Bahagia si boroi


A conflict of interest. Hahaha
Maka akan keluarlah ayat-ayat berikut dari seorang suami atau bakal suami yang dirasakan sangat tak adil.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Isu ini didebatkan berkurun-kurun lamanya. Lelaki akan bertambah berat badan selepas berumah tangga dan si isteri pula sukar mencari bentuk badan yang lama. Bagaimanapun, situasi ini langsung tidak dilihat sebagai satu masalah, sebaliknya ia hanya dianggap satu perkara normal.

“Bahagialah selepas kahwin, itu yang perut sudah ke depan,” itulah alasan klise bagi mereka yang menegur.Perubahan ini sememangnya mencacatkan penampilan. Sebetulnya, masalah pertambahan berat badan satu-satunya ancaman kesihatan yang sukar dielakkan, namun bahayanya ia langsung tidak dilihat serius oleh kebanyakan pihak.

Lelaki bujang lebih cenderung hidup aktif, kurang makan dan kurang waktu rehat. Ke sana dan ke mari bersama teman-teman dan setiap masa dipenuhi aktiviti. Malah waktu dan pola pemakanan mereka juga tidak menentu. Lebih-lebih lagi lelaki yang hidup berjauhan daripada keluarga.Oleh kerana itu, hampir semua lelaki bujang mempunyai bentuk badan menarik dengan perut kempis dan berat badan mereka sekitar 55 hingga 75 kilogram. 

Namun selepas seseorang lelaki itu mendirikan rumah tangga, dari setahun ke setahun berat badan mereka akan bertambah. Rata-rata mereka sudah tidak lagi hidup aktif. Lebih banyak masa dihabiskan bersama anak dan isteri di rumah. Jadual makan yang teratur, tambahan pula apabila mendapat isteri pandai dan gemar memasak. Lelaki akan berasa selesa selepas berkahwin kerana ada isteri yang akan menyediakan makanan dan mudah bagi mereka untuk makan.

Berbanding wanita, yang bujang masih tetap memasak. Jadi mereka akan terus memasak selepas berumah tangga, malah menurut kajian wanita akan lebih minat memasak selepas bersuami.Mereka mula gemar mengumpul resipi dan menonton rancangan masakan. Mereka tertarik dengan aksesori dapur seperti set kuali, periuk dan peralatan memasak walaupun pada zaman bujang mereka tidak begitu.Apabila dapat menyediakan satu hidangan untuk suami dan melihat suami memakannya, isteri akan berasa cukup puas. Itulah hakikat dan realitinya jika ditanya kepada wanita bergelar isteri.

Selepas berkahwin, kebanyakan lelaki tidak punya banyak aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh. Jadi lemak daripada pemakanan mereka akan mula berkumpul di perut. Lama-kelamaan perut mereka akan mula membuncit atau dalam istilah lain boroi. Perut ke depan selepas dua tahun. 

Terdapat dua jenis lelaki boroi, pertama lelaki dengan berat badan bertambah, gemuk dan berperut buncit manakala jenis kedua pula adalah lelaki itu akan bertambah berat badannya tapi masih lagi kurus, cuma bahagian perut saja membuncit.Walaupun pakar sains tidak dapat menjawab yang lelaki boroi tanda mereka bahagia hidup berumah tangga, tetapi melalui kajian ia terjawab dengan mudah.

Hampir 92% lelaki berkahwin akan boroi selepas dua tahun dan ke atas tempoh perkahwinan. Malah statistik perceraian juga melaporkan hampir 89% kes perceraian berlaku kepada suami yang ‘slim’ dan masih tampan. Berbanding kadar perceraian yang membabitkan suami boroi hanya sekadar 19% kes perceraian.

Mungkin anda terperanjat sekarang, namun itulah hakikatnya. Jadi beruntunglah kepada mereka yang mempunyai suami boroi. Malah kajian yang sama ada menyebut yang lelaki boroi lebih penyayang dan berfikiran jauh serta lebih mementingkan rumah tangga.Persepsi lelaki dan wanita cukup berbeza. 
97% suami mula jemu atau mengelak untuk mengadakan aktiviti seks bersama isteri mereka apabila wanita itu mula gemuk, semakin tidak terurus, kurang perhatian kepada suami, melebihkan anak-anak dan apabila si isteri tidak lagi menitikberatkan penampilan. 97% kes perceraian datangnya daripada masalah isteri sebegini. Jadi awas dengan penampilan anda. 
Namun sebaliknya pula bagi isteri. Isteri tidak memandang ke arah rupa paras suaminya selepas berkahwin. Cukup sekadar merapi rambut dengan cantik dan berpakaian kemas, isteri akan terus setia menyayangi suaminya meskipun si suami semakin bulat. Selalunya suami akan terus mengimpikan isteri cantik dan menarik sepanjang usia perkahwinannya tetapi isteri hanya sekadar mengimpikan suami yang bertanggungjawab dan penyayang. Rupa paras suami seperti boroi, botak dan bau badan bukan lagi ukuran buat mereka sepanjang tempoh perkahwinan.

Walaupun dengarnya seperti tidak adil atau berat sebelah, namun itulah budaya yang sudahpun diterima sejak dulu lagi. Percaya atau tidak, ada juga sebuah blog yang menyenaraikan satu laporan kajian yang menyebut hampir 77% wanita berkahwin memakai susuk pada zaman dulu untuk memastikan suami mereka akan terus setia. Lihat saja potongan pinggang mereka yang digelar pinggang kerengga, buah dada yang terletak cantik dipadankan dengan kebaya ketat, punggung padat dan bersanggul tinggi. Itulah kekuatan seorang perempuan. 

Perut kempis dan kemas bukan saja menambah keyakinan diri seorang lelaki, malah yang lebih penting ia mencerminkan kesihatan pemilik tubuh itu. Maka tidak hairanlah ramai dalam kalangan lelaki berusaha untuk mengekalkan perut menarik dengan susuk gaya menggiurkan.Terdapat kajian membuktikan lelaki yang memiliki tumpuan lemak di kawasan perut atau disebut juga memiliki bentuk tubuh seperti buah epal, lebih berisiko terkena penyakit diabetes, angin ahmar dan jantung.
Sebelum mentafsir kegemukan dan kaitannya dengan beberapa penyakit berbahaya, seharusnya lelaki mengambil inisiatif dengan melakukan ujian BMI (indeks jisim tubuh). Ini bagi menentukan tahap kegemukan badan seseorang.
Apa kaitannya dengan penyakit jantung pula? Perut buncit dikatakan berkaitan dengan penyakit jantung tapi bukanlah secara langsung. Jika dikatakan kegemukan tubuh keseluruhan, ia secara langsung berkaitan dengan penyakit jantung. Sindrom itu dinamakan sindrom metabolik. 
Antara penyakit lain berisiko secara tidak langsung ialah darah tinggi, pradiabetes dan kolesterol tinggi. Semua ini ada berkaitan dengan jantung. 
Contohnya jika seseorang itu menghidap darah tinggi, individu itu boleh terkena serangan jantung dan diabetes. Faktor utama buncit disebabkan pemakanan yang tidak seimbang dan kurangnya bersenam. Kedua-dua ini menyebabkan lelaki berisiko tinggi menghidap kencing manis dan masalah kolesterol.
Justeru, jangan hanya menggaru kepala atau terdetik bimbang dalam hati. Kepada lelaki boroi atau hampir ke tahap obesiti, ubah gaya hidup anda.Ubah gaya hidup.
Secara umumnya, seorang lelaki itu harus kurangkan makanan bergoreng dan berkolesterol tinggi. Kurangkan pemakanan berunsur karbohidrat seperti nasi putih, roti putih, kentang, kuih-muih serta kurangkan pemakanan berkalori tinggi seperti berlemak atau berminyak.
Disyorkan mengambil lebih sayur-sayuran dan buah-buahan seperti epal, betik dan limau namun tidak digalakkan ialah tembikai, mangga serta durian. Lelaki juga digalakkan memakan lebih protein daging putih seperti ikan dan ayam (bukan bergoreng) serta kurangkan mengambil daging merah. Jangan mengamalkan pengambilan minuman yang bergas kerana ia mengandungi gula yang tinggi.

Gaya hidup pula mesti berubah dengan melakukan senaman 30 minit sehari sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Senaman yang disyorkan adalah berjalan secara cepat. Sekiranya seseorang lelaki itu disahkan menghidap penyakit diabetes atau jantung, mereka masih boleh melakukan senaman dan mengamalkan corak pemakanan lebih sihat, cuma sebagai tambahan, mereka perlu mengambil ubat-ubatan tertentu untuk mengawal penyakit mereka. Apabila seorang lelaki semakin meningkat usia, hormon testeron semakin berkurangan. Oleh itu mereka lebih cenderung untuk gemuk terutama di bahagian pinggang.

Kesimpulannya, orang buncit sebenarnya meninggikan risiko mendapat penyakit diabetes jika ia tidak dikawal melalui pemakanan dan senaman. Tapi berita baiknya, bulan Ramadhan yang disambut oleh orang Islam membolehkan kita sama-sama berdiet dengan sihat. Mana tahu selepas raya nanti, perut kurang sikit menggunung dan lebih elok kalau dapat bentuk yang jauh lebih menarik.

No comments