30 Jun 2012


(Ini adalah entri backdated)

Sabtu di hotel.

Sepatutnya 30 Jun ini adalah SSB saya. Tapi saya mula sedar yang sejak beberapa bulan kebelakangan ini, semua itu tidak lagi memberi maknya. SSB atau tidak, saya memang bekerja setiap Sabtu.
Penat tu memang penat, tapi apakan daya...Tanggungjawab bukan soal remeh dalam asas pendirian saya. Walaupun banyak perkara yang saya terlepas terutamanya pulang ke kampung dan majlis rakan-rakan, tapi saya cuba untuk optimis dengan semua ini. Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, saya tidak hanya dibayar wang, tetapi dibayar pahala jika ikhlas dalam bekerja. Insya Allah. :)

Pagi-pagi lagi saya sudah memandu ke Hotel Swiss Garden untuk menghadiri majlis di sana. Ini adalah pengalaman baru bagi saya. Berurusan dengan kakitangan hotel bukan suatu yang mudah pada mulanya. Banyak prosedur yang saya tidak tahu malah tidak pernah terfikir untuk tahu. Tapi untuk majlis ini, saya mula belajar banyak perkara. Kuncinya satu, sanggup untuk merendahkan ego dan bermula dari bawah untuk bertatih demi mendapatkan pengetahuan.
Tahniah kepada muka-muka baru yang akan menerajui YES untuk dua tahun akan datang. Saya gembira mengenali kalian semua dan berharap saya juga akan berada di kerusi kalian suatu hari nanti. Insya Allah.

Sebelum pulang, saya dipanggil oleh orang kuat YES. Ya, saya sangat mengagumi dia. Optimis dan bersemangat dalam semua hal. :)
Terima kasih atas kejutan hadiah yang diberikan. Bukan itu yang saya minta. Cukuplah menjadi sebahagian dari komuniti kalian membuatkan saya matang dan belajar banyak perkara dan tahu bersosial pada batasnya. Itulah pelajaran yang paling berharga.
pemberiannya benar-benar buat saya bersemangat untuk meningkatkan kualiti diri dan profesion saya. Janji!

Terima Kasih. Moga terus murah rezeki dan cepat-cepat dapat PhD ya, bos~!
Sabtu di lorong-lorong

Sebelah petangnya saya mengambil keputusan untuk menyusuri lorong-lorong di Jalan Masjid Jamek. Seperti biasa, kawasan ini adalah gudang dan syurga fesyen dan membeli belah untuk kaum hawa. Apatah lagi adanya pasar malam mingguan, sesak dan meriahnya memang luar biasa.
Sebut saja apa jenis tudung, baju dan fabrik...Pasti pemilik kedai akan membongkar stornya untuk anda. Cuma tinggal tepuk dada tanya Iman sahaja....:)

Sampai di satu gerai menjual sup dan laksa, kami berhenti dan masuk ke gerai itu. Kondisinya tidaklah sesempurna mana, tapi entah mengapa saya tolak semua itu ke tepi kerana terlalu inginkan soto ayam di situ. Walaupun tempat kelihatan semuanya penuh, tapi tuan gerai itu sanggup membersihkan satu meja hujung untuk kami duduk dan memesan menu.
Soto ayam. Nyum, memang sedap. Sudah banyak kali saya datang ke sini, tapi inilah pertama kali saya singgah dan merasai sendiri menunya.
Sedang asyik menghirup sup, tiba-tiba saya terdengar beberapa orang menjerit kuat dan saya terus menoleh ke belakang. Masya Allah, periuk yang berisi sup panas di gerai itu sedang terbalik dan saya melihat sendiri supnya tumpah dan menyiram seorang pekerja yang cuba menahan periuk itu dari tumpah dan mengenai pengunjung gerai yang sedang makan.Sup yang mengalir di atas jalan tar itu seperti lahar gunung berapi yang berasap dan panas.
Lama saya terpegun di situ, baru saya sedar yang beberapa orang termasuk saya terkena percikan sup panas itu. Perit jugalah rasanya. Walau setitik, tetap terasa panasnya. Inikan pula pekerja yang bermandikan sup menggelegak itu. (TT)
Di sebalik hiruk pikuk itu, kedengan seorang wanita marah-marah.
"Awak tau tak saya ada anak kecil? Kalau kena tadi macaman?!" Dia mengamuk.
"KALAU kena, kak. Belum kena lagi. Kalau setakat terpercik sikit-sikit tu, maaflah. Cuba akak tengok saya ni. Mandi sup panas...Rugi lagi...." Kata pemuda yang bekerja di situ sambil menunjukkan pakaiannya yang basah bermandi sup panas.
Wanita itu terus mengamuk dan entah bermacam-macam lagi amarahnya. Saya sendiri pun tak sempat nak menangkap semua.
Malas untuk terlibat dan terperangkap di situ lebih lama, saya terus membayar dan tuan kedai itu sempat meminta maaf kepada saya. :)
Ah...Kecelakaan boleh berlaku di mana-mana. Risiko tetap ada. Semoga kita dilindungi dari malapetaka yang memudaratkan. Amin.
Jauh di sudut hati, saya bersyukur kerana Allah memberikan kami tempat duduk yang agak terpencil dan jauh dari periuk sup yang tumpah itu. Saya terselamat dari musibah itu atas izinNya. Kalau tidak, saya juga mungkin terkejut dan marah-marah seperti wanita itu.

Perjalanan diteruskan. Hasil belian masih kurang. Huhu
Tapi saya gembira kerana dapat membeli sehelai lagi blaus labuh untuk dibuat pakaian kerja. Simple dan selesa. Tak perlu rasanya nak ranggi-ranggi sangat ke tempat kerja. Cukup asal sempurna menutup aurat dan prestasi kerja tip top walaupun tak menerima sebarang penghargaan atau anugerah. Tuhan dan kita sendiri yang mengiktiraf. Jangan tunggu nilaian orang lain. :)
Nah, hadiah untuk menghargai diri sendiri. Dan memang tak perlu berwangi-wangian sangat di pejabat hingga mencucuk hidung dan memeningkan kepala. Tapi cukuplah untuk keperluan sendiri. 


*********************************
Sabtu yang indah. Banyak pengajaran, banyak pengetahuan yang boleh diperhalusi hikmahnya. Benarlah, Allah tak akan menjadikan sesuatu itu melainkan ada manfaatnya. :)

Salam Refleksi, 
Dhiya

2 comments

  1. alhamdulillah....semoga bahagia selalu dan diberkatiNya selaluu~~

    ReplyDelete
  2. Xila, thanks. ke atas anda juga. amin!

    ReplyDelete