Empat Ogos


Bismillah...

4 Ogos 2012, 15 Ramadhan 1433H.

Ya Allah. Cepat sungguh masa berlalu.Wajarlah Allah bersumpah dengan masa- Kerana manusia selalu leka dan alpa akan nilainya!

Hari ini adalah SSB saya. Alhamdulillah Ramadhan ini saya tidak dibebani dengan kerja yang menggunung sangat. Terasa tenang dan banyak masa untuk saya selesaikan tugas-tugas tertunggak. Hari ini saya berpeluang menolong Kak Yan. Syukurlah Allah mudahkan urusan kami berdua. Tidak ada masalah dan tiada manusia yang membawa masalah. :)

Pulang dari kerja, Baby K sudah siap pulang dari kliniknya. Ah, macam-macamlah dia. Asal tahu saja saya sudah bergaji, ada saja manjanya. Tapi itu semua untuk kebaikan saya juga. Tak betah saya untuk pulang ke Pahang dengan keadaan kereta yang tidak diselenggara. Mencegah lebih baik dari mengubati.

Usai solat Zuhur, saya ke Jusco untuk membeli barang keperluan dapur. Hari ini cadangnya hendak memasak. Perut saya sudah penat dengan menu bazar yang boleh dikatakan hampir setiap hari sama. Sudahlah jauh dari emak, apa yang diingini tiada pula dijual. Akhirnya saya tekad- Tomyam!

Tekad dengan menu kegemaran itu, saya mengelilingi Jusco untuk mencari bahan-bahannya. Akibat terlalu asyik berjalan di situ sambil tak jumpa bahan, saya hanya pulang ke rumah pada jam 4 petang. Apa lagi, ributlah saya di dapur. Ini percubaan pertama saya untuk 'turun gelanggang'. Sejak berpuasa, saya selesa membeli dan berbuka dengan rakan serumah sambil bertukar-tukar hidangan, atau membawanya ke masjid dan berbuka di sana.

Sebut tentang berbuka di masjid, saya tidak malu malah gembira di sana. Pulang dari pejabat seawal 4.30 petang membolehkan saya bersiap apa yang patut. Makanan dan minuman yang ala kadar akan dibawa di dalam beg dan saya akan ke masjid kegemaran saya. Di sana- di tepi-tepi kolam berlatar belakangkan wajah kota, saya makan seadanya sebelum solat Maghrin berjemaah. Usai solat, saya berehat sebentar sambil menanti Isyak dan Solat Tarawih. Saya bahagia begitu. Saya gembira dengan simple habit itu dan menghasilkan situasi menang-menang :)

Ok kembali ke cerita utama-
Azan Maghrib tadi, saya berbuka dengan menu masakan sendiri. Alhamdulillah, percubaan kali ini menjadi. Cukup masin dan sempurna masamnya. Cukuplah untuk perut saya sendiri kerana memang saya bersendirian berbuka puasa di rumah. Alhamdulillah.
Kalau emak tahu, pasti emak sudah bersedia menerima menantu. Anak daranya sudah 'berani' berbangga dengan menu masakannya. Ewah!

Malamnya, saya hanya di rumah. Terawih hanya dilakukan sendiri kerana tiada teman untuk ke masjid kegemaran saya. Insya Allah, malam esok saya akan berada di sana. 
Saya gembira berada di rumah. Sudah lama saya tidak menatap laptop berusia lebih kurang enam tahun ini sambil menyelongkar info dunia tanpa sempadan. Terasa terlalu cetek pengetahuan am dan pengisian rohani saya sejak kebelakangan ini. 
Semuanya gara-gara tuntutan kerja yang menghimpit diri. DDD sendiri pun selalu terabai tanpa cerita baru. Semuanya cerita back dated yang sudah lapuk malah kadang-kadang tidak lagi relevan dengan masa. Aduh!

Malam ini saya berazam untuk memenuhi masa dengan sesuatu yang bermanfaat kepada diri. Saya ingin membina niche pahala untuk saya dan orang di sekeliling saya. Semoga perkongsian saya secara langsung atau tidak selepas ini akan memberi manfaat kepada sesiapa yang membaca.

Seboleh mungkin saya ingin menolak ke tepi soal emosi dan peribadi. Saya ingin menjadi seperti mereka yang sentiasa optimis dan positif dengan kehidupan. Masalah yang dihadapi dipesong menjadi cabaran dan motivasi untuk terus berjuang. Ya, saya juga boleh melakukannya.

Untuk malam minggu dalam Ramadhan yang hening ini, saya berazam dan berdoa semoga kita semua diberi kekuatan untuk berbuat baik dan berbakti kepada orang lain. Pahala bukan diberi percuma- Ada  nilai yang perlu dibida. :)

Salam Optimis,
Dhiya

No comments