Sabtu, 12 May 2012
Hari ini bukan SSB saya. Tapi dek tuntutan tugas , saya dengan paksa redha hadir ke pejabat. Gigih sungguh menapak keluar dari rumah seawal 7.30 pagi dengan beg yang banyak macam orang lari dari rumah. Apa boleh buat. Inilah namanya rencah hidup. Perlu banyak rasa, banyak warna.
Di pejabat, rasanya hampir semua orang tahu yang saya lemah benar dengan satu kelompok manusia yang fikir mereka super-profesional ini. Semua nak bagus, tapi mereka sendiri pun hanyalah tin kosong yang bergendang kuat tanpa isi apa-apa.
AGM mereka hari ini betul-betul buat saya sakit kepala. Tapi bagus juga- Semakin banyak kerenah manusia yang saya hadapi; semakin saya belajar untuk mengawal diri. Mereka fikir yang mereka cukup bijak, tetapi malangnya mereka hanya bijak dari segi ilmu, bukan dari segi emosi. Perasaan mereka dangkal dengan nilai tolak ansur dan sopan santun. Betul!
Tepat pukul 1, saya tidak berlengah lagi. Kereta dipandu ke stesen minyak untuk bekalan petrol jarak jauh. Ya, saya akan pulang ke kampung hari ini dengan memandu Baby K. Asalnya itu bukan pelan pertama. Saya fikir pulang dengan menaiki bas lebih relaks dan jimat.Tapi dek tuntutan tugas yang menggunung, saya selalu pulang lewat dan tidak sempat untuk ke perhentian bas untuk membeli tiket.Nah, pilihan terbaik setelah meminta nasihat emak abah- Saya nekad memandu kereta kecil yang baru dua minggu sihat dari ragamnya tempoh hari.
Permulaan perjalanan saya diiringi hujan lebat. Tapi syukurlah cuaca selepas itu baik-baik saja hingga sampai ke laman rumah emak abah. Tiga jam bukan satu perjalanan yang singkat. Entah berapa kali saya menguap besar, entah berapa lama saya bercakap seorang diri untuk melawan mata dan badan yang kelesuan ini.
Esok adalah hari penting untuk kami sekeluarga. Alhamdulillah.
Sebab itu saya sanggup pulang walaupun banyak ujiannya. :)
Insya Allah cerita esok yang istimewa akan saya nukilkan sebaik majlis selesai.Momen penting ini tidak boleh dibiar lama. Basi!
Insya Allah cerita esok yang istimewa akan saya nukilkan sebaik majlis selesai.Momen penting ini tidak boleh dibiar lama. Basi!
Jam sudah menunjukkan pukul dua belas malam. Masa untuk berehat barang empat ke lima jam. Esok aktiviti saya akan bermula awal pagi. Tunggu!
-Dhiya-
No comments