Bismillah
Jumaat lepas banyak sangat hal yang terjadi. Banyak sampai malas nak cerita. Tapi saya nak tulis tentang tolak tawaran kerja. (Gila ke hape~ Orang lain menggelabah nak kerja, tapi kau boleh senang-senang tolak?) Konon bermonolog la.
Tidak dinafikan, memang saya mahukan kerja di situ. Saya yang minta. Saya yang hantar CV, dan saya yang hadir temuduga. Tapi kadang-kadang kita lupa yang sekemas mana pun perancangan kita, aturan Allah adalah lebih baik dan paling sempurna.
Nak dijadikan cerita, saya diberitakan yang saya telah berjaya dalam temuduga tersebut. Dua hari sebelumnya, saya diberitahu oleh akak yang abah akan dimasukkan ke hospital Kuantan untuk prosedur Angio pada hujung bulan ini. Saya minta akak pindahkan abah ke IJN sebab sekurang-kurangnya saya mahir di kawasan itu. Kalau di Kuantan ni (alahaiiiii) saya memang lemah sebab dari kecil hingga ke besar, padang main saya memang di sekitar Kuala Lumpur. Akak cakap dah tak boleh tukar sebab surat rasmi sudah dikeluarkan. Pasrah.
Dilemanya bukan sedikit. Banyak hal yang perlu dipertimbangkan. Gusarnya sama sahaja macam waktu abah sakit teruk lama dulu yang mengeheret saya berkampung di Hospital Temerloh selama dua minggu sehelai sepinggang dan menolak ke tepi hal pelajaran dan hal peribadi sendiri.
Apabila sudah berkerjaya ni, makin banyak lagilah hal yang perlu dipertimbangkan. Ambil cuti tu sudah pasti. Tinggal lagi nak dikira berapa bilangan harinya. Diluluskana tau tidak- saya tak kisah sangat sebab saya akan tetap cuti kerana ini hal keluarga. Saya tak takut pada perkataan CUTI TIDAK DILULUSKAN kerana pada saya keluarga adalah nombor satu.
Take it or leave it
I choose to leave it. Saya tahu saya telah mengecewakan bakal majikan saya. Tapi saya terpaksa pilih satu antara dua yang terpenting dalam hidup saya.
Saya redha. Saya pun dah minta maaf pada orang yang berkenaan. Semoga Allah gantikan dengan sesuatu yang lebih baik dan mampu digalas sebaiknya.
Abah tanya adakah keputusan ini dibuat kerana dia?
Semestinya ya.
Saya sanggup hilang kerja, hilang harta sekali pun nyawa Asalkan abah dan emak di tempat yang terutama.
Saya tolak.
Dhiya
No comments