Tak Salah...


Bismillah

Cuti semester saya dengan rasminya berakhir hari ini, 8 September 2013.
Rasanya terlalu pantas masa berlalu. 29 Jun, hari terakhir saya di kampus terasa baru semalam berlalu. Sungguh, saya sudah mula jatuh cinta dengan lubuk ilmu saya yang baru ini. Cinta yang tak boleh dimengerti, tak boleh dizahir, hanya di hati.

Dua bulan saya di rumah, saya menerima stigma yang pelbagai terutamanya dari jiran-jiran yang super-concern (paling amat prihatin) dengan keberadaan saya yang agak lama di kampung. Saya cukup faham intonasi pertanyaan- ada yang memang ikhlas prihatin dan tak kurang juga yang sarkastik.

Situasi 1

Dia: Cuti ke, D?
Saya: Ha'ah
Dia: Sampai hari apa?
Saya: Sampai bulan depan.
Dia: Eh lamanya! Tak kerja ke?
Saya: Tak. Saya belajar sekarang.
Dia: Eh, dulu bukan D dah belajar ke? Tak habis lagi?
Saya: SAMBUNG BELAJAR LAGI.

Situasi 2

Dia: Lama nampak D kat rumah abah. Cuti ke.
Saya: Ha ah.
Dia: Lama betul D cuti. Berhenti kerja ke?
Saya: Ye. Belajar sekarang ni.
Dia: La...Belajar lagi rupanya. (Dengan nada sarkastik, bunyi macam saya ni tak habis-habis lagi belajar ijazah tu)
Saya: Ye, SAMBUNG BELAJAR LAGI

Situasi 3

Di petang yang hening, bawah pokok rambutan abah. Emak sedang melayan beberapa orang jiran yang bertandang. Biasalah. Sembang petang wanita desa. :)

Dia: Lah...Ada lagi kamu ni, D!
Saya: Ada kereta saya tu, adalah saya.
Dia: Lama betul cuti?
Saya: Cuti semester sekarang ni.
Dia: Kenapa tak kerja?
Saya: Rasa patut juga nak jawab: Eh, suka hati sayalah!

Ini antara dialog biasa yang menebak saya selama 2 bulan di kampung. Benar, saya sedang bercuti semester dan tidak bekerja. Tapi salahkah saya memilih untuk hanya berada di rumah? 
Setahun lebih saya bekerja dan menjadi hamba wang dan ringgit di Kuala Lumpur. Sabtu dan Ahad saya banyak terkorban dek komitmen kerja. Jemputan nikah kahwin, kenduri doa selamat sahabat handai dan saudara mara hanya boleh dipandang sepi. Sebulan sekali nak balik ke kampung pun susah, berebut dan beratur menunggu giliran cuti.

Saya ada sebab dan emosi tersendiri kenapa saya memilih untuk hanya berada di rumah. Biarlah nampak buruk dan kedengaran jelik seperti 'hanya goyang kaki', tapi sekurang-kurangnya hati saya tenang dapat kembali ke desa ini, biarpun saya tidak bekerja dan tidak bergaji tetap. Sungguh nilai wang tidak boleh membeli dan membayar rasa cinta ini.

Sudah lama saya menyimpan rindu dendam kepada keluarga dan desa tercinta. Air mata ini mujur tegar dalam empangan rasa. Betapa memikirkan emak dan abah adalah kepentingan saya. Setiap malam, merekalah yang utama dalam minda walau ada luka.

Terima kasih kepada yang prihatin akan kehadiran saya di rumah emak dan abah ini. Terima kasih juga atas sindiran dan senyum sinis melihat saya hanya di rumah, tidak bekerja dan hanya mengasuh anak-anak saudara yang mendamba kasih sayang.

Mereka mungkin fikir gadis muda, berpelajaran seperti saya selayaknya memang perlu bekerja di Kuala Lumpur sana. Pada mereka saya 'tidak layak' untuk terus berada bawah kemanjaan emak dan abah. Tapi saya yakin hanya yang tahu peritnya survival di sana, akan meronta-ronta untuk kembali ke desa. 
Analoginya mudah.
Kalau kita boleh makan beratur dan bersila elok, mengapa mesti memilih untuk makan sambil berebut?
Bagi saya, rezeki ada di mana-mana. Waima bekerja di negeri sendiri, bukan maksudnya nilai dan kualiti diri kita rendah hingga tidak layak untuk menghuni Kuala Lumpur.
Salah tu.

Saya sentiasa berazam. Tamat pengajian dan semua ujian perjalanan ini, saya selalu berazam ingin kembali ke desa ini. Menyumbang kepada seluruh isinya seada saya.
Jadi kepada yang tak habis-habis 'menghambat' saya untuk terus bekerja dan hidup di kota sana, tolong mengerti- Saya anak desa. Kota itu bukan seluruhnya kemahuan saya.

Tak salah...
Meminta apa yang saya mampu untuk diri saya sendiri.

TAK SALAH...

Salam sayang, 
Dhiya

2 comments

  1. betol tu dhiya. sy sokong. sy antara yg pernah kena sebijik mcm situasi tu. soalan2 jelik cmtu mcm dah jd soalan wajib bila nmpk muka kita ni ade kat umah.

    sy juga antara gadis desa yg x suka hiruk pikuk kota. biarlah org mengata "ciss keja dlm kmpg je ke?" arhh persetankan tu semua.

    aslkan kita x perlu berebut mkn dan sesak nafas nk hirup udara kota sana.

    ReplyDelete
  2. Dear Anamizu,

    Terima kasih sebab senada dengan idea saya. Saya dh penat menjadi penghuni kota. Dd sampai masa saya nak kembali ke desa, biar emak dan abah ada di depan mata.

    :)

    ReplyDelete