Dhiya menulis


Allah.

Sungguh masa tidak pernah kasihan meninggalkan saya. Rasa masih banyak tanggungjawab yang belum tertunai.

Minggu ini saya pulang ke desa lagi. Cik Mar dan kawan-kawan team saya sudah lali dengan saya yang akan kelam kabut setiap kali hari terakhir bekerja. Kebetulan Jumaat minggu lepas merupakan sambutan Hari Malaysia, saya sudah cabut lari petang Khamis itu juga.

Kepulangan kali ini agak berbeza. Kalau minggu lepas saya pulang kerana mod raya yang masih belum padam, tetapi minggu ini kepulangan saya dek seru paluan kompang pengantin salah seorang anak murid emak.

Atiq ini bukan sahaja anak murid emak, malah jiran terdekat kami. Emak saya dan emaknya mendiami komuniti yang sama. Maka bukan peliklah jika emak antara orang yang bertungkus lumus dalam majlis ini. Saya sendiri tak terkecuali mengambil tempat bergotong royong dalam serba serbi persiapan. Maklumlah, kawasan kejiranan kami masih lagi sebuah desa tradisional. Tidak ada khidmat katering untuk majlis jamuan makan. Dari mengupas bawang hingga memasak- semuanya dilakukan sendiri oleh orang-orang kampung. Itu meriahnya di sini.

Seperti biasa, usik mengusik tak pernah terlepas dari butir bicara. Pada usia ini, saya tak sudah-sudah ditebak soalan "Bila?". Apatah lagi Atiq itu lebih muda daripada saya, maka makin hebatlah usikan makcik-makcik sekalian. Aduhai makci-makcik, kalaulah kalian tahu apa yang ada dalam hati ini...

Saya melihat itu sebagai yang perlu, tetapi tidak penting (buat masa sekarang). Saya masih giat membina tapak untuk saya meningkat naik. Biarlah soalan "Bila?" yang satu itu menjadi urusan senyap saya. Kelak kalau ada jawapannya, sudah pasti saya akan kongsikan. Soalan itu juga kadangkala membuat saya tersenyum sendiri, tak kurang juga menangis hiba. Ya, saya ada sebab sendiri.

Untuk rakan-rakan yang selamat mendirikan rumahtangga sepanjang bulan September ini, diucapkan selamat pengantin baru dan tahniah. Semoga berbahagia hingga ke syurga hendaknya. Kepada yang mengundang, maaf kerana tak dapat memenuhi kesemuanya. Kekangan masa dan jarak antara faktor menghalang. Pun begitu, saya menitipkan doa agar pernikahan kalian dipenuhi keberkatan.

Esok saya akan kembali pulang ke kota mega. Ada misi yang sangat penting, soal masa depan. Insya Allah kelak apabila saya ada kelapangan, saya akan kembali menulis.

p/s: Penat otak

1 comment

  1. wah best la kampung yg masih amalkan gotong royong ni.. kt kampung sy dh x byk buat gotong royong ni.. ramai yg amik katering tp x pupus lagi budaya gotong royong ni cuma dh x byk..

    apapun jodoh itu Rahsia Allah.. Insyaallah 1 hr nanti ada jawapannya

    ReplyDelete