Empat Julai


Bismillah...

Allah, sudah Julai rupanya!

Setahun yang lalu dalam tarikh ini, saya sedang menjalani training di UPM. 

Dalam fokus yang tak pernah surut itu, saya menerima SMS dari akak mengatakan abah diserang strok. Allahurabbi. Hanya Dia tahu betapa bimbang dan gusarnya saya ketika itu. Bermacam-macam gambaran buruk datang dalam fikiran.

Saya tidak berfikir panjang untuk menolak semua hal ke tepi demi mengutamakan abah. Seingat saya, petang itu juga saya bergegas pulang ke Pahang. Waktu itu saya masih belum berani untuk memandu sendiri. Maka saya tekad menaiki bas yang entah pukul berapa akan tibanya.

Itu kisah setahun lepas. Setahun yang banyak mengajar saya bahawa keluarga adalah segalanya-galanya. Biar saya tak punya wang dan harta, cukuplah keluarga sebagai aset yang tak ternilai harganya.
Insiden itu jugalah yang menjadikan kami sekeluarga lebih rapat antara satu sama lain dan belajar untuk menghargai nilai dan emosi kekeluargaan.

Setahun yang lepas juga terlalu banyak dugaan hingga saya hampir jatuh putus asa dengan kegagalan. Saya terlalu emosi dengan hal remeh temeh yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan kebijaksanaan fikiran yang tenang. Benarlah akal itu senipis kulit bawang. Mudah koyak, senang rosak dek persekitaran...

Untuk abah dan emak...Ungkapan ini mungkin jarang kedengaran, tetapi ketahuilah anak gadis yang degil dan keras hati ini terlalu rapuh hatinya apabila keluarga menjadi isi perbualan. Rintik air mata boleh bertukar menjadi hujan sayu dan lara tatkala kerinduan menjadi persoalan.

Semoga abah dan emak akan terus dikurniakan kesihatan yang berpanjangan dan diberkati usia yang dikurniakan Tuhan. Allah, peliharakan mereka untukku, kerana aku anak rantau yang masih belum mampu untuk memenuhi segala keperluan mereka untuk ada di depan mataku. Semoga tenang hati mereka, redha akan perjuanganku, halal makan minumku setelah setiap titis keringat yang jatuh demi membesarkanku. Amin

Salam Rindu,
Dhiya

No comments