Hutang dan Pinggang


Assalamualaikum.

Bukan. Ini bukan entri Hutan dan Pinggan. Saya menulis tajuk yang betul: Hutang dan Pinggang. Yep, Hutang keliling pinggang!

Sebelum saya menulis tentang raya, saya ingin kongsikan pendapat saya tentang isu dalam salah sebuah tabloid tempatan hari ini.

Hidup Hutang Keliling Pinggang

KUALA LUMPUR – Kegilaan masyarakat negara ini menjalani gaya hidup moden dengan berhutang keliling pinggang begitu menggerunkan apabila maklumat terkini menunjukkan lebih enam juta isi rumah di Malaysia mempunyai jumlah hutang terkumpul sebanyak RM653 bilion.


Secara purata, ini bermakna setiap isi rumah di negara ini tidak kira pangkat, status dan usia mempunyai hutang kira-kira RM108,000 seorang.

Pembiayaan sewa beli kenderaan yang tinggi, pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan adalah tiga punca utama golongan tersebut terpaksa menanggung hutang yang banyak.
Lebih memburukkan keadaan, ketiga-tiga hutang berkenaan memakan masa berpuluh tahun untuk diselesaikan.
Ia disebabkan sikap segelintir peminjam bertindak menambah lagi pinjaman ketika pinjaman asal masih belum selesai sekali gus menyebabkan hutang mereka terus bertambah.

Bagi golongan isi rumah dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan pula, hampir separuh daripada jumlah itu terpaksa digunakan untuk membayar hutang berkenaan.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata, jumlah hutang yang terlalu tinggi dalam kalangan isi rumah akan mengurangkan keupayaan mereka untuk berbelanja.
Beliau berkata, kebanyakan daripada jumlah gaji yang diterima oleh mereka terpaksa diperuntukkan untuk tujuan membayar semula hutang.
“Akibatnya, ia bukan sekadar memberi kesan kepada individu itu sendiri, malah ekonomi negara turut terjejas kerana penggunaan isi rumah merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

sumber

***********************
Satu: Mengapa Berhutang?
Kerana tidak mampu membeli sesuatu secara tunai. Jelas.

Dua: Mengapa Tidak Mampu?
Terlalu mahal. Titik.

Tiga: Kadar Hutang RM 108,000 Seorang. Wow!
Saya tidak terkejut dengan kadar hutang sebanyak RM 108,000 seorang kerana ia mungkin boleh jadi lebih tinggi daripada itu. Betul tak? Kalau tak percaya, sila ambil mesin kira sekarang.

Empat: Keperluan Vs Kehendak
Ini isu paling kritikal dalam menilai soal hutang. Saya melihat tiga jenis pembiayaan yang dinyatakan di atas adalah jenis keperluan dan vital seiring dengan masa.

Kalau dulu orang melihat kereta sebagai kehendak, tetapi dewasa ini kereta sudah menjadi keperluan. Mampu atau tidak, kereta sudah menjadi seperti sesuatu yang mesti dimiliki walaupun sudah memiliki sebuah motosikal. Mengapa? Pertama, kadar kemalangan motosikal adalah lebih tinggi berbanding kenderaan empat roda. Jadi risiko tetap ada. Kedua, kereta lebih compatible dan efisyen untuk membawa keluarga. Tak kisahlah punya isteri dengan anak seorang atau anak tiga, takkan mereka nak diangkut dengan motosikal dalam hujan lebat,kan? Sebagai pengguna pula, kita mesti tahu akan tahap kemampuan kita. Kalau rasa kereta kecil dan ekonomi sudah cukup, mengapa perlu memilih yang mahal dan tidak berbaloi? Ingat, beli kereta bukan setakat bayar bulanan sahaja- Fikirkan juga jadual penyelenggaraan, insuran dan cukai jalannya.Ukur baju mesti di badan sendiri.

Kita tidak tahu apa tujuan pinjaman peribadi dibuat. Iyalah, nama pun peribadi. Jadi tak perlulah dicanang seisi dunia tentang tujuan dan matlamatnya. Saya pernah tahu yang pinjaman peribadi ini selalunya dibuat untuk tujuan (antaranya) berkahwin, house renovation, dan seumpamanya.
Sekali lagi kita perlu menimbang isu ini samada ia adalah keperluan atau kehendak. Perkahwinan yang bagaimanakah sehingga perlu membuat pinjaman peribadi? Perkahwinan adalah melihat masa hadapan. Kalau semua wang habis malah sampai terpaksa meminjam untuk kenduri hari ini, alamatnya kehidupan esok memang hanya tentang hutang dan pinggang!

Saya suka berkongsi pengalaman peribadi saya tentang isu rumah. Saya pernah melewati beberapa kawasan perumahan mewah dan elit sekitar Bangsar, Taman Tun Dr. Ismail, Damansara dan Hartamas. Malah masih saya ingat bagaimana besar dan mewahnya sebuah rumah yang terletak di atas bukit di belakang kampus UM. Tak cukup dengan itu, garaj mereka penuh dengan kereta-kereta mewah yang bukan sebuah dua. Di depan pagar rumah pula tercegat dua orang pengawal keselamatan yang disediakan pondok kecil lengkap dengan monitor CCTV.
Setiap kali melalui kawasan itu, saya selalu bertanya kepada diri sendiri:
Siapakah mereka yang mampu membeli dan membina rumah semewah ini?
Apakah pekerjaan mereka yang membolehkan mereka mempunyai kapasiti ini?
Berapakah gaji mereka hingga boleh membina rumah mewah seperti istana ini?
Saya pernah berbual dengan seorang jurutera yang terlibat dengan projek pembinaan rumah. Katanya harga rumah memang semakin meningkat berkadaran dengan masa. Kita semakin tidak mampu untuk memiliki rumah waima sebuah rumah teres setingkat! Kadar usia pemilikan rumah pula semakin meningkat di mana seseorang hanya mampu membeli rumah pada usia lewat 40-an, itupun kalau sejarah pekerjaannya membenarkan dia menabung dan berjimat. Bayaran balik pula boleh mencecah berpuluh-puluh tahun. (-.-)
Saya pelik di saat pak-pak menteri kita gigih memperjuangkan hak pemilikan rumah untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, projek-projek pembinaan rumah mewah masih gigih dibangunkan. Paling ajaib, rumah-rumah mewah ini sekalipun dijual pada harga 2 hingga 3 juta, ia masih punya pembeli! Siapakah mereka???
Saranan saya, banyakan pembinaan rumah mampu milik, tingkatkan kualiti, kurangkan kos, dan hentikan rasuah. Eh~ Mampukan Malaysia untuk melakukannya?
Kasihan jurutera-jurutera Malaysia. Mereka sanggup berpeluh-peluh dan mengotorkan kaki turun ke site dan memastikan pembinaan rumah-rumah mengikut piawaian keselamat (segala), tetapi mereka sendiri tidak mampu untuk memiliki rumah tersebut dan hanya memandang dari jauh hasil keringat mereka diduduki oleh mereka-mereka yang kaya dan terus kaya...

Ya, saya sangat beremosi tentang isu rumah kerana saya masih belum mampu untuk memiliki walau sebuah rumah untuk dijadikan aset. Semoga Allah memudahkan urusan saya, untuk masa depan saya. Amin.

Saya rasa tidak adil kalau hanya peminjam yang dipersalahkan. Kadangkala mereka memang terdesak. Kita tidak tahu apa dan bagaimana situasi mereka. Pemberi pinjaman juga rasanya perlu lebih tolerate. Tidak semua terms and conditions yang anda wartakan berstatus win-win situation. Kasihanilah mereka yang memerlukan.

...of my 1-cent idea :)

Salam, 
Dhiya

No comments