Sarapan Merangkap Makan Tengahari di Ikea Damansara


Bismillah

Menikmati sarapan pada hari bekerja di Ikea Damansara!

Beberapa minggu lepas, kami ambil cuti untuk menjelajah Pantai Timur. Tapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kami terpaksa batalkan percutian ke Pantai Timur tu tapi tak pula batalkan cuti yang telah dimohon tu. Jadinya kami betul-betul habiskan masa di rumah- Mengemas dan menjelajah Kuala Lumpur sahaja.

Pagi Jumaat tu, kami bangun dan dalam pukul 9 pagi terus ke Ikea Damansara untuk bersarapan. Kelasss kau Jahhh sarapan kat Ikea di saat semua orang berpusu-pusu nak masuk pejabat. Hahahhaha! Ikea Damansara ni pula dekat sangat dengan pejabat suami saya. Dia cakap, feeling dia macam nak pergi kerja, tapi hati manyak senang sebab tiba-tiba sedar dah sampai kat Ikea. Hahahahah! Funny, you!

Kami pilih pasta, chicken wing, dan salad saja. Itu pun dah rasa banyak sangat. Air boleh refill percuma jadi kami hanya beli 1 cawan saja. Kedekut di situ~ Biasalah.
Rasanya inilah momen paling best. Di saat semua orang bekerja, kami bercuti dan boleh melepak lama-lama di Ikea tu. Orang pun tak ramai. Siap boleh makan melintang jalan sebab memang lapang. Hahahah! Tapi rasanya ini je lah peluang yang kami ada. Suami saya bukan orang yang jenis senang dapat cuti. Kalau cuti pun, kami memang beraktiviti. Cuma sekali ni je aktiviti dibatalkan dan jadilah aktiviti begini. Makannnnn~

Thanks hubster sebab layankan tekak saya yang macam-macam ni. Bunyi macam mengada sangat kadang-kadang. Tapi tulah...Bukan salah saya. Salahkan perut yang nak makan ni. (Denial gila)
Lain kali tolong bawa lagi ya. Lepas makan, kita jalan-jalan dalam Ikea tu sambal berangan nak hias rumah macam tu sambal tangan laju je grab apa-apa yang patut masuk troli. Ehhhhh nikmat syurga sungguh aihhh!

Dhiya
Ikea Damansara

Home-Made Satay di Rumah Emak


Bismillah

Awal bulan November yang lepas, kami balik ke rumah mak abah di Pahang. Orang yang paling seronok balik Pahang tentulah suami saya. Memang rare jugalah tengok menantu seronok balik rumah mertua. Hahahahhaha! Tapi my husband don't care katanya~

Dia ni, kalau balik Pahang, tak sah kalau tak buat aktiviti. Adaaaaa je pasalnya. Balik baru ni dia cakap dia nak buat satay. Nak makan ramai-ramai. Hahahahha! Kat rumah ni siapa je yang ada untuk makan ramai-ramai. You so funneh la abang!
Pagi tu kami ke pasar pagi untuk beli daging lembu dan ayam. Katanya nak buat dalam 30 cucuk satay daging dan 30 cucuk satay ayam je. Kat rumah ni budak-budak je yang meriah makan. Kita yang tua ni bukannya beria sangat pun kan. Jadi 60 cucuk tu dikira puaslah pada kiraan kami.

Pagi tu, mak memasak lauk tengahari. Suami saya mengerjakan sataynya. Petangnya sewaktu mencucuk satay, kami dapat dekat 100 cucuk satay semuanya. Muahahahahahah! Ini memang kenduri sataylah jawabnya ni.

Malam tu, lepas Maghrib- Kami dah setup tempat di luar depan rumah. Abah sibuk dengan extension lamp dia. Semangat menggantung mentol di atas dahan pokok. Mak pula masak kuah kacang sedap, ketupat segera dan menempah kuih muih dan kakak saya pula menempah mee goreng dari kedai makan dekat dengan rumah kami. Saya? Saya potong timun dan bawang sambal tunggu makan je. Bila dah susun, jenuh kami memikir, siapalah yang nak makan semua ni~ Bukan ada jemput jiran pun...
Sebab banyak sangat makanan, kami sedekahkan satay panas tu kepada jiran seorang sedikit. Ini memang puas makan sebab tak ada kulit, lemak atau apa saja melainkan isi semata-mata. Memang puas hati sungguh la kami makan malam tu. Budak-budak pun seronok (menyibuk) nak membakar.

Resepi?
Hah ini memang kritikal. Saya kena menghadap suami untuk minta resepi dari dia. Tapi yang pasti resepi ni dia dapat dari pakciknya di Johor masa kami beramai semasa cuti raya haji hari tu. Pak ciknya ni memang kaki memasak dan boleh memasak dalam skala besar untuk majlis besar-besar. Itu yang power sangat tu kut sampai menurun ke anak saudara. Hahahahah!

Ok Insya Allah bila resepi dah ready, saya akan kemaskini entri ni untuk anda ye.

Maaf kalau anda tertunggu-tunggu. Kalau resepi saya sendiri atau resepi Google, memang boleh terus tulis je. Tapi sebab ini resepi orang 'pakar', kenalah tunggu pakar available dulu.

Tunggu, ya!
Dhiya

Nasi Lemak Tanglin- Sedap tak?


Bismillah

Orang KL, siapa yang suka nasi lemak Tanglin?

Rasanya tak sah jadi orang KL kalau tak pernah ke nasi lemak Tanglin ni yang terletak berdepan dengan Klinik Kesihatan Tanglin, belakang Masjid Negara dan juga berdekatan dengan Pusat Temuduga SPA Jalan Cenderasari Kuala Lumpur.

Kalau datang ke sini, jangan terkejut dengan pemandangan orang beratur panjang, baik pada waktu hari bekerja atau hari minggu. Nasi lemak Tanglin memang terkenal di kalangan orang sekitar Kuala Lumpur. Kami pun, kalau hari kerja rajin juga ke sini (kalau terbangun awal atau terkeluar dari rumah awal). Hujung minggu pun selalu juga.

Nasi lemak Tanglin ada pilihan telur, sotong, rendang kerang, ayam dan beberapa lagi (saya pun dah lupa). Tapi rasanya saya paling suka nasi lemak lauk sotong dia. Lauk kerang pun ok, tapi saya tak happy sebab pernah dapat kerang kecil.
Then here's the cliché question: Nasi lemak Tanglin sedap tak? Pada saya, kekuatan nasi lemak Tanglin adalah pada sambalnya. Saya boleh cakap sedap sebab sambalnya. Servis pun laju dan tak ada haywire. Harga pun mestilah ok.
Kalau datang ke sini, saya tak suka beratur. Saya akan terus duduk di belakang kedai yang ada banyak pokok-pokok sebab akan ada orang yang ambil pesanan. Kalau beratur, susah nak cari tempat duduk atau dapat tempat duduk yang tak best.

Kalau anda tak pernah rasa nasi lemak Tanglin ni, anda kena cuba sekali. Berpagi-pagian di Tanglin sangat seronok. Kalau hujung minggu penuh dengan pengunjung yang datang bersama keluarga, siap ada buskers lagu-lagu lama lagi.

Datang dan kita jumpa di sana, ya!
Dhiya

Nasi Air Berlauk yang Sedap di Kampung Baru Kuala Lumpur


Bismillah

Minggu lepas, kebetulan suami saya ada mesyuarat di luar. Belum pun pukul 5, dia dah menunggu di foyer pejabat saya.
Soalan pertama dia: "D nak makan apa?"
Erm, dah alang-alang di KL, awal pula tu. Saya terus ajak dia ke Kampung Baru Kuala Lumpur. Saya tiba-tiba teringin nak makan nasi air (bubur nasi) berlauk yang banyak dijual di Kampung Baru. Jenuh juga mencari review di mana nasi air yang sedap, tapi kebanyakan blog yang tulis tu dah obsolete. Jadi kita redah sajalah.

Pusing punya pusing, kami akhirnya memilih Nasi Air Mr. Johan. Kedai ni ada dalam Google Maps, jadi memang tak ada masalah nak cari. Lauk pun nampak banyak, dan yang paling penting  orang masih belum ramai sebab masih awal. Kampung Baru ni, jangaaaaaaanlah datang lepas Maghrib. Nak letak kereta susah, kedai penuh, orang ramai, takut tak puas hati pula bila makanan sampai nanti. Pendek kata orang KL semua tumpu Kampung Baru untuk makan! Hahahah!

Kami pilih lauk yang biasa-biasa saja: Bilis, jeruk bawang, telur masin, kalian ikan masin dan kalau nak kata istimewa pun, daging salai je. Semuanya mereka akan masak atau goreng bawang dan ada perasa. Yang saya makan ni, mereka masak Thai style sikit. Jadi bilis goreng bawang tu ada rasa sos ikan masam-masam sikit yang mana pada saya, SEDAP!
Makan pun tenang je sebab masa tu dalam pukul 6 petang ke 6.30 petang. Boleh dikatakan kami je yang ada kat kedai tu. Memang seronok lah!
Saya tak pasti macam mana mereka kira harga. Tapi mereka akan tanya nasi untuk makan berapa orang. Lauk pula selalunya mereka akan estimate saja (mungkin by timbang). Semua lauk cukup-cukup je dengan kami and it costs around RM20++ jugak. Pada saya mahal sikit la tapi ok je lah sebab perut happy.

Sebenarnya banyak je kedai makan yang jual nasi air ni dengan lauk yang pelbagai. Jadi pilihan terletak di tangan anda. Macam kami- Malas nak bersesak, malas nak fikir sangat, kedai pun nampak menarik; terus je singgah. Mujur direzekikan dengan rasa yang sedap dan kena dengan citarasa.
Kalau nak pilih, boleh je sebab memang banyak kedai lain.
Rasanya semua nasi air berlauk ni pun memang sedap. Tak de hal!

Cubalah, ya!
Dhiya

Lunch Menu for Dinner


Bismillah

Ini cerita semalam. Balik kerja, terus keluarkan ikan dari fridge. Pelam tu dibeli sejak Isnin lagi dah sampai masak kuning dah! Itulah akibatnya bertangguh-tangguh. Padahal teringinnya dah lama sangat.

Sebaik ikan lembut, kunyitkan dan biar sekejap. Sementara tu sempatlah goreng tempe tu untuk dibuat tempe sambal sira.
Pelam masak dihiris, ditambah tomato, bawang dan cili dan garam- Dibancuh dengan belacan dan asam jawa.
Panaskan pemanggang ajaib dan bakar ikan sambal sebelah dapur lagi sirakan tempe.
Alhamdulillah kurang dari sejam, menu makan malam kami siap!
Terasa sungguh efisyen~
Kalau waktu malas, nak basuh ayam pun ambil masa setengah jam. Itulah saya. Hahhaahah!

Inilah menu kami. Itu pun kalau saya sempat dan rajin. Kadang-kadang, sampai je rumah badan dah penat. Kalau suami saya yang memasak, tak akan dapat menu macam ni sebab dia more to western, macam stik, spageti dan salad untuk makan malam. Mudah katanya.

Tapi pada saya menu macam ni pun mudah, sihat pun sihat juga.

Resepi tempe sambal bersira:
-Goreng tempe sampai rangup, ketepikan.
-Tumis bawang merah dan putih, bila dah garing, masukkan cili kisar.
-Biar sampai garing, masukkan asam keping saiz kecil
-Masukkan sedikit sos cili dan kicap.
-Perisakan dengan garam dan gula.
-Masukkan tempe goreng tadi dan gaul sebati
-Siap!

Resepi air asam pelam:
-Hiriskan: pelam muda, bawang besar, tomato, cili kecil
-Sekalikan dalam mangkuk
-Masukkan garam dan aji (jika perlu)
-Masukkan belacan dan asam jawa
-Bancuh dengan air masak
-Siap!

Eh rasa nak buat lagi lah!
Dhiya
Kuat makan~

Appraisal Form Dah Keluar


Bismillah

Hujung tahun dah tiba. Minggu ni juga saya dah terima appraisal form dari pengurus atas saya. Huhu! Apa maknanya tu? Maknanya dah tiba masa untuk semak balik KPI kita dan bandingkan dengan apa yang kita dah capai.
Semuanya akan dinilai dan reward nya adalah bonus atau kenaikan gaji atau kedua-duanya.
Tahun lepas (masa appraisal), saya baru masuk dan belum sampai pun setahun. Jadi saya tahu tak banyak pun yang penilai saya boleh nilai. Tapi kali ni saya betul-betul bersedia sebab saya tahu macam mana performance graph saya.
Deep inside, bukan bonus atau reward yang saya nak dan harapkan sangat. Saya nak orang puas hati dengan saya dan kerja saya dan yakin dengan keupayaan saya, tak ada masalah hati dengan saya. Itu saja. Sebab bila orang tak suka dengan kita, apa kita buat pun semua tak kena. Betul tak?

Next year gonna be tougher. Department saya sekarang dari 5 orang, jadi 2 orang saja. Manager dan saya. Bos besar pun pening kepala. Tapi Insya Allah berdua yang tinggal ni akan cuba buat yang terbaik untuk align dengan bos besar. Ahli baru yang akan masuk hujung bulan ni pun, kita tak boleh nak expect lebih dari dia. Kena bagi masa juga, macam mana mereka pernah bagi masa pada saya untuk grow dan belajar suatu masa dulu.

11 Disember depan Insya Allah akan ada management and alignment meeting untuk tahun 2018. Selalunya meeting ni agak stress sebab semua department kena report progress masing-masing dan apa perancangan untuk tahun depan. Cuma yang best satu je lah~ Makan sedap sebab buat kat hotel. Huahuahua! Adil la kan. Dah perah otak teruk-teruk, makan kenalah sedap~

Berjodoh dengan syarikat ini adalah satu rahmat untuk saya. It's a pharmaceutical company yang growing so fast since last 10 years. Orang-orang di dalamnya pun baik-baik belaka, Alhamdulillah dan kami saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira agama dan bangsa. Saya anggap ini adalah satu rezeki setelah Allah uji saya dengan kesukaran mendapat pekerjaan suatu masa dulu sebaik tamat pengajian sarjana. Sebab itu saya sangat menghargai momen dan peluang berada di sini. Semua yang saya buat, saya takakan main-main. Bukan sebab appraisal, tapi sebab saya betul-betul menghargainya kerana saya tahu macam mana susahnya tak ada pekerjaan dan tak ada sumber kewangan.

Jadi kepada kawan-kawan lain yang sedang isi appraisal juga, selamat maju jaya. Kita tak perlu jadi fake untuk dihormati dan dipercayai. Cukuplah dengan menjadi diri sendiri dan percaya akan rezeki Allah. Appraisal, bonus, naik gaji- Itu recognition manusia yang sementara saja. Duit boleh habis. Tapi kepercayaan adalah selamanya. Yang saya cakap nak bonus lebih kat IG tu, lawak saja. Jangan tuduh saya fake pulek! Tapi tang nak beli Quinny tu memang betul tau!

Salam hormat,
Dhiya

Tekanan


Sejak bekerja di KL, saya memang dah jadi pengguna tegar pengangkutan awam. Untuk sampai ke rumah, saya perlukan tren dan bas RapidKL. Setakat ni memang pilihan inilah yang paling mudah dan cepat. Nak memandu sendiri? Jangan haraplah. Sesak tu dah satu hal. Parking fee di pejabat saya ni je dah cecah RM40 sehari. Habis nak makan apa, haaaa?

So far perkhidmatan tren memang ok. Cuma bas RapidKL yang menghala ke rumah saya ni kadang-kadang bermasalah sikit. Sepatutnya bas akan ada setiap setengah jam. Tapi kadang-kadang sejam sekali baru ada. Tak tahulah kenapa.
Semalam, saya naik RapidKL macam biasa, tapi pemandunya Nampak macam orang yang berbeza. Orang baru, mungkin. Laluan yang saya naik ni tak pernah ramai orang. Tenang je. Tapi nak dijadikan cerita, pemandu tu semalam bergaduh dengan seorang passanger, nak pulak regular passanger.
Ceritanya macam ni: 
This regular passanger is an elderly around 70s and he's using a crutch. Dia naik dari pintu bas depan dan duduk di tempat duduk paling dekat dengan pintu tu dengan niat supaya nanti waktu dia nak turun, senang. Saya memang selalu perasan uncle ni. Pemandu sebelum ni pun treat him well.
Tapi semalam, bila uncle ni nak turun, pemandu bas tak nak buka pintu depan yang dekat dengan uncle ni. Dia suruh uncle ni pergi ke pintu belakang juga.
Kemudian uncle tu tanya:
"You memang tak nak buka pintu (depan) ni ke?"
"Pergi turun ikut pintu belakang" Pemandu bas menjawab.
"Walaupun saya pakai tongkat?" Uncle bertanya lagi.
Saya cuma nampak pemandu tu arahkan tangan dia ke pintu belakang.
Dan uncle ni kemudian berkata;
"Good. Very good. Tak ada timbang rasa!"
Kemudian pemandu tu mula lempar barang dan maki hamun uncle tu dengan kata-kata kesat yang saya tak nak tulis di sini. Saya berada betul-betul di depan mereka sebab saya duduk di tempat belakang pemandu.
Cuma yang sempat saya dengar, pemandu tu cakap;
"Bas dahla rosak. Ada satu bas ni je. Kalau aku stop terus kat sini, semua kena turun kat sini karang!" Nada marah.

Nampak tak?
The domino effect of pressure.
Kau nak marah sebab perkara lain, tapi kau lampiaskan marah tu ke tempat yang tak sepatutnya.

It does happen in all working fields and other life aspects. Tapi nak buat macam mana. It all depends of how you manage it. Saya rasa pemandu tu tertekan pertama sebab bas rosak dan dia perlu cover semua trip. Penat, kan? Kedua sebab dia baru dan tak mahir lagi handle perangai passenger. Saya akui, kalau pemandu yang dah biasa, dia boleh tahu kita ni regular passenger dia dan siap tahu di mana kita nak turun.

Saya rasa masalah ni masalah terpencil je kut. Tak pernah rasanya keluar tv cakap pemandu bas RapidKL biadab lagi-lagi RapidKL laluan besar. RapidKL yang saya naik ni memang guna laluan dalam je dan tak lalu lebuhraya pun. Jadi sebab tu saya berani cakap ianya adalah kes terpencil.

Cuma saya terfikir, kalau kita dok stress dan tak boleh tangani stress tu, bukankah ia akan melibatkan masalah yang lebih besar? Macam pemandu tu, uncle tu dah warning nak buat report atas alasan pemandu tu tak competent. Kalau dah kena tukar ke laluan lain, mesti lagi stress sebab laluan yang dia tengah bawa ni sebenarnya adalah laluan yang sangat tenang. Haih...

So the moral of the story is, try to handle your stress. Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Itu merugikan diri sendiri. I take this as a lesson so that I won't make people stress and I won't stress myself. Bahaya. Nauzubillah.

So dear peeps,
Hindari tekanan, ya!

Musim Hujan


Bismillah

Sejuk macam Cameron Highland!

Dah beberapa hari KL ni lembap je. Nak bangun pergi kerja pun malas. Pagi ni hujan dalam pukul 4 pagi. Nak bangun untuk solat subuh dan memasak bekal sarapan pun Ya Rabbi malasnya! Tapi gagah juga sebab mengenangkan susahnya nak dapat makanan (sarapan dan makan tengahari) di kawasan pejabat saya ni.

Cerita banjir di Pulau Pinang pulak.
Sebenarnya kan, sehari sebelum banjir tu saya sepatutnya kena pergi ke Pulau Pinang untuk satu persidangan. Tapi disebabkan pertukaran rancangan, nama saya tergugur dan diganti dengan orang lain. Dalam hati, sukalah juga sebab sekurang-kurangnya hujung minggu saya boleh diguna untuk diri sendiri.
Alih-alih, Ahad tu saya dapat berita Pulau Pinang banjir teruk. Saya terus tanya colleague saya yang berada di sana. Katanya hotel mereka tak banjir, tapi banyak jalan banyak ditutup dan pokok tumbang dan kemungkinan mereka tak boleh balik ke KL pada waktunya.
At last, pagi Isnin (semalam) saya terima update dari beliau yang terpaksa ambil EL sebab sampai KL je dah pukul 3 pagi Isnin. Kalau saya, memang dah collapse terus!

Call mak abah di kampung, mereka pun kehujanan juga. Tapi hujan di kampung jauh berbeza dengan hujan di bandar. Hujan di kampung lebih aman, tenang dan indah. Sebab tu suami  saya suka betul balik ke kampung saya. Walaupun bukan rumah kampung sangat dah, tapi dia suka tunggu hujan di sana. Katanya menggamit memori. Orang KL ada memori hujan ke? Hahhahahaha! Tapi tak dinafikan, saya suka suasana lepas hujan di rumah mak dan abah. Terasa sangat segar! (Ok sekarang dah rindu kampung, padahal baru je balik minggu lepas)

Disebabkan musim hujan juga, kami tak ada sebarang perancangan percutian menjelang hujung tahun ini melainkan ke Kuala Selangor bersama ipar dan ke Cherating bersama keluarga saya. Ke Cherating tu pun sebab dah tak ada pilihan. Nampaknya main  swimming pool je lah. Jangan harap nak ke pantai. Kami rasa beruntung sebab kami dah lepas hajat ke Pulau Tioman sebelum monsun bermula, betul-betul hujung September lalu. Kata orang, taklah mengkelan sangat~

Percutian kami hanya akan bermula pada pertengahan dan hujung Januari tahun hadapan, diikuti Mac sebelum berehat panjang menjelang Ramadhan hingga ke satu tempoh yang akan ditentukan kelak. Lepas tu kita tengoklah macam mana kejutan corak percutian kita. Hahahahha!
Doakan kami terus murah rezeki untuk berjalan tengok dunia luar. Tak dapat ke luar negara, dalam Malaysia pun tak apa sebab rasanya banyak lagi tempat yang kami tak pergi lagi.

Dalam musim hujan ni, be safe, be careful. Kadang-kadang, sebab dah nak jadi; jalan berlopak sikit pun boleh buat kita jatuh tergelincir. Avoid hazards and protect yourselves from hazards. Kami balik kampung minggu lepas, sedang mak cuci ikan di sinki luar untuk masak makan tengahari; selamba je ular hitam melintas depan dia. Terkejutlah mak tu. Mujur tak pengsan sebab darah tinggi. Nauzubillahininzaalik. Lepas tu terus kami tabur belerang sebab tak dapat tangkap ular tu. Ikhtiar la kan~ 
So the point is, be safe.

Salam sayang,
Dhiya

Tips Menabung Cara Kejam (Cara aku)


P/s: Ini adalah pendapat peribadi. Kecaman luar tidak diperlukan.

Bismillah

Lamaaaa aku rancang nak tulis tentang ni tapi aku takut kalau orang luar cakap aku riak atau apa-apalah. Aku ada niat nak tulis di IIUM confession je tapi aku lagi takut dan tak bersedia dengan komen-komen netizen yang tak ada intonasi di situ.

Tapi aku nak tulis juga sebab aku bukan senang dari awal dan boleh terus menabung dengan cara ni. Aku pernah susah dan pernah rasa macam mana rasanya tak ada duit dalam simpanan. Aku pernah tertekan dengan kekangan kewangan di saat aku makin tua, baru habis master dan tiada pekerjaan tetap ditambah pula dengan nak kahwin. Jadi aku rasa ada signifikannya perkongsian ini untuk aku dan orang di luar sana, betapa pentingnya simpanan kewangan.

Kawan-kawan yang rapat dengan aku pasti tahu betapa struggle nya aku dalam perjuangan kerjaya aku. Yang tu aku malaslah nak cerita in details. Cukup dah kisah tu menjadi guru dalam kehidupan aku.

Aku betul-betul mulakan hidup baru sebaik aku mendapat pekerjaan pertama selepas tamat pengajian sarjana. Dengan sijil sarjana tu, aku cuba 'jual diri' aku dengan expected salary bawah 3K dan Alhamdulillah aku dapat. Kenapa aku 'jual diri' bawah 3K? Sebab aku taknak gaji aku banyak, tapi tiris jugak nanti sebab kena bayar income tax. Hahahahahha! Mungkin reason aku tu nampak dangkal, tapi aku tetap OK dengan gaji bawah 3K.

Jadi apa perkara kejam yang aku dah buat dengan gaji bawah 3K aku tu? Bermula dengan gaji pertama (ya, gaji pertamaaaaaaaaa lagi), apa yang aku akan buat adalah: Aku akan withdraw RM1/3 dari akaun gaji dan aku akan pindahkan ke akaun simpanan aku. Akaun simpanan aku ni aku memang sengaja tak buat online banking demi mendisiplinkan diri aku. Kalau tak, sikit sikit login, sikit sikit login. Tak jadilah menyimpan kalau begitu. Baki RM2/3 itulah aku akan guna untuk semua komitmen dan perbelanjaan lain yang takkan laa aku nak cerita semua kat sini.

Bila aku cakap RM1/3, mesti ramai yang terbeliak, cakap "Umangai banyak gila" Ada juga yang cakap "Alah laki kau tanggung semua bolehlah simpan sampai RM1/3~". Dey dey...Aku tak habis cerita lagi. Sebelum kau come out dengan pelbagai assumption tentang aku dan suami, bak sini aku nak cerita sikit.
Memang duit sewa rumah kami, isi dapur dan semua bil, suami aku yang bayar. Dia adalah sejenis suami yang sedar tanggungjawab dia. Tapi aku juga bukanlah isteri yang begitu mudah cuci tangan dan ambil kesempatan. Aku ambil juga tanggungjawab tu walau tak banyak. Kadang-kadang, waktu tengah beratur nak bayar barang dapur, aku selit sikit duit kat tangan dia. Tak pun, lepas penat beli barang dapur, aku heret dia pergi KFC dan reward dengan ayam sorang dua ketul. Kalau rasa-rasa teringin, aku ajak dia makan durian SS2 barang dua biji dan aku yang payung. Benda kecil, tapi aku yakin aku pun ada sumbangan. In the end, benda ni akan balik kat kau juga sebab nanti dia akan bagi duit belanja, kan? Hahahhaahha!
So nak cakap, aku pun ada bahagian yang aku spend untuk rumahtangga. Maknanya tidaklah semua gaji aku masuk poket aku. Jadi jangan cakap aku simpan RM1/3 gaji aku sebab duit aku memang banyak. Nehi nehi nehi.
Untuk pengetahuan, aku pun ada komitmen telefon dan internet serta bayaran hutang belajar aku semasa dalam pengajian sarjana dulu. Mak abah di kampung pun Alhamdulillah ada bahagian mereka. Tu belum cerita pasal lain-lain komitmen. Malaslaa nak cerita panjang.
Cuma ada beberapa perkara yang aku rasa ianya adalah kelebihan pada kami walaupun orang luar nampak ia sebagai kekurangan.

1. Kami duduk menyewa di apartment kos rendah saja. Tapi Alhamdulillah environment sangat bagus dan jiran pun baik-baik saja. Tak demand pun nak duduk double storey atau kondo mewah. Rumah sendiri masih dalam proses (Ya Allah ini sangat menguji iman~!)
2. Kami suami isteri tidak ada kereta baru. Walaupun nampak tak ada gaya, tapi kami tak ada hutang bulanan kereta. Kereta yang kami ada sekarang ni pun Alhamdulillah dapat menyerap masalah kenaikan harga minyak sekarang. Perodua memang terbaik! Hahahahah!
3. Aku tak layan sangat fesyen atau trend. Bukan nak kata kolot. Tapi aku taklah terkejar kejar kan tudung itik atau baju raya Che Ta yang beratus ratus tu. Aku masih ada keinginan untuk cantik, cuma aku bukan orang yang sanggup berhabis sangat dalam bab ni.
4. Kami masih boleh travel merata, tapi travel cara kami lah. Aku perasan, sejak kahwinlah aku dapat pergi merata. Selalu orang waktu bujang la yang berhabis pergi merata, kan? Again, kami travel cara kami dan of course dengan cara paling bajet. Aku tak pernah mintak nak tidur hotel mewah dengan buffet sampai muntah. Kos percutian pun selalunya sama-sama payung dan bila kira-kira balik, jadi sama rata je sumbangan masing-masing. Travel macamnilah buat hati kami senang dan lebih ikhlas.
5. Makan. Kami selalu memasak saja di rumah. Tapi sebagai pasangan muda yang tinggal di kota, kami pun kadang-kadang keluar juga ke mall sewaktu hujung minggu. Cumanya bila tiba waktu makan, kami akan pilih tempat makan yang sederhana saja. Tak adalah nak makan kat 360 for no reason atau ke Pavilion sana nun. Aku ni, kalau dapat cendol Subang pun dah happy. Kalau dapat restoran besar kat Mid tu memang terus termenunglah agaknya. Yup, kadang-kadang kami reward juga dengan something special macam kat TGI atau Tony Roma's, tapi it must be due to special occasion macam birthday atau anniversary.
6. Ha ni satu lagi dan yang paling penting. Aku memang avoid sangat online shopping melampau terutamanya flash sale Lazada dan sewaktu dengannya. Sales macam ni lah yang memusnahkan struktur perbelanjaan bulanan aku. Satu lagi, elakkan terpengaruh dengan copywriting (ayat ayat promosi) yang boleh buat kita rasa 'ehhhhhhhh aku kena beli ni. Esok dah takde dah promotion macam ni'. Come on. Kawal nafsu. Berbelanjalah ikut keperluan. Aku ni kadang-kadang teringin je apa-apa yang orang promote kat FB tu, tapi aku fikir dulu. Beli sebab perlu dan memang tak ada atau beli sebab benda tu cantik je samata-mata. Tepuk dada, tanya selera.

Hah. Tu je kut tips perkongsian dari aku.
The main point is, aku akan dengan kejamnya keluarkan RM1/3 dari gaji aku cepat-cepat dan pindahkan ke akaun lain supaya aku tak guna duit tu. Katalah kau terdesak dan bajet lari sebab kereta overhaul (contohnya), kau boleh keluarkan duit tu sebagai "PINJAM". Gaji bulan depan wajib ganti balik. WAJIB!
Percayalah. Masuk bulan ketiga, kau akan mula rasa seronok dan bangga dengan diri kau sebab kau akan nampak dalam akaun simpanan kau ada duit. Tak banyak pun, tetap duit.
Kalau gaji kau RM3000 sebulan, simpan RM1/3 maknanya kau simpan RM1000. Kalau dah tiga bulan, tak ke dah ada RM3000? Seronok tak? Seronok kan?
Cuba dulu. Kalau tak mampu sebab kau ada komitmen yang banyak, cubalah simpan dalam amaun yang besar hanya untuk tiga bulan pertama. Nescaya kau akan teruja tengok usaha kau yang tiga bulan tu.
Cubaaaaa!
Eh tapi jangan lepas nampak duit, kau jadi mamun dan mulalah nak beli itu ini. Ingat, tu duit simpanan!

Sekian tips kejam dari aku yang gaji tak sampai 3K. Rezeki ni Allah yang bagi. Duit ni sebahagian kecil je dari pelbagai bentuk rezeki. Ada orang direzekikan dengan gaji dan simpanan yang kecil, tapi hidup mereka bahagia sangat. Ada yang boleh buat haji pada usia muda. Jeles aku~ Kita ni, Allah beri bahagia dan rezeki gaji yang tetap dan stabil, cubalah simpan elok-elok buat bekalan waktu kecemasan. Kerja baik-baik, dan jangan mengular. Semoga Allah cukupkan segala keperluan hidup kita dan dilimpahi rezeki yang berkat dan menjadi saham di akhirat nanti. Amin.

Tips kejam paling ikhlas aku pernah kongsikan,
Dhiya