Ibu Terbaik


Bismillah

Dengan nama Allah, semoga penulisan kali ini menjadi peringatan dan pengajaran pertamanya kepada diri saya sendiri- Sebelum sampai kepada orang lain. Biarlah kering air mata saya menangis untuk menulis mesej ini, asalkan kebenarannya ternukil.

Saya bukan seorang ibu. Maksud saya- Belum lagi menjadi seorang ibu. Namun siapa tahu setahun dua dari sekarang, kehidupan saya meriah dengan anak-anak. Saya amat sedar, tajuk ini tidaklah layak untuk saya huraikan dengan panjang lebar seperti sudah punya pengalaman. Tetapi ada beberapa isi penting yang boleh saya titipkan sedikit pandangan dan komentar dari sisi pandangan seorang anak. Ya, ini adalah persepsi ibu terbaik dari kaca mata seorang anak. (Sengaja saya akan lenyapkan istilah bapa bukanlah kerana bapa tidak punya fungsi, tetapi penekanan saya dalam penulisan ini adalah lebih kepada ibu.)

Alif Baa Taa
Masih terngiang-ngiang lagu mengenal huruf Hija'iyyah yang ibu nyanyikan semasa di dapur, semasa baring bersama malah semasa mandi. Setiap kali usai solat Maghrib bersama, si anak tanpa dipaksa akan terus mengambil rehal dan Muqaddam untuk tasmi'. Kadang-kadang pelat, kadang-kadang ibu garang. Rotan di sebelah tak pernah ditinggal, tapi tidak pernah menghinggap. Surah-surah lazim pula dialunkan setiap kali sebelum tidur. Semuanya berlaku di rumah. Penuh Rela. Tanpa paksa.
Dalam kehidupan seorang anak yang lain, nasibnya sungguh berbeza. Tiada nyanyian bersama ibu, tiada solat bersama, malah tiada sesi tasmi' bersama. Anak ini diupah orang setiap selepas Maghrib supaya mengenal Alif Baa Taa hingga boleh mengaji dengan bayaran RM30 sebulan. Mungkin. Suasana seperti sekolah. Sedangkan seharian sudah berada di sekolah. Di mana sosok tubuh seorang ibu- Saya pun tidak pasti.

Di Rumah
Sedari celik mata pagi, ibu yang menyanyi lagu Aliff Baa Taa itu sudah sibuk di dapur. Rasanya, mungkin hingga ke hari ini pun rutinnya masih begitu. Walau hanya nasi goreng yang nasinya adalah lebihan malam tadi, dia tetap memasak. Orang susah, membazir jangan. Si anak tetap makan. Tiada istilah tidak sedap, bosan atau apa-apa rungutan. Malah bertambah dua kali. Air tangan bonda benarlah sungguh sakti. Ajaibnya hingga tiada sebarang penerangan lanjut. Ibu terbaik.
Anak yang mengaji dengan upahan orang tadi, bangun tidurnya sendiri. Tiada geletek manja dari ibu. Ada seorang bibik Indon ditinggalkan untuk si anak itu. Si bibiklah yang memandikannya, si bibiklah yang menyediakan makan pakainya, si bibiklah yang melayan zaman kanak-kanaknya menggantikan ibu yang sibuk bekerja supaya tidak berlohong sunyi dan kosong. Rasanya sehingga hari ini pun, si bibik itu masih setia dengan si anak itu walau anak itu sudah dewasa. Tidak salah menjadi ibu bekerja. Saya sedang bercerita. Jangan tuduh saya berat sebelah.

Yeay Ibu Pulang!
Pada hari-hari tertentu, si ibu yang sibuk di dapur tadi akan ke kebun juga. Sepanjang bepergian, anaknya kadang-kadang ditinggalkan sendiri. Tak ada bibiklah katakan. Pesan ibu itu panjang berjela. Jangan buka pintu, jangan main api, jangan main pisau, jangan merayap. Makanan sudah ada semua di atas meja. Makan dan tonton saja TV. Sebaik mendengar ibu pulang, anak ini gembira. Ibu disambut dengan jerit gembira. Ibu tidak pernah lupa membeli jajan dua puluh sen barang satu atau dua. Hari-hari jajan yang sama, tapi anak itu tidak pernah merungut. Apa adanya, dia terima.
Anak yang dijaga bibik tadi, dikurung di rumah tanpa izin keluar yang keras. Duduklah dia di rumah dengan bibik yang menjadi ganti ibunya. Makanlah dia air tangan bibik. Belajarlah dia bahasa bibik. Dengarlah dia cerita bibik. Sebaik ibunya pulang, hati melonjak teruja. Ditunjukkan kuih pau yang dibuat bersama bibik.
"Yeay ibu pulang!"
"Jangan bising. Ibu penat. Pergi main jauh!"
"Ibu saya buat kuih pau. Rasalah"
"Jangan kacau ibu. Ibu penat bekerja!" Sambil berlalu pergi tanpa memandang pau hasil si anak.
Setelah lebih 20 tahun, saya yakin si anak masih terluka dengan cerita pau ini. 

Zaman Belajar
Anak yang ibunya bawakan jajan tadi, dalam susah payah dihantar juga bersekolah. Citanya tinggi. Anak itu tak akan mewarisi kesusahan ibu itu. Pergilah terbang jauh, cuma jangan lupa sekali sekala menyinggah kembali ke sarang lama. Anak ini gembira. Jalannya mudah dengan berkat doa ibu. Terbang tinggi lagi jauh. Sekolahnya kini di bandar. Setiap awal tahun, si ibu akan bersusah payah menghantar anak itu ke asrama. Tingkat tiga pun dia sanggup daki dan jinjitkan beg si anak yang berat dengan baju dan buku.
Sama juga di zaman universiti. Sanggup menyewa orang untuk memandu ke kota menghantar anak ke universiti. Si ibu itulah yang bersusah payah berhabis wang ringgit dan tenaga. Terasa tiada apa yang lebih membanggakan, anak kampung yang dididiknya jauh merentas kota.
Si anak jauh dari mata. Tapi selalu dipeluk restu dan doa. Berjalan kaki ke kelas walau kadang berhujan, berpanas atau disimbah air bertakung dari gelecek tayar kenderaan di jalanan.Tapi semangatnya tidak pernah luntur demi maruah keluarga tercinta.
Anak yang dimarah ibunya kerana pau tadi, menjadi anak bandar yang bersekolah di sekolah elit kota. Masih, keperluannya dijaga oleh bibik hingga pada usia dewasa. Pengajian universitinya, dia datang sendiri mengangkut keperluan asrama tanpa ibu di sisi. Semuanya sendiri. Cuma sebuah kereta diberi buat 'bekal' agar mudah bergerak ke sana ke mari serta mudah dan segera kalau dipanggil balik ke rumah oleh ibunya.
 
Anakku Sazali
Perjalanan anak yang ibunya bergolok bergadai menghantar anak ke universiti tadi semakin mencabar. Zaman bekerja bukanlah mudah. Tuntutan tugas dan kekangan waktu selalu merenggut emosi. Dia kalau boleh ingin selalu ada di sisi ibu yang makin tua. Sakit demamnya, apalah kudrat orang kampung seperti ibu itu untuk berikhtiar kalau tanpa orang yang punya sedikit lebih upaya seperti anaknya. Tapi tidak boleh tidak, dia akan mencuri masa pulang ke desa. Sarang lama- Biar kecil, kotor, berdebu dan tidak mewah- Itulah tempat segalanya bermula. Mana mungkin senang dilupa. Jauh ke hujung dunia sekalipun, rumah desa itulah yang paling membawa bahagia. 
"Anakku bukan Sazali"
Bisik si ibu dalam doa malamnya
" Terima kasih ibu, kerana tidak menjadikan aku seorang 'Sazali' yang musnah"
Bisik si anak dalam doa pendeknya.
Ajaibnya kasih ibu. Tanpa harta yang melimpah ruah, ibu ini berjaya membuktikan kuasa kasih sayang adalah kunci kepada lunaknya hati si anak.
Anak yang mendaftar sendiri sewaktu di universiti itu, kini seorang profesional yang boleh dibanggakan. Tapi dia selalu sunyi. Jarang sekali pulang berhujung minggu di rumah ibu. Ibu pun masih sibuk seperti dulu. Kariernya meningkat seiring usia. Mereka berlumba profesionalisma tanpa menghargai nilai familisma. Hati si anak tawar dengan ibu. Sedang ibu mengharapkan anak yang dibesarkan selama ini 'pulang' memberi jasa kepadanya semula.
"Kamu sudah lupakan ibu!"
"Bagaimana mungkin?"
"Kamu tidak lagi mendengar arahan dan kata-kata ibu"
"Kerana saya telah dan sedang dewasa, ibu"
"Kamu derhaka dengan ibu!"
"Seteruk itu?"
"Inikah balasan yang ibu dapat, setelah ibu didik kamu dengan penuh kasih mesra?"
"Ibu, jikalau 10 tahun dahulu ibu melakukan sedemikian (memberi perhatian sebaik mungkin dan memenuhi hak saya mendapat kasih sayang dan perhatian ketika itu), barangkali saya boleh jadi baik sekarang..Tapi sekarang sudah terlambat, ibu. Terlambat..."
"Ibu yang bersalah dalam soal ini, ibu membesarkan saya dengan material, tetapi saya tandus perhatian, kasih sayang dan sokongan emosi. Ibu selalu mengugut saya dengan isu restu, redha dan neraka. Tapi pernahkah ibu terfikir apa ertinya seorang ibu yang tidak menunaikan hak kasih sayang kepada anaknya? Saya bukan minta dimanja dengan semua hajat yang mesti tertunai. Cukuplah sekadar perhatian yang diberikan walau dalam bentuk senyuman mesra dan pelukan kasih. Tapi saya tidak merasainya 10 tahun dulu, apatah lagi sekarang, ibu"
"Ya, saya mirip sikap Sazali. Tapi saya tidak sejahat Sazali, ibu. Fahamilah secebis isi hati saya. Ibu juga sebahagian dari punca mengapa saya menjadi saya yang hari ini."

---------
Hari ini, saya melihat dan mengenali 'Sazali' yang teraniaya ini. Terasa bagai mimpi dan drama. Jasadnya tegak penuh karisma, tapi jiwanya mengalami kecederaan emosi yang teruk akibat 'penderaan' itu. Benarlah telahan saya, kisah kuih pau itu masih jelas dalam ingatannya dan diulang kepada saya berkali-kali. Dia cukup semua keperluan material, tetapi sangat tandus sokongan emosi. Dia 'mencari Tuhan' atas inisiatif bersama rakan-rakan di universiti, mujur. Saya ngeri. Kalau dia tersilap memilih teman, entah siapalah dia hari ini.

Saya terpukul. Saya sedang bekerja. Esok lusa kalau diizin Tuhan, saya akan menjadi ibu. Mampukah saya untuk tidak mewarisi atau mengulangi kepincangan ibu yang menuduh anaknya derhaka itu, sedangkan puncanya adalah dari kurangnya masa dia bersama dengan anaknya.

Senyap-senyap saya menulis. Cita-cita sebenar saya adalah untuk menjadi suri rumah sepenuh masa, biarpun saya punya sijil sarjana. Semua itu tiada makna apa-apa kalau keluarga saya kelak porak peranda hanya kerana kurangnya kasih dan sayang yang wajarnya datang dari saya.

Ibu terbaik-
Bukan yang mampu menyediakan semua keperluan material dan menutup mulut anak dengan wang ringgit.
Mereka itu adalah ibu yang mampu memeluk kasih anak, mendoakan hati mereka agar menjadi lunak, tidak 'liar' dan keras seperti batu.
Mereka itu adalah yang redha dan restu bukan pada salaman tangan, tapi pada hati yang lapang.
Kerana
Esok atau lusa
Anak inilah yang akan dengan rela hati terjun ke lahad menyambut jasad kita
Anak inilah aset yang membantu kehidupan di alam sana

Anak yang Sazali
Saya bimbang dia tidak sedikit pun sedih dan kosong
Saat kehilangan kita
Kerana dia sudah terbiasa dengan sebuah ketiadaan dan kesunyian.

Allahua'lam.
Dahlia

*Entri ini adalah persepsi ibu terbaik dari kaca mata saya yang mewakili seorang anak. Dinukilkan sebagai peringatan kepada diri saya sendiri yang esok lusa akan menjadi emak.

1 comment

  1. So deep dear..hopefully we can a the best mother to our kids & the best wife to our beloved husband till Jannah..InsyaAllah..

    ReplyDelete