Hilang Semangat


Semangat saya kembali dirobek-robek.

Tahun baru 2013 tidak memberi apa-apa makna malah tidak memberi apa-apa warna dalam karier saya di sini. Mungkin ini masanya untuk saya kembali 'mengotorkan' diri mengerah keringat menjadi 'susah' seperti dahulu.

Biarlah tak punya wang yang banyak, tapi hati tenang dan maruah tidak dipijak-pijak. Biarlah payah, tetapi jiwa senang dan gembira seadanya. Ya, sudah masanya untuk saya memberi demi mendapatkan yang lebih baik.

Berita yang saya terima hari ini sungguh menguji kesabaran. Soal kualiti kerja saya tidak wajar dikaitkan dengan soal penampilan yang saya pilih. Ya, saya Muslim. Benar, saya bertudung. Tapi itu bukan faktor turun naik nilai diri dan karier saya. Maka mengaitkan saya dengan apa yang saya pakai, dan apa prinsip serta pegangan saya adalah sesuatu yang tidak wajar.

Sahlah bahawa 2013 tidak memberi sebarang semangat dan azam dalam pembangunan kerjaya saya di sini. Bukan sekali dua saya kecewa dan diperlakukan sebegini. Sudah banyak kali 'terkena' dan 'dikenakan'. Mereka sungguh bijak bermain sandiwara, bertopeng dan bermuka-muka. Professionalism bukan lagi perkara yang diangkat dan dijulang. Saya kecewa dan hilang semangat!

Mungkin. Mungkin sikap saya juga yang membuatkan mereka bercakap sedemikian. Tetapi saya dengan yakinnya mempertahankan apa yang menjadikan saya sebegitu adalah persekitaran yang dicipta mereka sendiri. Pendek kata, mereka yang memaksa saya menjadi seperti ini.
Saya punya kuasa untuk mempertahankan diri. Saya ada hak untuk bersuara- Sekurang-kurangnya untuk diri saya sendiri dan tidak pernah mengganggu orang lain.

Uh! Lewat kebelakangan ini memang saya kerap menulis isu ini. Saya tahu ia nampak tidak bagus. Tapi saya perlu meluahkan perasaan. Defensive right saya disekat di sini. Saya nampak dangkal dan dungu di depan mereka. Apa yang mampu saya lakukan hanyalah buat yang terbaik untuk membuktikan yang saya tidak seperti apa yang mereka sangkakan. Tiada pilihan.

Semoga langkah saya ini dibilang pahala oleh Allah swt. Saya sangat perlukan motivasi dan semangat untuk bekerja demi pahala. Wang ringgit bukan lagi ukuran kebahagiaan buat masa ini. Imbalan pahala dan redha lebih penting.
Ya Allah, bantulah hamba ini menjadi ikhlas dalam setiap langkah ibadahnya. Meski tempang, tapi biarlah ia terus ke hadapan dan takkan mundur ke belakang!

Salam Sayang, 
Dhiya

No comments