Cuti Merdeka


Bismillah...

Cuti bersempena Hari Merdeka, bukannya bercuti dan merdeka. Tanggungjawab dan ikatan tugas yang menggunung masih ada, cuma ditinggalkan di pejabat. Tidak dibawa pulang ke rumah.
Kebetulan minggu ini saya sedikit sibuk dengan E-Week yang akan diadakan minggu depan. Jadi banyak jugalah kerja yang perlu diselesaikan. 
Malangnya, semalam komputer saya buat hal. Dalam tempoh 15 minit, 3 kali auto shut down.Segala apa yang saya buat, yang saya taip semuanya hilang. Berang berurusan dengan teknologi yang kadangkalanya sangat bodoh dan menyusahkan, saya panggil IT person supaya turun dan tengok sendiri apa masalanya. Katanya komputer saya mengalami power loss yang banyak mungkin disebabkan wiring. Itu nak salahkan saya lagi ke? Tak kan? 
IT person tu pesan 'jangan buat apa-apa' dan ya, saya terus kemas beg dan bersiap untuk pulang sedang waktu itu jam baru menunjukkan pukul 4.30 petang.Lantak!

Tepat jam 5.30 petang, saya angkat kaki. Tiada apa yang boleh saya buat pun kalau saya menunggu lebih lama. Huu.
Lebuhraya Persekutuan agak sesak. Selalunya begitulah. Esok kan cuti umum. Mungkin ramai yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung sambil-sambil menghadiri rumah terbuka makan percuma Aidilfitri yang masih ligat dianjurkan sana sini. Baguskan~ Lepas-lepas raya ni kena bijak sedikit... :p

Selepas Maghrib, kami ke Serdang untuk bertemu Wani, rakan baik saya. Walaupun baru bertemu pada Hari Raya Kedua tempoh hari, tapi ada misi lain yang saya perlu selesaikan dengan mereka. Kami makan malam di sebuah restoran makanan Barat yang saya sendiri pun tak ingat nama dan lokasinya. (Maaf yah! Nanti saya akan tanya Mr. GPS saya~) 
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dan berkongsi banyak perkara. Mood honeymoon Wani dan suami nampaknya macam belum habis. Saya macam cemburu! 

Selepas makan, kami bergegas pulang. Malam menanti detik 12 malam special occasion seperti 31 Ogos ni selalunya lebih banyak benda 'buruk' dari perkara baik.Kalau teringin sangat nak tengok bunga api segala, kita tengok di rumah sahaja. Tak perlu berebut-rebut di Dataran Merdeka tu. Dan memang, saya menonton percikan bunga api detik 12 malam secara langsung dari balkoni rumah. Lebih cantik, lebih selesa dan lebih selamat. Betul, tak tipu.

Terima Kasih, Malaysia!
 Hari ini, cuti umum yang kebetulan jatuh pada hari Jumaat. Saya terasa sedikit rehat walaupun hakikatnya esok adalah SSB saya. Tapi setidak-tidaknya saya dapat berada di rumah. Itu lebih berharga. Saya gembia dapat mengemas rumah dan meraikan diri dengan apa yang saya suka. Saya boleh menyelak satu demi satu helaian akhbar tanpa gangguan, boleh menulis blog dengan fokus dan lebih masa untuk berangan. Uuuu!

Petang ini akan ke rumah terbuka seorang sahabat. Sekarang sudah siap semua, tinggal belum mengenakan stokin. Yuk!

Salam Sayang, 
Dhiya Dahlia

Cuti Dah Berakhir


Bismillah.

Hari ini hari pertama saya kembali bekerja setelah bercuti lama. 

Saya pulang ke Kuala Lumpur jam 11 pagi semalam. Biasalah, adegan meronta-ronta tak nak balik tu memang ada~ Siapa tak sayang mak abah dan kampung halaman :p 
Tepat jam 1.30 petang, saya sudah pun selamat sampai di tempat letak kereta rumah sewa. Phew! Alhamdulillah, jalan tidak sesak walaupun kenderaan banyak. Dengar katanya Tol Karak, Tol Bentong dan Tol Gombak sudah mula sesak bermula waktu tengahari.

Alhamdulillah, sebelum bercuti minggu lepas, banyak kerja-kerja yang saya sudah siapkan awal-awal supaya tak banyak kerja yang menunggu hari ini. Perkiraan saya boleh dikira tepat jugalah. Hari ini saya bekerja dengan gembira tanpa tekanan dari sesiapa KECUALI adalah beberapa isu yang kalau dilayan hanya akan menyakitkan hati. Secara peribadinya, saya dah menang kerana berjaya menguruskan semua kerja saya walaupun kerja-kerja orang lain yang dihenyak kepada saya tu memang ada.

Seperti yang dijangka, saya pulang tepat jam 5.30 petang. Saya tak kisah apa mulut orang nak kata. Saya melihat ada orang yang jauh lebih teruk malah sangat berkira daripada saya. Waktu rehat dia, memang dia punya. Tak cukup lagi, ambil waktu rehat orang lain. Sudahlah tu, sedap pula berehat di surau. Betul-betul mencantas kepercayaan dan penghormatan yang diberikan oleh pihak atasan. Bila orang bercakap hal dia, hebat sangat sampai nak tampar-tampar muka orang. Chait! Perkara dah betul, mengaku salah sajalah. Betulkan kesilapan diri. Bukan salahkan orang lain.
Ok balik kepada cerita asal. Jalan pulang pun tak sesak. Selepas 10 minit memandu, saya sudah sampai di rumah.

Malamnya saya hanya berada di rumah. Banyak sudut dan ruang bilik ini perlu dikemas dan diatur elok. Menjadi wanita bekerjaya bukanlah suatu yang mudah. Hidup single pun dah haru biru berperang dengan masa, inikan pula nak hidup berdua, bertiga dan seterusnya! Hehehe~

Esok saya ada seminar yang perlu dihadiri. Perlu rehat yang cukup atau saya akan makan kepala-kepala yang minta macam-macam yang tidak rasional dan melampau dari saya. Awas, ya! 
Siapa kata raya saya hanya seminggu? Walaupun sudah kembali bekerja, saya masih dalam mood raya dan bersedia untuk mana-mana rumah terbuka yang diundang!

Akan menulis lagi esok.

Salam sayang,
Dhiya

Syawal 1433H


Assalamualaikum...

Tak kiralah. Walaupun 1 Syawal telah berlalu, saya tetap mahu menulis tentang raya. It's better late than never. 

Pertama dan terutamanya, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, 

تقبل الله منا ومنكم

Semoga Aidilfitri kali ini adalah yang bernilai di sisi Illahi dan berharga bersama famili.

Hari-hari mendatang saya pasti sunyi malamnya tanpa terawih yang istimewa. Setiap kali meninggalkan Ramadhan dan menyambut Syawal, saya hanya terkenangkan terawih. Sempatkah saya untuk berjumpanya dalam Ramadhan yang akan datang?

Balik Kampung

Saya hanya pulang ke kampung pada hari Sabtu. Itu pun sepatutnya saya masih perlu datang bekerja. Kalau nak diikutkan 'kepala' mereka sahaja, alamatnya saya akan tiba di kampung pada malam rayalah~ Saya tekad meninggalkan Kuala Lumpur sebaik usai solat Subuh Sabtu. Balik Kampung Oh Balik Kampung untuk beraya!
Ini tahun kedua saya betul-betul pulang ke kampung lantaran bekerja di Kota Mega. Sebelum ini saya berada di bawah kapasiti pelajar dan tidak kisah dan tidak berkira dengan cuti. Semuanya sudah tertulis dalam takwim semester pengajian. Tetapi kali ini memang berbezalah... Terpaksa bertungkus lumus mengisi borang itu ini untuk memohon cuti. Birokrasi! :p
Saya berada di Tol Gombak seawal jam 6.30 pagi. Kononnya sayalah manusia yang paling awal dan paling bijak untuk mengelak kesesakan lalu lintas. Ya, ia betul dan tepat pada awalnya. Tetapi semuanya berubah apabila saya mula mendaki bukit untuk memasuki Terowong Karak. Tolonglah bayangkan: Sepanjang-panjang jalan menaiki bukit sebelum terowong tu sesak. Baby K saya hanyalah sebuah kenderaan manual yang menggunakan kuasa kaki kiri saya untuk mengawal clutch. Memang rasa nak tercabut saja kaki kiri saya. Sakit! Kesesakan itu hanya berakhir di Tol Bentong. Tolonglah cakap kesian! Tolonglah!

6.45 pagi. Beberapa kilometer lagi sebelum memasuki Terowong Karak. Sesak ok. Sesak!
Adegan yang jarang-jarang dapat dilihat
Tengok betul-betul. Lori apa tu...~
Tengok laaa
Di saat semua orang sesak untuk balik kampung berhari raya, saya tidak nampak di mana kepentingan lori minuman haram ini untuk turut berada di Lebuhraya Karak. Mujurlah saya tak dapat snap nombor pendaftarannya. Kalau saya dapat, mahu saja saya buat laporan! Grrr!
Er...Jangan tanya macam mana saya ambil gambar sambil memandu. Memang saya ambil gambar sambil memandu. :p
Keadaan hanya kembali normal selepas Tol Bentong. Siapa yang melaluinya sahaja yang tahu betapa jauhnya saya dan mereka terpaksa mengharungi kesesakan.
Selepas empat jam perjalanan, saya tiba di kampung halaman dengan selamat. Alhamdulillah. Puas berperang dengan kepenatan, mengantuk dan sikap pemandu lain yang macam-macam, akhirnya saya sampai juga. Oyeah!

Sampai di rumah, ada satu kad raya untuk saya!
Sekarang ni nak dapat satu kad raya pun susah, tau!
Terima kasih, An atas ingatan tulus ikhlas :)
Pagi itu, emak dan abah sudah sibuk merebus ketupat dan membasuh ayam dan daging. Balik sehari sebelum raya begitulah...Tak banyak yang boleh saya bantu melainkan menyusun kuih muih raya pada sebelah malamnya. Aidilfitri pada saya sangat epik. Sedari saya kecil hingga dewasa, atmosferanya tetap sama. Saya sayang famili saya. :)

1 Syawal 1433H

Alamak. Menu utama mak, laksa sudah habis. Jadi tak ada gambar untuk dijadikan bukti. Tapi saya suka dengan budaya kampung yang masih diamalkan di sini- Baraan atau rombongan dari rumah ke rumah jiran. Kawasan perumahan saya telah dibahagi-bahagikan mengikut blok. Jadi ahli blok akan membuat satu rotation ke rumah ahli blok yang lain sambil membawa anak-anak serta menantu dan cucu untuk mengutip duti raya. Lazimnya rombongan kaum lelaki akan diadakan selepas solat sunat hari raya manakala rombongan kaum wanita akan berjalan pada waktu petang.

Rombongan Lelaki. Rombongan raya okeh!
Beginilah setiap tahun. Inilah budaya yang paling berharga di kampung saya
Kira duit raya
Penat beraya
Saya memang mengikuti rombongan ini tanpa gagal setiap tahun, tetapi tahun ini saya terpaksa mengikat diri di rumah atas sebab-sebab tertentu. :p
Lagipun anak-anak murid emak dan abah ramai yang bertandang. Jadi kalau tiada orang di rumah, kasihan pula mereka. :)

Satu Syawal melabuhkan tirainya dengan seribu kegembiraan dalam kesederhanaan. Terima kasih Tuhan kerana masih meminjamkan kami sekeluarga usia untuk bersama.
Sejenak saya terfikir, sudah 3 tahun kesedihan itu berlalu. Banyak rutin kami yang berubah. Bukan sedikit perubahan yang kami hadapi. Tapi kami akur dan syukur kerana ini adalah sebahagian daripada peringatan untuk kami agar lebih tabah dan cekal serta tinggi iltizam untuk memperbaiki diri.

2 Syawal 1433H

Saya menerima tetamu pertama:

Free to save, yah! Hehe


p/s: Nyun, sangat sweet! Cepat-cepat timang baby sendiri yah!

 3 Syawal 1433H

Tetamu kedua saya :)


p/s: Terima kasih atas ziarah dan ingatan dari sahabat handai yang mengingati. Cumanya saya penat dan lelah apabila ditebak soal nikah kahwin. :( Berilah saya ruang untuk bernafas dulu. Saya juga punya emosi untuk dibelai agar tidak terluka. Yang pasti, doa semua orang amatlah saya dambakan. Semua orang berhak untuk memiliki cinta...

Salam Eid, 
Dhiya

Hutang dan Pinggang


Assalamualaikum.

Bukan. Ini bukan entri Hutan dan Pinggan. Saya menulis tajuk yang betul: Hutang dan Pinggang. Yep, Hutang keliling pinggang!

Sebelum saya menulis tentang raya, saya ingin kongsikan pendapat saya tentang isu dalam salah sebuah tabloid tempatan hari ini.

Hidup Hutang Keliling Pinggang

KUALA LUMPUR – Kegilaan masyarakat negara ini menjalani gaya hidup moden dengan berhutang keliling pinggang begitu menggerunkan apabila maklumat terkini menunjukkan lebih enam juta isi rumah di Malaysia mempunyai jumlah hutang terkumpul sebanyak RM653 bilion.


Secara purata, ini bermakna setiap isi rumah di negara ini tidak kira pangkat, status dan usia mempunyai hutang kira-kira RM108,000 seorang.

Pembiayaan sewa beli kenderaan yang tinggi, pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan adalah tiga punca utama golongan tersebut terpaksa menanggung hutang yang banyak.
Lebih memburukkan keadaan, ketiga-tiga hutang berkenaan memakan masa berpuluh tahun untuk diselesaikan.
Ia disebabkan sikap segelintir peminjam bertindak menambah lagi pinjaman ketika pinjaman asal masih belum selesai sekali gus menyebabkan hutang mereka terus bertambah.

Bagi golongan isi rumah dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan pula, hampir separuh daripada jumlah itu terpaksa digunakan untuk membayar hutang berkenaan.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata, jumlah hutang yang terlalu tinggi dalam kalangan isi rumah akan mengurangkan keupayaan mereka untuk berbelanja.
Beliau berkata, kebanyakan daripada jumlah gaji yang diterima oleh mereka terpaksa diperuntukkan untuk tujuan membayar semula hutang.
“Akibatnya, ia bukan sekadar memberi kesan kepada individu itu sendiri, malah ekonomi negara turut terjejas kerana penggunaan isi rumah merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

sumber

***********************
Satu: Mengapa Berhutang?
Kerana tidak mampu membeli sesuatu secara tunai. Jelas.

Dua: Mengapa Tidak Mampu?
Terlalu mahal. Titik.

Tiga: Kadar Hutang RM 108,000 Seorang. Wow!
Saya tidak terkejut dengan kadar hutang sebanyak RM 108,000 seorang kerana ia mungkin boleh jadi lebih tinggi daripada itu. Betul tak? Kalau tak percaya, sila ambil mesin kira sekarang.

Empat: Keperluan Vs Kehendak
Ini isu paling kritikal dalam menilai soal hutang. Saya melihat tiga jenis pembiayaan yang dinyatakan di atas adalah jenis keperluan dan vital seiring dengan masa.

Kalau dulu orang melihat kereta sebagai kehendak, tetapi dewasa ini kereta sudah menjadi keperluan. Mampu atau tidak, kereta sudah menjadi seperti sesuatu yang mesti dimiliki walaupun sudah memiliki sebuah motosikal. Mengapa? Pertama, kadar kemalangan motosikal adalah lebih tinggi berbanding kenderaan empat roda. Jadi risiko tetap ada. Kedua, kereta lebih compatible dan efisyen untuk membawa keluarga. Tak kisahlah punya isteri dengan anak seorang atau anak tiga, takkan mereka nak diangkut dengan motosikal dalam hujan lebat,kan? Sebagai pengguna pula, kita mesti tahu akan tahap kemampuan kita. Kalau rasa kereta kecil dan ekonomi sudah cukup, mengapa perlu memilih yang mahal dan tidak berbaloi? Ingat, beli kereta bukan setakat bayar bulanan sahaja- Fikirkan juga jadual penyelenggaraan, insuran dan cukai jalannya.Ukur baju mesti di badan sendiri.

Kita tidak tahu apa tujuan pinjaman peribadi dibuat. Iyalah, nama pun peribadi. Jadi tak perlulah dicanang seisi dunia tentang tujuan dan matlamatnya. Saya pernah tahu yang pinjaman peribadi ini selalunya dibuat untuk tujuan (antaranya) berkahwin, house renovation, dan seumpamanya.
Sekali lagi kita perlu menimbang isu ini samada ia adalah keperluan atau kehendak. Perkahwinan yang bagaimanakah sehingga perlu membuat pinjaman peribadi? Perkahwinan adalah melihat masa hadapan. Kalau semua wang habis malah sampai terpaksa meminjam untuk kenduri hari ini, alamatnya kehidupan esok memang hanya tentang hutang dan pinggang!

Saya suka berkongsi pengalaman peribadi saya tentang isu rumah. Saya pernah melewati beberapa kawasan perumahan mewah dan elit sekitar Bangsar, Taman Tun Dr. Ismail, Damansara dan Hartamas. Malah masih saya ingat bagaimana besar dan mewahnya sebuah rumah yang terletak di atas bukit di belakang kampus UM. Tak cukup dengan itu, garaj mereka penuh dengan kereta-kereta mewah yang bukan sebuah dua. Di depan pagar rumah pula tercegat dua orang pengawal keselamatan yang disediakan pondok kecil lengkap dengan monitor CCTV.
Setiap kali melalui kawasan itu, saya selalu bertanya kepada diri sendiri:
Siapakah mereka yang mampu membeli dan membina rumah semewah ini?
Apakah pekerjaan mereka yang membolehkan mereka mempunyai kapasiti ini?
Berapakah gaji mereka hingga boleh membina rumah mewah seperti istana ini?
Saya pernah berbual dengan seorang jurutera yang terlibat dengan projek pembinaan rumah. Katanya harga rumah memang semakin meningkat berkadaran dengan masa. Kita semakin tidak mampu untuk memiliki rumah waima sebuah rumah teres setingkat! Kadar usia pemilikan rumah pula semakin meningkat di mana seseorang hanya mampu membeli rumah pada usia lewat 40-an, itupun kalau sejarah pekerjaannya membenarkan dia menabung dan berjimat. Bayaran balik pula boleh mencecah berpuluh-puluh tahun. (-.-)
Saya pelik di saat pak-pak menteri kita gigih memperjuangkan hak pemilikan rumah untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, projek-projek pembinaan rumah mewah masih gigih dibangunkan. Paling ajaib, rumah-rumah mewah ini sekalipun dijual pada harga 2 hingga 3 juta, ia masih punya pembeli! Siapakah mereka???
Saranan saya, banyakan pembinaan rumah mampu milik, tingkatkan kualiti, kurangkan kos, dan hentikan rasuah. Eh~ Mampukan Malaysia untuk melakukannya?
Kasihan jurutera-jurutera Malaysia. Mereka sanggup berpeluh-peluh dan mengotorkan kaki turun ke site dan memastikan pembinaan rumah-rumah mengikut piawaian keselamat (segala), tetapi mereka sendiri tidak mampu untuk memiliki rumah tersebut dan hanya memandang dari jauh hasil keringat mereka diduduki oleh mereka-mereka yang kaya dan terus kaya...

Ya, saya sangat beremosi tentang isu rumah kerana saya masih belum mampu untuk memiliki walau sebuah rumah untuk dijadikan aset. Semoga Allah memudahkan urusan saya, untuk masa depan saya. Amin.

Saya rasa tidak adil kalau hanya peminjam yang dipersalahkan. Kadangkala mereka memang terdesak. Kita tidak tahu apa dan bagaimana situasi mereka. Pemberi pinjaman juga rasanya perlu lebih tolerate. Tidak semua terms and conditions yang anda wartakan berstatus win-win situation. Kasihanilah mereka yang memerlukan.

...of my 1-cent idea :)

Salam, 
Dhiya

Ramadhan 1433H


Ya Allah,

Kalaulah setiap hari adalah Ramadhan...

***********************

Selamat tinggal, Ramadhan. Setiap tahun beginilah saya. Sayu benar rasa apabila Ramadhan berganti Syawal.
Ramadhan ini unik- Biarpun kita penat berpuasa di siang hari, tetapi kita tidak kisah malah berlumba-lumba ke masjid-masjid untuk mengejar pahala Terawih di sebelah malamnya.
Pun begitu, kehadiran Syawal tidak pernah mengecewakan. Kita orang Melayu masih kuat berpegang pada adat yang menjadi sendi nilai beragama. Budaya kunjung-mengunjung masih ada. Itu saya suka.

Untuk bulan-bulan seterusnya, saya pasti sunyi tanpa Terawih! (TT)

Ya Allah, panjangkan usia saya untuk Ramadhan yang akan datang.

Dan...Semoga ini Ramadhan terakhir saya beraya single. (*.~)

Salam Sayang, 
Dhiya

Sebak


Malam ini, sunyi sendiri. 

Tiba-tiba saya sebak.

Terasa ingin saja mengambil kata putus meninggalkan Kota Mega ini. Saya mahu pulang ke desa dan ingin kembali menjadi anak kampung.Saya mahu dewasa di sana.

Kenapa?

Terlalu berat mehnah dan tribulasi di sini. Survival saya bukan setakat untuk hidup sendiri, malah untuk kehidupan orang lain!

Saya selalu rindukan emak dan abah. Sejak usia 13 tahun, saya sudah dihantar ke sekolah asrama. Sekarang memang masa saya perlu bersama mereka, memenuhi keperluan mereka sebagaimana mereka memenuhi kehendak saya dahulu.

Dan banyak lagi alasan yang rasional. Emosi yang tidak stabil selalu gagal untuk berkata-kata sedang otaknya ligat mencongak fakta. Argh!

********************************
Selamat malam, Kuala Lumpur.

Dhiya

Grr...Penat!


Bismillah...

Akhirnya, hari ini air mata saya tumpah juga. Sejak sekian lama saya bertahan, hari ini saya gagal dengan diri sendiri.

Banyak betul perkara yang berlaku hari ini. Saya tahu itu semua adalah ujian yang diberikan Tuhan. Tapi apakan daya, saya hanya manusia biasa. Tersungkur dan akur juga pada limitasi diri. Saya gagal.

Satu
Saya masih belum sepenuhnya ditempatkan di cubicle yang sempurna di tempat kerja. Sudah berkali-kali saya suarakan ini kepada pihak atasan, tetapi mereka asyik memujuk saya dengan perkataan sabar. Katanya masih dalam proses, masih menunggu itu dan ini.
Sampai satu tahap, saya sudah naik bosan. Mereka juga yang lantang bercakap soal hak dan keperluan produktiviti dalam bekerja yang perlu dipenuhi. Tetapi mereka juga yang mengabaikan hak dan keperluan saya yang minta dipenuhi.

Dua
Sabar saya memang nipis sungguh ketika pulang dari kerja hari ini. Entah apa sebabnya, jalan pulang saya sesak luar biasa. Hendak melintas kereta ke laluan seberang pun susah. Sudahlah dengan sikap pemandu yang memang tidak memberi laluan, ditambah pula dengan kesesakan yang entah apa-apa. 
Dalam hati saya tak putus-putus bertanya mengapa. Kalau sebelum ini saya sampai ke rumah selepas 10 minit memandu, hari ini saya sampai selepas 45 minit menekan pedal minyak. Kaki kiri saya kebas dek menahan dan bermain dengan clutch. Adoi!
Benarlah...Mungkin Allah sedang melorongkan saya untuk membeli kereta itu. (TT)

Tiga
Saya tidak tahu bila ini akan berubah. Sikap. Sikap. Sikap!
Saya membeli juadah berbuka seperti biasa. Bezanya, hari ini sedikit 'mewah'. Istimewa, mungkin~Saya membeli masing-masing sebungkus mee dan bihun goreng. Air pula saya pilih bungkusan yang besar.
Mesej tidak berbalas.
Apabila panggilan telefon dibuat, rancangan telah diubah. 
Sekali lagi, iman saya menipis dengan sikap manusia yang tidak tetap pendirian sebegini. Saya berang!
Akhirnya dua bungkus makanan dalam polystyrene itu hanya saya perhatikan dari sudut bilik. Ada rintik air mata. Saya kecewa. Rupanya apa yang saya lakukan tak pernah dihargai. Saya tekad untuk pulang ke kampung esok.

Cukuplah Sampai Tiga
Saya sedar yang hari ini saya banyak marah dan kecewa dengan orang sekeliling. Saya penat dengan sikap mereka. Ya, sikap saya pun tidaklah sesempurna mana. Tapi salahkan untuk memilih cara yang lebih baik daripada mengecewakan orang lain?
Tepuk dada, tanyalah diri.

Jangan menangis, 
Dhiya

Tahukah Kita?


Bahawasanya...

Klik gambar untuk paparan jelas.
Lalu di manakah kita? Apa sumbangan kita kepada agama?

Salam Muhasabah,
Dhiya

Bangau, Berhentilah Beralasan


Tapi
Tapi
Tapi

Berhentilah memberi alasan. Masalah bukan hanya untuk dihindari, tetapi untuk ditemukan solusi.

Kita boleh berlari, tetapi kita tak akan boleh bersembunyi.

Sebanyak mana pun masalah yang datang, semuanya perlu dihadapi. Orang yang lari dari masalah adalah orang yang gagal.

Takkanlah sebab sebatang pen pun boleh mati, kan~
Kredit: Facebook

Berhentilah menjadi bangau. Orang dahulu sudah menamakan bangau sebagai makhluk yang panjang dan berderet-deret alasannya. Kisah bangau ini adalah cermin kepada sikap manusia yang suka beralasan dan suka menunding jari kepada orang lain. Kitakah? :

Bangau oh bangau mengapa engkau kurus?
 Macamana aku tak kurus ikan tak mahu timbul
Ikan oh ikan kenapa tak mahu timbul? 
Macamana aku nak timbul rumput panjang sangat
Rumput oh rumput kenapa panjang sangat? 
Macamana aku tak panjang kerbau tak makan aku
Kerbau oh kerbau kenapa tak makan rumput? 
Macamana aku nak makan perut aku sakit
Perut oh perut mengapa engkau sakit? 
Macamana aku tak sakit makan nasi mentah
Nasi oh nasi mengapa engkau mentah? 
Macamana aku tak mentah kayu api basah
Kayu oh kayu mengapa engkau basah? 
Macamana aku tak basah hujan timpa aku
Hujan oh hujan kenapa kau timpa kayu? 
Macamana tak timpa kayu katak panggil aku
Katak oh katak mengapa panggil hujan? 
Macamana aku tak panggil ular nak makan aku
Ular oh ular kenapa nak makan katak? 
Macamana aku tak makan memang makanan aku, memang makanan aku

Stop Bangau-ing and Stop Blaming

Refleksi Diri, Nilai Budi, Koreksi Hati,
Dhiya

Empat Ogos


Bismillah...

4 Ogos 2012, 15 Ramadhan 1433H.

Ya Allah. Cepat sungguh masa berlalu.Wajarlah Allah bersumpah dengan masa- Kerana manusia selalu leka dan alpa akan nilainya!

Hari ini adalah SSB saya. Alhamdulillah Ramadhan ini saya tidak dibebani dengan kerja yang menggunung sangat. Terasa tenang dan banyak masa untuk saya selesaikan tugas-tugas tertunggak. Hari ini saya berpeluang menolong Kak Yan. Syukurlah Allah mudahkan urusan kami berdua. Tidak ada masalah dan tiada manusia yang membawa masalah. :)

Pulang dari kerja, Baby K sudah siap pulang dari kliniknya. Ah, macam-macamlah dia. Asal tahu saja saya sudah bergaji, ada saja manjanya. Tapi itu semua untuk kebaikan saya juga. Tak betah saya untuk pulang ke Pahang dengan keadaan kereta yang tidak diselenggara. Mencegah lebih baik dari mengubati.

Usai solat Zuhur, saya ke Jusco untuk membeli barang keperluan dapur. Hari ini cadangnya hendak memasak. Perut saya sudah penat dengan menu bazar yang boleh dikatakan hampir setiap hari sama. Sudahlah jauh dari emak, apa yang diingini tiada pula dijual. Akhirnya saya tekad- Tomyam!

Tekad dengan menu kegemaran itu, saya mengelilingi Jusco untuk mencari bahan-bahannya. Akibat terlalu asyik berjalan di situ sambil tak jumpa bahan, saya hanya pulang ke rumah pada jam 4 petang. Apa lagi, ributlah saya di dapur. Ini percubaan pertama saya untuk 'turun gelanggang'. Sejak berpuasa, saya selesa membeli dan berbuka dengan rakan serumah sambil bertukar-tukar hidangan, atau membawanya ke masjid dan berbuka di sana.

Sebut tentang berbuka di masjid, saya tidak malu malah gembira di sana. Pulang dari pejabat seawal 4.30 petang membolehkan saya bersiap apa yang patut. Makanan dan minuman yang ala kadar akan dibawa di dalam beg dan saya akan ke masjid kegemaran saya. Di sana- di tepi-tepi kolam berlatar belakangkan wajah kota, saya makan seadanya sebelum solat Maghrin berjemaah. Usai solat, saya berehat sebentar sambil menanti Isyak dan Solat Tarawih. Saya bahagia begitu. Saya gembira dengan simple habit itu dan menghasilkan situasi menang-menang :)

Ok kembali ke cerita utama-
Azan Maghrib tadi, saya berbuka dengan menu masakan sendiri. Alhamdulillah, percubaan kali ini menjadi. Cukup masin dan sempurna masamnya. Cukuplah untuk perut saya sendiri kerana memang saya bersendirian berbuka puasa di rumah. Alhamdulillah.
Kalau emak tahu, pasti emak sudah bersedia menerima menantu. Anak daranya sudah 'berani' berbangga dengan menu masakannya. Ewah!

Malamnya, saya hanya di rumah. Terawih hanya dilakukan sendiri kerana tiada teman untuk ke masjid kegemaran saya. Insya Allah, malam esok saya akan berada di sana. 
Saya gembira berada di rumah. Sudah lama saya tidak menatap laptop berusia lebih kurang enam tahun ini sambil menyelongkar info dunia tanpa sempadan. Terasa terlalu cetek pengetahuan am dan pengisian rohani saya sejak kebelakangan ini. 
Semuanya gara-gara tuntutan kerja yang menghimpit diri. DDD sendiri pun selalu terabai tanpa cerita baru. Semuanya cerita back dated yang sudah lapuk malah kadang-kadang tidak lagi relevan dengan masa. Aduh!

Malam ini saya berazam untuk memenuhi masa dengan sesuatu yang bermanfaat kepada diri. Saya ingin membina niche pahala untuk saya dan orang di sekeliling saya. Semoga perkongsian saya secara langsung atau tidak selepas ini akan memberi manfaat kepada sesiapa yang membaca.

Seboleh mungkin saya ingin menolak ke tepi soal emosi dan peribadi. Saya ingin menjadi seperti mereka yang sentiasa optimis dan positif dengan kehidupan. Masalah yang dihadapi dipesong menjadi cabaran dan motivasi untuk terus berjuang. Ya, saya juga boleh melakukannya.

Untuk malam minggu dalam Ramadhan yang hening ini, saya berazam dan berdoa semoga kita semua diberi kekuatan untuk berbuat baik dan berbakti kepada orang lain. Pahala bukan diberi percuma- Ada  nilai yang perlu dibida. :)

Salam Optimis,
Dhiya

Cerita Lagi


Bismillah
Isnin yang lunatik!
Indahnya berada di desa masih terasa. Walaupun hanya dua hari bercuti di kampung, tapi ia sudah cukup untuk mencorak rindu dendam dalam diri. Tapi apa boleh buat, dunia kerjaya saya bertapak di Kota Mega ini. Ada harga yang perlu dibayar demi sebuah matlamat!

Suasana di pejabat juga sejuk dan tenang. Tidak banyak perkara sampah yang menyesakkan jiwa. Kalau tidak, ada saja isu yang timbul. Kadang-kadang jadi kes naya- Orang lain punya hal, orang lain yang dipersalahkan. Memang terasa dunia tidak adil, tetapi saya belajar banyak cara bagaimana untuk menghadapi kerenah manusia. Apa yang jelek dibuat sempadan, apa yang baik dibuat tauladan.

Secara peribadi, saya sangat gembira bekerja di sini. Suasana kondusif dan independent. Saya masih ingat, baru tiga hari bekerja di sini, saya sudah mula penghadiri mesyuarat dan pulang pada jam 10 malam. Biarpun pada awalnya agak tertekan dan terkejut, tetapi saya tidak tahu bagaimana saya boleh melaluinya. Hingga hari ini, saya wajar berbangga dengan diri sendiri. Saya kini tahu dan mengerti untuk menangani hidup dengan lebih baik.

Akan tetapi, saya manusia biasa ini tidak dapat lari dari lumrah kehidupan yang biasa. Sikap manusia yang pelbagai ini selalu sahaja menimbulkan daya kontra antara insan dan tidak terkecuali di tempat kerja. Sekali lagi saya menganggap dunia ini tidak adil.

Saya tidak kisah dan tidak takut apabila dituduh kurang ajar tempoh hari. Walaupun agak menyentap perasaan, tapi saya teguh dengan pendirian saya- Sikapnya yang mendesak dan menekan itulah yang menjadikan saya kurang ajar dengannya. Ya, itu bukan nature saya- bersikap tidak sopan dan melawan bukan apa yang emak dan abah ajar. Tetapi fitrahnya saya berhak untuk mempertahankan diri apakala rasa dianiaya. Orang di luar sana bijak menilai. Saya tahu kemenangan berpihak kepada siapa. Terima kasih atas nasihat dari insan-insan yang prihatin. Diam itu emas, berkata-katalah dengan hikmah!

Kalau apa yang orang lain katakan itu memang benar, terimalah dengan hati terbuka walaupun sakit dan pedih. Tak perlu menampar wajah orang lain sedang wajah sendiri yang wajar dielus supaya sedar akan silap perlakuan. Memang sukar untuk menepis ego sendiri, tetapi belajarlah untuk menerima hakikat. Tak guna bercakap sambil menongkat langit kalau hasilnya hanyalah sebuah tin kosong yang berbunyi kuat tanpa isi. Paling penting, jangan melihat orang lain kecil sedang diri sendiri pun masih kerdil dan perlu banyak belajar.

Mengenangkan dua insiden itu, saya terasa serik. Semangat sedikit merudum. Tapi apabila dikenangkan balik, saya sedar di mana letak duduknya perkara sebenar dan timbang tara telah membuktikan siapa yang benar dan siapa yang salah. Saya tidak rugi sedikit pun dengan sikap segelintir manusia seperti ini. Cuma yang penting, saya perlu lebih bijak mengawal emosi agar saya tidak disamakan dengan sikap sampah mereka.

Berani perlu bertempat. Bukan dituju semberono sahaja. Mungkin itu sifat yang dididik oleh keluarga. Tapi bijaklah dalam mengaplikasikannya. Saya maafkan kamu. Semoga kamu juga memaafkan saya. Kita sudah dewasa untuk menilai buruk baik masing-masing. Kuncinya, matanglah dalam menjalani hidup. Titik.

Peace No War :)

Salam Optimis,
Dhiya