Resepi Nasi Daging Simple tapi Sedap


Bismillah

Entri resepi lagi. Mood isteri-isteri dah menyerap dan menimbus mood pengantin di saat masih ada beberapa entri review tentang majlis perkahwinan saya. Sila gelakkan saya :P 

Tidak dapat dinafikan, inilah passion terbaharu saya. Di samping masih struggle menempatkan diri dalam dunia industri yang sangat mencabar, saya juga struggle mencuba pelbagai resepi untuk meraikan kami suami isteri. Setiap hari saya akan fikir apa yang hendak dimasak dan dijamu sebaik suami saya pulang dari pejabat.

Kali ini saya kongsikan resepi nasi daging. Resepi ni merupakan signature orang Kedah. Pernah di kampung saya dulu, ada orang Kedah buat menu ini sewaktu kenduri kahwin. Sedap tau! Walaupun mudah, tapi ramai tetamu yang memuji.

Bahan-bahan untuk buat air rebusan daging & sup:

1. Daging batang pinang (saya beli 1/2 kg saja), potong sedang.
2. Sup bunjut Adabi (tak jatuh syirik guna benda alah ni, tahu!)
3. Kiub pati ayam Knorr & garam untuk perasa
4. Rempah menumis 4 beradik
5. Bawang besar 1 biji *
6. Bawang putih 2-3 ulas *
7. Halia 1 inci *
8. Minyak untuk menumis
9. Serbuk kari
10. Air

Cara-cara:

1. Tumbuk bahan bertanda *. Nak kisar pun boleh, tapi saya tak suka. Tumbuk lebih ada perasaan.
2. Tumis bahan tumbuk tadi dalam periuk besar (sebab nak dapatkan air rebusan daging yang banyak).
3. Masukkan rempah 4 beradik
4. Masukkan bunjut sup
5. Masukkan daging
6. Masukkan air
7. Masukkan sedikit garam dan perasa
8. Reneh sehingga daging empuk
9. Toskan daging
10. Sebahagian dari air rebusan daging nanti bolehlah diolah supaya menjadi sup untuk dibuat kuah. Kalau tak suka pun tak apa. Boleh guna semuanya semasa memasak nasi.

Resepi nasi:

1. Basuh beras, toskan (ikut keperluan makan anda)
2. Tumis bawang merah + bawang putih dengan  planta
3. Masukkan beras yang telah ditoskan tadi dan kacaukan sebentar
4. Pindahkan ke dalam periuk nasi
5. Saya tambah sedikit garam, serbuk kari dan letak simpulan daun pandan
6. Masukkan air rebusan daging ikut sukatan yang biasa, macam masak nasi biasa
7. Masukkan daging dan benamkan sikit dalam beras
8. Masak seperti biasa
Hasilnya- Nasi daging!
Resepi air asam:

1. Bawang besar 1 biji - dimayang halus
2. Cili besar merah & hijau 1 biji masing-masing- dihiris halus
3. Cili kecil 3-4 biji- dihiris halus
4. Tomato 1 biji- dicincang dadu atau halus
5. Sedikit belacan
6. Pati asam jawa
7. Sedikit perasa

* Campurkan semua bahan ke dalam mangkuk dan bancuhkan dengan pati asam jawa. Gaulkan sebati dan boleh tambah perahan limau nipis jika suka
Ayaq asam
That's it! Siap!

Nasi daging versi Dhiya Dahlia. Kalau orang Utara terbaca blog ni dan rasa step saya ni salah, maafkan saya ye. Saya ni kaki gamble saja, asalkan suami saya makan dengan penuh selera :p

Selamat mencuba!

2 comments