Bismillah.
Rabu sudah!
Setakat hari ini, saya pulang dari pejabat tepat 5.30 petang tanpa gagal. Pantang betul saya diberi tugas last minute sejak akhir-akhir ini. Entah mengapa...
Selasa (22 Mei 2012)
- Keluar saja dari pintu pagar pejabat, kereta dari kanan bertali arus. Agak sukar untuk saya mengambil lorong paling kanan untuk terus ke Lebuhraya Persekutuan. Seketika agak lengang. Ketika saya menekan pedal minyak untuk ke lorong kanan, sebuah kereta melaju dari kanan dan membunyikan hon sekuat-kuatnya. 'Salahkah saya diberi ruang? Bukan saya mahu potong lane anda pun.Sakit hati sangat agaknya kereta kecil ini berada lebih hadapan dari kereta mewahnya. Chet~!' Saya panas hati. Penghawa dingin dalam kereta dibuka sekuat yang boleh. (-.-)
- Trafik di Lebuhraya Persekutuan seperti biasa- sesak dan perlahan. Saya yakin saya berada di lorong yang betul- Ya, itulah lorong saya setiap hari menuju pulang ke rumah.Ada bas RapiKL di depan. Saya perlu menukar lorong. Saya lihat cermin belakang. Laluan kanan saya tidaklah sesak mana. Sebaik memberi isyarat untuk menukar lorong tengah, kereta dari belakang melaju dan terus rapat dengan kereta di sebelah saya. Saya berjaya menukar lorong juga akhirnya dan berada di belakang kereta tadi. Tak sampai seminit, dia terus bertukar ke lorong paling kanan.'Oh, sekarang saya tahu apa itu busuk hati'.
- Sudah hampir sampai ke rumah. Ada lampu isyarat di depan sana. Sedang elok saya di depan lampu itu, ia bertukar merah. Ada empat ke lima orang gadis seperti saya-pulang dari kerja menaiki tren (mungkin sekali) sedang melintas jalan. Cantik baju kurung mereka. Haih. Sempat lagi. Tiba-tiba di sebelah kanan saya berhenti sebuah motosikal yang ditunggang seorang wanita berbaju kurung, bertudung litup. Sesaat berhenti, dia terus menunggang laju meninggalkan saya dengan baki asap motornya. Lampu masih merah. Dan saya menilai si penunggang wanita itu sebagai seorang yang 'sampai hati'. Saya sendiri pun kadang-kadang melintas jalan yang sama sebagai pejalan kaki. Ada ketakutan dan kebimbangan tatkala melintas. Lampu isyarat merah bukan bermakna kita sebagai pejalan kaki selamat dari kenderaan yang berhenti. Kadangkala mereka tiada hati untuk berhenti memberi laluan pun~ 'Kepada saudari penunggang motor berkenaan, cuba fikir kalau saudari berada dalam kasut mereka. Cubalah!'
- Alhamdulillah, Lebuhraya Persekutuan lapang dari arah Shah Alam.Sempat juga speedometer saya mencecah 80km/j. Tersekat di jam besar. Tak mengapalah. kurang lima belas minit, pasti sudah siap keluar dari kereta.
- Ada kereta melaju dari kanan saya sambil memberi isyarat ke lorong kiri. Lelaki kacak bercermin mata hitam, sayang sekali buta hati. Sia-sia saja undang-undang trafik melarang penggunaan telefon bimbit sedang dia kelihatan ketawa berdekah-dekah bersembang melalui telefon bimbit. 'Saudara, tinted lah sikit kereta tu. Kalau mampu beli kereta semahal itu, mustahil cermin kereta tak mampu disalut.'
- Saya sampai di lampu isyarat semalam. Kali ini saya tidak perlu berhenti. Kelihatan beberapa orang sedang menanti lampu isyarat bertukar merah supaya kenderaan berhenti dan mereka boleh melintas. Mereka cuma merenung kenderaan yang bertali arus. Mungkin ada hati untuk membeli kereta juga. Sekurang-kurangnya terlindung dari hujan dan panas yang tak dijangka.
Inilah rutin saya setiap kali pulang dari kerja. Banyak hal hati yang berlegar. Ketawa gembira, duka air mata, amarah gelisah semuanya adalah refleksi dari hati. Trafik yang sesak ini boleh jadi ladang pahala atau lubang dosa untuk kita kumpul hasilnya. Saya akui saya tidaklah sesempurna mana. Kadangkala sikap pemandu lain buat saya pusing kepala juga. Tapi memetik kata nasihat seorang sahabat, carilah pahala sebanyak mungkin semasa duduk 'tak buat apa' dalam kereta. Zikir dan muhasabah mungkin jalan terbaik untuk membina sabar dalam menghadapi kerenah orang lain. Dalam masa yang sama, pahala dapat diraih. Wah. Optimis sungguh dia!
Insya Allah. Hari esok semoga ada peningkatan diri. :)
No comments