Bahasa Cermin Diri


Tahukah kita bahawa Oktober adalah Bulan Bahasa Kebangsaan?

Betul, Oktober sudah berada di hujungnya. Detik itu akan datang dan pergi. Pokoknya, sejauh mana kita menghayati dan menyantuni Bahasa Malaysia (BM) sebagai Bahasa Kebangsaan?

Beberapa hari lepas, saya tertarik dengan kempen seorang pembaca berita di hujung siarannya yang menyeru rakyat menggunakan BM 'sempurna' terutamanya dalam perbualan di dalam SMS dan laman sosial. Mesejnya ringkas, masanya memang kena. Cuma terserah untuk kita menilai akan apa tujuan iklan tersebut.

Hari ini mudah sekali kita ditemukan dengan pengguna-pengguna laman sosial (seperti Facebook dan Blog) yang mencampur adukkan bahasa (BM + bahasa asing + dialek) tanpa menghormati nilai makna dan tatabahasanya. Ya, memang tidak dinafikan bahasa percakapan lebih mudah difahami berbanding bahasa penulisan. Tapi itu tidak bermakna bahasa percakapan boleh menjadi bahasa penulisan.
Apa guna guru-guru BM mengajar subjek itu kalau anak-anak murid masih berblog menggunakan bahasa rojak?

Sungguh, saya terpaksa membaca petikan di atas berkali-kali untuk memahami maksudnya.

Pengalaman mengajar setahun yang lalu benar-benar mendekatkan saya dengan generasi kontemporari, moden dan muda ini. Biarpun sekolah itu terletak di sebuah desa kecil, namun kerajaan negeri telah mengiktiraf sekolah tersebut sebagai sekolah terbaik di daerah itu atas pencapaian akademiknya.
Saya pernah terbaca sebuah karangan olahan pelajar tingkatan 3 sekolah tersebut. Aduh! Bahasa sempurna dan sangat matang. Apabila ditanya apa yang menjadikan karangannya sebaik itu, dia menjawab- "Emak saya belikan saya bahan bacaan lebih dari barang mainan."

**************************
Saya sendiri pun bukanlah seorang blogger dan penulis yang konstan dengan BM. Tetapi saya selalu berpegang pada prinsip 'buat yang terbaik'. Apabila menulis dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, saya sangat mementingkan kesempurnaan strukur ayat dan tatabahasanya. (terkadang salah juga~) Apabila dua aspek ini terjaga, saya yakin mesej yang ingin disampaikan akan dapat difahami dengan tepat.

Sempena Oktober Bulan Bahasa Kebangsan dan bulan-bulan seterusnya, marilah kita menulis dan berkarya menggunakan BM (Atau Bahasa Inggeris) yang betul, bukan yang bercampur aduk antara bahasa. Kasihan guru BM kita di sekolah dahulu!

p/s: Siapa nama guru BM anda sewaktu di sekolah dahulu?- Cikgu Othman, Cikgu Haza dan Cikgu Wan serta Cikgu Norhizan.

No comments