Saya dah tengok video pergaduhan di Pantai Dalam tu.
Keluh Panjang
Geleng kepala
Istighfar
Mode hakak Seri Siantan turned on
Adik-adik di luar sana,
(Akak dengan yakinnya panggil korang adik sebab akak tahu akak sudah tua)
Kisah duit hantaran akak
Akak tak mahu sebutlah berapa berapa. Tapi adalah. Tidaklah sampai meninggalkan adat sangat. Tapi mak abah akak tak sebut berapa nilainya. Malah sewaktu majlis bertunang, akak sudah pesan dengan bakal tunang (waktu itu) dan wakil jurucakap pihak kami yang soal duit hantaran tu tak akan dibincangkan dalam majlis tunang. Wallahi-hanya akak, emak dan abah saja yang tahu dan sampai ke hari kenduri pun tiada siapa yang tahu nilai wang hantaran kami.
Sebaik selesai majlis perkahwinan, kami berpindah ke rumah sewa. Akak pulangkan kembali sejumlah (baki) wang hantaran itu kepada suami akak dengan tangan akak sendiri. Akak beritahu padanya, akak kembalikan semula (tak semua) wang hantaran ini dengan nama Allah supaya dapat menampung kehidupan selepas berkahwin bagi mengisi keperluan di rumah baharu.
Suami akak sebak. Akak sudah kebanjiran air mata. Bukan sebab duit, tapi soal betapa akak sebenarnya tak layak terima wang hantaran itu kerana akak sedar 'nilai' akak tidak sama dengan nilai wang hantaran. Nilai akak dan suami serta seluruh perkahwinan itu adalah tanggungjawab dan amanah kepada Allah yang perlu ditunaikan bukan dengan bayaran wang.
Barang hantaran akak
Barang-barang hantaran semua kami beli sendiri. Akak beli barang akak sendiri, tunang beli barang dia sendiri dan kemudian kami tukar.
Tak ada maknanya nak berkepit keluar sama-sama beli barang hantaran.
Kenapa begitu? Supaya kami tahu apa yang kami beli tu memang kami sendiri nak pakai dan bukan beli sebab cantik dan ada offer semata-mata.
Contohnya akak memang teringin sangat dengan minyak wangi Narciso Rodreguez dan sempena nak kahwin, akak beli jugalah sebab nak merasa. Untuk rekod, minyak wangi itulah satu-satunya barang hantaran akak yang paling mahal sampai ratus-ratus, itu pun sebab akak rasa berbaloi beli masa Christmas Sale. Hantaran baju kurung siap akak adalah antara yang paling murah, dibeli di Masjid India saja waktu jualan Aidilfitri.
Hiasan paling minimalis, tak ada tema rustic and whatsoever yang menyusahkan tu. Semua akak buat sendiri, ikut citarasa sendiri.
Pelamin dan busana akak
Akak pilih untuk jadi pengantin biasa. Tak ada yang hipster. Akak ambil pakej yang biasa-biasa saja. Kata orang tidaklah sampai menolak adat. Kami pun bukan bersanding tayang apa sangat melainkan duduk dan bergambar dengan saudara mara dan kenalan.
Busana akak tidaklah costume made ikut rekaan artis. Akak pilih baju yang dah sedia ada di butik, dan minta alter supaya jangan ketat melekat macam sarung nangka sangat. Pengantin mana taknak lawa, tapi akak pilih apa yang ada saja.
Jurugambar akak
Akak tidaklah cut cost everything. Akak pun manusia biasa yang nak kenangannya diabadikan. Akak cari jurugambar yang boleh buat kerja pada bayaran yang boleh dikatakan mampu bayar. Kami ambil jurugambar yang sama untuk kenduri sebelah perempuan dan sebelah lelaki. Ikut pada kira-kira kami, itu lebih menjimatkan.
Kami tak adalah ambil videographer sebab ramai je tukang rakam momen nikah tu. Tak percaya? Akak dah tanya sepupu sepapat yang ada malam nikah tu, bukan main lagi sorang satu video dalam smartphone masing-masing. Paparazi sangat kan?
Nasihat akak
Akak bukanlah ustazah yang layak nak nasihat panjang-panjang apatah lagi nak sertakan dalil dan istinbat hukum berkaitan perkahwinan. Tapi pesan akak, dahulukanlah syariat berbanding adat. Di sinilah pentingnya kefahaman agama. Kemudian, bersederhanalah dalam meraikan. Walimah tu tak salah, tapi jangan sampai melanggar agama- Membazir, karaoke, joget lambak, berzanji, khatam Quran bagai kau satukan dalam satu majlis.
Apa yang penting adalah kehidupan selepas hari keraian. Di situlah hakikat kehidupan berumahtangga yang sebenar. Kalau selama berkenalan kau tahu yang baik-baik saja tetang pasangan, tapi sebaik tinggal bersama ni lah kau akan tahu warna sebenar pasangan. Bak kata seorang ustazah dalam satu majlis ilmu yang akak pernah dengar, kahwin ni seronoknya pada hari kenduri dan masa bersanding saja. Kehidupan sebenar selepas itu adalah amanah dan tanggungjawab- Yang kalau kau tak buat, kau berdosa dengan Allah. Takut tak? Kalau tak rasa bergetar hati, mohon cek balik diri. Muhasabah.
Nasihat akak kepada adik, nasihat dan ingatan juga buat akak yang pelupa. Akak ini manusia yang lemah juga.
Semoga bermanfaat
Akak bukan ustazah, jadi jangan kecam akak.
Dhiya Dahlia