2015 dan Seluruh Isinya


Bismillah

It's a wrap~!

Tahun 2015 adalah tahun yang paling banyak kenangan di dalamnya. Yang indah-indah, terasa ingin saya terjemah menjadi arca atau tugu biar selalu dapat disentuh, dilihat dan diingat. Yang sedih, luka dan payah, terasa ingin disimpan kemas-kemas; tidak mahu dilihat lagi kalau hanya terlihat luka.
Tapi masih,--- Di sebalik semua itu, keluarga dan rakan-rakanlah tunjang kekuatan saya. Merekalah yang selalu menjadi tempat bersandar saya yang selalu tidak kuat dan mudah sekali jatuh merapuh. Hanya yang rapat dengan saya tahu dan lihat bagaimana saya melompat tinggi di saat kegembiraan, dan bagaimana pula saya jatuh tak terdaya bangun di saat saya dalam kepayahan.

Jadi sebagai pembukaan kepada kisah 2015 ini, saya dengan penuh kasih dan cinta ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada keluarga dan sahabat yang selalu ada dengan saya tanpa mengira jarak dan keadaan. Terima kasih...Terima kasih kerana terlalu baik kepada saya sedangkan saya tidak sebaik kalian hingga sanggup menumpangkan bahu untuk saya mencari kekuatan.

Januari

Ulangtahun kelahiran saya. Tak perlulah tanya berapa nombornya. Saya percaya bahawa kematangan, kebijaksanaan, dan emosi seseorang tidak dipengaruhi oleh nombor. Nombor itu dicipta hanya untuk memudahkan calon SPM menggunakan kalkulator saintifik membuat kira-kira subjek Matematik Tambahan sahaja.
Paling kritikal, saya bergelut dengan tesis saya yang perlu dihantar tepat pada masanya. Keputusan kajian saya sedikit lari dari jangkaan asal. Jenuh jugalah menangis depan Dr. Z. Geram ada, gusar ada, putus asa pun ada. Baru saya sedar, inilah cabaran orang membuat penyelidikan dan saya tidak boleh undur lagi kerana semuanya sudah hampir selesai.
Dalam masa yang sama, saya bersiap-siap untuk majlis pertunangan saya di kampung. Bayangkanlah bagaimana emosi saya pada waktu itu. Otak dibelah dua- Satu untuk tesis, dan satu untu majlis penting. Badan juga penat kerana terlalu banyak berlari ke sana-sini menguruskan banyak hal. 
Tanggal 31 Januari 2015, saya bertunang dengan si dia. Ujian sebelum bertunang pun sudah hebat, dugaan selepas bertunang lagilah mendatang bagai garuda. Hanya yang rapat dengan saya tahu bagaimana Februari saya bermula dengan penuh mencabar sebagai tunangan orang.
Februari

Seawal seminggu selepas bertunang, 'kacau-kacau daun' sudah bermula. Cukuplah saya katakan yang ujian ini melarat hingga ke sehari sebelum majlis perkahwinan saya! Kami (saya dan tunang) tiada masalah. Tapi Allah datangkan orang lain untuk buat masalah. Emosi saya jadi tidak seimbang. Sungguh teruk hingga emak dan abah tidak benarkan saya memandu dan bersendirian.
Kepada adik-adik (aku sudah tua?!), sedarlah bahawa pertunangan itu tidak semuanya indah. Jangan fikir yang sweet-sweet sampai diabetic saja. Sesungguhnya inilah medan ujian paling besar untuk anda. Iblis, syaitan dan manusia (ada segelintirnya) sangat membenci usaha anda untuk menghalalkan perkahwinan. Saya sudah merasainya sedangkan saya tidak kuat langsung melainkan dengan bantuan Allah dan sokongan dari keluarga serta rakan karib. Kuncinya sabar dan jangan putus asa. Good luck! Wah bukan main lagi nasihat aku~

Mac

Saya bekerja sebagai RA sementara di UPM. Alhmadulillah. Walaupun gajinya tidak sebesar gaji eksekutif saya dulu, tapi saya bersyukur kerana saya masih boleh makan, isi minyak ke tempat kerja, bayar ansuran Baby K tanpa gagal dan boleh membeli persiapan perkahwinan sedikit demi sedikit dengan wang gaji itu. Kalau terasa agak kaya sedikit, saya akan masuk Tol Bangi dan keluar di Tol UPM untuk bayar RM1.30. (Gila berlagak)
Workstation yang super cozy
Tetamu yang datang membawa buah tangan. P/s: Wei mana hang beli ni ha? Lupa dah. Sedappppp!
April

Persiapan berjalan dengan giat sekali. Saya adalah bride to be yang sangat independent waktu itu. Banyak benda yang saya DIY dan tidak mengharapkan upah dan beli di sana sini. Jadi haruslah semuanya dilakukan seawal mungkin walaupun gangguan terus-terusan berlaku menguji saya, keluarga dan tidak terkecuali si dia juga. Satu bab dalam DIY ini masih belum saya ceritakan kerana kesuntukan masa.
DIY bunga telur stokin saya

Nampaknya cerita DIY dan sedikit lagi review cerita kahwin saya akan menjadi azam tahun baru 2016.

Mei

Abah menjalani angiogram di HTAA. Tapi nak dijadikan cerita, abah terpaksa ditahan selama lebih kurang 12 hari di sana atas sebab kondisi abah yang agak membimbangkan. Dalam kelam kabut itu, sayalah yang menawarkan diri untuk menemani abah di sana dan biarlah emak balik ke rumah. Emak agak tidak betah duduk di sana. Turun naik lif, keluar membeli makan, rehatnya yang tidak cukup- Ah, biarlah saya saja yang menghadapinya. Kasihan emak duduk di tempat yang tidak selesa macam tu.
HTAA 
Dalam pada keadaan abah yang membimbangkan tu- Doktor dan jururawat hanya boleh datang, dan review. Jarum di tangan bercucuk, tapi tidak ada sebarang ubat pun yang masuk. Apabila saya tanya bila boleh pulang;
"Pakcik tak boleh balik"
"Sampai bila"
"Sampai doktor ada. Sekarang doktor cuti sebab Public Holiday"
Sedangkan waktu itu saya terpaksa mengambil cuti kecemasan selama lebih dua minggu dengan alasan ayah dimasukkan ke hospital. Tepuk dahi!
Akhirnya abah dibenarkan pulang. HTAA seperti merajuk dengan abah apabila kami maklumkan yang kami mahu pindahkan abah terus ke IJN. Tiada surat rujukan dari HTAA kepada IJN buat abah. Semua rekod rawatan abah di HTAA dipulangkan kepada kami dan kami perlu ke IJN sendiri tanpa surat rujukan. Saya pujuk abah; 
"Tak apalah abah. D dan akak boleh buat. Kita rawat abah kat IJN sampai abah sihat daripada duduk terperam di sini tak buat apa-apa. Kami tak kisah."
Gangguan masih berlaku. Malah lebih hebat. Syaitan mana tahu berehat, kan?

Jun

Ramadhan.
Ertinya apa?
Aidilfitri minggu kedua, kami akan bernikah.
Saya 'mengambil cuti panjang' dengan penuh berat hati. Pulang ke kampung, duduk dengan emak dan abah menguruskan majlis saya sendiri. Bukan sengaja saya mengambil keputusan begitu. Mengenangkan kesihatan abah yang tidak mengizinkan, emak jadi 'patah kaki' kerana tiada siapa yang dia boleh harapkan untuk membeli barang-barang dan persiapan kenduri.
@ Galeri Fitrah :)

Inilah hakikat anak bongsu. Tapi saya tidak kisah, malah saya sangat gembira melakukannya bersama emak dan abah. Fokus saya terhadap persiapan DIY juga jadi berlipat ganda. Siapa yang tidak seronok melihat hasil DIY cantik tersergam untuk diguna pada hari bahagia. Indah sungguh memuji diri sendiri...
Ramadhan paling indah, paling sayu, paling sendu apabila berbicara dengan Tuhan.
Ujian masih menggila. Benarlah Ramadhan itu sebagai madrasah menyekolahkan orang yang lemah seperti saya.

Julai

Sebulan ini, saya belajar senyum. Bukan hanya sekadar untuk menghadap kamera dan saudara mara- Saya mahu senyuman itu juga turun ke hati menjadi bunga dan salju penyejuk jiwa. Saya berusaha kuat menepis semua dugaan itu. Emak, abah, rakan-rakan baik menjadi sumber kekuatan saya. Sedihlah saya kalau aura-aura manis dan seri pengantin hilang akibat kedengkian orang lain. Jadi saya memilih untuk optimis walau kadang-kadang jatuh rapuh juga :(
Nikah

31 Julai 2015, 9 malam- diiringi dingin selepas hujan, Kami selamat disatukan sebagai suami isteri. Hanya yang hadir dan mengerti sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya waktu itu. Wallahi itulah momen yang paling mencakar-cakar tangkai hati- Antara gembira, sayu, sedih, takut dan bimbang. Semuanya dalam syukur :)

Ogos

Bangun pagi-pagi kerana majlis 1 Ogos 2015 itu adalah majlis persandingan saya. Masih terlihat-lihat persiapan kenduri yang berkonsepkan rewang kampung di rumah emak. Dalam hati yang masih bergelora, majlis bersanding saya nampak sempurna dengan kehadiran jemputan, saudara mara, dan rakan taulan.
I'm married, Alhamdulillah!
Abang Din & Ady in action!

Jadi nasihat kepada adik-adik sekalian, (again, aku macam dah tua sangat!) alam berpacaran mungkin sangat indah. Tapi sekali anda memutuskan untuk maju ke fasa pertunangan dan perkahwinan, bersedialah untuk diuji sehingga ke tahap akhir kesabaran yang mana sempadannya adalah putus asa. Sepanjang dalam tempoh pertunangan, itulah yang saya rasa hingga saya mohon bersungguh-sungguh pada Tuhan agar jangan diuji saya sesakit itu lagi dalam alam rumahtangga.
Bersanding
Bertandang
Cukup di situ cerita kahwin. Mari balik ke alam nyata.
Kami buat pertama kalinya masuk ke 'rumah baru' kami pada 4 Ogos 2015. Di situlah hakikat sebuah rumahtangga bermula. Rumah yang not furnished itu, kami perlahan-lahan isi bersama. Ada ketawa, ada air mata :)
Terima kasih kepada emak yang memahami- Dengan penuh kasih menghadiahkan kami besen, periuk, kuali dan beberapa barangan asas bagi memulakan hidup baharu.
Realiti perkahwinan. Jangan ingat syiok sajaaaaa~

Tak ramai yang masuk rumah terus ada sofa, tilam, TV dan dapur lengkap semuanya. 
Untuk pertama kalinya memasak di rumah itu, saya menangis kerana kuatnya ombak dalam jiwa yang penuh dengan pelbagai rasa.

September

4 September (seminggu selepas majlis bertandang), abah menjalani bypass di IJN. Bayangkanlah, inai saya masih merah membalut jari. Tapi saya sudah menghadapi momen yang sangat serius ini.

IJN. Menunggu abah dalam OT
Kebetulan, suami saya dihantar bertugas ke luar kawasan semasa abah masih di dalam wad. Maka jadilah saya seorang survivor yang melakukan hampir semua perkara dalam keadaan 'berani-berani-takut'. Kenangan mengulang IJN setiap hari selama seminggu, tidur di surau IJN Tingkat 4 dan tidur di dalam kereta akan sentiasa menjadi memori indah dan lambang kasih saya pada emak dan abah!

Oktober

Aidilfitri pertama di tempat orang. Saya pulang ke Johor meraikan ibadah korban di kampung suami. Suasana baru, keluarga baru dan pengalaman baru!

November

Hampir setahun menunggu, akhirnya saya bergraduasi.
Konvo UKM 2015

1 November 2015 menyaksikan saya di DECTAR menerima ijazah sarjana saya. Emak dan abah tidak dapat hadir atas kekangan jarak. Jadi mereka mewakilkan suami saya sebagai ganti. Itu pun sudah cukup menggembirakan walaupun sedikit sedih kerana mereka tidak dapat melihat dengan mata sendiri.

Disember

Kita tidak dapat menebak apa yang akan terjadi sekejap lagi, apatah lagi esok hari. Setiap satu yang saya kongsikan ini hanyalah secebis kenangan yang penting untuk diingati. Hari ini, esok, dan lusa adalah sesuatu yang belum pasti dan tidak boleh saya tulis sebagai memori.

Semoga semuanya baik-baik sahaja seperti apa yang berlaku dalam tahun 2015 ini. Di sebalik kesusahan, ada kesenangan. Itu pujukan Allah sejak lama dulu. Walaupun banyak dugaan dalam 2015, saya sedar bersamanya ada sangat banyak kegembiraan dan kesenangan. Tak guna saya meratap segala kepayahan itu tanpa menghargai pelangi kegembiraan yang Allah kirimkan. Semoga jadilah saya insan yang lebih baik dari hari semalam. Amin

Dhiya Dahlia
Memang tak ada muka sendiri :p

2 comments

  1. Semoga segala ujian tahun2 sudah menjadi kan kita insan yg lebih kuat :)

    ReplyDelete
  2. hai , ain datang sini dan follow :)

    semoga tahun 2016 memberi kegembiraan buat awak :)

    ReplyDelete