Oh, Hampir Terlupa!


14 Julai 2012- Retreat @ Colmar Tropicale Bukit Tinggi, Pahang

Ini adalah entri backdated

Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dek kesibukan kerja, saya sudah hampir lupa akan pengalaman yang satu ini.


'Sakit hati' saya yang sebelumnya telah 'dipujuk' dengan retreat yang istimewa ini. Kurang dari setahun bekerja dengan mereka di sini, saya diberikan seribu satu kelebihan untuk mengikuti pelbagai aktiviti mereka. YES telah membuka peluang seluas-luasnya untuk saya belajar dan meneroka dunia kerjaya dan meningkatkan kualiti diri. Saya benar-benar terinspirasi oleh mereka.

Retreat kali ini adalah bersempena dengan pengambil alihan tampuk kepimpinan YES selepas AGM yang lalu. Ini boleh dikatakan sesi brainstorming untuk ahli team yang baru. Biarpun saya bukan dalam sebahagian team itu, tetapi saya berpeluang belajar banyak benda daripada mereka. Paling penting, saya telah membina jaringan persahabatan dengan ramai orang, sekaligus membina keyakinan diri untuk berkomunikasi dengan orang lain. :)

Pemandangan dari tingkap bilik penginapan saya. Untunglah...Dek kerana hanya saya seorang sahaja peserta perempuan yang single, dapatlah saya menginap sendiri!
Sifu saya dan anaknya Sufiya. Sampai ke sudah Sufiya ni tak nak dengan saya. Haih (-.-) Aura tu belum ada, Dhiya~
Fountain
Sisi malam
Le Chevalier Ballroom- Tempat program kami diadakan
Pandangan depan. Tempat yang menarik. :)

Sekian dulu gambar-gambar buat tatapan. Ada cerita lagi nanti.

Salam Sayang,
Dhiya

...Emosi...



Di malam yang sunyi, saya sendiri...

Tanpa selindung saya menangis. Menangis semahu mahunya. Terasa seperti mahu terus pulang ke desa tanpa kembali lagi ke kota ini.

Banyak kepentingan dan pendirian peribadi telah saya korbankan demi memenuhi keperluan orang lain. Saya kejam pada diri sendiri. :(


Jangan Menangis,
Dahlia

4 Ramadhan


4 Ramadhan 1433 H.

Alhamdulillah. Kami dibenarkan pulang seawal 4.30 petang dengan syarat mesti mula bekerja seawal 8.30 pagi. Ia bukan paksaan atau kemestian untuk Muslim di sini. Mereka yang ingin bekerja pada  waktu biasa masih boleh memilih untuk berbuat demikian :)

Tapi ia satu bonus kepada saya. Saya gembira dan dengan rela hati memilih untuk memulakan tugas seawal 8.30 pagi. Kalau nak diikutkan hati, pukul 8 pagi pun saya sanggup- Asalkan saya dapat pulang awal dan boleh berehat! Kalaulah flexibility ini diimplementasikan bukan sahaja dalam bulan Ramadhan, sayalah manusia pertama yang sanggup dan menyokongnya!

4.30 petang @ Lebuhraya Persekutuan

Jalan mula sesak. Just nice~ Sedang elok masuk ke lebuh tiga lorong itu, kereta mula beratur dan bergerak perlahan. Cis...Tahu-tahu saja.

Apa pun saya tetap bersyukur. Di saat orang lain terpaksa menghadap kesesakan dari Shah Alam hingga ke Tol Sungai Besi, saya hanya melalui 10% daripadanya. Paling lambat pun saya akan sampai selepas 30 minit memandu.

Berbuka Puasa di rumah

Terima kasih, Kak Zu yang memasak untuk seisi rumah. Banyak masa, saya menolongnya di dapur. Kami bersembang banyak perkara. Isunya saya berazam untuk menjadi suri rumah sepenuh masa! (Dhiya~???)

Azan Maghrib berkumandang sayup. Hidangan ala kadar cara bujang dijamah bersama dengan isi rumah yang lain. Sederhana, tapi saya gembira. Hidup berjuang di kota mega begitulah...Perlu bijak membawa diri dan memilih teman. Alhamdulillah saya dipinjamkan Tuhan rakan serumah yang baik-baik belaka.

Esok Ramadhan kelima

Saya berazam untuk menjadi seorang kekasih yang setia. Saya ingin bertarawih tanpa gagal terutamanya di Masjid Negara. Saya cemburu melihat orang berpusu-pusu ke masjid untuk mengejar pahala ibadah istimewa itu sedang saya selalu sahaja berperang dengan masa. (TT).
Ya Allah, mudahkan cita-cita saya ini diterjemah menjadi kenyataan. Saya tidak kisah mengorbankan masa berbuka dan waktu rehat asalkan saya dapat berdiri sebaris dalam saf dengan orang lain demi solat istimewa itu. Tuhan yang Maha Agung, perkenankanlah!

Rindu Desa

Insya Allah saya akan pulang ke desa Jumaat ini. Sudah lama saya tak nikmati SSB. Seingat saya, SSB saya banyak terkorban demi orang lain sedang kepentingan peribadi acapkali ditolak ke tepi. :(
Tak mengapalah, Jumaat ni, tepat 4.30 petang, saya akan 'cabut' bawa diri meninggalkan Kota Mega yang tamakkan hal dunia ini.
Saya sangat rindukan keluarga di kampung. Mereka adalah separuh nyawa saya.

Untuk kesekian kalinya, saya perlu berhenti menulis dulu. Malam yang indah ini terlalu rugi untuk dibiarkan berlalu tanpa manfaat dari aktiviti lain. ;) Bulan ini hanya sekali dalam setahun. Moga Allah mendengar dan menunaikan segala hajat di hati terutamanya urusan yang satu itu...

Salam Sayang, 
Dhiya

Berbakti


Bismillah...

Girang sungguh hati. Ramadhan yang dinanti datang lagi.

Semoga saya kuat semangat dalam misi memburu pahala dan berbuat amal bakti serta kebajikan.

Bulan pesta ibadah ini mesti digunakan sebaik mungkin.

Siapa tahu, mungkin ini Ramadhan terakhir...

Berbakti kepada agama boleh jadi dalam bentuk yang pelbagai.
Salam sayang,
Dhiya Dahlia
2 Ramadhan 1433 H

Madrasah Ramadhan


Bismillah...

Moga sabar semakin melebar, tabah semakin bertambah, Iman jadi sempadan! 

...dan Madrasah Ramadhan pun bermula...

Salam Mujahadah,
Dhiya Dahlia

19 July 2012


Emak, 

Selamat Hari Lahir.

Moga kekal sihat, diberkati usia dan dipelihara sentiasa.

Dhiya belum mampu untuk berada di depan mata emak dan menjaga emak sepeti emak menjaga Dhiya sewaktu kecil dulu.
Tapi ketahuilah kasih dan sayang Dhiya tak pernah sekelumit pun kurang untuk keluarga.

Untuk kesekalian kalinya Dhiya tegar kehilangan apa sahaja dalam hidup kecuali keluarga. Harta bukan yang utama, yang penting kasih sayang dan kesatuan kita bersama.

Happy Birthday, Emak...
It's beyond the words... <3

Sayang sayang,
Dhiya Dahlia

Cita


(Ini adalah entri backdated)

12 Julai 2012

Bismillah...

Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Perjuangan semalam sudah selesai. Apa yang perlu sekarang hanyalah secebis tawakkal selepas usaha yang sehabis baik.
Jauh di sudut hati, saya benar-benar mengharapkan sesuatu darinya. Bukan untuk kepentingan sendiri, tetapi demi kemaslahatan bersama.
Saya berdoa agar ada imbalan terbaik atas usaha ini. Amin.

Percutian yang bukan saja-saja ini telah mengajar saya erti pengorbanan dan kesefahaman. Diam-diam saya mengakui yang saya perlu merendahkan sedikit ego dan keras hati saya untuk orang lain menghormati dan memahami saya. Terima kasih emak dan abah yang sangat memahami saya. Walaupun tidak semua perkara itu wajar dan benar di mata orang lain, tetapi emak dan abah menerimanya dengan penuh hikmah.

Jujurnya, saya telah mengambil cuti pada hari Selasa untuk satu urusan di Pahang. Kebetulan di Pahang. Sungguh aturan Allah Maha Indah. Saya tidak perlu pening kepala untuk check-in di mana-mana hotel kerana rumah emak dan abah memang di Pahang. :)

Usai Subuh, kami terus bertolak ke destinasi yang ditetapkan. Jauh juga nak berkejar dari Temerloh ke Gambang- Memakan masa hampir dua jam pada kadar 110km/j. :)
Tapi demi tugas, tanggungjawab dan cita, perlu ada harga yang mesti dibayar. Semoga Allah menilai setiap langkah ini dan dibalasi dengan keputusan yang menggembirakan. Insya Allah.

Setibanya di sana seawal jam 8 pagi, saya lihat sudah ramai orang beratur menunggu giliran. Agak-agaknya pukul berapalah mereka sampai kan~ 
Tidak lama kemudian, datang seorang mak cik sebaya emak ke sisi saya. Kami berbalas salam dan saya mula membuka bicara:

"Mak Cik teman anak ya? Datang dari mana?"
"Sungai Petani, Kedah." Dia senyum kelat. Ada kelesuan di wajahnya.
"Bila Mak Cik bertolak dari Kedah?"
"Malam tadi, pukul 10 malam. Sampai Stesen Bas Kuantan pukul 6.30. Mujur ada pemandu teksi yang baik hati bawakkan Mak Cik ke masjid untuk solat Subuh dan hantar ke sini." Ceritanya panjang lebar."
Saya simpati. Usianya lebih kurang emak. Tetapi dia masih gigih menemani anak untuk satu perjuangan cita. Saya teringatkan emak di kampung. :(

Dipendekkan cerita, urusan kami hanya selesai jam 5 petang. Lamaaa ok! Tapi apa boleh buat. Inilah namanya perjuangan.
Sebagai hadiah, saya paksakan keadaan untuk sampai Ke Teluk Chempedak. Alang-alang ke sana, kena sampai dan berpijak di pasir halusnya. 
Sukma Kuantan masih berlangsung ketika itu, jadi jalan agak sesah dan pantai pun dipenuhi dengan pelbagai gerai-gerai pelbagai negeri dan atlet-atlet yang datang mengambil angin petang.
Setelah berbelas-belas tahun, sampai juga saya ke Teluk Chempedak. Nama je anak Pahang, tapi berjalan tak jauh ke mana. Semuanya tertumpu di Kota Mega. Haih...


Hanya sampai ke rumah emak dan abah pada waktu Maghrib. Selesai makan malam, terus pulang ke Kota Mega kerana esoknya perlu bekerja. Kesian. Memang kesian!

Terima kasih atas sokongan, doa dan layanan. 

Salam sayang,
Dhiya

Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa 2012


Bismillah...

Alhamdulillah. Tahun ini sekali lagi saya berpeluang menghadirkan diri ke majlis ini. :)
Jujurnya saya langsung tidak tahu yang majlis tersebut diadakan minggu ini dan majlis perasmiannya Jumaat lepas hinggalah saya terbaca satu status Facebook junior universiti saya. Allah. Betapa saya sibuk dengan urusan dunia!

Tapi syukurlah saya tidak terlepas. Gembira bukan kepalang tatkala menjejak kaki ke dalam Dewan Merdeka PWTC untuk MTQ Antarabangsa ini.

Semoga jejak ini membuka pintu pahala dan kebaikan untuk saya di hari-hari mendatang. Amin.
Ya Allah, tsabatkanlah hatiku dengan Al Quran!

Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)- 7 Julai 2012
Suasana selepas selesai solat Maghrib. Tetamu sudah mula masuk dan mengambil tempat.
Kuat betul semangat si ibu ni membawa anak kecilnya yang sangat aktif. :) Seat di belakang tu kelihatan kosong sebab masih awal...
Cuba tengok seat di belakang tu. Sekejap je dah penuh! Tahun lepas kami datang lepas Isyak, memang tak ada tempat duduk. Huu
Tekno Da'ie

Ini sahaja hasil 'tembak' yang termampu. Iyalah...Majlis kerohanian seperti ini tak berapa sesuai untuk mengambil gambar sangat kecuali memang ditugaskan untuk mengambil gambar seperti press tu. Duduk di tempat hadirin, lebih baik buka Quran dan semak bacaan. :)

Alhamdulillah, puas hati sebab dapat datang awal dan solat awal, kemudian dapat tempat yang sangat strategik.

Bercadang untuk datang lagi malam esok atau malam penutup. Ya Allah, mudahkanlah!!!

Salam sayang,
Dhiya

Pengumpul Setem


Bismillah...

Segalanya bermula tanpa disengajakan. Ianya tercetus apabila saya melihat Kak Ru asyik menggunting sampul surat hampir setiap hari. Rupa-rupanya sejak di bekerja di situ, dia mengumpul beratus-ratus jenis setem tempatan dan luar negara. Wow!

Saya pernah juga mengumpul setem sebelum ini, tapi boleh dikatakan semuanya local based dan biasa-biasa sahaja. Tiada nilai estetika sangat. ;p
Tapi kali ini saya kembali terfikir: Peluang bekerja di sini dan sumber yang tidak putus memungkinkan saya mengumpul lebih banyak setem yang menarik. Hampir setahun, saya sudah punya beberapa koleksi istimewa dari dalam dan luar negara.

Sesiapa yang memiliki koleksi setem, jom kongsikannya!


Terima kasih Kak Ru. Walaupun kadangkala penat bergaduh dan berebut dengannya, tapi saya tahu dia seorang yang baik hati dan tidak kedekut. Hehe~!

Salam sayang, 
Dhiya

30 Jun 2012


(Ini adalah entri backdated)

Sabtu di hotel.

Sepatutnya 30 Jun ini adalah SSB saya. Tapi saya mula sedar yang sejak beberapa bulan kebelakangan ini, semua itu tidak lagi memberi maknya. SSB atau tidak, saya memang bekerja setiap Sabtu.
Penat tu memang penat, tapi apakan daya...Tanggungjawab bukan soal remeh dalam asas pendirian saya. Walaupun banyak perkara yang saya terlepas terutamanya pulang ke kampung dan majlis rakan-rakan, tapi saya cuba untuk optimis dengan semua ini. Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, saya tidak hanya dibayar wang, tetapi dibayar pahala jika ikhlas dalam bekerja. Insya Allah. :)

Pagi-pagi lagi saya sudah memandu ke Hotel Swiss Garden untuk menghadiri majlis di sana. Ini adalah pengalaman baru bagi saya. Berurusan dengan kakitangan hotel bukan suatu yang mudah pada mulanya. Banyak prosedur yang saya tidak tahu malah tidak pernah terfikir untuk tahu. Tapi untuk majlis ini, saya mula belajar banyak perkara. Kuncinya satu, sanggup untuk merendahkan ego dan bermula dari bawah untuk bertatih demi mendapatkan pengetahuan.
Tahniah kepada muka-muka baru yang akan menerajui YES untuk dua tahun akan datang. Saya gembira mengenali kalian semua dan berharap saya juga akan berada di kerusi kalian suatu hari nanti. Insya Allah.

Sebelum pulang, saya dipanggil oleh orang kuat YES. Ya, saya sangat mengagumi dia. Optimis dan bersemangat dalam semua hal. :)
Terima kasih atas kejutan hadiah yang diberikan. Bukan itu yang saya minta. Cukuplah menjadi sebahagian dari komuniti kalian membuatkan saya matang dan belajar banyak perkara dan tahu bersosial pada batasnya. Itulah pelajaran yang paling berharga.
pemberiannya benar-benar buat saya bersemangat untuk meningkatkan kualiti diri dan profesion saya. Janji!

Terima Kasih. Moga terus murah rezeki dan cepat-cepat dapat PhD ya, bos~!
Sabtu di lorong-lorong

Sebelah petangnya saya mengambil keputusan untuk menyusuri lorong-lorong di Jalan Masjid Jamek. Seperti biasa, kawasan ini adalah gudang dan syurga fesyen dan membeli belah untuk kaum hawa. Apatah lagi adanya pasar malam mingguan, sesak dan meriahnya memang luar biasa.
Sebut saja apa jenis tudung, baju dan fabrik...Pasti pemilik kedai akan membongkar stornya untuk anda. Cuma tinggal tepuk dada tanya Iman sahaja....:)

Sampai di satu gerai menjual sup dan laksa, kami berhenti dan masuk ke gerai itu. Kondisinya tidaklah sesempurna mana, tapi entah mengapa saya tolak semua itu ke tepi kerana terlalu inginkan soto ayam di situ. Walaupun tempat kelihatan semuanya penuh, tapi tuan gerai itu sanggup membersihkan satu meja hujung untuk kami duduk dan memesan menu.
Soto ayam. Nyum, memang sedap. Sudah banyak kali saya datang ke sini, tapi inilah pertama kali saya singgah dan merasai sendiri menunya.
Sedang asyik menghirup sup, tiba-tiba saya terdengar beberapa orang menjerit kuat dan saya terus menoleh ke belakang. Masya Allah, periuk yang berisi sup panas di gerai itu sedang terbalik dan saya melihat sendiri supnya tumpah dan menyiram seorang pekerja yang cuba menahan periuk itu dari tumpah dan mengenai pengunjung gerai yang sedang makan.Sup yang mengalir di atas jalan tar itu seperti lahar gunung berapi yang berasap dan panas.
Lama saya terpegun di situ, baru saya sedar yang beberapa orang termasuk saya terkena percikan sup panas itu. Perit jugalah rasanya. Walau setitik, tetap terasa panasnya. Inikan pula pekerja yang bermandikan sup menggelegak itu. (TT)
Di sebalik hiruk pikuk itu, kedengan seorang wanita marah-marah.
"Awak tau tak saya ada anak kecil? Kalau kena tadi macaman?!" Dia mengamuk.
"KALAU kena, kak. Belum kena lagi. Kalau setakat terpercik sikit-sikit tu, maaflah. Cuba akak tengok saya ni. Mandi sup panas...Rugi lagi...." Kata pemuda yang bekerja di situ sambil menunjukkan pakaiannya yang basah bermandi sup panas.
Wanita itu terus mengamuk dan entah bermacam-macam lagi amarahnya. Saya sendiri pun tak sempat nak menangkap semua.
Malas untuk terlibat dan terperangkap di situ lebih lama, saya terus membayar dan tuan kedai itu sempat meminta maaf kepada saya. :)
Ah...Kecelakaan boleh berlaku di mana-mana. Risiko tetap ada. Semoga kita dilindungi dari malapetaka yang memudaratkan. Amin.
Jauh di sudut hati, saya bersyukur kerana Allah memberikan kami tempat duduk yang agak terpencil dan jauh dari periuk sup yang tumpah itu. Saya terselamat dari musibah itu atas izinNya. Kalau tidak, saya juga mungkin terkejut dan marah-marah seperti wanita itu.

Perjalanan diteruskan. Hasil belian masih kurang. Huhu
Tapi saya gembira kerana dapat membeli sehelai lagi blaus labuh untuk dibuat pakaian kerja. Simple dan selesa. Tak perlu rasanya nak ranggi-ranggi sangat ke tempat kerja. Cukup asal sempurna menutup aurat dan prestasi kerja tip top walaupun tak menerima sebarang penghargaan atau anugerah. Tuhan dan kita sendiri yang mengiktiraf. Jangan tunggu nilaian orang lain. :)
Nah, hadiah untuk menghargai diri sendiri. Dan memang tak perlu berwangi-wangian sangat di pejabat hingga mencucuk hidung dan memeningkan kepala. Tapi cukuplah untuk keperluan sendiri. 


*********************************
Sabtu yang indah. Banyak pengajaran, banyak pengetahuan yang boleh diperhalusi hikmahnya. Benarlah, Allah tak akan menjadikan sesuatu itu melainkan ada manfaatnya. :)

Salam Refleksi, 
Dhiya

Si Merah: Aliff & Wani


Aliff dan Wani,

Maaf sebab gambar-gambar ini terlalu lama tersimpan dalam komputer. Maklumlah...saya kan sibuk (memanjang)~


Speechless sampai tak boleh bubuh caption~ (-.-)

Terharu ada, gembira pun ada. Hidup ini ada putarannya. Semoga kalian tabah dalam melayari perjuangan ini.

I love you both!!!

Ikhlas,
Dhiya

Empat Julai


Bismillah...

Allah, sudah Julai rupanya!

Setahun yang lalu dalam tarikh ini, saya sedang menjalani training di UPM. 

Dalam fokus yang tak pernah surut itu, saya menerima SMS dari akak mengatakan abah diserang strok. Allahurabbi. Hanya Dia tahu betapa bimbang dan gusarnya saya ketika itu. Bermacam-macam gambaran buruk datang dalam fikiran.

Saya tidak berfikir panjang untuk menolak semua hal ke tepi demi mengutamakan abah. Seingat saya, petang itu juga saya bergegas pulang ke Pahang. Waktu itu saya masih belum berani untuk memandu sendiri. Maka saya tekad menaiki bas yang entah pukul berapa akan tibanya.

Itu kisah setahun lepas. Setahun yang banyak mengajar saya bahawa keluarga adalah segalanya-galanya. Biar saya tak punya wang dan harta, cukuplah keluarga sebagai aset yang tak ternilai harganya.
Insiden itu jugalah yang menjadikan kami sekeluarga lebih rapat antara satu sama lain dan belajar untuk menghargai nilai dan emosi kekeluargaan.

Setahun yang lepas juga terlalu banyak dugaan hingga saya hampir jatuh putus asa dengan kegagalan. Saya terlalu emosi dengan hal remeh temeh yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan kebijaksanaan fikiran yang tenang. Benarlah akal itu senipis kulit bawang. Mudah koyak, senang rosak dek persekitaran...

Untuk abah dan emak...Ungkapan ini mungkin jarang kedengaran, tetapi ketahuilah anak gadis yang degil dan keras hati ini terlalu rapuh hatinya apabila keluarga menjadi isi perbualan. Rintik air mata boleh bertukar menjadi hujan sayu dan lara tatkala kerinduan menjadi persoalan.

Semoga abah dan emak akan terus dikurniakan kesihatan yang berpanjangan dan diberkati usia yang dikurniakan Tuhan. Allah, peliharakan mereka untukku, kerana aku anak rantau yang masih belum mampu untuk memenuhi segala keperluan mereka untuk ada di depan mataku. Semoga tenang hati mereka, redha akan perjuanganku, halal makan minumku setelah setiap titis keringat yang jatuh demi membesarkanku. Amin

Salam Rindu,
Dhiya