Saya Gen Y- Apabila Gen Y Berkahwin


Bismillah...

[Satu]
Untuk rakan-rakan Gen Y, baca sampai habis. Anda kelak akan faham tinggi rendah menjadi Gen Y.
Kadangkala kita tak nak sesuatu perkara tu berlaku, tapi kita sendiri- terpaksa mengikut natural flow yang tercipta atas nama world evolution.

[Dua]
Saya sedang mengenali seorang pemuda Gen Y yang lahir dari Gen X yang sempurna semuanya. Tapi atas kesempurnaan itu, pemuda ini selalu menerima tekanan dari ibu bapanya yang menginginkan si anak mengikut langkah mereka walaupun zaman sudah jauh beredar. Saya tahu dan saya lihat dia tertekan. 
Paling merobek hati, si ibu tak pernah prihatin hak si anak untuk memiliki pasangan hidup. Dia hanya mahu si pemuda ini cukup- Ada kerja hebat, gaji tinggi, kereta besar, beli rumah- sama sepertinya supaya dia bangga dan boleh berkata: Anak ini aku yang mendidiknya!
Akhirnya apa? Pemuda ini mengambil keputusan untuk keluar dari ulitan kemewahan Gen X nya dengan penuh kelukaan dan dia belajar hidup susah sendiri walaupun dia amat mengimpikan sebuah keluarga Gen X yang menyayangi lagi memahami dan keluarga Gen Y yang dikemudi sendiri.
Ini bukan apabila Gen Y berkahwin, nak kahwin pun tak boleh!

[Tiga]
Gadis Gen Y. Sayalah tu.
High expectation oleh orang sekeliling memang terasa. Pada mereka (orang sekeliling), gadis Gen Y yang dibesarkan dengan sempurna oleh ibu bapa Gen X perlu mewarisi 100% sikap dan cara ibu bapa yang membesarkan.
Perkahwinan?
Kalau dah pemuda Gen Y dilayan seperti dalam [Dua], bagaimana mereka ingin berkahwin?!
------------------------------------------------------
Apa Itu Gen Y?
Generation Y, Gen Y atau Milennials merujuk kepada selapisan dalam masyarakat yang lahir bermula tahu 1980-an hingga awal tahun 2000-an. Selalunya, lebih spesifik, ia merujuk kepada generasi yang lahir sekitar tahun 1982 hingga 2000 atau 2001. Gelaran Gen Y diberi kepada generasi ini kerana ia datang selepas Generation X yang lahir sekitar tahun 1960-an hingga lewat 1970-an. Ada juga yang memanggil kumpulan generasi ini sebagai Boomerang Generation atau Peter Pan Generation. Kenapa? Kerana rata-rata generasi Y ini mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk kembali tinggal atau bergantung dengan ibu-bapa atau keluarganya setelah dewasa (patah balik seperti boomerang) disebabkan oleh masalah kewangan, perkahwinan dan kerjaya.
Gen X yang melahirkan Gen Y, rata-ratanya dilahirkan oleh generasi Baby Boomers yang lahir sekitar 1940-an hingga lewat 1950-an. Gen X membesar dengan menyaksikan pelbagai kesukaran dihadapi oleh Baby Boomers dari sudut ekonomi dan politik. Kerana banyaknya kesukaran ketika zaman itu, Gen X lebih mementingkan faktor job security, kestabilan ekonomi, kestabilan kerjaya dan keluarga serta lebih berdikari.
Karakter-karakter hebat Gen X diatas menyebabkan Gen Y membesar dalam suasana yang amat baik, dilindungi dan dipenuhi pelbagai cita-cita yang tinggi. Ini menghasilkan Gen Y yang sangat percaya diri dan yakin bahawa tidak ada apa yang mustahil. Gen Y sangat optimis dan mempunyai expectation yang sangat tinggi terhadap diri sendiri dan orang sekeliling. Ciri-ciri yang terbina pada Gen Y ini boleh memberikan impak positif dan negatif.
Dan dalam artikel ini, kita akan melihat impak kepada perkahwinan  Gen Y.

Pemuda-pemuda Gen Y
Pemuda-pemuda Gen Y banyak melihat kejayaan perkahwinan ibu bapa dari kalangan Gen X. Tetapi dalam masa yang sama, Gen Y juga melihat kesungguhan ibu bapanya bekerja menyebabkan dirinya merasakan seolah-olah ada banyak kekurangan dari sudut perhatian dan kasih sayang. Ini menghasilkan 2 ciri penting pada Gen Y iaitu – (1) sukakan fleksibiliti dan kebebasan dalam pekerjaan (2) ingin meluangkan sebanyak mungkin masa bersama keluarga yang dibina.
Expectation Gen Y yang tinggi terhadap dunia pekerjaan kadangkala boleh menyebabkan mereka kecewa dan putus asa kerana tidak bertemu dengan kerjaya yang paling sesuai dengan diri dan minat mereka. Memandangkan Gen Y rata-ratanya sangat mementingkan minat dan keinginan dirinya dalam melakukan sesuatu kerja, ramai Gen Y mengalami masalah mendapatkan kerjaya yang ideal untuk dirinya dan ini memberi impak terhadap perkahwinannya.
Sama ada dia bekerja dalam bidang yang tidak dia sukai semata-mata untuk merasakan job security dan hidup dalam tekanan, ataupun lakukan kerja yang dia sukai tetapi belum tentu mendapat ganjaran atau imbuhan yang mencukupi dan akhirnya, juga, hidup dalam tekanan. Ini antara dilema besar yang dihadapi Gen Y.
Kebebasan dan fleksibiliti yang dicari oleh pemuda Gen Y juga sebenarnya adalah bertitik tolak daripada keinginan mereka untuk lebih banyak meluangkan masa dengan keluarga. Ini berlaku kerana mereka melihat kekurangan pada keluarga yang dibina Gen X dan ingin cuba memperbaiki keadaan. Tapi dalam masa yang sama, realiti kehidupan bekeluarga yang memerlukan banyak tuntutan lain seperti tuntutan ekonomi, masa dan tenaga menyebabkan pemuda Gen Y seringkali tertekan.

Gadis-gadis Gen Y
Kaum wanita dalam Generasi Y adalah golongan yang sangat menjulang kemampuan dirinya. Dalam sebuah kajian besar yang melibatkan gadis-gadis Gen Y di banyak Negara seperti US, France, German, China dan Britain, kajian mendapati bahawa gadis-gadis dalam generasi ini merasakan diri mereka sangat bijak dan lebih mampu menguasai atau mengawal keadaan. Kaum wanita dalam Gen Y ini juga selalu merasa dia mampu melakukan apa yang kaum lelaki lakukan dan dengan itu sangat memperjuangkan gender-equality, sehinggakan mereka kadangkala keliru antara tugas seorang wanita dan tugas seorang lelaki di dalam sebuah rumahtangga.
Seperti pemuda Gen Y, gadis-gadis Gen Y juga gemarkan fleksibiliti dalam kerjaya dan tidak suka dipaksa atau diberi arahan. Di samping itu, kaum wanita Gen Y ini juga sukakan kebebasan dan kelapangan dalam dunia rumahtangga. Disinilah biasanya tercetus pertembungan dan dilema antara wanita Gen Y dan lelaki Gen Y. Lelaki Gen Y melihat kehebatan para ibu Gen X dalam menguruskan keluarga dalam masa yang sama bekerja membantu suami. Ini menyebabkan lelaki Gen Y selalu bercita-citakan seorang isteri yang akan lebih banyak meluangkan masa untuk dirinya dan anak-anak serta selalu melakukan kerja-kerja rumah.
Wanita Gen Y melihat kehebatan para ibu Gen X sebagai satu impian dan normalisasi yang mana dia juga layak dan wajar diberi kebebasan untuk melaksanakan perkara yang sama. Wanita Gen Y banyak terdedah dan terinspirasi dengan apa yang dibacanya di media sosial dan menyebabkan seringkali dia terasa terkongkong dalam rumahtangga yang dibina. Wanita Gen Y merasa cemburu melihat suami Gen Y mereka yang asyik dalam mengejar kerjaya yang diminati dan penuh makna hidup itu dan merasakan diri mereka pula tidak mendapat kesempatan yang sama.

Gen Y bukan malas, cuma mahu benar-benar memaknai kehidupan
Ramai menyangka Gen Y adalah generasi ‘ayam daging’ yang sudah banyak hidup selesa, dibelai dan ditatang oleh Gen X, pemalas dan mementingkan diri. Hakikatnya tidak, dalam beberapa kajian di barat, hakikat sebenarnya adalah Gen Y adalah sangat rajin sekiranya mereka benar-benar merasai makna dan minat pada sesuatu pekerjaan. Generasi ini bukanlah ingin hidup senang dengan cara yang mudah, sebaliknya generasi ini sebenarnya mahukan suatu tugas yang membawa kepada gol atau misi yang penting kepada diri dan masyarakat. Sebab itu mereka mengalami kesukaran bekerja dengan majikan dari kalangan Baby Boomers dan Gen X yang terbiasa dengan ‘melakukan tugas seperti yang diarahkan’. Gen Y tidak begitu. Mereka mahu memahami apa yang sedang mereka lakukan dan mahukan ia memberi makna yang besar kepada kehidupan.

Menguruskan perbezaan
Ada beberapa perbezaan yang perlu kita uruskan dengan berhati-hati di sini. Perbezaan pertama adalah antara Gen Y dengan Gen X. Perbezaan kedua adalah antara lelaki Gen Y dengan wanita Gen Y. Namun, asas dalam mengurusnya sama sahaja – lihat, sokong, santuni dan raikan perbezaan itu dengan ikhlas dan penuh kasih sayang. Setiap generasi itu ada cabarannya dan bagi Generasi Y ini, kebebasan dan makna yang dicari itulah ujiannya. Rata-rata masyarakat merasakan perkahwinan Gen Y akan menemukan banyak masalah kerana personaliti mereka yang sangat mementingkan kepuasan hati dan kadangkala agak mementingkan diri sendiri, tapi hakikatnya bukan begitu. Kebanyakan Gen Y sebenarnya sangat mementingkan kehidupan yang bermakna, kefahaman hala tuju hidup dan sangat mengutamakan kebahagiaan orang-orang yang mereka sayang. Generasi ini hanya mahu keluar dari kepompong kebiasaan yang dilihat melingkari kehidupan Gen X dan cuba melihat kehidupan dari kaca mata yang berbeza.

Buat Gen Y sekalian,
rumahtangga adalah ladang untuk membenih dan membaja.
Hasilnya sedikit sahaja di dunia,  yang banyak di akhirat sana.
Jadi, mustahil ladang ini dikerjakan oleh seorang sahaja.
Baik lelaki ataupun wanita.
Ia perlu dikerjakan bersama-sama.

Rumahtangga itu unit asas sebuah tamadun.
Ia punya ketua, dan punya kerajaannya.
Jadi mustahil tidak boleh meminta ketaatan dan tidak boleh diberi arahan.

Dan rumahtangga itu sebuah madrasah.
Ada guru, ada muridnya.
Guru boleh bertukar, murid juga boleh bertukar.
Kita saling belajar.
Jadi, wahai generasiku, mustahillah untuk sebuah madrasah itu meriah dengan ilmu,
andai tiada rasa ingin belajar
dan tiada keberanian memberi tunjuk ajar.
Salam sayang, 
Dhiya Dahlia

No comments