Wedding Review: Bridal Galeri Fitrah (Pahang)


Bismillah

Entri kali ini saya akan cerita tentang bridal yang saya pilih bagi merealisasikan pelamin dan outfit saya.
Kata orang, berkahwin ni hanya sekali seumur hidup. Jadi kenalah pilih baju yang betul-betul cantik dan meletup. Pelamin harus grand, ada konsep, ikut tema dan nampak gah. Pendek kata semua kena cantik lagi sempurnalah! Itu memang impian semua bakal pengantin. Saya pun ada cita-cita begitu. Biasalah~
Di saat saya tahu yang saya akan berkahwin, saya tanya emak dan abah;
"Ini kenduri bongsu emak dan abah, D nak tanya- Abah dan mak nak kenduri yang macam mana?"
"Macam mana yang macam mana tu?" Mereka tanya saya balik
"Yang paling simple- means buat kenduri doa selamat saja, tak ada pelamin, baju pun beli siap ala kadar, dan seangkatan dengannya; atau kenduri arus perdana- means mak abah nak tumbangkan lembu, ada rewang, ada khemah, ada pelamin, ada bunga telur dan seangkatan dengannya?
"Mak abah nak rasa macam kenduri orang lain. Rumah ni sudah 15 tahun tak ada kenduri pengantin sejak kakak kamu berkahwin (kerana jarak saya dengan kakak di atas saya agak jauh). 
"Mak nak ada pelamin juga ke?" Soal saya naif
"Buatlah. Jangan sampai kita ni menolak adat sangat. Tapi jangan sampai melebih-lebih pula. Syaratnya banyak." Emak abah mula menyenaraikan kehendak mereka

Buat kenduri, ada pelamin, ada baju pengantin, TAPI....
1. Pelamin jangan sampai macam kereta berhias. Yang simple saja.
2. Baju pengantin ambillah sekali dengan pakej pelamin. Tapi jangan malukan diri sendiri. Jangan ketat, jangan menjolok mata, jangan pelik-pelik. Jangan macam-macam. Cukup untuk bezakan kamu dengan tetamu. Yang simple saja.
3. Solekan dan andaman pun rangkum sekali dalam pakej tu. Abah benarkan. Tapi jangan sampai malukan diri dengan solekan yang macam opera cina. Cukup untuk nampak segar dan berseri. Yang simple saja.

Kesimpulannya, emak abah mahu berkenduri macam orang lain- Tapi tak mahu nampak berlebihan. Tagline nya  
Yang simple saja. 
Yang simple saja.
Yang simple saja.  

 Wah panjangnyaaaaa intro!

Saya memulakan pencarian pakej pelamin sebaik majlis pertunangan saya pada Januari 2015. Masa itu saya masih di UKM berperang dengan tesis saya. Tapi memandangkan majlis pernikahan yang ditetapkan adalah lebih kurang enam bulan saja selepas bertunang, saya perlu bersiap awal apatah lagi dalam hal mencari bridal ni. Lagi pula kenduri saya akan berlangsung dua minggu selepas Aidilfitri. Saya expect semua benda-benda besar sudah sedia sebaik Ramadhan menjelma. Emak dan abah tak larat nak bersiap dalam bulan puasa.
Mencari bridal bukanlah semudah mencari kedai mamak. Banyak benda yang perlu dipertimbangkan terutamanya bajet. Dalam pencarian saya, saya bersyukur kerana hajat emak dan abah seiring dengan citarasa saya. Jadi saya tidaklah kalut sangat mencari yang super perfect hingga ke Kuala Lumpur. Kalau anda nak tahu, saya sebenarnya sudah aim satu bridal ni sejak dua tahun lepas lagi. Masa itu saya tak tahu pun bila saya akan berkahwin. Huhuuuu
Kebetulan, pada bulan Februari, bridal tu jadi penganjur kepada Pameran Pengantin Mini di bandar berhampiran. Saya pun ke sana untuk melihat-lihat pakej dari bridal tersebut dan juga bridal yang lain. Tapi nampaknya bridal yang sama juga menjadi pilihan.

Flyer yang GF keluarkan bersempena dengan penganjuran Pameran Pengantin Mini di Bandar Jengka. Saya tak pasti samada harga yang dipaparkan masih valid atau sebaliknya. Kena tanya GF sendiri sebab cerita ni dah lama. Bulan Februari 2015.
Berbekalkan RM100, saya dahulukan sebagai bayaran deposit dan lock tarikh. Maka tekad dan kemaslah janji saya dengan bridal tersebut- Galeri Fitrah (GF)
Galeri Fitrah ni milik Kak Long (Saya panggil tauke nya Kak Long kerana beliau sendiri membahasakan dirinya begitu). Orangnya ramah. Ramah sangat dan suka bercanda hingga waktu pertama kali kami berjumpa, saya tak ada rasa kekok pun. Kak Long dibantu Tiha. Butiknya terletak di Bandar Jengka, Pahang dalam deretan taman perumahan di belakang Balora Mastika.

Saya tak ingat berapa kali saya buat lawatan tapak ke butik Kak Long ni. Kenapa tak ingat? Sebab banyak kali sangat saya ke sana. Yang jadi banyak kali tu bukan sebab apa pun- Sebab saya tak puas masuk ke bilik baju pengantin untuk pilih yang mana yang sesuai. Kadang-kadang singgah sebab kebetulan ke bandar atas urusan lain. Tak ada pun satu kali yang saya datang untuk betul-betul menghadap butik Kak Long ni. Jadi semestinya masa sekejap-sekejap itu saja yang saya gunakan untuk ke butik. Sebab itulah jadi banyak kali lawatan. Hehehehe
Antara baju-baju yang ada dalam wardrobe GF
Baju-baju dan pelamin Kak Long ni memang cantik-cantik belaka. Tak salah saya katakan semuanya memenuhi citarasa saya, cuma tinggal lagi untuk saya pilih warna yang saya suka. 
Sesungguhnya saya sangat pening kepala nak cari baju pengantin yang memenuhi citarasa saya dan dalam masa yang sama patuh syariah. Tapi mujurlah GF menyediakan variasi. Kak Long juga boleh buatkan baju baru (dengan bayaran tambahan tertentu) kalau itu memang hajat bakal pengantin. Pelamin pun semuanya up-to-date dan cantik. Sebab tu setiap kali saya ke GF dan belek album-album di sana, saya selalu pening kepala. End up tak boleh buat keputusan.
Pelamin-pelamin hasil kerja tangan GF yang saya ambil dari album dan katalog mereka.
Sumber: FB Galeri Fitrah
FB: Galeri Fitrah
Apabila saya mula bekerja di UPM, saya sudah jarang dapat ke GF. Tapi dalam masa yang sama saya sangat sibuk study design pelamin. Saya dah tak cerewet sangat dengan baju sebab rasa macam dah confirm tertarik dengan dua pasang baju yang saya tengok dalam banyak-banyak hari tu. 
Taip saja pelamin/ inspirasi pelamin atau kata kunci yang sama waktu dengannya di Google, pasti saya akan rambang mata sebab tak tahu nak pelamin yang macam mana. Lama-lama, setelah sekian lama tak ada keputusan sedangkan masa semakin suntuk, saya tekad untuk fokus dan narrow down kan citarasa saya. 
Saya bersyukur emak tidak secerewet saya. Memang dia yang tetapkan garis panduan untuk pelamin dan baju pengantin, tetapi dia tak masuk campur sangat sampai belek kerusi pelamin atau bunga yang diguna.
End up, saya pilih konsep yang paling sederhana. Kadang-kadang rasa nak gelakkan diri sendiri sebab punyalah lama nak buat keputusan, tapi akhirnya pelamin yang saya minta sangat-sangat simple. Saya cuma bagi satu gambar pelamin pada Kak Long, beritahu dia yang saya nak style macam tu. Kemudian saya bagi satu lagi gambar warna kombinasi bunga, beritahu dia yang saya nak gabungan warna bunga exactly macam tu. Semua tu saya finalise lebih kurang sebulan sebelum kenduri. Memang kesian Kak Long melayan saya yang undecisive ni :(
Gambar yang saya hantar kepada Kak Long. Saya nak warna soft pastel gabungan warna-warna macam tu.
Idea pelamin yang saya inginkan. Saya memang sengaja tak mahu bunga-bungaan yang padat. Latar belakang yang saya pilih adalah warna krim. Saya memang sangat berkenan dengan warna tu sebab kesannya dalam gambar adalah sangat ohsem!
Dua hari sebelum majlis, datanglah Tiha dengan suami Kak Long untuk memasang pelamin. Saya speechless. Tak tahu nak cakap apa. Everything met my expectation. Kak Long dan GF berjaya buat hati saya gembira sebab mereka buat apa yang saya mahu ditambah dengan nasihat, idea dan bakat Kak Long dan Tiha. Walaupun pada mata orang lain nampak biasa je, tapi pada saya itulah yang terbaik. Mak dan abah pun senyum saja tanda tak ada protes dengan pelamin yang tersergam dan busana yang tergantung di bilik pengantin.
Saya bekerja keras untuk memenuhi kehendak mereka- Yang simple saja.
Pelamin saya, hasil kerja tangan Galeri Fitrah
Ok cerita sikit tentang baju- Saya sengaja pilih baju potongan dres kembang, bukan potongan duyung sebab saya tak mahu nampak seksi pada bahagian punggung. Kalau seksi pun, aku tak mau tunjuk kat orang~ Banyak kali saya pesan pada Tiha dan Kak Long (sampai mereka pun pedih telinga agaknya) yang saya tak mahu baju saya ikut bentuk badan sangat. Saya minta mereka loose kan sedikit baju tu pertamanya supaya tak ketat dan keduanya untuk keselesaan. Di hari persandingan, semuanya nampak sempurna. Busana lelaki pun nampak fit elok dengan si pemakainya. Suami saya cakap baju tu sedap macam memang dia punya. Maknanya Kak Long dan Tiha memang dah lakukan yang terbaik untuk kami :)
Baju by Galeri Fitrah. :) Warna krim lagi. Jangan tanya kenapa :P
Solekan-
Pagi kenduri, Kak Long sampai seawal jam 9 pagi. Saya yang sepatutnya ada majlis khatam Al-Quran pagi tu pun terpaksa lepaskan majlis tu kepada Ihsan dan Ain (anak saudara saya) sebab bagi menghormati kekangan masa Kak Long yang ada job di tempat lain pula pada hari yang sama. Cuba bayangkan kalau majlis nikah pagi kenduri tu...Mesti kelam kabut dibuatnya. 
Ha mana manusia yang kerasukan iblis yang beria sangat nak suruh mak ayah saya aturkan nikah pagi kenduri tu hanya sebab dia pentingkan diri sendiri? Macamlah kenduri dia. Tak maluuuu! Wekkss! Hahahah!   
Serius. Kalau buat juga nikah di pagi kenduri, memang banyak benda akan jadi caca merba. Jadi sila boo kan manusia yang pentingkan diri seperti sindiran di atas.
Overall,  saya sangat gembira dengan sentuhan Kak Long tambahan pula wajah saya ada sedikit alahan seminggu menjelang majlis. Memang agak tertekan, tapi Alhamdulillah Kak Long telah buat yang terbaik untuk saya. Macam yang dijangka, saya dan Kak Long jenuh 'bersilat' sebab saya tak pernah dan tak biasa disolek. Segalanya rasa pelik dan aneh hinggalah saya perlahan-lahan bertenang dan percaya akan kemahiran Kak Long! Huhuhu~

*******************

Ya Tuhan. Panjangnya cerita pasal bridal perkahwinan saya ni. GF deserves a long story sebab mereka adalah antara pihak yang penting dalam menjayakan perkahwinan idaman saya. GF buat saya rasa yakin untuk melangkah sebagai seorang pengantin yang pastinya akan meninggalkan memori yang indah selamanya, walaupun hanya untuk sehari.

Kepada Kak Long, Tiha dan GF- Saya dengan rendah hati ingin mengucapkan jutaan penghargaan kepada GF kerana berjaya merealisasikan hasrat perkahwinan saya. Saya juga ingin memohon kemaafan andai selama saya berurusan dengan Kak Long dan Tiha, banyak kerenah dan sikap yang tidak disenangi datang dari saya. Saya memang sangat macam-macam!

Kepada bakal pengantin sekitar Temerloh, Jengka, Maran, Jerantut dan sekitar dengannya, saya tanpa berbelah bahagi mencadangkan agar anda mempertimbangkan Galeri Fitrah sebagai perunding perkahwinan anda. Antara perkhidmatan lain yang mereka sediakan: Pelamin, busana pengantin, andaman, hiasan bilik tidur pengantin, hiasan meja makan beradap, fotografi dan buaian berendoi. 

Ha Dhiya Jr. nanti confirm saya ambil buai dengan Kak Long lagi. Upssss

Galeri Fitrah boleh dihubungi melalui:

Kak Long: 0199411977/ 0192828573
FB/ Instagram: Galeri Fitrah/ Galeri Fitrah
Alamat: No 2, Jalan Cekal, Taman Rantau Perintis, 26400 Bandar Jengka Pahang
(Perumahan di belakang Balora Mastika, Bandar Jengka)

Tips kepada bride-to-be berkaitan dengan bridal:

1. Tengok bajet sendiri. Jangan tanya berapa ribu bakal suami anda atau emak ayah anda ada. Sedar akan kemampuan diri sendiri. Jangan work beyond budget!
2. Set atau ala-carte?--- Kalau rasa bridal tu dah ada semua yang diperlukan, ambil sajalah dengan bridal tu. Trend sekarang (yang saya perasan laa):
B2B akan tanya; Butik mana yang ada baju sebijik macam ni? Butik mana yang boleh buat pelamin konsep ni?
Percayalah, kaedah ala-carte sebegitu akan lebih menambah kos anda. Be realistic. Orang yang ambil ala-carte ni selalunya orang yang betul-betul aim perkhidmatan tertentu sahaja. Contohnya pengantin tu betul-betul nak pelamin sahaja sebab baju dan aksesori semua dia dah ada sendiri.
Bridal boleh je buat apa yang pelanggan mahu. Tapi tak boleh la expect mereka buat 100% sama dengan apa yang kita mahu. Kita pinjam gambar dari internet dan milik entah siapa-siapa. Mungkin rekaan tu milik designer ternama. Jadi sangatlah tak beretika kalau mereka tiru idea orang. Kalau setakat inspired tu boleh la kan.
3. Photobooth dan candy buffet. Perlu ke?
Pada pendapat pengantin konvensional macam saya ni- Semua tu TAK PERLU. Tapi saya tak cakap pula TAK BOLEH. Bagi yang rasa ada peruntukan untuk itu, buatlah. Macam saya dulu, sepupu saya yang buat perniagaan perancang perkahwinan macam GF ni ada menyatakan kesanggupan untuk sponsor photobooth dan candy buffet. Saya cakap; kalau ditaja, saya terima saja. Tapi kalau kena bayar, saya tak mahu sebab itu tak masuk dalam rancangan saya. Pada hari kenduri, dia tak boleh nak set up photobooth dan candy buffet tu sebab ada masalah dan saya tak kecil hati pun kerana benda tu bukan dalam expectation saya :)
4. Pilih pelamin dan tentukan warna yang anda mahu awal-awal. Soalan pertama bridal nanti adalah: "Apa tema awak nanti?" Percayalah itu merupakan soalan yang paling susah. Tapi saya buat terbalik. Saya pergi ke butik terlebih dahulu dan tengok katalog, kemudian baru saya beritahu saya nak warna apa. Warna tema tidak semestinya warna kegemaran anda. Buatlah sedikit kajian tentang warna dan pencahayaan. Pertimbangkan juga kesan warna pada gambar-gambar anda yang diambil oleh jurugambar nanti.
5. Pilih baju yang sesuai. Sesuai bukan sekadar cantik semata-mata. Pastikan baju itu juga selesa. Baju pengantin tu anda akan pakai dari pagi hingga ke petang. Kalau ketat, berbulu-bulu yang boleh jadi gatal- Bukankah itu akan menjadikan persandingan anda terganggu? Ya, bridal akan alter baju tu ikut ukuran badan pengantin. Tapi pastikan juga selepas alter, cuba lagi ok :)
6. Jangan cari gaduh dengan bridal. Jangan berlagak dengan mereka. Jangan ingat kita bayar mereka, kita boleh suruh mereka sesuka hati tanpa memikirkan hati dan perasaan mereka. Letakkan kepercayaan pada kemahiran yang mereka ada dan biarlah mereka buat kerja mereka. Make friend dengan mereka sebab Insya Allah kalau kita mudahkan urusan orang, orang akan mudahkan urusan kita kembali.
7. Tidak dinafikan ada juga bridal yang bermasalah kan. Banyak juga saya baca di media sosial ada pengantin yang jadi mangsa bridal yang tidak jujur. Jadi as a precaution, simpan segala rekod transaksi dan apa-apa rekod persetujuan. Kalau bayar ansuran, pastikan simpan semua resit bayaran atau pastikan bridal update bayaran dan tengok baki terkini. Tapi berbalik kepada kita semula, jadilah bakal pengantin yang sederhana, bertimbang rasa dan baik dengan bridal kita. Sebab bukan apa- Kadang-kadang, bridal jadi macam tu sebab sikap pelanggan juga.
8. Jaga barang-barang milik bridal dengan baik. Macam Kak Long, segala aksesori kecil seperti crown, kerongsang, anak tudung dan lain-lainnya diletak dalam kotak khas. Barang-barang seperti bunga tangan, payung, tanjak tu pun perlu dijaga dengan baik. Seeloknya sediakan satu beg besar dan beritahu rakan baik anda yang semua di dalam beg itu adalah aset bridal. Ini sangatlah penting bagi mengelakkan anda pening kepala mencari barang-barang bridal sewaktu proses pemulangan nanti.

Rasanya itu sahaja perkongsian saya tentang bridal. Panjang. Memang panjang sebab saya boleh kata bridal lah bahagian yang paling kritikal.
Apa-apa pun, bersederhanalah. Banyak lagi keperluan lain yang menuntut kewangan. Kalau semuanya nak dibazirkan ke pelamin dan baju semata, tak berbaloi juga. Murah, tak semestinya tak cantik dan tak istimewa. Saya dah buktikan. Pakej yang berpatutan, tetapi sangat memenuhi citarasa dan kehendak saya.

Kesimpulannya, jadilah pengguna yang bijak dan berhati-hati ya. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada bakal pengantin di luar sana. Percayalah, momen persiapan perkahwinan sangat indah dan anda pasti akan merinduinya. Jadi jangan datangkan masalah, jangan buat masalah dan jangan jadi masalah :)

Salam sayang
Dahlia

1 comment