Pengalaman Menunaikan Umrah Sewaktu Pandemik - Disember 2021 (Madinah)


Bismillah

Perjalanan kami bermula pada 4 Disember, penerbangan SV3842 Saudi Airline jam 1.30 petang. Kami keluar dari rumah di PJ awal pagi. Alhamdulillah urusan di airport dimudahkan. Andalusia punya working flow was flawless. Dari urusan ambil dokumen dan passport sehinggalah ke check-in, semuanya lancar.

Waiting bay di departure hall tu agak padat tapi Alhamdulillah semua orang baik-baik. Elderly semua dapat seat termasuklah mak abah. Allah didik hati aku seawal di sini lagi dan aku terus-terus berdoa janganlah aku diuji dengan sikap kurang sabar berdepan dengan orang especially mak abah sendiri. 
Paling menyentuh hati, semasa kami sedang beratur untuk masuk ke dalam perut kapal terbang, ada seorang jemaah pitam dan keadaan jadi agak kelam kabut. Aku sempat tengok ada staff airport yang buat CPR. Tak banyak yang kami boleh buat melainkan berlalu dengan doa dan air mata je sebab semua orang dah nak masuk kapal terbang.
Khabarnya jemaah tu meninggal sehari selepas itu akibat serangan jantung. Masa aku tahu ni, kami dah di Madinah. Sekali lagi aku menangis mengenangkan betapa- Walau selangkah dekat menuju Haramain, kalau Allah kata tidak maka tidaklah ia menjadi milik kita. Moga Allah rahmati almarhum jemaah tersebut. Innalillah.

Penerbangan mengambil masa 8 jam. To be honest aku ni dah lamaaa tak naik airplane so gentar jugak heh! Tapi Saudi Airlines memberi pengalaman yang baik untuk aku. Alhamdulillah take-off dan landing were smooth, penerbangan lancar (cuma ada sedikit turbulence di sekitar laut Hindi yang buat aku tak tenang sikit) dan kami tiba seperti yang dijadualkan.
Depart : 1.30 pm (waktu Malaysia)
Arrival: 9.30 pm (waktu Malaysia) - 5 jam beza waktu, maksudnya 4.30 petang waktu Saudi.

Upon arrival in Jeddah Airport, kami antara orang terakhir yang turun, mak abah jalan agak lambat. Kami tak arrange wheelchair sebab mak abah cakap boleh jalan. Tapi siapa sangka jarak berjalan boleh tahan jauh. Sedang kami berhenti di tandas, ada satu gerombolan jemaah India/Bangladesh yang Masya Allah ramai gilaaaaaaaaaaaa sampai nak menenggelamkan kami. Masa ni nak beratur untuk tunjuk dokumen, memang kami kena tolak je. Aku dah nak menangis dan rasa macam inilah ujian pertama aku sebaik sampai di Haramain. Tapi mujurlah mutawwif dapat track kami dan bawa kami ke fast lane untuk jemaah Malaysia. Masa tu haa lajulah sikit pergerakan kami. Kalau nak kena beratur dengan jemaah Bangladesh tadi, memang boleh buat pengsan.

Proses immigration dan collect luggage ambil masa sejam lebih juga. Penat memang penat. Orang pun ramai. Tapi ada lane khas untuk jemaah umrah. Definitely kena bersabar banyak-banyak untuk lalui process ni lagi-lagi kalau bawa mak ayah yang berumur. Keluar je ke gate arrival, kami dengar azan Maghrib (around 5.30 petang). Dah ada wakil Andalusia yang menunggu untuk bawa kami ke bas yang telah ditetapkan. Alhamdulillah, dapat seat. Kesian mak abah. Banyak sangat berjalan. 

Dalam bas, kami mula kenal kumpulan kecil kami. Tapi sebab masing-masing kepenatan, tak adalah bersembang sangat. Mutawwif kami pun dah perkenalkan diri. Perjalanan mengambil masa lagi 5 jam untuk ke Madinah. Tapi biasalah, nak menunggu semua orang cukup dan beg-beg semua masuk ke dalam bas, kami mula bergerak lebih kurang pukul 7 malam juga. In between, ada wakil dari syarikat telecommunication yang naik ke dalam bas dan bantu kami beli dan masukkan simkad Saudi. Proaktif jugalah sebab kalau nak tunggu kami sampai Madinah baru nak beli simkad, agak lambat. 

5 jam perjalanan, mutawwif bercakap sekejap je. Selebihnya kami melayan mata. Kami hanya dikejutkan sekejap untuk berhenti makan malam dan toilet break. Masa tu rasanya dalam 12 malam. Delayed a bit sebab orang simkad tu tadi ambil masa kami lama juga. Lauk sedap dah- Nasi arab lauk ikan goreng. Tapi dah tengah malam, kami tak lalu sangat nak makan. Mak abah minta hot drink je which was luckily ada dijual di kedai berdekatan.

Tips: 
1. Penerbangan dan perjalanan dengan bas (especially jemaah ke Madinah) adalah sangat panjang. Bawalah makanan macam protein bars ke, coklat atau roti yang mengenyangkan. Kalau bawa mak ayah yang berumur, lagilah penting untuk ada makanan macam ni. Prepare for toilet break juga. 
2. Tandas kat R&R sana tak sama macam di Malaysia ya. Ada yang kena beratur panjang (iyalah, jemaah rombongan kan ramai), ada yang tak ada air pun. Banyakkanlah bersabar dan kalau nak ambil wudhu' saja, boleh la gunakan botol atau spray.

Kami sampai di Hotel Royal Inn Madinah jam 4.30 pagi. Proses ambil kunci dan beg Alhamdulillah dimudahkan. Leganya dapat duduk, meluruskan pinggang dan dapat bersihkan diri. Bilik kami twin sharing dan bersebelahan je dengan bilik mak abah. Jadi mudahla aku nak uruskan keperluan mereka. Kami tak tidur pun sebab kurang dari sejam, azan Subuh akan berkumandang. Istimewanya, azan Subuh di Madinah Kota Nabi. Lainnya rasa tu. Tapi kami tak ke masjid lagi pagi tu sebab mak abah masih kepenatan. 
Day 1 (5 Dec 2021)

Kami keluar sekitar jam 8.30 pagi selepas sarapan menuju je dataran masjid Nabawi. Alhamdulillah jemaah yang guna muassasah ada hand band khas jadi kami boleh masuk ke masjid tanpa banyak soal oleh askar yang mengawal pintu masuk. Madinah waktu ni sejuk sangat. F sentiasa berbaju lengan Panjang. Mungkin ini winter di Saudi kut. 
Day 2 (6 Dec 2021)

Ziarah Masjid Quba'. Masjid Quba' adalah masjid pertama yang dibina Rasulullah ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah.
Rasulullah bersabda yang bermaksud;
"Sesiapa yang pergi ke Masjid Quba' dari rumahnya dalam keadaan berwuduk dan solat sunat dua rakaat di dalamnya, ganjarannya adalah satu pahala umrah"
Dan ya, mutawwif kami guide dengan baik. Dia dah remind kami awal-awal supaya berwuduk siap-siap dari hotel supaya kita boleh melakukan sunnah ini. Kami tak lama pun di Masjid Quba'. Kebetulan hari tu hari Sabtu so mutawwif cakap kena datang awal atau nanti orang akan mula ramai. Dan memang masa kami sampai tu, kami adalah rombongan paling awal so dapat solat dengan tenang sangat.

Next adalah ziarah ladang kurma. Jemaah boleh membeli kurma di sini. Tapi mutawwif bagitahu awal-awal yang harganya lebih mahal. Jadi kami beli sedikit saja, selebihnya kami beli di kedai sekitar hotel saja, lebih murah dan boleh tawar menawar.
Kebun Kurma Majed ni popular betul di kalangan rombongan Malaysia. Pekerjanya ramai orang Indonesia so kau akan rasa macam pergi pasar kat Malaysia je.
Ziarah seterusnya adalah ke Bukit Uhud. 

Pernah dengar perang Uhud? Ya, di sinilah perang itu berlaku. Bukit Uhud ni dia stand alone tau, maksudnya dia tak bersambung dengan mana-mana bukit berdekatan, makanya dipanggil 'bukit menyendiri' yang menjadi saksi bisu kepada perang Uhud. Mutawwif kami ada buat sedikit perkongsian sirah. Masa kat sini, dapatlah bayangkan macam mana perang tu berlaku. Dapatlah bayangkan kudrat dan keringat tentera Islam menentang musuh yang akhirnya mengorbankan ramai sahabat Nabi. Baginda sendiri pun cedera teruk sehingga dikatakan Bukit Uhud bergegar kerana sangat marah dengan tentera musuh yang mencederakan Baginda.

Kerana itulah, ada satu hadith dari Anas bin Malik R.A, Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Uhud adalah satu gunung yang mencintai kami dan kami juga mencintainya. (HR Bukhari dan Muslim)

Turun dari bukit memanah yang bertentangan dengan Bukit Uhud, kami dapat beli ais krim yang sangat sedap. Katanya dulu ramai peniaga di kaki Bukit Uhud ini tapi masa kami pergi tu kan tengah Covid, jadi tak ada jual-jualan pun. Sayang kan?

Malam- Slot ziarah Raudhah melalui muassasah. FYI, muassasah ni macam ejen yang serve Andalusia. So muassasah ni macam ada lesen yang boleh dapat priority untuk bawa jemaah masuk ke Raudhah tanpa perlu jemaah book slot melalui Eatmarna.  
So malam tu kami berkumpul di depan hotel untuk tunggu muassasah datang dan iring kami. Alhamdulillah kami tak perlu beratur dan menunggu lama. Syukur sangat sebab all this while aku dok baca nak masuk Raudhah ni kena berebut dan tolak menolak. Worst case scenario, kena redha je kalau memang dah tak ada rezeki untuk masuk ke Raudhah. Tapi aku tak sangka Allah beri izin untuk aku masuk ke Raudhah dengan cara yang sangat tenang dan mudah.

Day 3 (7 Dec 2021)

Free and easy. Tapi pagi tu kami ada program ceramah panduan umrah dan bacaan Yasin dan tahlil di dewan makan hotel. Selepas itu kami masuk ke dalam masjid Nabawi dan bawa mak abah naik wheelchair pusing keliling masjid, ala-ala ziarah dalam tapi kami berempat saja.

Jenuh juga nak menghabiskan pusing satu masjid ni tapi best lah. Sebaik selesai pusing, azan Zuhur pun berkumandang. So aku dan mak solat di luar, sayap kiri masjid, sebelah Baqi' while F dan abah masuk ke dalam masjid.
Semoga kucing ni bersaksi pada Allah yang aku pernah bagi dia minum kat Masjid Nabawi. Kesian dia haus. 
Lepas Zuhur, kami balik ke hotel untuk makan tengahari dan rehat. Sebab malamnya kami dapat book slot ziarah Raudhah guna apps Eatmarna. Kami plan nak bawa mak abah guna wheelchair.
Alhamdulillah asbab kami bawa mak abah dan wheelchair tu sebagai alat, kami dapat masuk guna fast lane. Masya Allah tak perlu langsung beratur tunggu turn yang lama tu.
Kalau aku tak bawa mak guna wheelchair, inilah barisan Panjang untuk aku beratur dan tunggu giliran masuk ke Raudhah.
Ini semua Jemaah dengan wheelchair bersama pengiring mereka. Alhamdulillah terima kasih Allah izinkan aku dan mak masuk Raudhah!
Once dapat masuk, polis akan atur jemaah wheelchair untuk duduk satu row paling dekaaaaaaat dengan maqam Nabi. Tengok gambar tu. While pengiring akan diatur untuk ke tengah sedikit tapi Masya Allah dapat depan sangat. Aku dapat solat di saf ketiga paling depan. 
Macam mana nak tau kawasan Raudhah? Tiang Raudhah ada kelopak bunga emas tu. (Tengok gambar)
10 minit yang diberi sangat berharga. Aku biar mak di ruang wheelchair. Cukup 10 minit, kami kena bangun dan patah balik ke wheelchair area untuk ambil waris masing-masing. Kasihan mak sebab dia tanya"dah habis masa ke?" Aku jawab; "Ye mak. nanti kita datang lagi" Mata kami berdua berkaca. 
Kami keluar di pintu 40 ni, terus nampak F dan abah dah menunggu. 
FYI, ruang Raudhah untuk jemaah wanita sangat kecil. So once dapat masuk, berusahalah untuk terus ke ruang hadapan dekat dengan penghadang. Situ dah memang yakin kawasan Raudhah. Kat kawasan belakang tu macam kau kena pastikan betul-betul itu adalah Raudhah atau tidak. Macam mana nak tau area tu adalah Raudhah? Dulu orang cakap Raudhah ditandai dengan karpet hijau. Tapi sekarang satu masjid Nabawi pun dah berkarpet hijau.
So sekarang, kalau nak tau di mana Raudhah dalam kawasan wanita, tengok tiangnya. Tiang yang ada kelopak bunga emas itulah Raudhah. 
Kita hanya boleh berada di dalam Raudhah 10 minit saja. Ada jam besar yang buat countdown 10 minit tu. Cukup masa, polis wanita akan 'halau' keluar. Jangan ingat kau buat-buat solat dan sujud lama, kau selamat. Polis tu boleh duduk sebelah kau dan dia akan tempik suruh kau keluar. "Sudah ibu, sudah! Cukup ibu, cukup!

Dulu-dulu orang cakap; kita tak boleh tadah tangan kalau berdoa. Nanti kena halau. Sekarang tak lagi. 10 minit yang diberi tu, kau boleh guna untuk tadah tangan berdoa. Tiada siapa akan kacau melainkan 10 minit itu telah tamat.

Allah akan mudahkan urusan korang juga, ya! Amin!

Day 4 (8 Dec 2021)

Free and easy. Mak abah kami rehatkan saja di bilik. F ajak aku merayap ke Bin Dawood mencari kopi Arab. Seronok juga masuk Bin Dawood ni, dapat tengok super market Arab. Hahahah!
Harga barang keperluan dan ubat ubatan agak mahal di sini ya. Take it as RM1 = SR1. So sabun ni harga dia dekat RM30 hahaha!

Petang, kami bawa mak abah ke masjid lagi. Alhamdulillah seronok berjemaah di masjid Nabawi ni. Tapi tulah, baru rasa nak dapat rentak dan nak mula seronok, esoknya dah nak ke Makkah dah :(
Nuha kami. Ini sepatutnya jadi gambar name tag dia tapi tak ada rezeki untuk dia ikut kami ke Haramain. Jadi kami guna gambar ni untuk ambil dengan semua landmark Haramain.

Seronok. Tak ramai orang. Lapang.
Marghrib kami pilih untuk solat di luar. Nak tengok langit malam sebab kebetulan bulan tengah terang.

Day 5 (9 Dec 2021) - Day 6 (10 Dec 2021)

Hari terakhir di Madinah. Selepas Zuhur kami akan bergerak ke Makkah untuk umrah wajib. Perjalanan ke Makkah mengambil masa 5 jam (macam patah balik ke Airport Jeddah dulu, sebab airport memang lebih dekat dengan Makkah sebenarnya) dan kami bertolak lebih kurang jam 2 petang.
Perjalanan kali ni kami semua perlu memakai pakaian ihram (bagi jemaah lelaki) sebab sebaik keluar dari Madinah, kami akan terus bermiqat. 

Sayunya Ya Allah meninggalkan Madinah. Rasa macam taktau bila lagi akan kembali walau dalam hati berazam akan datang lagi. Perjalanan 5 jam penuh dengan pengisian mutawwif. Ada masa kami pause rehat dan tidur. Ada masa kami berhenti toilet break dan solat. Tentatively, slot umrah wajib kami dalam Eatmarna adalah pada jam 12 malam- 3 pagi. Kiranya sempat lah sampai ke Makkah, check-in hotel dan makan dulu. Tak adalah kelam kabut dan kepenatan sangat.

*************************

Demikianlah perkongsian pengalaman kami di Madinah. Subhanallah Madinah ni bandar yang sangat 'lembut'. Cuacanya pun sejuk dan suasananya damai je. Peniaga-peniaga di sini sangat baik, lemah lembut percakapan dan boleh dibawa berjenaka dan tawar menawar. Mungkin inilah barakah yang Allah turunkan kepada bumi yang memeluk jasad kekasih kita, Nabi Muhammad SAW. 

Tips:
1. Hotel di Madinah kebanyakannya dekat-dekat je dengan masjid. Kalau dengar azan di masjid, korang masih sempat bersiap dan berlari ke masjid.
2. Hotel di Madinah lebih proper kalau nak dibandingkan di Makkah. Akan tetapi, kalau datang dengan pakej, bersabarlah dengan lif sebab orang sentiasa ramai terutamanya pada waktu solat dan selepas pulang dari masjid. Sabar, sabar. 
3. Kalau nak membeli belah terutamanya kurma, kismis dan kekacang, belilah di Madinah. Harga lebih murah, senang tawar menawar dan banyak pilihan.
4. Aku banyak beli jubah di Madinah. Harganya lebih murah dan banyak pilihan. Alhamdulillah aku rasa ini adalah pilihan yang paling tepat. Hanya sehelai jubah aku beli di Makkah.
5. Tandas di dalam masjid Nabawi lebih mesra pengguna terutamanya untuk mak ayah kita yang berusia. Jarak tandas dengan dewan solat agak dekat. Ada tandas yang ada lif dan boleh diakses dengan wheelchair. Insya Allah mudah untuk warga emas.
6. Untuk anak-anak muda yang bawa mak ayah berumur, kalau perlukan wheelchair- Boleh ambil yang diwaqafkan di masjid dan bawa pulang ke hotel. Boleh guna selagi kita ada di Madinah. Bila nak pulang atau tinggalkan Madinah, bolehlah pulangkan semula ke dataran masjid untuk kegunaan jemaah lain.
7. Masa kami pergi, hotel masih banyak yang tidak beroperasi kerana Covid-19. Sedih sangat bila tengok situasi ni. Jadi aku tak tahu sangat mana nak cari makan. Lagipun kami makan kat hotel je. Street food macam kebab tu sepatutnya banyak je. Insya Allah rasanya sekarang dah banyak. Tapi depan masjid ada Starbucks. Bawah Hilton ada KFC dan boleh ke Bin Dawood juga kalau nak cari roti atau jus. Nyummy!

Now let's go to Makkah!
Jom baca sharing aku di Makkah pula di entri seterusnya.

No comments