Bismillah
Rasanya cerita Ariel Sharon ni saya baca sejak dari zaman sekolah rendah lagi. Setiap kali abah beli surat khabar, saya akan selak bahagian antarabangsa dan ada saja kenyataannya yang menyakitkan hati. Masa tu saya pun masih tak faham lagi tentang isu Palestin ni. Jadi sekadar membaca dan tahu sahaja. Lama-lama, baru saya faham betapa jahatnya manusia bernama Ariel Sharon ni.
11 Jan lepas, Ariel Sharon akhirnya mati setelah koma tujuh tahun. Bukankah itu azab yang Allah berikan kepadanya atas darah tidak berdosa yang menyaluti tangannya?
---------------------------------------------------------
"KESAKITAN ini tiada penghujungnya. Mustahil untuk disembuhkan."
Ungkapan di atas pernah terluah dari bibir bekas Perdana Menteri
Israel, Ariel Sharon ketika menerima berita kematian anak lelaki
sulungnya, Gur, 11, yang terbunuh secara tidak sengaja oleh rakannya
akibat bermain selaras senapang patah.
Perkara ini dicatatkan di dalam buku bertajuk Warrior: Autobiography
of Ariel Sharon yang ditulis Sharon bersama David Chanoff pada tahun
2001.
Insiden itu berlaku pada 4 Oktober 1967, lima tahun selepas isteri
pertama Sharon, Margalit yang juga merupakan ibu kandung Gur meninggal
dunia disebabkan kemalangan jalan raya di lebuh raya Baitulmuqaddis-Tel
Aviv.
Lebih dramatik, Gur menghembuskan nafas terakhir dan terkulai di pangkuan Sharon dalam perjalanan dibawa ke hospital.
Justeru, kata-kata tersebut jelas menggambarkan kesedihan yang
dialami Sharon sebagai manusia biasa berdepan situasi kehilangan insan
tersayang dalam hidupnya.
Namun, berbeza pula dengan kerakusan dan keghairahannya merenggut
nyawa ribuan rakyat Palestin tanpa mengira usia mahupun jantina. Lelaki
yang digelar Penyembelih Beirut itu ternyata langsung tidak mempunyai
perasaan ketika melakukan dosa-dosa tersebut dalam usaha meluaskan kuasa
Israel di bumi al-Quds.
|
ALHA BOURJE tidak dapat menahan kesedihan sambil
menunjukkan gambar ahli keluarganya yang menjadi mangsa pembunuhan di
Sabra dan Shatila. |
Bangkai bernyawa
Ratapan anak-anak kecil yang kehilangan ibu bapa atau tangisan para
ibu yang melihat anak mereka syahid di depan mata tidak sedikit pun
menggetarkan hati Sharon yang sudah diselaputi kegelapan dan hilang
sinar kemanusiaan.
Matlamatnya hanya satu untuk terus meluaskan kuasa Zionis dan
menghapuskan rakyat Palestin yang dianggap seperti haiwan dan boleh
disembelih sesuka hati.
Namun, Sharon yang turut digelar 'musuh keamanan' oleh Pengarah
Eksekutif The Jerusalem Fund dan The Palestine Center, Yousef Munayyer
ternoktah jua pada 11 Januari lalu.
Selepas lebih setengah abad mempamerkan taringnya daripada peringkat
bawahan sehingga menjadi antara pemimpin utama rejim Israel, Sharon
akhirnya menemui ajal selepas bertarung nyawa dalam keadaan koma.
Selama lapan tahun, dia hidup sebagai 'bangkai bernyawa' yang bergantung pada mesin bantuan pernafasan.
Menurut Munayyer, budaya bertindak sewenang-wenangnya begitu berakar
dalam kehidupan Sharon yang telah melibatkan diri dalam mesin perang
Israel seawal tahun 1948.
Tambah beliau, Sharon yang dikenali dengan sikap biadap dan
penyembelih di medan perang, langsung tidak menghiraukan nyawa rakyat
yang tidak berdosa lantas sewenang-wenangnya membunuh mereka.
"Dari semasa ke semasa, Sharon telah meninggalkan parut berdarah yang
terlalu besar dalam sejarah Palestin. Peristiwa di Qibya, sebuah
perkampungan penduduk Palestin di Tebing Barat yang terletak berhampiran
Garisan Hijau pada tahun 1953 adalah antara dosa terawal dilakukan
Sharon.
"Serangan tentera Israel dari Unit 101 yang diketuai Sharon
menyaksikan berpuluh-puluh rumah dimusnahkan ketika penghuninya masih
berada di dalamnya.
|
SHARON (berdiri dua dari kiri) bergambar bersama komander militan Israel yang dirakam pada tahun 1955. |
"Akibat serangan bertubi-tubi tanpa belas kasihan itu, seramai 69
rakyat Palestin terbunuh. Kebanyakan mereka terdiri daripada wanita dan
kanak-kanak," terang Munayyer dalam artikelnya yang bertajuk Ariel
Sharon: Enemy of Peace yang disiarkan oleh laman web www.aljazeera.com
pada 11 Januari lalu.
Sebagai Menteri Pertahanan Israel ketika itu, Sharon telah
mengarahkan tentera Zionis bersama Unit Militia Phalangist Lebanon
membunuh orang awam dan pelarian Palestin di kem pelarian di Sabra dan
Shatila.
Pencerobohan selama tiga hari bermula dari 16 hingga 18 September itu
meninggalkan trauma yang amat mendalam bagi mereka yang terlibat.
Dianggarkan lebih 2,000 rakyat Palestin dan 100 penduduk Lebanon
terbunuh dalam peristiwa menyayat hati itu. Mereka dibunuh dengan kapak,
disembelih leher dan ditembak membabi buta oleh tentera Sharon. Malah,
kaum wanita dan kanak-kanak perempuan dirogol bergilir-gilir terlebih
dahulu sebelum dibunuh.
Bagi Abu Jamal, insiden berdarah itu masih segar dalam ingatannya dan
tidak mungkin dilupakan hingga ke akhir hayat. Dia masih ingat saat
militia Lebanon mengejutkan mereka sekeluarga daripada tidur pada awal
pagi lebih tiga dekad lalu.
Mangsa pembunuhan
Kemudian, mereka semua diheret ke jalanan. Tentera bersenjata memaksa
Abu Jamal dan ramai pelarian Palestin di kem Sabra dan Shatila untuk
berbaris serta memisahkan antara lelaki dan wanita.
Para pemuda pula ditarik keluar dari barisan lantas dibunuh begitu
sahaja. Anak lelaki Abu Jamal yang berusia 19 tahun ketika itu merupakan
antara mangsa dalam tragedi berkenaan.
"Dia berada di tahun akhir pengajiannya. Dia tidak pernah berpeluang
melihat diploma yang diusahakan selama ini," ujar Abu Jamal yang memakai
lencana tertera gambar anaknya yang dipinkan di baju panas miliknya.
|
RAKYAT Palestin meraikan kematian Sharon sambil memberi manisan kepada rakan-rakan dan penduduk tempatan. |
Dalam pada itu, Milany Boutrous Alha Bourje, 70, yang baru pulang
dari melawat tugu peringatan menempatkan kubur besar mangsa pembunuhan
di Sabra dan Shatila mengakui, masih terbayang-bayang saat suami dan
anaknya ditembak mati pada hari tersebut.
Kata Bourje, Sharon sepatutnya mendapat balasan lebih teruk daripada apa yang dilalui sebelum kematiannya.
"Semoga Tuhan menghantarnya jauh ke dalam perut bumi. Saya berdoa dia
merasai penderitaan seperti yang kami alami," tegas Bourje sambil
menunjukkan gambar hitam putih ahli keluarganya yang terkorban.
Bourje merupakan individu yang terpapar dalam satu gambar ikonik
pembunuhan besar-besaran tahun 1982 sambil menangis dan melambaikan
tangannya berhampiran deretan jenazah yang terbunuh.
Ungkap wanita itu lagi, tidak ada apa yang optimis mengenai masa depan dengan kematian Sharon ini.
"Tidak ada yang berubah. Situasi dalam kehidupan yang kami lalui langsung tidak berubah," tuturnya.
Perdana Menteri ke-11 rejim Israel itu diserang angin ahmar pada
Januari 2006 hingga menyebabkan beliau koma ketika karier politiknya
memuncak.
Sharon dikebumikan bersebelahan kubur isterinya, Lily di kawasan
ladang Sycamore miliknya yang terletak berhampiran bandar Sderot,
Israel.
Salam muhasabah,
Dhiya
No comments