Sushi King: Tempat Berlatih Guna Chop Stick


Bismillah

Teringat lagi dulu--
Sebelum terbang ke Korea, saya berlatih makan pakai chop stick di Sushi Kinglah!

Kalau dikenangkan balik, memang kesian sangat. Saya memang tak reti langsung pegang chop stick ni dari dulu lagi. Bukan setakat tak reti, malah tak minat pun nak belajar sebab tengok pun dah tahu susah bukan main nak makan guna benda alah tu!

Sekali Allah 'uji' dengan peluang hidup di negara yang memang makan guna chop stick. Masa tu tepuk dahi jugalah.
Tapi Elis ni punya la nak tengok saya ni survive, dia bawa saya ke Sushi King dan di situlah tabir kelemahan saya dalam menggunakan chop stick tersingkap. Sungguh, nak suap satu ketul sushi pun terasa payah sangat. Ada sekali tu saya dah macam putus asa, saya cucuk sushi tu dengan batang buluh yang dijadikan chop stick dan saya terus suap dalam mulut.
Orang tengok ke, nak gelak ke- Lantak!
Itu baru makan benda berketul- Kalau makan mee nampaknya saya terpaksa berlaparlah~

Memang
Sebelum saya ke Korea, saya ada beli chop stick khas untuk saya sendiri dan satu set sudu dan garfu (sebagai back-up). Chop stick yang saya beli tu, hari-hari saya pegang dan belajar kepit barang. Kadang-kadang dalam kereta pun saya berlatih.  Sedih kan? Nak gelak pun tak apa. Saya tak kisah.

Tapi apabila saya sampai di Korea, baru saya tahu yang chop stick mereka sebenarnya totally berbeza dengan chop stick yang biasa ada di Malaysia dan digunakan oleh kaum Cina. Tak percaya? Sila Google sekarang atau boleh tengok gambar di bawah.
Chop stick di sini agak ringan dan lebih licin. Di hujungnya sedikit leper dan ada beberapa urat alur untuk 'memegang' makanan supaya tidak jatuh. Uniknya lagi, chop stick di sini mesti dipasangkan dengan sudu. Mula-mula sampai, memang susah nak makan. Saya dengan muka tak malu akan keluarkan set sudu dan garfu saya. Tapi lama-lama pandai juga. Itu pun masih terkial-kial dan selalu jadi orang terakhir siap makan.

<Tak nak ingat dah~>

Pengalaman indah sangat,
Dhiya Dahlia

Berakhirnya Minggu Kuliah


Bismillah...

Hari ini, secara rasminya berakhirlah 14 minggu kuliah pengajian. Minggu depan merupakan minggu ulangkaji sebelum bermulanya tiga minggu sesi peperiksaan. This is the most epic magic. Rasa seperti baru semalam pulang ke kampus selepas cuti yang sangat panjang sejak pulang dari Korea. Macam baru beberapa minggu masuk ke kelas dan menghadiri kuliah. Tup-tup, hari ini sudah sampai ke minggu kuliah terakhir. Cepatnya masa berlalu.

Minggu depan juga saya akan memulakan tugas sebagai RA di kampus lama. Alhamdulillah Allah beri saya peluang dan rezeki di situ. Terima kasih kepada Fa yang sudi bantu dan beri kepercayaan dalam segala aspek. Terima kasih juga sebab ajarkan sistem, tunjukkan jalan dan sediakan saya bilik dan workstation.

Sungguhlah...
Aturan Allah memang Maha Tepat. Di saat ruang rezeki saya dikhianati oleh manusia tamak, Dia gantikan dengan peluang ini betul pada masanya. Insya Allah saya juga tidak akan goyang kaki di kampung yang hanya akan membuka ruang umpat keji jiran-jiran emak abah yang melihat saya bercuti panjang.

Aish.
Sedih pun ada sebenanrya. Entah. Macam-macam perasaan. Doakan saya dapat menghadapi minggu ulangkaji ini dengan baik, dapat bekerja dengan baik dan dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang dan mendapat keputusan yang cemerlang. Insya Allah. Amin!
Dalam masa yang sama juga saya teruja untuk menghabiskan semester ini dan memulakan semester hadapan yang merupakan semester terakhir saya. Doakan juga- Panjang usia, murah rezeki dan kuat semangat untuk menempuhnya. :)

Allah sedang dan sentiasa merencana sesuatu yang terbaik untuk saya. 

Salam sayang
Dhiya

The World Before Social Media


Bismillah
Happy Friday!
Lets smile if you think that it is true!

However, I am still in a deep trust to notebooks, papers and pencils as the record would be stronger. I don't believe in Skype. I just love my old and basic Nokia hand phone. I am active only in Blogger and very seldom to look into my FB and IG.  

I am still in love with books, not laptop. Hahaha

Love, 
Dhiya

Siri Senyum 1: Setabah Si Tukang Sapu (Repost)


Bismillah

Bismillah
Sebuah entri yang ditulis pada tahun 2011
Yang saya baca kembali
Saat sedang memujuk kesedihan pada diri...
Ketika berjalan-jalan di pasar malam berhampiran rumah sewa Jumaat lepas, saya sekilas terpandang wajah seseorang.

Otak saya ligat berfikir:

'Di mana aku pernah lihat wajahnya?'

***************************
Sebelum abah membelikan saya Baby-K untuk kemudahan saya di kampus, saya hanya berjalan kaki untuk berulang alik ke kelas. Bukan tak ada shuttle bus yang mengangkut pelajar, tapi saya sendiri yang bukan jenis 'penunggu setia'. Itu belum lagi risiko bersesak-sesak atau bas lambat. Uh...Lebih baik berjalan kaki, banyak kilo juga yang hilang dalam perjalanan itu...

Seingat saya rutin itu setia saya lalui sejak di tahun satu hingga tahun tiga pengajian. Hujan dan panas tak pernah sekali saya mengeluh. Pernah beberapa kali kasut saya haus, tercabut tapak dan pernah juga putus di tengah jalan. Tapi saya tak pernah kecewa untuk terus berjalan kaki di balik bangunan-bangunan kampus kota mega itu.

Dalam beberapa tahun itu, saya sangat setia melalui celah-celah bangunan di kampus untuk menuju ke fakulti seorang jurutera. Satu tempat yang paling saya gemari adalah di sekitar bangunan Canseleri dan Bank CIMB kerana di situ suasananya agak teduh. Banyak pokok rendang yang menjadi payung perjalanan saya.

Dia Si Tukang Sapu

Di situ juga saya sering melihat seorang makcik tua selalu menyapu daun-daun kering yang tak pernah berhenti gugur. Pada hemat saya, dia mungkin pekerja yang menjaga kebersihan kampus terutamanya di kawasan tersebut.

Setiap hari tanpa terlepas, saya pasti akan terserempak dengan makcik itu menyapu daun-daun yang gugur. Pagi dia sapu, petang saya balik pun dia menyapu juga. Sampai pernah ada seorang staf CIMB menegur makcik itu:

"Sudahlah makcik, dah bersih tu. Nak tunggu licin sampai bila pun tak makcik. Daun tu tak pernah tak gugur! Pergi makan dulu, makcik..."

Saya tak lupa itu. Betul-betul menyentuh perasaan. Teguran staf itu seperti nasihat seorang anak kepada ibu tuanya sendiri.

Sejak dari peristiwa itu, saya akan lalu berhampiran dengan makcik tu dan memberi salam padanya. Kalau dia tengah mengemop lantai kaki lima bank, saya tak akan pijak kaki lima tu. Tak sampai hati sangat rasanya. Paling tidak pun, saya lemparkan senyuman dari jauh. Makcik itu betul-betul membuatkan saya kuat semangat untuk terus berjalan kaki menyudahkan kelas saya dalam sehari!
*************************
Masa berlalu. Di tahun akhir pengajian, abah bersungguh-sungguh menyediakan saya alat bantu belajar yang satu itu. Alhamdulillah, rezeki abah dan rezeki saya. Baby-K itu tak boleh dibawa melalui jalan kecil Canseleri lagi. Saya perlu memandunya melalui jalan besar. Bersaing dengan kereta-kereta lainnya.

Maka saya mula meninggalkan lorong Canseleri. Hanya kadang-kadang saya ke sana, atas urusan membeli alatulis atau ke bank. Ada kalanya saya terserempak dengan makcik itu. Kalau nasib 'tak baik', saya hanya melihatnya dari jauh. Dia terus saya 'lupakan' seiring dengan kesibukan saya di tahun akhir. Kali terakhir saya terlihat batang tubuhnya adalah semasa saya ke sana untuk mengambil jubah konvokesyen. Setahun yang lalu.

Dan minggu lepas, saya sekilas terpandang wajahnya di pasar malam yang biasa saya pergi dulu. Ya, dialah seseorang yang saya maksudkan. Wajah tua yang tidak ada apa-apa. Hanya seorang tukang sapu yang setia dengan tugasnya. Namun dia tanpa disedari telah memberi pengajaran hidup kepada saya yang terkesan hingga ke hari ini.

Lalu bagaimana?

Terus saya berfikir, mengapa saya terlalu cepat putus asa dan kecewa dengan apa yang saya lakukan? Sedangkan makcik itu terlalu tulus dengan usahanya tanpa ada rungutan dan rasa bosan. Saya terpukul. Setabah si tukang sapu telah mengajarkan saya sesuatu yang berguna!

Ketabahannya menjadi nasihat terbaik dalam diri saya. Tak salah rasanya kalau saya katakan, dialah sebahagian dari sumber inspirasi untuk saya terus menapak ke kelas walau dalam apa jua situasi selama saya menjadi pejalan kaki tegar, sedang dia seorang tukang sapu setia. Semoga makcik itu diberkati usia dan rezekinya.

Dia telah ditakdirkan untuk menjadi 'pensyarah' saya di balik redup pokok-pokok kampus kota mega.

p/s: Memujuk diri, memberi inspirasi!

Willy Satay Sungai Merab


Bismillah

Sabtu 10 Mei lepas, sebaik pulang dari KLIA, kami ke Restoran Perantau Hill, Sungai Merab Bangi. Alahai...Jalan lama menghala ke Uniten tu pun kebetulan memang jalan hala balik saya. Jadi singgah je lah~
Dah lama saya pandang gerai Willy Satay ni setiap kali balik dari pejabat Wani di Serdang- Menitik je air liur. Hahaha
Akhirnya dapatlah juga merasa. 

Memandangkan kami taklah lapar sangat pun sebenarnya-  Kami hanya order burger dan 15 cucuk Willy Satay ni. Buat kunyah-kunyah sambil dengar cerita dan pengalaman orang baru balik site visit dari luar negara.
Masya Allah. Sedap sangat! Dagingnya lembut dan ada rasa. Secucuk RM0.80. Tapi puas hati ohoooiii~!
Kuah kacangnya pun sedap. Sempurna.
Rakan-rakan pembaca yang berada di sekitar kawasan sekitar, bolehlah ke sini. Rasanya anda semua pun mesti dah tahu kan. Hahaha. Tak apa. Saya kongsikan juga untuk rekod pengalaman saya dan mungkin berguna untuk pembaca lain yang mungkin kebetulan ada di situ.

Selamat menjamu selera!

Salam sayang,
Dhiya


Raef - You Are The One

Eh, Rakaat Ketiga atau Keempat ha??


Bismillah

Perkongsian hari ini- Yang mesti pernah berlaku kepada kita semua, termasuklah saya. Nama pun manusia biasa. 
Pernah je terjadi kepada saya tambah-tambah kalau penat sangat. Allahu, hinanya... :(

Ini penerangannya:
 Selamat beramal. Semoga solat kita lebih berkualiti dan diterimaNya. Amin

Salam sayang,
Dhiya

DIY Perkahwinan: Satu Kepuasan. Tapi...


Bismillah

Sekarang ni, memang trending sangat DIY persiapan perkahwinan- Bermula dari sekecil-kecil barang hinggalah sebesar-besar persiapan. Pada saya, ini bukan benda baru pun. Masa zaman kakak saya kahwin lebih dari 10 tahun yang lalu, budaya DIY ni dah wujud malah sangat berkait rapat dengan budaya gotong-royong.
Saya ni asal dari kampung, jadi saya melihat semua ini dengan mata kepala sendiri dan kadang-kadang terlibat juga secara tidak langsung. Masa tu pun masih budak sekolah yang tak tahu apa-apa. Manalah saya tahu- Selepas berbelas-belas tahun ianya dipanggil DIY~ :)

Saya sedikit sebanyak terpengaruh juga dengan trend DIY ni. Ada satu kumpulan FB ni, semua ahlinya buat persiapan kahwin DIY! Mereka lebih kuat semangat daripada saya. Huhu.
Saya akui, DIY memang agak menjimatkan. Kita mengurangkan kos dengan tenaga kita sendiri- Maksudnya kita tidak menggunakan dan tidak membayar produk dan perkhidmatan orang lain. Contohnya bunga telur- Mari kita lihat pengiraan mudah seperti di bawah:

Kita beli semua bahan untuk buat bunga telur lengkap pada jumlah harga RM80
Kita buat, buat dan buat sendiri bunga tu...
Sampailah jadi sepokok bunga telur yang sempurna, dan kita pun puas hati.
Katakan dengan barang yang dibeli tadi, kita berjaya dapat 150 pokok bunga telur.
Maka harga sepokok bunga telur tu adalah RM80/ 150= RM0.53 atau 53 sen sahaja.
--Sedangkan, kalau kita pergi ke kedai persiapan pengantin, harga purata biasa sepokok bunga telur boleh mencecah RM1. Kalau ada yang 50 sen, mesti rupa dia pun kita tak mahu tengok.
Betul tak?
Inilah yang dinamakan kepuasan dan berbaloi.
Tapi...
Pastikan kita bersedia dengan beberapa paksi berikut. Pegang kuat, kejap- Jangan lepas. Semangat mesti kuat!

Fikir dulu
Sebelum buat keputusan untuk DIY, fikir dulu semasak-masaknya. Pertimbangan kita perlulah meliputi soal kos, kuantiti dan tenaga kerja. Kalau dirasakan kos beli siap lebih murah, cantik di mata dan berbaloi, lebih baik beli je kan~? Sama juga dengan kuantiti. Kalau rasa nak buat sikit je dan yakin boleh buat- Silakan. Itu mungkin lebih berbaloi di samping memberikan kepuasan dan kegembiraan. Tenaga kerja- Siapa yang akan bantu kita atau kita akan berhempas pulas sendiri? Ha...Semua tu kena fikir.

Jangan cepat putus asa
Tambah-tambah DIY perkahwinan. Kena ingat yang apa semua kita buat tu adalah untuk majlis kita. Bukan semata-mata hobi sahaja. 
Pendek kata- Sekali dah buat keputusan untuk DIY, jangan patah balik. Teruskan!

Sabar
Ingat, DIY ni kita buat  semuanya sendiri. Jadi kesabaran yang tinggi amatlah dituntut. Kalau kejap-kejap nak membaham orang yang tak ada kaitan pun dengan projek kita tu- Itu tandanya kesabaran kita sedang menipis. Pergi ATM dan keluarkanlah duit untuk beli item siap.

Enjoy!
Jangan tertekan. Buat dengan hati yang terbuka dan gembira.

Mulakan dan Rancang dari Awal
Hu ini memang sangat penting. Kalau last minute- Memang namanya menempah musibah. Katalah DIY pelamin tak jadi hanya 3 hari sebelum majlis- Mana nak cari bridal yang boleh bersedia dalam tempoh sesingkat tu? Awas dengan pilihan dan perancangan kita, ya~

Rasanya itu je lah kut 'tapi' nya~ Bukan nak takutkan sesiapa. Saya sendiri pun memilih untuk DIY tapi bukan semua perkara. Saya memilih item yang boleh dibuat sambil-sambil dan saya gembira melakukannya. :)

Insya Allah anda pun boleh~!

Salam sayang,
Dhiya

Konsumerisme: Cadbury DNA Babi


Bismillah

This entry would be my very own personal idea and not influenced by anyone else.

Saya terkejut dan kecewa betul dengan pengesahan Kementerian Kesihatan tentang kewujudan DNA porcine (baca: babi) dalam coklat Cadbury semalam. Cadbury dah lama bertapak di Malaysia. Syarikat ini sudah boleh dikira sebagai stabil dan meraih minat dan kepercayaan segenap lapisan masyarakat negara ini. 

Saya tak faham secara teknikal bagaimana ianya boleh terjadi. Maksud saya bagaimana boleh ada DNA babi di dalam produk yang disebutkan. (Samada mereka sengaja memasukkan atau termasukkan bahan yang ada DNA babi itu dalam keadaan kilang atau keadaan penghasilan yang patuh syariah atau bagaimana-) Tapi tindakan ini dianggap sebagai fraud atau penipuan terhadap pengguna.

Mengapa fraud?

Jika semua aspek penghasilan produk ini telah mendapat sijil halal, mengapa masih ada lubang tiris untuk DNA babi itu masuk ke dalam produk tersebut?
Rakyat Malaysia meletakkan kepercayaan kepada tanda halal Jakim sebagai jaminan kesucian yang diiktiraf. Apabila keadaan ini berlaku, Cadbury  bukan sahaja mengkhianati kepercayaan pengguna tetapi juga kepercayaan autoriti. Secara tidak langsung juga kredibiliti autoriti yang bertanggungjawab (terutamanya Jakim) sedikit sebanyak akan tercalar.
Rakyat kemudian berhak mempunya stigma: "Jangan percayalah logo halal Jakim tu. Cadbury yang ada tanda halal pun boleh ada DNA babi" --Salah pengguna ke kalau mereka berkata begini?


Memang,
Halal dari segi makanan bukan sekadar daging babi atau seluruh unsurnya. Banyak lagi pertimbangan lain yang perlu dibincangkan. Tapi memandangkan mencari yang halal itu adalah sesuatu yang wajib apatah lagi di tanah air sendiri yang mudah mencari sumber alternatif lain yang lebih diyakini halal, saya secara peribadi terpaksa perlahan-lahan menolak produk ini dari digunakan sehinggalah Cadbury tampil dengan pengakuan bersalah atau permohonan maaf dan meraih kembali kepercayaan pengguna.
Lagipun, Cadbury bukanlah sumber makanan ruji rakyat Malaysia. Banyak lagi sumber lain yang lebih sihat lagi mengenyangkan bagi meneruskan kerja-kerja khalifah.

Di sisi yang lain, syukurlah negara kita masih menjaga hak yang satu ini. Kita ada badan khas (walaupun tidak kuat) yang berterusan memantau keadaan ini. Rasanya dah sampai masa Jakim menjadi sebuah Kementerian dan mempunyai seorang menteri yang memegang portfolio ini dengan harapan fungsinya lebih jelas dan tegas serta fokus terhadap pembangunan agama secara menyeluruh.

Buat Cadbury,
Kami menanti penjelasan anda.

Dhiya

N41: Dukacita anda tidak berjaya dalam urusan ini


Bismillah
(Mari baca entri ini tanpa rasa dukacita)

Alhamdulillah.

Temuduga telah diadakan minggu lepas. Tak sangka pula keputusan diumumkan selang seminggu sahaja walhal dalam surat panggilan temuduga tempoh hari menyatakan bahawa keputusan hanya boleh diketahui seawal pertengahan bulan Jun.

Seperti yang ditebak, saya masih belum ada rezeki untuk menjejakkan kaki ke sektor kerajaan. Allah Maha Tahu rezeki saya masih di sini untuk menghabiskan juga pengajian setelah sekali tangguh kerana berkursus di Korea dulu.

Hey jangan bimbang. Saya tak bersedih pun. Saya anggap peluang temuduga itu sebagai nilai tambah kepada pengalaman peribadi saya. Soal dapat atau tidak- Saya sudah lama pesan dalam diri: Itu bukan perkara utama. Kalau dapat Alhamdulillah. Tapi saya perlu fikirkan pula komitmen pengajian. Mungkin perlu tangguh belajar atau lapor diri ke sektor kerajaan. Kalau tak dapat pun tak ada cela. Saya masih dalam pengajian dan saya yakin banyak lagi peluang yang akan datang nanti dengan kelulusan yang setingkat lebih dari ijazah sarjana muda kelak (Insya Allah)

Terima kasih rakan-rakan yang mendoakan. Terima kasih juga kepada rakan-rakan maya di blog ini yang banyak memberi respon dan berkongsi pengalaman. Kepada yang berjaya- Tahniah. Kepada yang senasib dengan saya- Enjoy! Ini bukan penamat hidup. Allah ciptakan banyak ruang dan peluang untuk hambaNya terus menjadi Khalifah dan terus menyumbang. Jangan nangis k~ Huhuhu.

Selamat berhujung minggu!

Salam sayang,
Dhiya

ABPBH 2013: Opening Terbaik, Tapi...


Bismillah

Saya memang terfikir ABPBH PICC ni tak boleh galak getik sangat kan sebab kita masih dalam situasi berduka atas kehilangan MH370. Kalau ikutkan batal terus pun ok yaww~
Opening Mawi dan AC Mizal tadi dah bagus dah. Tak jadi ABPBH- Jadi majlis ceramah agama pun bagus sebenarnya.

Kita tengoklah sampai habis. Kalau rasa tak berkenan, tukar siaran~
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
Memang tak tengok sampai habis pon. Heh~

Sokong hiburan Malaysia, tapi jangan lagho~
Dhiya

Teh O Limau Suam


Bismillah
Hujan
Mood terbuai-buai~
Insya Allah hari ni saya nak siapkan penulisan tesis Bab 3 saya. Rangka dah ada. Maksudnya dah tahu nak tulis apa, cuma biasalah- Nak menyusun ayat tu ambil masa juga kan. Bab 3 ni umumnya menceritakan secara mendalam kaedah kajian. Jadi seperti yang dijangka, memang agak panjang. 
Tapi saya tak bimbang, mencedok ilmu Dr. OT menjadikan saya pantas dalam menulis. Terima kasih Dr.!

Bab 1 pun dah siap. Cuma saya perlukan dalam 2 hari untuk kemaskannya lagi dengan citation yang sempurna mengikut gaya universiti.
Bab 2 ni saya akan buat sekali harung dengan sesi mengemaskini Bab 1 nanti. Insya Allah.

Internet peribadi saya dah OK. Jadi saya hanya memilih untuk berada di sini sahaja sambil ditemani teh O Limau Suam. Kalau hujan di luar- Lagilah sorga!

Salam sayang, 
Dhiya

Punyalah lama nak siapkan dia ni!


Bismillah

Alhamdulillah sangat amat!

Masih berkisar tentang tugasan Prof. KS. Hari ni dapat cross another one task which has been so long in my to-do-list. Bukan main panjang lagi langkah pengiraan system sizing ni. Tulisan pun dah macam cakar ayam. (Oih tulisan saya memang teruk)~ Ingatkan ambil kursus ni dah jauh sangat la dengan gaya hidup dan cara kerja seorang jurutera. Rupanya masih sama. Hahaha!

Tapi all in all, saya bersyukur sangat-sangat sebab dapat selesaikannya dengan baik (walaupun jawapannya belum tahu betul atau tidak). Banyak juga pengetahuan dan aplikasi baru yang saya pelajari dari tugasan ini. Puas hati!
Ni gambar tugasan yang dah siap. Naik lunyai kertas tu. Mana tidaknya, dari pukul 8 pagi hingga pukul 1 pagi saya menghadap kerja ni. Memang padanlah kalau kertas pun dan renyuk. Tu pun nasib baik tak ada kesan tumpah air kopi ke apa kan~
Ok yeay! Sekarang dah siap. Masa untuk makan tengahari (dah lewat pun) dan solat Zuhur. Petang ni mungkin saya memilih untuk berehat sahaja. Malas nak keluar ke mana-mana. Layan Hindustan pun ok kan~ Hari ni kan hari Sabtu!

p/s: Tadi dapat tahu yang kuputusan temuduga N41 dan diumumkan hari ni. Kejap lagilah saya kongsikan ye. Tadi cuba cek, tapi masih belum ada data. Cuak pula rasanya. Tapi instinct saya rasa macam tak dapat dan Allah Maha Tahu yang saya perlu habiskan dulu the very last semester yang tinggal ni. Tu dalam entri lain lah~

Salam sayang,
Dhiya

Dear Nuffnang, you made my day!


Bismillah...

Alhamdulillah.

CPUV #6: Sanofi Lactacyd

CPUV ke-6 sedang berada di DDD. Jadinya sekarang ada 2 CPUV yang masih berjalan. Walaupun nilai yang masuk tak sebanyak otai- otai (yang ada sampai berpuluh-puluh ringgit), tapi saya rasa gembira sebab saya melakukannya dengan rela.
It's kind of compliment for me. Thanks Nuffnang.

Selepas bermacam-macam isu yang berlaku minggu ini, saya rasa puas apabila melihat DDD kesayangan dihargai dan sedikit sebanyak memberi info kepada pembaca.
Saya memang lebih sayangkan DDD ni kalau nak dibandingkan dengan FB. Entah. Sungguh entah~

Silalah klik iklan Sanofi Lactacyd tu sebab anda boleh isi borang dan dapatkan free sample barangan Lactacyd 

Enjoy!
Dhiya Dahlia 

Lawatan Tapak Kesan Kakisan Laut, Port Dickson


Bismillah
Pembentangan tugasan kakisan saya masih lambat lagi- Ada dalam tempoh 3 minggu lagi. Tapi saya dah berjaya siapkan slide dan laporan bertulisnya sebab saya tahu di hujung semester ni mesti akan ada banyak lagi kerja tambahan.
Alhamdulillah saya juga telah berpeluang membuat sedikit kajian nilai tambah terhadap tugasan ini apabila saya berjaya mendapatkan satu tapak kakisan yang boleh diakses dengan lebih dekat.

Dua minggu lepas saya telah ke PD untuk melihat dengan lebih dekat fenomena ini. Saya juga berjaya merakamkan gambar supaya dapat dikongsikan dengan pembaca DDD dan juga rakan sekelas semasa pembentangan nanti.

Pengaratan dan kakisan adalah fenomena yang terjadi disebabkan oleh kesan semulajadi persekitaran. Kehadiran ajen pengaratan dalam atmosfera semulajadi telah menjadikan pengaratan dan kakisan ini sebagai cabaran terutamanya dalam bidang pembinaan.
Kakisan konkrit pada sebuah binaan jambatan yang dapat saya rakamkan. Kadangkala kita kurang cakna- kesan ini sedikit demi sedikit akan merosakkan struktur malah lebih teruk boleh mendatangkan kemalangan. Oleh itu amatlah penting bagi pihak berwajib menjalankan aktiviti penyelenggaraan berkala bagi memastikan situasi ini berada dalam keadaan terkawal dan selamat.
Ehei~
Macam dah tulis laporan pula.
Gambar-gambar ini pun saya dah siap masukkan ke dalam slide pembentangan dan laporan. Insya Allah 3-4 hari sebelum pembentangan, saya akan buka balik untuk sedikit ulangkaji.

Inilah dia antara projek 2 dalam 1- Melancong sambil buat kerja sekolah. Harap-harap dapat markah lebih ya, Prof!

Salam sayang,
Dhiya

Yeay untuk HOMER!


Bismillah

Yeay!
Tu je nak cakap~

Nak meraikan diri sendiri sebab dah berjaya siapkan satu set tugasan Prof. KS ni yang semuanya tentang HOMER. Insya Allah minggu depan boleh print dan hantar. Sekurang-kurangnya tak payah fikir dah~
HOMER punya pasal- Satu dunia saya dah pergi. London, Sinegal, Hong Kong, Cairo dan akhir sekali balik kampung di Temerloh. Hahaha!
Ada satu set lagi- semuanya pengiraan. Itu akan saya siapkan dalam masa terdekat.

Terima kasih rakan-rakan blogger yang rajin tinggalkan komen dan selalu kirim doa. Tengahari tadi pun sebenarnya saya ada temuduga untuk jawatan RA sementara di UM. Rindu UM kononnya. Hahah! Nanti saya cerita ok. Doakan saya. :)

Salam sayang,
Dhiya

Cara Bijak Jimat Tenaga


Bismillah 
Hari ni saya nak kongsikan pesanan khidmat masyarakat sikit.
Hampir setiap hari pun saya dengar pesanan yang sama seperti ini di Hotfm- Jimatkan tenaga. Jangan membazir.

Tapi tu lah...
Sejauh mana kita mengambil cakna? Saya sendiri pun kadang-kadang 'terbabas' juga. Kalau di rumah, emak memang selalu jadi pegawai penguatkuasa yang berjaya. Kami memang dididik untuk merutinkan amalan penjimatan tenaga sampai cucu-cucunya pun semua dah ingat- Lepas bangun tidur, tutup suis kipas. Tv kalau tak tengok, tutup. Siapa yang terkantoi, memang tak ada ruang mempertahankan diri. Hahah! 
Tips penjimatan tenaga :) Sikit je ni. Jom la pakat amalkan
Di pejabat pun, kita selalu fikir yang semua tu bukan kita punya hingga kita rasa kita boleh buat apa sahaja. Bos saya dulu lain. Jane ni, pada sisi buruk dia yang pilih kasih tu, saya tahu dia memang bagus dari segi kerja. Dia akan balik paling lambat dan akan tengok semua komputer samada suisnya ditutup atau tidak. Saya faham kadang-kadang kita memang sengaja tak tutup PC sebab ada kerja yang tak siap atau sistem yang tergendala. Tapi lain bos, lain perangainya kan~ Kalau pagi esoknya tak boleh buka PC tu, ha...silalah terasa yang bos dah 'lawat' tempat kita.

Insya Allah kita boleh tingkatkan disiplin diri kan?
Sekecil-kecil usaha kita- Ketahuilah ia memberi kesan yang sangat besar kepada negara :)

Salam sayang,
Dhiya
Kempen dari pelajar Teknologi Tenaga

10 Tugasan Terkumpul


Bismillah

Akhirnya
Sahlah 10 tugasan semuanya. 

Tadi Prof. anugerahkan lagi 2 tugasan- yang menggenapkannya menjadi 10.  Nampak macam beban hidup paling beratlah ni kononnya. Tapi di sebaliknya, saya bersyukur sebab dia dah maklumkan juga tadi bahawa tiada peperiksaan untuk subjek ini. Semuanya bergantung kepada 10 tugasan ini.
Sekurang-kurangnya, saya tak perlu hadam buku Termodinamik yang tebal tu. Cukuplah semasa zaman di UM dulu. Insya Allah sekejap lagi saya akan siapkan HOMER 1 dan Refrigerator Cycle tu. Terima kasih Prof. KS yang sangat cool dan sempoi. Kena bersemangat!

Doakan, ya~!

Salam sayang,
Dhiya

Langsung Dari Bilik Belajar


Bismillah
Terima kasih fakulti kerana sediakan bilik siswazah yang serba sempurna ini. Setiap kali bertapa di sini, saya dapati memang semangatnya lain sedikit- Lebih gigih dan berkobar-kobar gitu~
Kalau rasa dah sakit mata menghadap skrin laptop, saya akan berdiri di tepi tingkap bilik ini dan melihat pemandangan di luar. Rehatkan mata sambil biarkan kepala melayang. Nak berangan sekejap pun tak apa.

Makin nak habis, makin sayang pula pada kampus dan fakulti ni. Sayang juga pada zaman pengajian Master ini. Ialah...Perjalanannnya tak macam saya di UM dulu. Di sini saya banyak buat dan usaha sendiri. Dari urusan pendaftaran hinggalah pengurusan kewangan, saya gagahkan diri turun naik PPS, Bendahari dan jabatan serta fakulti tanpa bantuan sesiapa. Saya daftar kursus ni pun atas inisiatif sendiri, bukan mengikut rakan atau sesiapa.

Saya belajar untuk lebih menghargai diri sendiri.
Insya Allah moga selamanya dan seterusnya begitu- Hingga ke akhirnya.

Salam sayang,
Dhiya


Update Segera


Bismillah

Minggu ini bermula dengan agak tegang dan sibuk. Hari ini pun masih terpaksa follow up beberapa isu. Paling tak best, isu tu sebenarnya adalah disebabkan kesilapan orang lain, tapi saya pula yang kena ke hulu ke hilir. Itu saya cerita pada entri lain ok.

Pagi-pagi tadi saya dapat siapkan tugasa pengiraan Termodinamik yang agak mencabar tu. Lima soalan dah macam 50 soalan. Huhu. All in all, Alhamdulillah. Boleh cross another one task in my to-do-list.

Malam ni saya berazam nak siapkan satu lagi soalan Termodinamik untuk tugasan yang lain pula. Prof KS kesayangan saya tu memang suka kumpul banyak-banyak tugasan dan hantar sekali gus di hujung minggu terakhir kelas. Sekarang ni memang dah nak masuk minggu peperiksaan pun. Jadi kena siapkan juga sebab dia akan minta pada bila-bila masa saja.

Doakan.

Salam sayang,
Dhiya

DIY: Stok Tisu Warna Baru :)


Bismillah

Hai B2B yang membaca blog DDD!
Apa khabar semangat anda?

Saya nak kongsikan stok tisu dengan warna terbaharu yang berjaya dimiliki minggu lepas. Kedua-duanya pun warna kegemaran saya terutamanya yang ungu tu~
Satu bungkus ada 50 helai.
Satu helai tisu boleh dapat 4 kuntum bunga.
Jadi jumlah semua?
.
.
.
.
.
.
Pandai
200 kuntum
Tapi tak tolak lagi kalau jahanam sebab tiris sabar~
Iyalah...Tisu ni agak lembut berbanding crepe paper yang saya guna sebelum ni. Silap langkah, memang senang sangat untuk tisu koyak.
Setakat ni saya boleh tengok je dulu. Masih kemas berikat dalam plastik kedai. Komitmen tugas sebagai pelajar sangat menuntut kesungguhan terutamanya dari segi masa. 
Doakanlah dalam cuti sem nanti saya dapat sudahkan semua kerja yang tertunggak. Bunyinya agak mustahil, tapi saya akan cuba sebaik boleh.

Tempahan?
Tempahan bunga ditutup setakat ini. Tapi stok tisu ni kalau nak beli, kita boleh bincang. Harga memang lebih murah dari Tisu IKEA. Cumanya dalam keadaan saya yang terikat dengan beban belajar, saya harap pembeli bukan dari golongan yang nak guna segera. B2B yang rushing- Saya nasihatkan agar dapatkan di IKEA. Saya ni berniaga sambil-sambilan sahaja. Haha!

Salam sayang,
Dhiya

Mas Kahwin Negeri Pahang


Bismillah

Mungkin ramai yang dah tahu, mahar di negeri Pahang adalah sebanyak RM22.50 dan merupakan yang paling murah di Malaysia.
Saya pernah terjumpa seorang pelajar Master Pengajian Islam yang sedang bekerja dengan MUIP dan dia mengakui nilai mahar RM22.50 memang dah lama tidak dikemaskini. Hampir 100 tahun katanya.
Apabila saya tanya- Kenapa tidak disemak dan dikemaskini?
Ujarnya, cadangan semakan dan kemaskini sudah banyak kali diusulkan, tapi semuanya bergantung kepada ketua pemimpin negeri iaitu Sultan Pahang.
Bukan maknanya Baginda Sultan tidak bersetuju, tapi masih banyak perkara yang perlu disentuh dan dibincangkan dengan lebih mendalam demi kemaslahatan rakyat. Itu katanya.
Memang dah ramai juga pemimpin di peringkat rakyat mencadangkan kenaikan kadar mahar di Pahang. Rasionalnya adalah supaya nilainya selari dengan zaman dan tidak terlalu murah hingga merasakan ianya satu komitmen yang ringan dan tidak menggembirakan penerima mahar.

Pada saya, mahal atau murah kadar mahar itu bukanlah sepenting komitmen kita selepas bernikah. Menurut BERNAMA, di Pahang sendiri, Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang diberitahu 16.22 peratus daripada 15,000 perkahwinan pasangan Islam yang didaftarkan di negeri itu sepanjang tahun lalu kini pada pelbagai peringkat proses penceraian. Sumber
 
Kekal ke, naik ke- semuanya bergantung kepada niat pernikahan. Kan? Cumanya saya rasa apabila nilainya meningkat, kita boleh katakan yang boleh nampaklah kesungguhan pihak tersebut untuk menyediakan nilainya. Bukankah bayaran ini wajib sedangkan wang hantaran tu hanya adat?

Peace no war
Hanya pandangan sahaja :)

Dhiya

Kasut Baru yang Lebih Ergonomik


Bismillah

Nama pun kasut. Jadi tempatnya memang di bawah.

Rasanya ramai kawan saya yang maklum- Saya memang susah nak dapatkan kasut. Bukan sebab kaki saya terlampau besar atau terlampau kecil, tetapi kerana masalah kontur dan tulang.
Yep, saya masih boleh berjalan dan berlari seperti orang normal, cumanya saya ada masalah dalaman. Jangan ingat saya seorang manusia yang sempurna tau. Semua orang pun ada kelemahan masing-masing, tapi Allah ada anugerahkan kita kelebihan di mana-mana.

Berbalik kepada masalah saya ni, saya pernah ditawarkan rawatan di PPUM semasa saya belajar dahulu, tapi saya menolak sebab masa tu saya dalam tahun akhir dan komitmen sangatlah tinggi. Jadi saya tak mahu tanggung risiko.
Sampailah ke hari ini, saya terpaksa menerima hakikat yang saya susah untuk mendapatkan kasut yang sesuai dengan kaki dan cantik di mata- Dalam masa yang sama.

Baru-baru ni, saya terjumpa kasut ni. Cantik pada mata saya :) Apabila dipakai dan dibawa melangkah pun rasa selesa. Nah apa lagi- Saya teruslah beli! Lagi bagus sebab harganya cuma RM20. Senyum meleretlah saya dapat kasut baru. Kalau boleh masa tu juga nak pakai terus. Hahah!
Kasut murah je, tapi insole dia sangat sedap dan selesa serta 'kena' dengan tapak kaki saya.
Saya berazam sebaik saya kembali bekerja nanti, saya ingin menggunakan konsultansi doktor pakar tentang masalah saya ini. Kalau perlu reconstructive operation pun, saya tidak menolak. Ini bukan sebab nak cantik je, tapi soal keselesaan dan faktor ergonomik tulang saya juga. Insya Allah...
Doakan.
Atau ada di kalangan pembaca saya merupakan doktor, boleh email dan perkenalkan diri anda di diahalida@gmail.com.

Salam sayang,
Dhiya

Temuduga SPA: Pegawai Tadbir N41


Bismillah
Alhamdulillah

Giliran temuduga saya adalah pada 14 Mei yang lalu. Sepatutnya sesi saya adalah pada jam 3.40 petang. Tapi saya menerima SMS dari urusetia pada jam 9 pagi yang mengalukan kedatangan saya pada sesi yang lebih awal. Apa lagi kan~ Terus bersiap dan pecut kereta. Kebetulan memang semua barang untuk balik ke kampung sudah saya masukkan ke dalam kereta semalamnya. (Ya, saya balik ke Pahang sebaik selepas temuduga!) Peluang untuk awalkan sesi temuduga tu memang sangat bonus bagi saya :)

Campur tolak darab bahagi dengan kesesakan lalu lintas, saya berjaya juga sampai pada jam 11.30 pagi. Temuduga saya pada jam 1.30 petang. Lama kan? Hahaha. 
Dalam tempoh menunggu tu la juga saya menerima satu email menyakitkan hati dari satu syarikat ni yang konon bagus sangat sampai nak tahan-tahan duit bayaran saya. Memang menggigil juga satu badan menahan marah. Dahla sikit jam je lagi nak temuduga- Datang pula manusia pengkhianat ini merusuhkan hati. Memang ujian sangat.
Tapi terima kasih Olin dan Elis yang beri kekuatan dari jauh di saat-saat benteng air mata saya hampir runtuh.

Temuduga saya berjalan dengan baik. Saya malas nak cerita secara detail apa yang ditanya sebab temuduganya hampir sama macam temuduga PTD tempoh hari. SAMA. SAMA SANGAT. Cumanya mereka beritahu yang jawatan ini adalah jawatan kontrak dan perlu melakukan tugas-tugas kesetiausahaan dan juga tugas PTD. Saya maklum akan hal itu.

Selebihnya mereka banyak bertanya tentang projek tahun akhir saya semasa di UM dan projek terkini untuk penulisan sarjana. Semuanya nampak baik. Saya juga dah berikan yang terbaik dan harapnya atas ujian yang berlaku sebelum temuduga itu, semoga Allah berikan yang terbaik jua.
Tapi kalau tak berjaya pun saya tak sedih. Saya tahu saya masih belajar dan perlu fokus untuk habiskan pengajian dulu. Saya akan anggap Allah tak izinkan fokus saya hilang kepada banyak benda. Pengajian Msc. saya hanya tinggal beberapa bulan lagi. Saya tak akan berundur :)

Demikianlah sedikit sebanyak pengalaman saya. Setakat ni saya dah ada 3 kali pengalaman temuduga SPA. Dua kali gagal. Harap yang ketiga ni adalah rezeki di mana-mana. Mungkin rezeki hujung pengajian. Insya Allah.

Bagi yang nak membaca pengalaman temuduga PTD saya, boleh klik link ini. Tapi saya dah tak kongsikan jawapan kepada soalan temuduga tu sebab saya anggap jawapannya anda boleh cari sendiri dan soalan isu semasa tu dah dikira sebagai obsolete. Anda boleh baca isu-isu terkini tahun ini seperti GST, MH370 dan sebagainya.

Semoga memberi manfaat.

Salam sayang, 
Dhiya

10 Cara Memikat Hati Mertua


Bismillah

Mesti ramai yang ingin tahu bagaimana cara memikat hati mertua, kan? Entri ini saya tujukan kepada anda yang bakal mendirikan rumahtangga (dah menjadi tunangan orang), baru melangkah ke alam perkahwinan dan yang dah lama berkahwin (mana tahu sampai sekarang belum berjaya memikat hati mertua, kan?). 

Di sini saya kongsikan beberapa cara untuk memikat hati mertua (sama ada ibu atau ayah mertua) yang boleh sama-sama kita diamalkan.

1. Sebaik sahaja anda sah sebagai tunangannya

Mulakan berkenal kenalan dengan keluarga mertua. Andai tinggal berjauhan, hubungilah mereka melalui telefon sekadar untuk bertanya khabar. Jika duduk berhampiran, cuba sesekali luangkan waktu berkunjung ke rumahnya.

2. Ketika berkunjung, bawalah buah tangan bersama

Sekurang-kurangnya dengan membawa kuih ataupun buah-buahan. Tetapi lebih elok jika anda membawa sesuatu yang boleh dibuat cenderahati. Misalnya dengan memberikan sepasang kain batik atau pelikat sebagai tanda kenangan.

3. Kenali sikap sebenar mertua anda

Tanya kepada pasangan anda, apa yang disukai dan dibenci oleh mertua. Jika anda tahu apa yang disukai dan dibenci, secara tidak langsung ini boleh memberikan persediaan ketika sudah menjadi ahli keluarganya kelak.

4. Setelah berkahwin, jangan sesekali anda memarahi anaknya di hadapan mereka

Keadaan ini memberikan gambaran sebenar sikap anda terhadap anak mereka. Situasi ini mungkin akan menimbulkan kebencian dihati mertua.

5. Setiap kali bertandang, cuba mengambil hatinya

Dengan bercerita tentang pengalaman lucu yang boleh menghiburkan hatinya. Jangan lupa bercerita dengan sepenuh perhatian agar dia tidak rasa jemu. Ingat, jangan pula anda bercerita sesuatu yang dianggap bodoh dan boleh memalukan diri sendiri.

6. Berkongsi minat dengannya

Kalau dia gemar bercucuk tanam, anda juga harus belajar bercucuk tanam. Kalau dia gemar memasak, tidak salah anda cuba belajar memasak daripadanya. Tunjukkan yang diri anda betul-betul berminat dengan apa yang disukai. Bagaimanapun anda dinasihatkan jangan belajar sambil lewa kerana mungkin dia beranggapan anda tidak serius.

7. Ingat hari-hari penting yang berkaitan dengan mereka

Contohnya seperti ketibaan Hari Ibu, Ulang Tahun Perkahwinan, Hari Bapa dan Hari Lahir, jangan lupa menelefon mengucapkan sesuatu. Lebih baik jika anda berkunjung ke rumahnya dengan membawa hadiah. Atau anda juga boleh membuat kejutan dengan mengadakan majlis untuk mereka.

8. Paling penting, jaga pertuturan anda

Jika sebelum ini anda seorang yang ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar menjaga pertuturan anda. Kata orang, kerana mulut, badan binasa. Jadi berhati-hati ketika menuturkan sesuatu di hadapan mereka. Jangan sampai menyinggung perasaan keluarga mertua.

9. Setelah selesai majlis kenduri, pastikan anda ringan tulang membantu mengemaskan apa yang patut

Terutamanya jika kenduri dilakukan dengan memasak sendiri. Pasti banyak barang yang patut dibasuh seperti periuk, kuali, gelas atau pinggan mangkuk. Walaupun anda keletihan, tetapi cuba sibukkan diri dengan menolong apa yang patut. Tetapi jika majlis dilakukan secara katering, cubalah mengemas apa yang patut di dalam atau luar rumah.

10. Cuba mengasihani keluarga mertua seperti anda menyayangi keluarga sendiri

Anggaplah mereka sebahagian daripada darah daging sendiri supaya hubungan akan bertambah mesra dan berkekalan hingga ke akhir hayat. Walaupun jika ditakdirkan anda tiada jodoh dengan anak mereka, pastikan anda sentiasa menghubungi mereka walaupun sekadar bertanya khabar sahaja.
* Entri ini pernah diterbitkan pada tahun 2010.

LHGC: 2014 Blog Giveaway #1


Bismillah

Saya mengikuti blog Kak Lin ni kalau tak silap dah hampir 4 tahun. Lama.

Saya tak nafikan, minat quilling saya memang tercetus selepas melihat aktiviti dan hasil kerjanya di blog. Beliau sangat kreatif. Hasil kad buatan tangannya sangatlah cantik sampai saya bersemangat sangat meniru.
Paling penting, saya pernah membeli slotted and combed quilling tools dari beliau dan servis yang diberikan sangatlah terbaik :)
Antara hasil kerja saya, inspirasi dari Kak Lin :)
Sampai sekarang pun, saya masih meminati seni gulungan kertas ni walaupun masa sangat mencemburui saya.
Insya Allah, azam saya nanti- Harap dapat memiliki satu meja atau workstation khas untuk buat kerja-kerja seni ni. Ianya sangat merehatkan minda dan menyenangkan hati.
Kak lin sekarang tengah buat giveaway yang menawarkan hadiah yang cantik lagi menarik. Saya dah sertai.
Kepada rakan-rakan blogger yang meminati seni gulungan kertas ni, boleh lawat blog Kak Lin dan joinlah sekali giveaway yang dianjurkan ni. Saya boleh jamin- Sekali anda melihat hasil kerjanya, anda pasti akan jatuh cinta :)
Hadiah giveaway Kak Lin
Sertai 2014 Blog Giveaway #1 Kak Lin sekarang!!:

http://azlina-lin.blogspot.com/2014/05/2014-blog-giveaway-1.html

Salam sayang,
Dhiya

Doa Supaya Tetap Mendirikan Solat


Bismillah

Doa Supaya Tetap Mendirikan Solat.
Insya Allah, semoga kita semua dapat amalkan doa ini. :)

Doakan saya- untuk semuanya!

Salam sayang,
Dhiya

Wordless Wednesday: Fooled by Smartphone


Yes,
We are.
Sigh~
Dhiya

Segmen Blogger Aktif

Salam .
Anda masih aktif berblogging ?
Jom sertai segmen mudah ni.
Tak pasal-pasal dapat traffic free, follower free .
yang paling penting blogger's friendship insyallah


klik banner untuk join the community :D

good luck !


DIY: Bunga Tisu Batch Biru Putih


Bismillah
Rakan-rakan DIY- apa khabar kalian?
Bagaimana dengan projek DIY anda?

Apa?
Fade up?
Oh please don't!

Ok ni saya nak kongsikan koleksi bunga tisu saya, batch bunga putih dengan reben biru. Mana tahu kalau boleh jadi idea untuk anda. Untuk pengetahuan, saya bukanlah orang yang bagus sangat dalam bidang seni ni, tapi saya suka cuba sampai dapat dan puas hati.
Batch biru putih dah selesai. Dalam stok saya sekarang ada warna ungu, dusty pink dan baby blue. Moga Allah beri kesempatan masa untuk saya siapkan semua tu dalam tempoh masanya. Sekarang ni pun macam dah sipi-sipi, hint dah ada. Tiba-tiba gelabah. Haih~
Paling leceh dalam bab ni adalah kaedah penyimpanan la. Bunga-bunga yang dah siap kena disimpan dalam kotak supaya tidak tertindih atau berdebu. Bila dah banyak kotak tu- Masalah ruang pula akan timbul. Bilik saya sekarang ni memang dah macam stor je- Penuh dengan kotak. Aigooo!
Rakan-rakan DIY, harap ini memberi inspirasi kepada anda. Jangan cepat putus asa k.

Bersemangat!
Dhiya