Hari ini, 30 September 2012.
Esok Oktober akan menjengah.
Bercakap soal tarikh, masa dan detik, saya kecut perut. Betapa waktu sangat berputar laju. Banyak perkara yang saya kejarkan dalam hidup yang saya tidak tahu bila matinya ini. Antara keperluan rohani, tuntutan peribadi, dan harapan famili, hidup saya terserak dalam biasan warna pelangi dan memutar atas dan bawah tanpa henti.
Di sebalik entri-entri happy go lucky dan entri kesibukan kerja yang saya tulis, saya banyak mengalami konflik diri. Dilema dan jiwa sering berbelah bahagi. Kadangkala saya hanya menangis. Menjadi dewasa menuntut saya belajar membuat keputusan sendiri. Namun sejauh mana tepatnya keputusan yang dibuat, hanya kepada Allah saya serahkan segalanya. Alhamdulillah saya punya emak dan abah yang amat menyokong. Biarpun tanpa pendidikan tinggi, tapi emak dan abahlah yang banyak membuka lorong untuk saya maju ke hadapan.
1 Oktober 2012.
Nampaknya saya terpaksa melupakan tarikh ini buat selama-lamanya. Walaupun sudah berjanji, tapi saya tiada pilihan. Atas nasihat Olin dan Nurul dan setelah difikirkan baik-baik, saya tekad untuk melepaskan peluang ini dengan redha dan lapang hati. Ramai yang kata saya bodoh, dangkal dan rugi hingga sanggup melihat peluang berlalu pergi. Biar.
Saya mungkin tersilap langkah atau terlalu gopoh. Ya. Benar. Cita-cita ini saya gagal seimbangkannya dengan kemampuan diri.Namum saya yakin Allah Maha Memberi. Selagi kita berkehendak dan berusaha, pasti Allah akan memberi.Insya Allah.
31 Disember 2012
Masih berbaki 92 hari. Ada sempadan dan beza sebelum dan selepas tarikh ini. Semuanya atas keputusan dan pilihan saya sendiri dengan nama Allah. Saya sudah tidak sanggup menanggung himpitan jiwa dan rasa bersalah terhadapNya. Saya kasihan kepada diri sendiri dan orang-orang di sekeliling saya. 92 hari mungkin satu tempoh yang lama. Mengapa tidak digesakan? Tidak. Saya tidak mampu. Izinkan saya merubahnya dengan kudrat dan upaya saya sendiri biarpun bertatih dan perlahan. Mujahadah itu hanya datang dari orang yang betul-betul menginginkannya. Biarlah saya merangkak pada awalnya. Moga sampai ke puncak dengan rasa menang.
Ya Allah, bantulah insan kerdil ini. Amin.
Untuk yang jauh, kerinduan ini walaupun sudah lama tak terucap, itu bukan maknanya saya kaku dan kelu. Terlalu banyak taklifan yang tertanggung. Antara hutang saya dengan Tuhan, dan hutang saya sesama manusia. Terasa sayalah manusia paling lemah, kerana gagal menginmbangi kedua-duanya dengan baik.
Ya, saya manusia lemah yang selalu mendambakan kekuatan. Moga esok, setiap langkah saya adalah langkah seorang pejuang dan beroleh pahala setimpal dengan daya.
Hadirlah Oktober. Semoga esok lebih baik dari semalam. :)
Salam Sayang,
Dhiya
No comments