Ahad
12.20 tengah malam.
Bismillah
Dah lama rasanya saya tak berjaga hingga lewat malam seperti ini. Sejak bekerja (sama seperti pengalaman bekerja 2 tahun lalu), saya agak menitikberatkan waktu tidur malam saya. Selalunya jam 10 saya sudah mula mendarat atas katil dan esoknya akan bangun seawal jam 6 pagi.
Malam ini malam minggu. Agak santai dan tenang. Cuma kadangkala ada juga beberapa isu yang menggangu perasaan. Biasalah tu, kan. Semua orang ada masalah. Tinggal lagi bagaimana ia dihadapi dan ditangani, bukan bagaimana ia dielak.
Karier bermula dengan baik. Boleh dikira baiklah kerana sekurang-kurangnya saya mendapat kerja sebaik tamat pengajian. Transkrip rasmi masih belum boleh dituntut kerana saya masih lagi belum berkonvo. Maka bertahanlah saya dengan transkrip Master yang tidak rasmi itu untuk dijaja ke syarikat-syarikat atau universiti-universiti yang sudi menerima kiranya ada.
Rakan-rakan yang setia masih setia. Mereka sungguh baik sehingga kadang-kadang saya terfikir mengapa mereka terlalu baik terhadap saya sedang saya bukanlah rakan terbaik buat mereka. Ya, kerana memang mereka baik. Dalam sunyi, saya selalu berharap agar Allah menjadikan saya seperti mereka- Setia dan menerima orang luar bernama sahabat sama seperti saudara mereka. Saya tidak ramai kawan. Tapi yang ada sekarang adalah kawan yang sebenarnya-benarnya ikhlas dan tulus. Yang datang ketika saya senang, dan pergi ketika waktu sukar saya- Saya tidak ada hak untuk menghalang. Itu pilihan. Kerana itu mereka yang memilih untuk setia bersama saya sewaktu sukar saya- Merekalah sahabat yang saya kasihi dunia akhirat. Terima kasih kalian. :)
Keluarga masih yang utama. Sebaik masuk ke perenggan ini, mata saya terus berkaca. Entah. Keluarga saya adalah urat-urat dan nadi saya. Sakit mereka, sakitlah saya. Gembiranya mereka, gembiralah saya. Emak dan abah- Selamanya nama yang teratas. Mereka terlalu hebat. Kadangkala saya rasa tak layak menjadi anak mereka kerana saya masih belum mampu membalas jasa mereka. Pada usia ini, saya masih manja dan kelihatan seperti tidak boleh berdikari. Saya tidak boleh kehilangan mereka. Saya masih belum cukup masa untuk bermanja dengan mereka.
Emak dan abah- Walau hanya orang kampung biasa, tapi berjaya mendidik kami dengan tulang empat keratnya sendiri. Tiada bibik dan tidak pernah dihantar ke pusat asuhan. ABC saya, Alif Ba Ta saya- Semuanya bermula di rumah dalam timangan emak dan abah. Saya bangga kerana ada saja orang kota yang punya semua; Pangkat besar, rumah besar dan gaji yang besar- Tapi anak-anaknya membesar di tangan pembantu rumah bukan warganegara. Anak menyambut ibu pulang dari kerja, tapi diherdik kerana alasan penat seharian. Maka tidak pelik kalau anak itu membesar menjadi keras dan tidak lunak hatinya kepada ibu bapa. Saya tahu. Ada. Kerana saya saya tahu orangnya.
Dan semoga sampai giliran kita nanti- Kita tak akan mengulangi kesilapan besar ini waima kita telah bekerja. Jangan sekali sekali. Janji.
Calonnya?
Ada.
Alhamdulillah Allah sudah beri di ulangtahun kelahiran lepas. Kacak macam hero Hindustan. Suka hati sayalah nak puji. Yang penting emak dan abah redha, Insya Allah. Cuma saya tak pasti- Atas mehnah dan tribulasi dalaman dan luaran yang sedang saya hadapi, mampukah saya menjadi sorang wanita yang terbaiknya untuknya. Saya ini manja, saya ini degil, saya ini keras hati, saya ini lekas merajuk, saya ini pemarah, saya ini tidak pandai memasak, saya ini tidak ada rupa, saya ini serba tidak sempurna. Saya tak pastilah sejauh mana saya diterima. Tolong ingatkan saya; esok lusa kalau saya bersedih atas pilihan ini, katakanlah ini adalah pilihan Allah. Esok lusa kalau saya gembira menyentuh awan, katakanlah ini juga aturan Allah. Pujuk hati saya. Peluklah saya.
Masih ada impian untuk menyambung pengajian. Tapi matlamat saya biarlah saya keluar dari waktu kritikal ini terlebih dahulu. Kalau diizinkan, saya nak terbang jauh keluar dari Malaysia. Bila jauh, kita akan lebih berdikari. Insya Allah. Lagipun kalau PHD di Malaysia, banyak undangan kenduri yang perlu dipenuhi (alasan yang tak ada kaitan sangat!)
Doakan saya. Lambat atau cepat, biar Allah yang tentukan. Amin
Selesai luahan rawak menyentuh beberapa isu. Terima kasih kerana membaca. Anda tahu siapa anda. Yang selalu- Sebaik membaca, akan print screen atau komen atau beritahu di aplikasi Telegram atau WhatApps dengan segera. Lidah boleh menipu, tapi luahan hati yang diterjemah di sini tak mungkin dusta.
Salam sayang
Dhiya
No comments