Ujian darah (sekali lagi saya terlepas ujian ini sebab penaja tak sebut pun dalam surat. Weehu!)

Oh ye. Kalau borang anda ada menyatakan perlu ujian darah, keputusan hanya akan siap dalam tempoh 3 hari. Jadi tak boleh dapat dalam hari yang sama.

Tingkat 1
CXR (Chest x-ray)
Masa ni saya dah jadi pesakit pertama dah. Mana yang lain pun saya dah tak tahu.

Tingkat 2
Kaunter 8
Bayaran dibuat di sini.
Kos untuk pemeriksaan kesihatan saya kali ini adalah sebanyak RM66.

Tingkat 7 (9.45 pagi)
Tinggal nak jumpa doktor je. Tapi kalau tak silap doktor masuk dalam pukul 10.15 pagi.  30 minit juga menunggu. Itu yang saya layan sangat Grumpy Cat sampai gelak dan senyum seorang diri.
Di sini saya dah jadi pesakit ketiga balik. Tapi masih, mereka sangat pantas lebih dari anggaran waktu saya.
Jumpa doktor pun tak lama. Sembang-sembang sikit, kemudian selesai. Tepat, jam 10.30 pagi.

Tak boleh dinafikan. Memang puas hati.

Salam sayang,
Dhiya Korea
Eh~

Kesukaan: Grumpy Cat


Nah.

Kesukaan terbaharu saya.
Saya pun tak tahu bagaimana boleh terjebak melayan laman web ni.

Tapi semuanya bermula semasa saya sedang duduk saja-saja sambil tunggu giliran di PUSRAWI hari tu.

Kasihan makcik sebelah saya tengok saya gelak dan senyum sendiri. Mungkin dia fikir sebab tu saya kena buat medical check-up kut.

Kucing Gemuk
http://www.grumpycats.com/

Grumpy Cat!
Maaf tiba-tiba pula cakap pasal kucing.
Ah. Tak apa...Janji bukan hal ikan keli dan katak. Ewww!

Salam sayang,
Dhiya

Selamat Hari Isnin!


Ehem...

Saya faham...
Saya faham perasaan tu...


Jangan bersedih. Hari Jumaat akan tiba empat hari lagi. Hahaha!

Salam sayang,
Dhiya

Terkini


Bismillah...

Alhamdulillah

22 Ogos, Khamis

Saya bergerak  seawal 8 pagi dari rumah. Temuduga PTD pukul 2 petang. Jadi sempat sahaja. Tak perlu berkejaran pun.
Sepanjang perjalanan, macam biasalah...Cakap seorang diri, menyanyi sendiri, berlatih soalan temuduga sendiri dan macam-macam lagi sendirian. Hahaha. Itulah nasib gadis single and independent macam saya ni~
Mengantuk tak usah cakap la. Tapi kalau dilayan sangat, memang la mengada. Tapi sampai di Hentian Sebelah Gombak, saya berhenti juga. Hajatnya nak lelapkan mata, tapi saya tak berani pula. Iyalah...Sudahlah memandu seorang, kalau terlelap dalam kereta memang orang boleh nampak. Bahaya.
Selepas berehat sekejap, saya terus ke Masjid Negara untuk bersiap-siap. Masa tu dah pukul 12 tengahari kalau tak silap. Jadi memang sedang elok untuk bersiap.
Untuk pengetahuan, saya memang dah biasa menyinggah di Masjid Negara tu. Tempatnya pun dekat dengan pusat temuduga. Kemudahan yang disediakan juga cukup- Tandas, bilik mandi, ruang solat tu memang dah pasti. :) Alhamdulillah...Sangat memudahkan!

23 Ogos, Jumaat

Saya ke kampus untuk urusan yang pelbagai. Saya pun dah ceritakan di entri yang lepas kan. 
Semuanya tentang urusan penangguhan pengajian saya.

Borang Hijau- checked
Surat tawaran MyBrain15- checked
Urusan di PPS- checked
Urusan di Pejabat Bendahari- checked

Nampak je empat urusan. Ini pun dah diminta datang semula hari Isnin. Gayanya macam ada 10 urusan. Tapi saya memang tak boleh tunggu lama sebab tak ada kemudahan tempat tinggal. Empat urusan ini pun secara rasionalnya memang boleh je siap dalam satu hari, walaupun rehat Solat Jumaat agak lama. Tapi dah namanya mereka-mereka ini banyak kerenah...Memang ada juga sikit hilang sabar~

Tapi Alhamdulillah.
Allah yang mudahkan urusan saya. Kalau tak kerana izinNya, saya tak boleh sudahkan semua tu dalam tempoh sehari.

24 Ogos, Sabtu
Pagi-pagi lagi, saya sudah bersiap untuk ke PUSRAWI. Urusan yang hampir sama seperti sebelumnya. 
Terima kasih Elis yang sudi bangun tidur dan bersiap seawal 6.30 pagi walaupun PPKE hanya dibuka pada pukul 8.30 pagi. 
Alhamdulillah, dapat giliran ketiga dan berjaya sudahkan semua prosedur pada pukul 10.30 pagi. Sebab tu saya sangat suka PUSRAWI. Cepat, mesra dan penuh integriti. Doktor lelaki yang sangat handsome berkaliber lagi baik dan tak banyak pegang sana sini. Muahaha~

Elis bawa saya makan di Cheras- Tempat kegemaran saya untuk makan tengahari pada hujung minggu. Katanya nak meraikan saya kerana ini mungkin kali terakhir saya dapat makan di sini sebelum ke Korea. Mengada sangat~ (dalam hati sayu, haru, sedih, hiba!)
Anyway, terima kasih banyak!

Oh ye, lupa nak cakap...
Saya 'terpaksa' balik pada petangnya, sebab Fa (rakan yang saya tumpang rumahnya tu) pulang dan bermalam di rumah kakaknya. Dalam erti kata lain, saya tak ada tempat bermalam.
Jadi selepas berbincang dengan Elis, persetujuan itu dicapai dan beliau pun dah setuju untuk tolong saya serahkan dokumen-dokumen berkenaan dengan urusan kursus saya ke Korea tu. Memang rancangan asal saya nak ke sana sendiri Isnin nanti. Tapi itulah namanya perancangan Tuhan lebih sempurna.
Tak apalah...Sekali lagi, terima kasih Elis.

Atas keputusan itu, saya sempat melelapkan diri sekejap sebelum memandu pulang.

Dalam pukul 4 petang, saya bertolak pulang. Sampai di Bentong, hujan lebat sedikit mengganggu pemanduan saya. Jadi lama jugalah saya tersadai di Petronas Bentong menunggu hujan reda. Lebih kurang setengah jam, saya meneruskan perjalanan dan memberanikan diri untuk melalui jalan KL-Kuantan lama melalui Karak walaupun hari dah makin petang membawa ke malam. Saya memang tak boleh memandu di LPT. Bosan!

Pukul 8 malam, saya parking depan rumah abah dengan penuh bergaya, walau dalam hati hanya Allah yang tahu seribu satu perasaan saya.
Masuk ke rumah, hanya sempat mandi dan tak sempat makan malam- Saya terus tertidur kepenatan. Sedihnyaaaa~

25 Ogos, Ahad

Rasa tenang walaupun ada sisi gelodak jiwa lain yang sedang saya lalui. Tapi sekurang-kurangnya saya sudah selesaikan banyak perkara penting dalam beberapa hari lepas. 
Temuduga dah lepas, surat pengesahan yang perlu tandangan orang-orang penting fakulti pun dah selesai. Cuma tinggal beberapa surat yang boleh saya siapkan dari rumah dah email dan poskan sahaja.

Mungkin saya dah boleh mula baca buku ni untuk lebih faham dan belajar untuk menghargai si dia... :) (random statement)
Dah berapa lama beli, tapi tak ada peluang nak baca. Dan sekaranglah masanyaaaa!
Untuk yang mengikuti perkembangan bunga tisu saya: Nah...
Kasi zoom sikit. Organza warna biru ni untuk bunga tisu saya yang berwarna biru tu. Sekarang dalam proses siapkan semua raw material dulu. Nak jadikan pokok bunga telur tu, lagi dua bulan nak menikah pun boleh lagi. Eh~!
Insya Allah esok akan menjadi Isnin yang biasa bagi saya. Cuma adalah sedikit-sedikit urusan yang perlu diselesaikan.

Ah...Rasa macam dah panjang. Rehat dulu, jom. Esok tulis lagi :)

Salam sayang,
Dhiya

Temuduga PTD M41, 22 Ogos 2013


Alhamdulillah...

Giliran temuduga saya dah selamat tiba semalam, 22 Ogos 2013.
Dan soalan biasa yang ditanya selepas itu adalah...

Macam mana interview semalam?

Sampai sekarang, sejak dari habis belajar dulu- Saya tak reti nak jawab soalan tu. Apa, ingat senang ke?

Sungguh, ini satu pengalaman yang sangat mengujakan.
Alhamdulillah Allah berikan saya penemuduga yang sangat baik. Kami bersembang tentang banyak perkara- Dari hal peribadi hinggalah ke isu negara dan dunia. Ada yang boleh dijawab, ada yang tak...Biasalah tu...Selebihnya adalah tawakkan kepada Allah. Hew!

Berikut adalah antara soalan yang ditanya kepada saya. Banyak juga. Kawan calon di luar cakap sesi saya lebih dari setengah jam. Eh patut la rasa sakit je pinggang duduk dalam tu.

Dear Dhiya, could you introduce yourself, please?

How about your hobby? I found that you have a very good one...(sambil membelek resume saya)

Boleh ceritakan tentang bidang pengajian anda dahulu dan sekarang?

Apa yang menyebabkan anda menyambung pengajian?

Apa perancangan dalam masa 5 tahun ke hadapan?

Dhiya, kenapa nak jadi PTD? Boleh tak ceritakan sedikit sejarah asal usul PTD ni dan apa fungsinya dalam perkhidmatan awam?

Apa yang anda faham dengan konsep CTI- Cepat, Tepat, Integriti?

Pada pandangan anda, apakah nilai atau kemahiran yang perlu ada pada seorang penjawat awam?

Dalam kabinet baru yang diperkenalkan oleh PM selepas PRU, boleh tak sebutkan kementerian-kementerian mana yang digabungkan, dan kementerian mana pula yang dipecahkan tugasnya/ distruktur semula?

Siapa nama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sekarang?

Kalau berpeluang menjawat jawatan ini, agak-agak kementerian mana yang anda pilih? Mengapa?

Dhiya, awak asal Pahang kan? Boleh beritahu kami di mana letaknya UTC di negeri Pahang?

Boleh tak ceritakan apa yang berlaku semalam...di negeri anda? - merujuk kepada kes bas terjunam ke gaung di Genting tu.

Dhiya terima pinjaman PTPTN tak? Apa pendapat anda tentang keputusan KPM untuk menghantar nama peminjamnya ke CCRIS?

Adakah anda peka dengan apa yang sedang terjadi di Mesir sekarang? Boleh ceritakan secara kasar?

Apa harapan anda dalam permohonan jawatan ini?

Ada apa-apa soalan yang hendak ditanya sebelum kita tamatkan temuduga ini?
(Tolonglah tanya ye...tunjuk sikit yang kita sebagai calon ada inisiatif. Tapi janganlah tanya perkara yang tak logik atau tak berkaitan pula)

Sekian,
Sedikit perkogsian yang semoga bermanfaat. Ada beberapa soalan lagi yang saya tak boleh recall. Nanti kalau dah teringat, saya akan update ok..
Siapa nak tahu jawapan, silalah tinggalkan email anda di ruang komen. Semak juga entri terbaharu saya agar anda dapat mengetahui update terkini saya.

* Kepada yang menghantar email  dan komen tetapi masih belum menerima respon, sila ambil maklum bahawa saya sekarang berada di Korea atas komitmen tugas. Insya Allah saya akan cuba untuk memberi respon dari semasa ke semasa. Mohon maaf atas kesulitan :(

PENGUMUMAN TERKINI:

Saya dah hentikan perkongsian so-called skema jawapan ni kerana info yang asas tu semuanya boleh dijawab oleh anda berdasarkan diri anda sendiri. (Macam soalan perkenalkan diri dan mengapa itu dan mengapa ini) It's all depend on you yourselves. Tambahan pula, soalan isu semasa juga saya anggap sudah obsolete dan tidak relevan lagi selepas lebih kurang satu tahun tempoh temuduga ini berlangsung.

Harap maklum

Salam sayang,
Dhiya

@Kampus


Menguruskan urusan yang macam-macam.

Lagi pula kerenah yang berbagai-bagai.

Nak dapatkan tandatangan dan cop yang secubit tu pun tak boleh nak selesaikan hari ni. Ini pun dah kira cukup baik datang awal pagi. Masih, disuruhnya datang minggu depan - Isnin.
Alasannya pergawai bercuti...Perlu tunggu beberapa hari sebab dalam fail banyak borang lain juga yang perlu ditandatangani.

Kenapa mesti banyak KERENAH?

Adakah benar, kakitangan kerajaan banyak cuti dan mengabaikan tugas?

Ok, tak mahu bincang panjang. Saya sendiri pun baru lepas temuduga PTD. Kalau Tuhan nak balas, dia juga boleh uji kita dalam bentuk nikmat. Kan?

Sekarang tengah bertapa di bilik sejuk sementara menunggu pejabat dibuka semula selepas solat Jumaat nanti. Surat saya katanya akan siap petang.
Maka tunggulah...tunggu dengan penuh sabar.
Tak bawa laptop. Makanya gigihlah saya dalam bilik siswazah yang sejuk ini menulis blog guna tab sahaja. Haih!
Sempat menziarahi Pejabat Bendahari untuk urusan yuran, biasiswa dan penangguhan semester depan.
Haih...Orang pandang pelajar yang tangguh pengajian ni semua dengan pandangan hina bina dan negatif sahaja.
Sedang saya tangguh pengajian atas sebab yang sangat relevan, masih dianggap semudah itu untuk putus asa dan tangguh pengajian. Hew~

Saya akan merindui KTHO blok pelajar master, bilik siswazah yang sejuk lagi kondusif untuk berehat, cafe Zaaba dan semuanyalah!
Jumpa nanti tahun hadapan, sebaik saya kembali ke Malaysia.

Update sebelah petang:
Dalam pukul 3.30 petang, saya kembali ke pejabat berkenaan.
Tapi kerani yang janji nak telefon saya untuk bagitahu samada surat saya siap atau tidak- dia pun ada mesyuarat dari pukul 3ptg sampai 5ptg. Jadi agak-agak janji yang dia tabur tu tumbuh jadi pokok atau lalang?

Mujur saya ni efisyen (gila masuk bakul angkat sendiri). Saya sendiri yang fight dan akhirnya dibenarkan jumpa Dr. Fuad sendiri. Beliau telah selamat menandatangani surat saya kurang dari tempoh 10 minit.

Ok fine. Saya memang independent dan tak suka orang banyak kerenah.

Gigih menaip hanya guna tab
Di bilik Siswazah,
Dhiya

What Say You?


PTPTN loan holders now listed in Bank Negara's credit reference database 

KUALA LUMPUR: Starting this month, the National Higher Education Fund Corporation (PTPTN) is collaborating with Bank Negara to list PTPTN loan holders under the Central Credit Reference Information System (CCRIS).
According to Education Minister II Datuk Seri Idris Jusoh, those who have not settled their loan repayments should discuss this matter with PTPTN or they might face difficulties when applying for other loans.
However, he said this was not something scholars should worry about.
"This system was put in place for those who are adamant about not repaying their loans," said Idris during a press conference Monday after the PTPTN Hari Raya celebration here.
He added that those unable to repay their loan could discuss their payment plan with PTPTN to come up with a new repayment schedule.
This would enable their names to be excluded from the CCRIS database, he added.
Those who managed to repay their loans in one lump sum before Sept 30 this year will get a 20% discount.

Source

:p

Dhiya

Hadiah dan Kejutan Syawal: Bakal ke Korea


Bismillah

Semua ini Allah yang punya...
Surat tawaran
Insya Allah saya akan berada di Korea selama tarikh yang disebutkan di atas untuk menjalani latihan penyelidikan tajaan salah sebuah badan penting dalam lapangannya di Malaysia.

Masih speechless.
Saya tahu saya tak layak untuk dipilih.
Saya sedar ini semua Allah punya...
Yang mahu saya setia pada tanggungjawab dan amanah
Yang mahu saya belajar erti susah dan lelah sebuah juang yang tiada sudah
Yang mahu saya mensyukuri apa juga pemberianNya tanpa banyak kerenah

Insya Allah
Ada hikmah yang menanti
Sang pejuang, rehatnya hanya di syurga...

Salam sayang,
Dhiya Dahlia

Patut ke Tidak?


Manusia ni memang macam-macam...

Teknologi telah menjadikan kita dangkal dan tidak lagi peka akan nilai.
Terus terang saya katakan- Sebaik menerima email ini, saya terus padam sebab sakit hati dengan SHR and MZB tu.

Kalau begitulah cara nak mengucapkan selamat kepada orang lain, saya rela untuk tidak menerimanya sebab tak ada nilai, makna dan perasaan langsung.
Walaupun maknanya difahami, tapi apa nilai emosi antara pengirim dan penerima? 
Ikhlaskah pengirim?
Gembirakah penerima?

Selaku penerima, sahlah jawapan saya TIDAK.

Saya tak perlukan ucapan sebegini. Sangat!

Kata orang, ingatan atau ucapan yang ikhlas akan menjadi doa.
Tapi ini apa?
Kalau setakat syarat berbasa-basi saja,  maaf.
Saya Muslim peduli agama.
Saya Melayu peduli budi bahasa.

Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin


Maaf cakap,
Dhiya Dahlia

Selamat Hari Raya :)


Bismillah
Alhamdulillah
4 Syawal 1434H 

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Adilfitri kepada semua Muslimin dan Muslimat yang mengenali saya.
Semoga kalian bergembira bersama sanak saudara tanpa melupakan kewajipan kepadaNya.

Jujur, Syawal kali ini adalah yang paling kelabu dalam hidup saya.
Saya hanya berpeluang ke rumah Dayah pada hari raya pertama. Selebihnya saya hanya bermain dengan perasaan malah lebih teruk langsung tidak berminat untuk bertemu orang.

Tetamu yang hadir di ruang tamu, saya rela memilih untuk memencilkan diri di dapur.

Banyak sebab mengapa saya jadi begitu. Banyak sangat.

Bukan saya tidak dengar tetamu yang bertanya di mana saya. Tapi saya keraskan hati untuk tidak tunjuk muka. 

Seperti yang saya katakan tadi, banyak sebab mengapa saya memilih jalan itu.

Memang saya salah. Tapi saya yakin tak ada seorang pun yang akan faham perasaan dan letak duduk situasi saya sekarang.

'Ala kulli hal, bergembiralah dengan penuh kesederhanaan. :)

Salam Syawal,
Dhiya

Hantaran Kahwin Tinggi Punca Ramai Membujang


Indeed, it is very true!

Di hari raya ketiga, akhbar KOSMO! sudah ribut-ribut mengetengahkan isu nikah kahwin. Celik biji mata, saya yang terus membaca KOSMO! Online dan terus rasa tidak lagi mengantuk.

Apabila ke kedai surat khabar, KOSMO! sudah habis licin dibeli. Kata abang kedai tu, KOSMO! macam pisang goreng pagi ini. Yang membelinya pula semua anak-anak dara. Barangkali yang tak boleh kahwin dek menunggu pujaan hati cukupkan wang hantaran~

Bila isu ini diutarakan, saya selalu jadi panas hati dan emosi sendiri.
Saya sangat setuju dengan senario kini yang terlalu mengagungkan wang hantaran dari memartabatkan wang mahar.
Walaupun tidak semua ibu bapa atau pihak pengantin perempuan mengenakan wang hantaran yang nilainya tidak masuk akal, tetapi stigma masyarakat yang melihat nilai wang hantaran berkadar terus dengan kedudukan, jawatan, taraf pendidikan serta rupa bakal pengantin perempuan sungguh sukar dielak.
Pada telahan mereka (yang mungkin benar dan mungkin juga tidak), seorang wanita yang taraf pendidikannya tinggi mesti punya kerja yang baik. Apabila berkerjaya, mesti citarasanya juga tinggi. Jadi calon suami yang ingin mendekatinya haruslah mempunyai kemampuan ringgit dan sen yang baik untuk memenuhi kehendak si calon isteri.
Makin tinggi taraf pendidikannya, makin tinggilah wang hantarannya.
Adakah semestinya begitu?

Ya, mungkin betul, tapi ia tidak boleh dijadikan sifir dan formula khusus untuk menilai seorang gadis. Bagaimana pula dengan kedudukan agama, nilai budi, dan keperibadiannya?
Mengapa tidak ini yang dinilai dahulu?
Bukankah ini juga elemen penting yang lebih wajar ada dalam setiap diri anak gadis sebelum disunting?
Apa guna juga kelulusan akademik tinggi melangit hingga lebih dari menara gading, tapi mengajinya merangkak-rangkak (jauh sekali untuk bacaan berlagu)... Apa gunanya bangun malam mengulangkaji pelajaran untuk 4 rata yang terlalu didamba, tapi tahajjud jarang sekali dahi bertemu sejadah. Malah fardhu Subuh yang wajib pun terkandas dan hanya dibuat seawal 10 pagi.
Sumber
Tapi sebagai sebahagian daripada 'mangsa' situasi yang sedang menghadapi masalah yang sama, saya tidak 100% menyalahkan kedua calon pasangan, keluarga dan stigma masyarakat semata-mata.
Banyak faktor lain yang menyumbang kepada isu ini terutamnya isu harga barang yang tinggi dan keperluan vs kehendak yang hampir sama dan tidak boleh dibezakan!

Adat vs Ibadat

Tahukah kita bahawa wang hantaran itu tidak wajib dan dianggap sebagai hadiah pemberian ikhlas dan mengikut kemampuan dari pihak pengantin lelaki kepada pihak perempuan?
Pada pengamatan saya, apa yang menjadikannya kelihatan wajib adalah apabila perkara itu dibincangkan  secara terus terang dan disertakan dengan penetapan nilai sewaktu majlis pertunangan yang biasa menjadi adat di kalangan orang Melayu kita (termasuklah di tempat saya). Ia telah menjadi seperti janji yang mesti ditunaikan!

Setakat yang saya biasa lihat dan dengar, kawan-kawan saya yang telah melepasi fasa ini menerima paling banyak RM10,000 hingga RM12,000 wang hantaran dan rata-ratanya adalah pemegang ijazah. Itu baru hantaran.
Bagaimana dengan kendurinya?
Lembu seekor pun sudah RM2,000 hingga RM3,000. Kalau kenduri di kampung, nasib baiklah sebab semuanya dibuat secara bergotong royong. Cuma kos bahan mentah masakan sahaja yang perlu diambil kira.
Kalau guna catering...Bukankah kadar paling murah sekarang ini RM10.00 untuk satu kepala? Kalau jemputan 1000 kepala...botaklah kepala!
Goodie bag, bunga telur lagi? Hah!
Walimah itu adalah ibadat.
Tapi menu nasi minyak, lauk macam-macam, telur ayam, telur pindang, telur masin dan telur puyuh itu adalah adat.

Saya baru melihat dan terlibat secara dekat dengan majlis perkahwinan rakan sepermainan saya Jun lepas. 
Apabila ditebak-tebak, pelamin dan busananya menjangkau kos RM2,000
Jurugambarnya pula dibayar RM1,400
Kad kahwinnya berharga RM0.60 X 1000 keping, itu belum termasuk kos pengeposan~
Siapa boleh congakkan jumlahnya?
Menghebahkan walimah itu ibadat
Tetapi semua yang disebutkan di atas adalah adat.

Saya tak salahkan sahabat saya bulat-bulat. Saya yakin jika saya berada di tempat beliau pun, saya akan cuba sedaya upaya untuk memiliki apa yang terbaik dan terindah untuk momen sekali dalam seumur hidup.
Saya tahu anak muda seperti dia dan saya selalunya masih terikat dengan adat yang dikawal oleh orang tua dan orang setempat.
Stigma atau persepsi masyarakat terhadap kita (calon pengantin), ibu bapa kita, keluarga kita selalunya menjadikan situasi itu menjadi rumit.
Orang Melayu kita (maaf cakap) masih terlalu ambil pusing mulut orang yang bercakap tentang hal-hal yang kadangkala tidak memberi kesan pun kepada kita.
Takut orang mengata
Kedekut
Melanggar adat
Tak pernah dibuat orang
Ah. Mulut orang memang tak boleh ditutup.
Kenduri besar, kenduri kecil- Tetap ada pincangnya
Hantaran sedikit, hantaran banyak- Tetap orang kata

Saya sendiri sedang menghadapi dilema yang sama. Isunya adalah stigma masyarakat dan harga barang yang melampau-lampau naiknya. 
Kerja pula hanya kuli biasa. Pemegang ijazah, sarjana, PhD- Sama sahaja. Duduk di KL, nampak mewah. Tapi hakikatnya wang habis untuk sewa rumah bujang yang mahal, minyak kereta untuk ke tempat kerja, dan saman sana-sini.
Pendek kata hidup hari ini semuanya untuk wang!

Tak ramai yang boleh terima pandapat saya. Malah mungkin saya sendiri pun boleh mengkhianati pendapat sendiri.
Nikah dan kahwin adalah dua elemen yang berbeza.
Yang menghalalkan hubungan adalah nikah, dengan 5 rukunnya. Selebihnya adalah optional, bergantung kepada kemampuan kita.
Bukankan mahar (di Pahang) RM22.50 itu adalah yang wajib, sedang RM10,000 itu adalah pilihan berdasarkan kemampuan?
RM22.50, antara yang terendah di Malaysia. Negeri Pahang dikatakan sudah lebih 100 tahun menggunakan kadar ini.
Maaf cakap.
Ini adalah idea saya sahaja.

Salam sayang,
Dhiya

Misi Dalam Diam- Bunga Tisu Saya!


Bismillah

Sungguh, saya sedang dalam diam menjalankan projek ini.
Ada yang geleng kepala
Ada yang menghambur ketawa
Ada yang mengirim senda

Tak apalah...
Barang ini, satu sen pun tak guna duit mereka
Semuanya modal saya sendiri.
Sepicing pun tak menagih tenaga sesiapa
Semuanya diolah dengan tulang empat kerat sendiri.

Dusty Pink in the house :)
Dan putih juga.
Jangan tanya apa perancangan saya. Tapi bagi mereka yang tertanya-tanya jenis kertas, saya gunakan crepe paper keras untuk buat bunga-bunga ni. Saya tak suka kertas tisu lembut tu sebab mudah sangat koyak. Kalau anda pandai jimat dan pandai potong, satu gulung kertas tu boleh dapat 64 kuntum. Default-tanpa rosak.
 Rasanya target 1000 pcs tu dah tercapai sebab dah ada dua kotak besar dalam bilik ni. Ohoo~

Insya Allah sesuatu itu akan menjadi momen yang mudah lagi dimudahkan Tuhan tanpa perlu banyak menyusahkan orang lain.
Doakan.

Salam sayang,
Dhiya

Travelog Dhiya: Floria @ Putrajaya |Photo Crazy|


Bismillah

Jom, saya kongsikan gambar-gambar sekitar lawatan saya ke Floria 2013.
Asalnya agenda ini tak dirancang langsung. Masa tengah makan malam (6.30 petang), saya saja-saja buka tab dan tertengok info pasal Floria ni.
Memandangkan masih awal, saya terus pecut ke Putrajaya selepas solat Maghrib.

Walaupun malam, pengunjung tetap ramai. Haih...This is Putrajaya. Mungkin mereka dah bosan asyik ke Alamanda. Jadi sekali sekala ada event macam ni, berpusu-pusulah mereka!

Harap anda menikmati gambar-gambar saya. Maaf sebab ada beberapa kualiti gambar yang tidak memuaskan.
Maaf juga sebab gambar-gambar saya tiada penerangan. Hahah! Hujung-hujung Ramadhan ni, berblog bukanlah satu keutamaan sangat.

Banyak juga isu peribadi dan emosi yang nak dibincangkan. Tapi saya masih menunggu masa yang paling sesuai selari dengan perasaan.

Travelog Dhiya sempena cuti semester telah tamat dengan rasminya.

Insya Allah ada banyak lagi perkongsian lain.

Salam sayang, 
Dhiya