Bismillah
Hujung Disember lepas, kami bawa emak dan abah ke Sungai Ayer Tawar, di Sabak Bernam Selangor. Pakcik saya (abang sulung kepada emak saya) tinggal di sini. Emak saya, zaman kanak-kanak dan remajanya juga memang di sini. Cuma saya yang jarang balik ke Selangor sebab saya banyak membesar di kampung abah, di Perak.
Tapi sejak berkahwin, panjang pula langkah kami siap boleh bawa emak dan abah ke sini :)
Kami sempat singgah di rumah seorang lagi bapa saudara saya dan kami dijamu masakan berasaskan landak. (Lokasi terpaksa dirahsiakan sebab takut kena ambush dengan Perhilitan~). Ini adalah pengalaman pertama saya makan daging eksotik ni. Rasanya macam daging lembu je, tapi lebih lembut.
Landak masak 3 rasa (kut) |
Kami sampai di Sungai Ayer Tawar sedang elok waktu makan tengahari. Maklong saya jamu dengan ketam masak lemak cili api. Rumah Maklong dan Paklong saya ni rumah kampung saja, Tapi suasanya sangat segar sebab berada di kawasan kampung. Rumah emak dan abah saya pun kampung juga, tapi entah kenapa rumah mereka ni lebih seronok!
Seronoknyaa lahai. Pokok pandan tepi dapur je. Kami di KL ni jenuh nak tanam pandan dalam rumah. Sobs! |
Maklong dan Paklong saya ni keluarga nelayan sebenarnya. Tapi Paklong saya sudah tidak lagi turun ke laut. Hanya anak mereka, (sepupu saya) yang masih turun ke laut. Hasilnya pun Alhamdulillah agak lumayan. Kalau dapat ikan besar-besar macam siakap, selalunya sudah ada pembeli yang menunggu. Selalunya pembeli Cina.
Selain itu juga, sepupu saya ni mengusahakan ternakan madu kelulut pada skala yang agak besar di belakang rumah Maklong dan Paklong saya. Sesiapa yang berminat, bolehlah hubungi saya.
Ladang kelulut |
Paling mengujakan, Maklong saya tunjukkan sebekas udang galah yang besar-besar dan segar kepada kami. Katanya memang untuk kami. Suami saya apa lagi~ Bersemangatlah dia nak memasak. Macam yang saya kongsikan dulu, menu udang galah masak telur masin tu adalah hasil air tangan dia. Selain itu kami masak udang masak lemak cili api juga sebab udangnya banyak sangat!
Udang! |
Udang telur masin! Ya Allah sedap juga rupanya! |
Di sebelah petangnya, kami naik motor menuju ke kawasan pinggir laut untuk melihat suasana petang. Kami dapat tengok bot-bot nelayan yang mula turun ke laut untuk menangkap hasil. Seronok sangat dapat hidup dalam suasana macam ni. Hidup mungkin tak kaya, tapi tenang.
Sebelah kiri laut, sebelah kanan kawasan padi |
Hari berikutnya, kami ke Bagan Nakhoda Omar iaitu kawasan pantai yang sangat popular di sini. Masa kami sampai, air sedang surut. Jadi kami dapat turun ke bawah sambil mengutip kulit kerang. Kami juga sempat 'bergaduh' dengan seekor ketam yang ada di kawasan air cetek pantai tu. Semuanya suami saya punya pasallah~
Kalau petang-petang, Pantai Bagan Nakhoda Omar ni ada gerai-gerai makanan macam mee udang, ABC dan banyak lagi. Makanannya pun sedap-sedap juga :)
Ketam yang digaduhkan |
Satu pengajaran yang saya dapat sewaktu berada di rumah Maklong dan Paklong saya;
Jadi orang kampung tak salah. Mungkin hidup kita tak mewah, tapi Allah imbangkan dengan rezeki yang cukup, hati yang bersih dan tenang dan tidak banyak celaru dengan masalah.
Jadi tak guna juga kalau kita punya pangkat, harta dan semuanya- Kalau hati kita busuk dan selalu tidak senang melihat akan kehidupan orang lain.
Sewaktu kami nak balik pun, sepupu saya sempat lagi menghulurkan buah tangan iaitu nanas hibrid yang sangat manis, di saat kereta kami sudah penuh diisi dengan macam-macam buah tangan. Maklong saya tu, agaknya kalau kami bawa 4x4- Sudah lama dia suruh kami bawa balik tebu, ubi kayu dan buah kelapa~
Insya Allah kami akan ke sini sekali lagi sebelum bulan puasa nanti. Saja nak berziarah sebelum Ramadhan. Banyak lagi yang kami nak explore di Sungai Ayer Tawar ni!
Dhiya
hijau dan segar., ;p
ReplyDelete