6 %


"RM0. Pelanggan yang dihargai, mulai 15/9/11, pembelian tambah nilai prabayar & pek p'mulaan akan dikenakan cukai p'khidmatan sebyk 6%. Sila layari .com.my"

SMS itu saya terima petang semalam, di saat sedang khusyuk bekerja. Semuanya terhenti. Saya terkejut.

Secara peribadi, saya sangat tidak bersetuju dengan implementasi 6% cukai perkhidmatan ke atas tambah nilai prabayar. Bayangkan berapa ramai yang memilih pelan prabayar berbanding pasca bayar di negara kita, dan berapa kerap kadar isian semula yang dilakukan? Tentu sekali banyak. BANYAK!
6% mungkin nampak sedikit. Iyalah, kalau setakat 60 sen dari RM10 isian semula, apalah sangat. Tapi apabila isian semula kerap dibuat, bukankah 60 sen itu boleh membentuk nilai yang semakin besar? Oh! Apatah lagi isian semula RM30? RM50?

6% cukai perkhidmatan bukan setakat di sini. Banyak medan-medan selera dan restoran-restoran makanan segera mahupun restoran-restoran biasa serta servis-servis lain yang turut 'terpaksa' (mungkin) melaksanakannya.

Di kampung-kampung pula (terjadi di kampung saya ini), isian semula dijual dengan harga yang lebih tinggi. Pernah saya terkena, isian semula RM10 dijual dengan RM10.30. Maka saya berfikir, apabila 6% diwajibkan kelak, pasti harga isian semula 10 akan dijual pada harga RM11.

Teringat kata-kata seorang teman:

" Harga barang dan kos perkhidmatan semuanya berlumba naik. Gaji kita tak pernah naik! "

Ya, ada nada geram di hujungnya.
Dia benar. Saya sendiri yang bekerja di kota mega pun selalu bergelut dengan gaji yang sangat menuntut kebijaksanaan supaya dapat diurus dan ditadbir dengan baik. Jika tidak, pasti gigit jari!

Kadar perbelanjaan rakyat semakin tinggi. Justeru tidak semua akan berjaya memperolehi impian masing-masing. Kadangkala kita perlu berpuas hati dengan apa yang terhampar di depan mata, tidak boleh terlalu cerewet dan memilih.
Apabila segala macam perkhidmatan di bumi ini dikenakan bayaran tambahan atas nama caj perkhidmatan, maka golongan-golongan inilah yang akan menanggung kesannya. Sungguh kasihan golongan berpendapatan rendah sedang telefon bimbit dengan isian semula bukan lagi satu kehendak, tetapi sudah menjadi keperluan!

Secara peribadi sekali lagi, saya sangat berharap agar pelaksanaan ini dikaji semula. Jika mereka (pihak yang mengimplementasi) boleh menghantar SMS memberitahu akan pelaksanaan 6% ini, mengapa mereka tidak boleh menghantar SMS banci supaya suara pelanggan dapat didengari?

p/s: Jom beli kad isian semula banyak-banyak sebelum 15 September 2011. Er...Dhiya tak sesuai sungguh menulis entri seperti ini, kan? Hu. Emosi~
Pak PM pun menyokong. Katanya ini bukan keputusan yang popular!

No comments